Dengan Berbesar Hati..


Gadis Sejuta -EP 15-

Zaliamimi kuatkan hatinya. Dia masih menyimpan sekelumit harapan bahawa pasti Haikal akan berkunjung ke kelasnya nanti bagi bertemu dengan teman rapatnya Nazrullah dan Jimmy. Maka dibiarkan sahaja kotak gula-gula tersebut di bawah meja Haikal. Dia pasti akan datang, desisnya.
            Haikal mengambil tempat yang paling belakang setibanya dia ke kelas baharu. Dalam pada kesibukannya meneliti tempat duduk yang kosong itu, pandangannya tertarik pada seorang pelajar perempuan yang baru sahaja memasuki kelas 5 Earth tersebut. Wajahnya pelajar tadi direnung betul-betul. Pipinya ditampar berkali-kali. “Aku bermimpi ke? Atau terlalu mabuk cinta sampai terbayang-bayang?”, bisiknya perlahan. Nalurinya pada waktu itu hanya lah ingin mendekati pelajar tadi lalu dia turutkan sahaja. Perlahan-lahan dia mengatur langkah menuju ke meja yang hanya berselang sebaris sahaja dengan tempat duduknya tadi.
“Mimi?!”, panggilnya.
Pelajar tersebut mengangkat wajah dan melihat Haikal yang sedang terpinga-pinga. Lantas pelajar perempuan tadi tersenyum manis dan segera duduk di kerusinya. Haikal berasa tidak puas hati lalu mendekatkan lagi dirinya kepada pelajar tadi namun langkahnya dihalang oleh sebuah suara yang dikenalinya, Hardie.
“Woo.. Hati-hati kawan. Tu Mira lah. Bukan Mimi buah hati kau”, tegurnya sambil menepuk bahu Haikal. Wajah Haikal yang penuh dengan tanda tanya itu pantas dibacanya manakala pelajar yang dipanggil Mira sebentar tadi melirik manja kepada Haikal. Menggoda!
“Aik, kau tak kan tak tahu? Mari, aku bagitahu kau”, ujarnya sambil menarik bahu Haikal dan mempelawa Haikal untuk duduk disebelahnya.
Wajah Haikal bertukar pucat. Dia tidak mengerti apa yang sedang terjadi. “Mira tu kan adik kembar Mimi. Apa lah kau ni. Aku ingatkan Mimi ada bagitahu kau atau sekurang-kurangnya budak-budak kelas kau bagitahu”, jelas Hardie sambil mencuri pandang ke arah Zaliamira yang juga merupakan kekasihnya.
“Tapi sumpah aku tak pernah perasan pun. Aku tak pernah nampak pun budak apa nama dia? Mira? Kita bukan satu kelas ke masa waktu Pendidikan Islam?”, balas Haikal seperti tidak percaya. Wajah pelajar tadi benar-benar seiras dengan pujaan hatinya, Zaliamimi. Ah, bagaimana lah aku hendak melupakan Mimi kalau selepas ini aku akan menatap kembar seiras dia setiap hari dalam kelas ini?
“Hmm.. sejak akhir-akhir ni dia selalu ponteng. Kelas Ustazah Almunawarah? Setakat ni, belum pernah dia masuk lagi. Aku pun tak tahu macam mana nak nasihatkan dia. Mimi pun selalu gaduh dengan dia dari dulu lagi”, terang Hardie panjang lebar. Haikal menganggukkan kepala tanda memahami. Terubat juga lah rindunya terhadap Zaliamimi.
Sepanjang tiga waktu pengajaran dan pembelajaran berjalan, Haikal langsung tidak menumpukan sepenuh perhatian. Fikirannya dilayangkan kepada kelasnya yang dahulu, 5 Mercury. Dia rindu akan rakan-rakannya, rindu akan guru-guru yang mengajarnya di dalam kelas tersebut dan yang paling utama, merindui Zaliamimi. Entah mengapa, setelah pelbagai usaha digiatkan bagi melupakan gadis itu, dia masih tetap gagal. Pasti lah, selama 10 tahun dia mencari cinta sejatinya itu namun, siapa sangka begini penghujungnya. Lamunannya terhenti oleh suara lembut seorang pelajar perempuan.
“Hike kan? Jom, lunch dengan I”, Haikal mengerling jam dinding. Rupanya sudah jam 10.20 pagi! Pandangannya dilabuhkan kepada Zaliamira yang sedang berdiri menanti jawapan daripadanya.
“Apa hal pula? Tu pakwe kau tunggu, pergi lah dengan dia. Nak kacau orang pula”, bentaknya tiba-tiba. Dia memang pantang dengan sikap perempuan yang terhegeh-hegeh seperti Zaliamira. Banyak sudah yang dia jumpa seperti itu. Bersepah! Gadis yang seperti Zaliamimi juga lah yang berjaya meraih cintanya. Haikal berfikir-fikir sebentar, mahu turun untuk makan tengahari ataupun tidak. Kalau diikutkan, seleranya langsung termati dek terlalu mengenangkan sang kekasih. Tapi, rasa lapar pula. “Ah, lantak lah. Makan tu penting”, lalu dia segera menuju ke kantin sekolah.
“Nak apa dik?”, soal pekerja kantin kepadanya yang baru sahaja tiba ke kantin.
“Nasi goreng dua ye akak. Untuk dia satu”, Haikal memandang gadis yang bersuara di sebelahnya. Seluruh tubuhnya kaku membeku. Jantungnya berdegup laju. Jemarinya pula terasa sejuk tiba-tiba. Zaliamimi! Aku rindu kau… Zaliamimi hanya tersenyum manis namun dia berusaha untuk menyembunyikan wajahnya. Segan pula kerana belum meminta maaf kepada Haikal.
“Nah”, pekerja kantin tadi menghulurkan dua pinggan yang berisikan nasi goreng biasa. Haikal mengeluarkan helaian wang dari kocek kemeja putihnya.
“Tak apa, hari ni kita belanja awak”, ujar Zaliamimi sambil membayar hidangan tadi. Setelah itu, ditinggalkan sahaja Haikal terkebil di situ. “Ya Allah… bodohnya… kenapa tak minta maaf je tadi terus? Ish!”, getusnya sendirian sambil menepuk dahi. Kata-kata yang telah diatur selama ini hilang daripada memorinya tatkala bertentang mata dengan Haikal. Zaliamimi menyesali peluang yang baharu sahaja dia siakan.
Haikal tidak lepas pandang terhadap Zaliamimi yang sudah mendapatkan tempat duduk. Kini giliran dia pula untuk mencari kerusi yang kosong. Matanya meliar ke sekeliling kawasan. Hampir semua kerusi sudah penuh.
“Hike! sini”, panggil Hardie. Dengan segera Haikal menuju ke meja duduknya Hardie. Namun tidak pula dia menyangka bahawa Zaliamira turut duduk di situ.
“Hai… tadi orang ajak turun sekali jual mahal…”, perli Zaliamira. Haikal menjelingnya tajam. Banyak bunyi pula perempuan ni, marahnya dalam hati demi menghormati Hardie.
I dengar banyak pasal U dengan kakak I. Betul ke U couple dengan dia?”, Zaliamira mencuba untuk mengorek rahsia. Haikal tidak menghiraukan pertanyaan tersebut dan hanya memberikan tumpuan kepada makanannya. Namun Zaliamira tetap tidak mahu berputus asa. Pasti ada sesuatu yang istimewa tentang lelaki di hadapannya kini yang menyebabkan kakaknya selalu menangis, kecewa dan tak kurang juga tersenyum sendiri. Tapi dia dapat mengagak bahawa ada sesuatu yang terjadi di antara mereka berdua. Seakan-akan tercipta suasana dingin di antara Haikal dan Zaliamimi.
U dengan Mimi gaduh ke?”, tanyanya lagi. kali ini, Haikal menghentikan suapannya dan merenung Zaliamira tajam, memberi isyarat agar tiada lagi pertanyaan lanjut yang boleh dilontarkan. Zaliamira menjadi takut lalu dia membisu.
Waktu rehat berlalu begitu pantas. Haikal yang tidak bermaya duduk bersendirian di tempat duduknya. Tempat duduk di sebelahnya memang kosong tidak berpenghuni. Dia teringat peristiwa di kantin tadi. Zaliamimi membelanjanya makan? Tidak pernah berlaku! Tapi mengapa? Sebuah lakonan? Atau sebuah jerat? Haikal buntu. Mahu berapa kali lagi Zaliamimi mempermainkan perasaannya? Sesaat dia kata dia benci, marah pada aku. Sesaat yang lain pula, tersenyum manis, berbuat baik pada aku. “Arrggghhh.. kusut!”, Haikal mengamuk sambil mengusutkan rerambut pendeknya. Seketika kemudian Zaliamira mendekatinya.
U ada masalah ke? U boleh cerita kat I. siapa tahu I boleh tolong?”, pujuknya lembut. Hardie hanya memerhati dari jauh.
“Eii.. apa ‘I, U’ ni? Geli lah. Kau nak apa, tak boleh ke kalau tak kacau aku?”, ayat yang diucapkan tanpa disedari persis ayat yang selalu diucapkan oleh Zaliamimi sewaktu dia mencuba mendekati gadis itu dahulu. Rindu yang disimpan terlalu berat sudah.
Okay, aku nak berkawan dengan kau je. Tak sudi tak apa”, Zaliamira merajuk lalu segera duduk ke tempatnya semula. Haikal tidak ambil peduli walau sedikit pun jika dia telah mengguris perasaan Zaliamira. Tidak penting!*
Zaliamimi memandang jam tangannya, mengira-ngira waktu yang berbaki. Lama juga dia harus tunggu agar semua rakan-rakan kelasnya beredar keluar dari kelas mereka sesudah selesai sesi pembelajaran hari itu. setelah dia yakin tiada pelajar lagi dalam kelasnya, dia dengan pantas meluru ke meja yang pernah menjadi milik Haikal. Dilihatnya di ruang bawah meja tersebut dengan harapan kotak gula-gula yang ditinggalkannya telah diambil oleh Haikal. Beribu penghampaan, kotak kecil tersebut masih ada di situ. Perlahan-lahan dia mencapainya. Dengan serta-merta airmatanya berlinangan.
“Ya Allah, kenapa pedih sangat yang aku rasa sekarang? Macam ni kah apa yang Haikal rasakan semasa aku tolak pemberiaannya dahulu? Ini baru sekali, bagaimana pula dengan Haikal yang sudah berkali-kali aku tolak? Dan ini pun baru kerana dia tidak mengambilnya, sudah sakit begini. Inikan pula sewaktu aku menolak mentah pemberiaannya. Pasti berganda kesakitannya. Haikal… maafkan aku..”, tangisnya teresak-esak. Baru dia faham bagaimana sakitnya cinta kalau hanya bertepuk sebelah tangan. Zaliamimi melihat kembali jam tangannya. Pasti ibunya sudah menunggu lama. Dia segera turun dari kelasnya yang terletak di tingkat paling atas.
Haikal perlahan-lahan mengatur langkah menuju ke tempat parkir kereta milik ayahnya. Dia tahu, pasti ayahnya akan pulang lewat sedikit. Namun ada sesuatu yang lain yang mengganggunya. Seperti, ada sesuatu yang tidak lengkap.
“Naik kejap la. Rindu pula kelas lama”, ujarnya lalu berpatah balik. Baru sahaja dia ingin menaiki anak tangga, tubuhnya dilanggar keras oleh seorang pelajar. Mungkin terlalu laju menuruni anak tangga sehinggakan tidak sempat hendak berhenti.
Oppss.. Sorry”, pohon gadis tadi. Haikal kenal suara itu. “Mimi?”.


Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.