Dengan Berbesar Hati..


Gadis Sejuta -EP 17-


            Lama Haikal perhatikan surat itu. Seperti bermimpi, menerima sepucuk surat dari insan yang amat dirinduinya. Zaliamira meletakkan surat tadi di atas meja Haikal dan membiarkan sahaja Haikal terpinga di situ. Dia yakin, Haikal akan baca jua surat tadi walaupun pada pengamatannya Haikal seperti tidak sudi. Setelah yakin tiada sesiapa yang memerhatikannya, Haikal dengan sepantas kilat mencapai surat tersebut dan membukanya perlahan.
Assalamualaikum Haikal. Kau apa khabar? Sejak kau pindah kelas, kita dah jarang jumpa kan? Sebenarnya, aku ada benda nak cakap kat kau. Aku tahu sejak akhir-akhir ni kita makin renggang. Aku minta maaf terlebih dahulu kalau apa yang aku nak cakap ni akan menyakitkan hati kau. Sebenarnya Haikal, aku tak pernah suka kat kau. Apa yang selama ni berlaku antara kita, aku cuma berpura-pura sebab nak jaga hati kau. Aku mengaku, aku permainkan cinta kau, aku cuma nak nama je bila aku couple dengan kau. Kau selalu menyesakkan aku, buat aku rimas, buat aku malu… aku minta maaf kalau kau rasa aku buang kau macam sampah. Tapi aku memang tak kan hargai cinta dan perhatian kau kat aku. Sebab cinta kau, tiada nilai untuk aku. Dan aku tahu, kau pun cuma nak permainkan aku. Kalau kau rasa kau suka aku sebab rupa, kau boleh cari Mira. Sekurang-kurangnya dia lebih menghargai kau. Bukan aku. Jangan cari aku lagi Haikal. Aku meluat. Faham?!
Yang benar,
Mimi.
 Haikal kaku tanpa sebarang bicara. Hatinya, terlalu pedih sudah. Sakitnya, tidak tergambar dengan kata dan hanya terlukis dengan sinaran matanya yang berkaca. Cinta, sehingga begini kau bencikan aku? Surat yang dipegang erat, dilipat kembali dan dimasukkan ke dalam kocek kemeja. Walaupun isinya menyiksakan, ia tetap pemberian dari insan yang dicintai.
“Aku terima setiap apapun yang datang dari kau Mimi. Biar kesakitan sekalipun. Aku akan simpan…” Haikal segera keluar dari bilik darjahnya. Dia mahukan kepastian. Jika benar Zaliamimi meluat dengannya, biar dia katakan di hadapannya. Dia ingin mendengar segalanya dari bibir Zaliamimi sendiri. Dia mahu lihat, jika begitulah kenyataannya, mampu kah Zaliamimi mengucapkan dengan nekad saat dia menatap anak matanya.
“Eh, Hike kau nak pergi mana?”, Hardie yang terlihat rakannya yang bagai tidak keruan itu keluar dari bilik darjah segera melantangkan suara untuk bertanya. Namun kepantasan Haikal tidak langsung dapat dihalang oleh panggilannya. Zaliamira menjadi gusar. “Kenapa pula ni?”.
“Baik, seterusnya tajuk siapa?”, soal Puan Hazlina kepada pelajar-pelajar kelas 5 Mercury. Tania segera bangkit dari tempat duduknya dan mengeluarkan segulung kad manila yang siap bercoret dari bawah mejanya.
“Assalamualaikum Puan Hazlina dan kawan-kawan. Selamat sejahtera. Tajuk yang akan saya bentangkan pada hari ini adalah…”
Tok! Tok! Tok! Semuanya menumpukan perhatian kepada pelajar yang berdiri di muka pintu bilik darjah. Tania yang lancer bercakap tadi juga menghentikan ucapannya.
Dengan riak wajah yang kosong, Haikal memandang tepat ke tempat duduk Zaliamimi yang betul-betul di hadapannya.
“Ya? Awak cari siapa Haikal?”, tanya Puan Hazlina yang mengambil tempat di belakang. Tempat duduk lamanya. Tersengih-sengih dia memberi salam kepada bekas guru Bahasa Melayunya itu.
“Puan, Mimi ada?”, tanpa segan silu dia bertanya.
“Kenapa? Baru sehari dua kamu pindah pergi kelas sebelah dah rindu pada cinta Zalia awak tu?”, rakan-rakan yang lain sudah meleraikan tawa. Haikal tersipu-sipu di hujung pintu sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Sindiran guru mereka itu pantas ditangkapnya. Puan Hazlina tidak mahu menjawab pertanyaan tadi lalu dia berpaling kepada Tania.
“Tania, Mimi mana?”, perlahan dia bersuara.
“Mimi tak datang sekolah lah. Kau kan sekelas dengan kembar dia. Tak kan kembar dia tak bagitahu kau?”, sekali lagi tawa terlerai. Haikal membisu. Diperhati setiap sudut di dalam kelas tersebut. Wajah-wajah rakan-rakannya, Nazrullah dan Jimmy. Terubat juga sedikit rindu.
“Hah, tu kenapa tercegat lagi? pergi balik kelas awak. Bukan sekarang ni waktu untuk belajar ke?”, Puan Hazlina lantang bersuara dari belakang.
Haikal akur lalu mengucapkan terima kasih kepada guru tadi. “Apa lah, orang tanya elok-elok, nak marah-marah pula. Tu sebulan sekali la tu. Tak pasal aku pula yang kena”, bebelnya seorang diri lalu masuk ke kelasnya yang berada bersebelahan dengan kelas 5 Mercury.
“Kau pergi mana tadi Hike? Nasib baik Ustaz belum masuk lagi kalau tak..”, bebel Zaliamira pula sebaik sahaja berhadapan dengan Haikal.
“Kalau tak apa? Apa pasal kau tak bagitahu aku yang Mimi tak datang hari ni?!”, marahnya kepada Zaliamira. Terkebil-kebil gadis tersebut ditengking sedemikian. Terasa juga hati kerasnya dimarahi oleh orang yang begitu disayangi. Belum sempat Haikal menyambung ayatnya, Zaliamira terlebih dahulu duduk dengan pantas ke kerusinya. Kepalanya ditekupkan ke mejanya. Haikal hanya memandang sekilas. Tidak kuasa untuk melayan perangai kebudak-budakkan Zaliamira. Dengan selamba, dia duduk di tempatnya.
“Lamanya merajuk”, desisnya. Zaliamira yang duduk di hadapan diperhatinya lama. Teringat pula waktu dulu-dulu sewaktu dia menganggu Zaliamimi di dalam tadika mereka 10 tahun dahulu. Jika Zaliamimi merajuk dan menangis, begini lah yang dia akan lakukan. Menekupkan muka ke meja dan ditutup dengan kedua-dua belah tapak tangannya. Ah, tidak sampai hati pula! Selama ini pun, dia berusaha sedaya upaya untuk tidak menatap wajah Zaliamira kerana setiap kali wajah ayu Zaliamira menangkap pandangannya, dia tidak sanggup untuk memarahinya.
Berat-berat dia melangkah menuju ke meja Zaliamira. Rakan yang sedang duduk di sebelah Zaliamira dihalaunya pergi. Menjeling juga pelajar perempuan tersebut namun dia tetap berdiri. Perlahan-lahan Haikal menarik kerusi dan duduk di sebelah Zaliamira. Alamak, macam mana nak pujuk ni, gumamnya rasa bersalah. Hardie yang sedang memerhati dari jauh tidak dipedulikan.
“Err… Mira…”, panggilnya lembut. Zaliamira mengangkat wajahnya dan segera berpaling kepada Haikal yang duduk di sebelah. Terkejut juga melihat lelaki yang baru sahaja memarahinya sedang mencuba untuk memujuk. Tidak pernah selama ini ada insan yang mahu memujuknya.
Haikal terpana seketika. Wajah ayu itu, memang seiras dengan Zaliamimi apatah lagi apabila mata yang bundar itu sedang berkaca. Luluh hatinya. Tidak sanggup!
“Aku minta maaf. Aku tak sengaja…”, pujuknya lembut. Zaliamira semakin memfokuskan renungannya kepada anak mata Haikal yang hitam bersilau itu. Jelas terpancar kasih sayang dalam mata hitam itu. Haikal, begini kah pandangan kau terhadap Zaliamimi? Dia tetap tidak mahu berkata apa-apa. Dia mahu melihat sejauh mana kesabaran Haikal untuk memujuk hatinya yang kian layu.
“Yalah, aku janji aku tak kan tengking kau macam tu lagi okay? Err.. salah bahasa kot. Okay, I.. sorry.. promise, will not tengking-tengking you anymore. Yes?”. Akhirnya Zaliamira tertawa kecil. Haikal mengeluh nafas lega. Gadis di hadapannya itu tersenyum manis kepadanya.
“Kelakar lah kau cakap English”, tuturnya gembira. Haikal tersengih. Asalkan dia berjaya mengukir senyuman di sebalik wajah yang kusam, sudah cukup baginya walaupun ditertawa sebegitu.
“Kau marah aku lagi?”, tanyanya kembali serius. Zaliamira menggelengkan kepalanya.
“Tapi kau kena janji dengan aku”. Tambahnya.
“Ya lah, kan aku dah kata tadi, aku janji tak kan tengking kau lagi”.
“Bukan yang itu”, bidas Zaliamira membuatkan Haikal berfikir sejenak. Keningnya diangkatkan sedikit.
“Kita kawan okay? Kau jangan sombong dengan aku lagi”, pintanya manja. Kali ini Haikal benar-benar sedang memikirkan sesuatu. Berteman dengan kembar seiras kekasihnya. Ini suatu peluang keemasan. Aku boleh mendekati Mira untuk bertanyakan tentang Mimi, gumamnya dalam diam. Zaliamira yang sedang menantikan jawapan mencuba untuk menterjemahkan riak muka Haikal.
“Aku terima. Maksud aku, aku setuju”, Haikal tersengih lagi. zaliamira tersenyum girang. Hati Haikal sudah semakin hampir untuk dia miliki. Permulaan yang begitu manis baginya akan bertambah manis selepas ini. Dia nekad, Haikal akan dikejarnya walau sejauh mana pun, dia sanggup. Kerana sejujurnya, dia sudah letakkan hatinya kepada Haikal sejak dari hari pertama dia terlihatnya lagi pada hari pertama persekolahan dalam tahun itu.*
Kesesakkan di pagar kecil tempat para pelajar memboloskan diri merimaskan Hardie yang juga ingin keluar. Dari jauh, dia melirikkan matanya ke arah pagar utama yang hanya memberi laluan kepada pemandu kereta dan motorsikal. Dia mengeluh sebentar. Bila lah lagi dia akan melalui pintu pagar utama dan lari daripada kepadatan pelajar di pagar kecil yang dikhaskan untuk pejalan kaki. Dia menoleh ke belakang sebentar. Bayang Zaliamira pun masih tidak kelihatan. Seingatnya, sewaktu dia keluar dari kelas setelah tamat sesi perkolahan pada hari itu, Zaliamira memberitahunya agar pergi dahulu dan dia akan menyusul kemudian. Hardie mengeluh lagi. Zaliamira dilihatnya semakin berubah. Hatinya semakin jauh.
“Jom, kita balik”, ajak Zaliamira. Haikal yang sedang mengemaskan beg sandangnya memerhati gadis berkulit cerah pucat yang berdiri di hadapannya. Tempat duduk Hardie dijelingnya sekilas. “Macam mana pula si Hardie ni boleh terlupa awek dia ni? Aduh….”, keluhnya panjang. Daripada pandangan Zaliamira dia sudah dapat mengagak, pasti gadis ini ingin berjalan beriringan dengannya.
“Jom lah. Apa kau tunggu lagi? semua orang dah balik ni”, ajaknya lagi. lambat-lambat Haikal berdiri dari duduknya.
“Kau pergi lah dulu. Aku kena tunggu ayah aku habis kerja”, jawabnya acuh tak acuh. Zaliamira yang keras kepala itu masih mahu mencuba.
“Oh, ha’ah lah. Aku dengar kau anak pengetua kan? Untungnya dapat berkawan dengan anak pengetua. Tak apa lah, kau temankan lah aku sampai gate depan. Ya?”, pujuknya manja.
Haikal mengalah. Beg yang diletakkan di atas kerusi ditarik ke belakang tubuhnya dan disandangkan. “Jom lah. Aku temankan sampai pagar kecil”. Zaliamira bersorak gembira. Cepat-cepat dia mengikuti langkah Haikal keluar dari kelas berkenaan.
“Kenapa kau suka bercakap guna bahasa orang putih hah?”, Haikal mengajukan pertanyaan dalam pada mereka berjalan berduaan di kawasan foyer sekolah. Zaliamira tersenyum simpul sambil menjawab, “entah. Dah terbiasa. Spontan je keluar dari mulut”. Haikal menatapnya sesaat dan dia menghadiahkan segaris senyuman. Dia mengambil nafas dan menyambung kembali, “granny aku yang ajar aku bahasa Inggeris. Granny orang Australia. Dulu masa aku kecil, aku tinggal dengan granny. Manja sangat dengan granny sampai bila aku masuk 6 tahun, aku tak mahu pergi tadika. Jadi aku belajar dengan granny je kat rumah”, terangnya panjang lebar.
“Oh… patut lah..”, Haikal baru memahami akan mengapa dia tidak pernah berjumpa dengan Zaliamira sewaktu dia satu tadika dengan Zaliamimi dahulu. Dia juga kini mengerti akan mengapa wujudnya perbezaan Zaliamira dengan kembarnya sendiri.
“Kenapa?”, soal Zaliamira kebingungan.
“Tak ada apa-apa”, jawabnya sambil tersengih. Masing-masing menyepi. Terasa juga janggalnya apabila masing-masing mengunci mulut sebegitu lalu Haikal mencuba memecahkan kesunyian.
“Kenapa Mimi tak datang hari ni?”.
Berkerut dahi Zaliamira. Mengapa pula nama itu tiba-tiba meniti di bibir Haikal? Menganggu!
“Dia tak sihat. Demam”, jawabnya tidak ikhlas. Haikal menghentikan langkahnya. Mata bundar milik Zaliamira ditenungnya dalam-dalam, meminta penjelasan. Zaliamira segera melarikan anak matanya daripada tenungan Haikal yang menusuk hingga ke hati.
“Hike, aku balik dulu lah. Mama aku dah tunggu”, dalihnya dan segera keluar dari pagar kecil meninggalkan Haikal dengan beribu pertanyaan. Melihatkan Zaliamira yang semakn hilang dari pandangannya, Haikal menuju ke kawasan parkir kereta para pentadbir sekolah.
Hardie yang sudah lama duduk di pondok bas sekolah terlihat kelibat kekasihnya yang berjalan beriringan dengan Haikal. Tanpa sebarang bicara, dia hanya melihat sahaja gelagat manja Zaliamira berbual mesra dengan Haikal dari tadi. Sejenak kemudian, kelihatan Zaliamira keluar dari pintu pagar kecil dan melalui pondok bas tempat dia duduk. Pada harapannya, Zaliamira akan perasankan kehadiran dia yang telah menunggu lama di situ. Sayang seribu kali sayang, kekasihnya itu berlalu begitu sahaja tanpa menoleh sedikit pun kepadanya. Hardie terduduk.
Kecewa bukan kepalang apabila dilakukan sedemikian rupa. Dia masih boleh terima jika dia harus menunggu lama, asalkan pada penghujung penantiannya ada rindu yang terubat.
“Mira, kenapa you buat macam ni pada I? Apa salah I pada you?”, rintihnya seorang diri. Namun dia kuatkan dirinya kerana ini bukan kali pertama. Dia juga tidak akan menyalahkan sesiapa kerana dia sendiri yang menerima baik buruk Zaliamira walaupun dia sudah kenal dengan sikap Zaliamira yang dingin itu sebelum dia mengambil keputusan untuk menjadikan gadis itu sebagai permaisuri hatinya. Selama hampir dua tahun, Zaliamira tetap tidak pernah ingin berubah. Hardie redha. Dia yakin, kesabaran dan ketabahan akan berhasil juga suatu hari nanti. “Ya, suatu hari nanti…”, katanya dan mulai bergerak ke jalan utama bagi mengambil bas awam untuk balik ke rumah.


Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.