“Hike! kau nak ponteng ke apa ni? Jom balik kelas”, arah Farish Adzim setibanya dia ke tempat berkumpulnya Haikal, Nazrullah dan Jimmy. Pelajar yang bertiga itu hanya memerhati lagat ketua pengawas di hadapan mereka.
“Kau Farish, tak payah nak masuk campur hal aku. Oh, depan aku kau berlagak berkawan dengan aku, berlagak baik. Tapi belakang aku? Kau kacau awek aku”, marah Haikal membuatkan rakan-rakannya terdiam. Tidak pernah sepanjang mereka berteman Haikal mengamuk seperti itu. Farish Adzim menelan air liur, membasahkan anak tekaknya.
“Apa yang kau membebel ni Hike. Aku tak faham pun apa yang si Mimi tu merapu sakan. Aku dengan dia tak ada apa-apa pun”.
“Hoi! Kau jangan ingat kau pakai baju hijau orang pandang tinggi kat kau, kau boleh buat suka hati? Dah terang-terang Mimi suka kat kau, kau mainkan perasaan dia macam tu je? Lelaki dayus!”, bertubi-tubi Haikal menengking Farish Adzim yang kesabarannya kian tercabar.
“Siapa lelaki dayus sekarang, kau cakap kat aku? Aku ke atau kau yang kononnya suka kat Mimi tapi kau kenakan dia setiap hari sampai dia kena panggil dengan Ustaz Alif. Orang macam kau ni, tak layak dipanggil lelaki kau tahu tak!”.
Debuk! Satu tumbukan padu hinggap ke pipi Farish Adzim sehingga luka bibirnya. Sepantas kilat dia membalas kembali serangan yang secara tiba-tiba tersebut. Jimmy dan Nazrullah mencuba untuk meleraikan pergelutan dua orang rakan kelas mereka namun percubaan mereka menjadi suatu usaha yang sia-sia apabila Jimmy yang sedang menghalang Farish Adzim daripada berterusan membalas tumbukan Haikal ditolak kasar oleh Farish Adzim sehingga dia tersungkur dan terhantuk pada batuan besar. Nazrullah yang sedang mengumpul kekuatan bagi menyekat pergerakkan Haikal terkesima sebentar. Begitu juga dengan Haikal. Cepat-cepat Nazrullah mendapatkan Jimmy yang terbaring di atas tanah kering. Ada kesan darah pada dahinya.
“Kurang ajar!”, bentak Nazrullah yang berang rakannya diperlakukan begitu. Kini dia pula yang menyambung langkah Haikal bagi membelasah Farish Adzim yang tidak menyangka perlakuannya akan memberi kesan luka kepada Jimmy. Haikal segera membantu Jimmy yang sedang lemah. “Jimmy, kau dengar aku tak? Woi, buka mata!”, arahnya sambil menampar perlahan pipi Jimmy. Takut juga dia andai hentakan tadi membuat Jimmy tidak sedarkan diri.
“Hei, sakitlah! Aku okay. Cuma, rasa pening sikit”, sahutnya perlahan. Haikal berasa sedikit lega. Ditolehnya ke belakang bagi melihat Nazrullah dan Farish Adzim. Kedua-duanya sudahpun rebah dan masih berbalas serangan. Haikal tidak mahu lagi menghiraukan mereka. Dalam fikirannya kini hanyalah untuk mendapatkan bantuan bagi Jimmy.
“Bangun semua. Selamat sejahtera Puan Hazlina”, laung Syarena setibanya guru mereka itu ke dalam bilik darjah 5 Mercury. Beliau melihat sekeliling. Ada sesuatu yang mencurigakan. “Syarena, kenapa saya tengok macam ramai yang tidak ada? Berapa orang yang tidak hadir hari ini?”, soalnya sambil melabuhkan punggung.
“Err.. semua hadir puan”.
“Habis, kenapa rasa macam sikit je pelajar ni? Hah,mana tiga serangkai ‘kesayangan’ saya tu?”. Syarena membisu. Rakan-rakan kelas yang lain juga begitu. Tiada siapa yang berani mengeluarkan suara mahupun sebarang bunyi. Zaliamimi yang sudah mengambil tempat di kerusinya tertunduk menyembunyikan wajah. Puan hazlina melihat atmosfera yang menjentik kemarahannya.
“Saya tanya, ke mana pergi Haikal, Nazrullah dengan Jimmy? Tiada seorang pun tahu, hah Syarena?”, beliau menjadi semakin marah. Sungguh tidak puas hati dengan reaksi yang diberikan pelajarnya. Takut-takut Syarena menjawab. “sa…. saya tak pasti puan. Dia orang keluar kelas tadi”. “Apa?! Mana ada peraturan dalam sekolah ni yang mengatakan awak boleh keluar kelas sampai tiga orang sekali gus sewaktu P&P berjalan! Sekarang juga saya nak awak panggil dia orang. Cari sampai dapat. Xian Lie, awak ikut Syarena sekali. Sekarang!”, marahnya semakin menjadi-jadi. Beliau tidak kira. Baginya, perbuatan memonteng kelas adalah suatu kesalahan yang sangat tidak boleh ditolak ansur.
“Puan, saya ikut sekali boleh? Saya rasa saya tahu dia orang semua dekat mana”, pinta Zaliamimi mengejutkan seisi kelas. Puan Hazlina hanya menganggukkan kepala lau menyelak lembaran buku notanya bagi memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran. Pada saat Zaliamimi memberitahu tentang lokasi yang selalu dikunjungi Haikal dan teman-temannya, mereka bertiga bergegas ke sana.
“Hoi kau orang semua! Berhenti bergaduh”, lantang sahaja Xian Lie menjerit tatkala terlihat Farish Adzim dan Nazrullah sedang bergelut di atas tanah. Habis kotor seragam sekolah yang disarungkan padahal sesi persekolahan pada hari itu baru sahaja bermula. Xian Lie terpaksa mencampuri pergaduhan mereka kerana kedua-duanya tidak makan saman manakala Zaliamimi bersama Syarena segera mendekati Jimmy apabila terlihat dia sedang terbaring. Haikal langsung tidak menoleh kepada Zaliamimi yang datang membantu dan Zaliamimi sedar akan hal itu. Tingkah laku Haikal yang dingin itu memberi suatu tamparan kepadanya. Pasti Haikal terlalu marah sehinggakan untuk memandang aku pun tak sudi, desisnya.
“Sudah, saya kata! Haiya.. you berdua sudah besar maa.. matang la sikit. Farish, kau ini kan ketua pengawas, tunjuk lah contoh yang baik”, bebel Xian Lie. Akhirnya mereka berdua mengalah bagi menghormati rakan mereka. Nazrullah menarik muka manakala Farish Adzim pula memandang ke bawah. Malu dengan sifat kewibawaannya yang sudah tercalar.
“Lie… Jimmy luka ni!”. Panggil Syarena setelah meneliti keadaan Jimmy. Haikal pula setelah didekati Zaliamimi, dia segera berdiri dan mencipta jarak yang lebih luas. Berusaha untuk menjauhkan diri daripada Zaliamimi. Keegoan yang baru sahaja berjaya disurutkan kini menguasai kembali. Namun kali ini, parasnya lebih tinggi daripada yang sebelumnya.
“Naz, mari tolong kitaorang bawa Jimmy pergi ke bilik kesihatan. Farish, kau pergi minta kunci dekat Miss Wenny. Dia guru bertugas minggu ni”, arah Xian Lie sambil mengeluarkan sehelai sapu tangan dari kocek seluarnya dan segera menekan bahagian kepala Jimmy yang terluka bagi menghentikan pendarahan. Setelah itu, Haikal dan Nazrullah membantu Jimmy berjalan. Zaliamimi dan Syarena pula diarahkan untuk masuk ke kelas dan memberitahu puan Hazlina tentang perkara tersebut. *
Deruan angin hasil putaran kipas kedengaran sangat galak dan membebankan dek kebisuan penghuni dalam ruang tersebut. Kecil, tapi tetap selesa memuatkan timbunan fail-fail, sebuah meja besar dan tiga buah kerusi yang masing-masing menampung jisim manusia. Kipas meja yang kelihatan baru itu memusingkan kepalanya ke kiri dan ke kanan berulang kali. Bilik yang dikhaskan untuk pengetua sekolah sebenarnya lengkap dipasangkan pendingin hawa namun atas rasa empati Tuan Haji Hussien, beliau menolak untuk menggunakan mesin tersebut. Beliau ingin merasa kehangatan suasana sama seperti pelajar-pelajarnya dan guru-guru yang lain. Tuan haji Hussien merenung dua orang pelajar yang comot di hadapannya lalu memulakan bicara.
“Kamu tahu tak kesalahan kamu ini adalah kesalahan berat. Saya boleh panggil pihak polis atas kesalahan perlakuan gangster kamu tahu tak? Ponteng kelas, bergaduh di kawasan terpencil sekolah, memukul ketua pengawas. Adakah ini yang ibu bapa kamu nak kamu buat apabila mereka hantar kamu ke sekolah?”, renungannya ditajamkan kepada Haikal.
“Kamu, Nazrullah bukan? Atas kesalahan kamu yang memonteng kelas, saya akan bagi kamu amaran pertama. Namun oleh sebab kamu telah bergaduh dan memukul ketua pengawas sekolah, saya akan pos surat gantung sekolah kepada ibu bapa kamu..”, belum sahaja sempat beliau meneruskan kata-katanya, Haikal memotong laju.
“Nazrullah tak salah. Dia cuma saksi je. Dia tak ada kena mengena. Hukuman semua tu, biar saya je yang tanggung seorang”.
Nazrullah membuntangkan matanya. Tidak sangka.
“Eh, apa pula? Sama-sama terlibat, sama-sama lah kena hukum”, pintas Nazrullah.
“Tak payah aku kata! Err, Tuan, saya mohon lepaskan Nazrullah. Dia pun mangsa keadaan je. Yang gantung sekolah tu biar saya je yang terima. Yang penting, Nazrullah tak terlibat sekali”. Tuan Haji Hussien menganggukkan kepala tanda setuju. Nazrullah keresahan. Masakan Haikal harus menerima denda manakala dia pula dilepaskan?
“Baik, kamu boleh pergi Nazrullah. Tapi ingat, amaran pertama tetap amaran pertama”, sempat lagi beliau memberi peringatan. Nazrullah mengangguk lemah lalu perlahan-lahan dia mengundur diri dan mengucapkan terima kasih. Kini, tinggal lah Haikal bersama Tuan Haji Hussien sahaja di dalam bilik pengetua tersebut.
“Mulai minggu depan, tak payah datang sekolah. Gantung seminggu”, beritahu beliau sambil menuliskan sesuatu pada sehelai kertas bersaiz A4. Haikal hanya membisu. Kepalanya ditundukkan ke bawah bagi mengelak pertentangan mata dengan insan yang duduk di hadapannya.
“Dan, lepas turun balik ke sekolah, tak payah naik motor pergi sekolah dah”, ujarnya lagi. Haikal mengangkat muka, terkejut. “Lah, tapi kenapa pula?”, protesnya tidak puas hati.
“Sebagai denda perbuatan memalukan kamu ni. Dah, jangan banyak cakap. Mulai minggu depan, naik kereta dengan ayah. Tiada bantahan!”, ujarnya lagi.
“Tapi ayah… tak adil lah macam ni. Haikal bukan budak-budak lagi ayah nak sekat macam ni”, ngomelnya.
“Selagi kamu tak berkelakuan macam kamu kata, dah jadi orang dewasa, selagi tu ayah tak benarkan kamu naik motor lagi. Bagi ayah lesen kamu”, beliau menghulurkan tangan kanannya. Haikal membatukan diri memandang ke luar tingkap.
“Baik, kalau kamu tak mahu bagi, ayah tambah lagi denda. No pocket money !”.
Kali ini terpaksa jua Haikal mengalah lalu dia mengeluarkan dompetnya daripada kocek seluar hijau lumutnya dan perlahan-lahan menyerahkan lesen pemandu miliknya kepada si ayah. Tuan Haji Hussien berpuas hati.
“Sudah, sekarang, kamu pergi balik. Gantung sekolah bermula dari hari ni”, arahnya.
“Lah, habis Haikal nak balik macam mana ayah dah tarik lesen Haikal?”.
“Balik naik bas lah. Belajar hidup susah sikit”.
“Motor Haikal?”.
“Nanti ayah suruh orang datang sekolah, bawa balik. Risau sangat…”.
Haikal menjuihkan bibir dan segera melangkah keluar.*
Matahari yang mulanya menyembunyikan diri perlahan-lahan melimpahkan sinarnya. Kini ia megah menunjukkan kehangatannya yang kian dirasai penduduk bumi di sesetengah kawasan. Di antara hambaNya yang kian terasa bahangnya ialah Zaliamimi. Lama dia termenung jauh di dalam kelas 5 Mercury. Kepalanya di lentokkan kepada tingkap bilik darjah di tempat duduknya. Dalam fikirannya hanya satu, ingin memohon maaf kepada insan yang telah dia sakiti. Namun dari pagi tadi dia menanti, tidak juga kelibat Haikal kelihatan. Kini, sudah mencecah tengahari. Waktu kegemarannya, waktu rehat.
“Kau nak pergi makan tak?”, dingin kedengaran pertanyaan Tania. Zaliamimi hanya menggelengkan kepalanya. Tanpa sebarang kata, Tania pergi meninggalkan Zaliamimi. Gadis itu hanya mengeluh berat. Aku tahu kau masih marahkan aku Nia, bisiknya dalam hati. Fikirannya kembali dilayangkan kepada Haikal. Perasaan bersalah menyelubungi segenap jiwa. “Ah, kenapa aku down sangat? Memang salah dia apa. Siapa suruh dia perasan sangat. Tak nampak ke yang aku suka kat orang lain? Farish Adzim… kalau diingat balik, malunya aku tadi. Entah apa yang dia fikir pasal aku nanti. Tapi, kalau dia memang suka kat aku, mesti dia datang mengaku kat aku since dia dah tahu yang aku memang suka kat dia juga”, Zaliamimi tersenyum sendirian memikirkan bahawa impiannya selama ini akan menjadi kenyataan. “Farish Adzim akan jadi milik aku!”.
Sedang dia tersenyum sendirian, tanpa disangka, Farish Adzim datang menghampirinya. Eh, kebetulan pula! Memang jodoh ni, gumamnya.
“Kau tak pergi rehat ke Farish?” takut-takut dia bertanya. Segan pula apabila bercakap berduaan begini kerana hanya mereka beruda sahaja di dalam kelas saat itu.
“Tak. Aku baru lepas jumpa Encik Alif tadi.Dia minta penjelasan pasal kes tadi”. Masing-masing membisu. Entah mengapa tiba-tiba terasa janggal pula. Mungkin juga disebabkan keterlanjuran luahan hati Zaliamimi mengenai sajaknya pagi tadi.
“Err…” kedua-dua mereka serentak ingin berbicara. Lalu masing-masing membantutkan percakapan.
“Emm.. Ladies first”, tuturnya Farish Adzim.
“Aku ada benda nak cakap tapi tak apa lah. Kau cakap dulu”, Zaliamimi sengaja ingin memberi ruang kepada Farish Adzim. Dia ingin mendengar luahan tersebut dari bibir Farish Adzim sendiri.
“Okay.. Aku sebenarnya ada benda nak cakap kat kau. Tapi aku malu…”, dia menundukkan wajahnya.
“Malu kenapa pula? Bagitahu lah. Aku sudi mendengarnya”, lembut Zaliamimi memujuk rakan kelasnya itu. Penantiannya hampir ke penghujung.
“Err.. Tapi aku tak tahu kau boleh terima ke tak benda yang aku nak bagitahu ni. Lagipun, aku tak pernah rasa macam ni kat perempuan. Dah lama aku pendam tapi hari ni aku rasa aku kena juga mengaku kat kau”.
Apa dia Farish pujaanku? Bagitahu aku, bagitahu yang kau sukakan aku; menjerit-jerit hati Zaliamimi.
“Jujurnya, aku… aku suka…”
Yes, say it my love, say it out loud! Pipinya kedua-dua belah sudahpun berubah menjadi merah pudar. Farish Adzim menarik nafas sedalamnya sambil meniup sedikit kekuatan untuk meluahkan isi hatinya kepada Zaliamimi.
“Sebenarnya, aku suka Tania”
Zaliamimi terkedu. Farish Adzim menjadi serba salah.
“Aku tahu kau susah nak terima. Aku minta maaf sangat-sangat kalau kau sebenarnya ada perasaan kat aku. Tapi jujur aku bagitahu kau, aku dah lama suka kat Tania. Selama ni pun, aku rapat dengan kau berdua sebab aku nak selalu dengan Tania”.
Zaliamimi terasa bagai hatinya dicincang-cincang. Pedih, sakit sehingga tidak tertahan sudah. Namun dia harus tabah. Cukup lah hari ini dia menerima malu. Tidak lagi kali ini.
“Eh, ye ke? Wah… aku tak tahu pula. Tahniah lah… aku gembira untuk kau berdua”, sambutnya memberi senyuman palsu dan berlakon seperti kegirangan.
“Kau tak marah ke Mimi? Kecewa ke…”, Farish Adzim menduga gadis di hadapannya kini.
“Tak lah. Kenapa pula aku nak marah? Alah, pasal sajak tu kau jangan risau. Aku sengaja je petik nama kau nak bagi si Haikal tu sedar sikit. Jangan risau lah. Aku okay. ‘Penjajah Hati’ tu memang bukan pasal siapa-siapa pun”, Zaliamimi mencuba untuk menipu dalam kejujuran. Kerana yang sebenarnya, dia juga tidak tahu sajak itu ditujukan untuk siapa kerana saat dia menulis sajak itu, satu hal yang dia mengerti, dia sedang dilamun cinta. Namun dia kecewa, Farish Adzim tidak dapat membaca hatinya malah, menyanyangi sahabatnya dalam diam.
“Fuh, lega hati aku. Tapi kau janji dengan aku jangan bagitahu Tania dulu ye? Aku nak bagitahu dia sendiri. Dengan cara aku sendiri”, katanya sambil tersengih. Zaliamimi hanya memberikan segaris senyuman tawar.
“Lagi satu Mimi, aku nak nasihatkan kau, hargai lah orang yang sayangkan kau. Suatu hari nanti bila dia dah pergi dari hidup kau, kau akan menyesal”.
“Apa maksud kau? Jangan mengarut lah”, Zaliamimi berlakon seperti tidak memahami apa-apa.
“Kau tahu apa maksud aku”, ringkas Farish Adzim menjawab dan melangkah keluar dari kelas, meninggalkan Zaliamimi tercengang sendirian.*
Haikal duduk berseorangan di salah sebuah kerusi di halaman hadapan rumahnya. Malam yang dirasakan sungguh dingin itu menambahkan lagi perasaan kesunyian dalam hati. Ayahnya dibiarkan sahaja melayan diri di ruang tamu, sedang menonton televisyen. Dia teringat akan perbualan pendeknya bersama ayahnya setelah selesai solat Isyak berjemaah tadi.
“Ayah, Haikal minta maaf pasal hari ni. Haikal janji tak buat lagi”.
“Hmm.. Ye lah tu. Ini bukan kali pertama kamu janji macam ni. Ayah tak tahu nak buat apa lagi. Kali ni ayah rasa sekolah tu yang terbaik dah. Tapi kamu masih juga macam tu. Tak habis-habis dengan onar kamu”.
“Kali ni Haikal betul-betul janji ayah. Haikal akan belajar betul-betul dan buat ayah bangga. Haikal boleh bagi jaminan”.
“Apa jaminan kamu?”.
“Haikal nak tukar kelas”.
“Kamu nak tukar ke mana?”.
“Mana-mana je asalkan bukan kelas 5 Mercury”.
Haikal tersedar daripada lamunannya. Ya, dia nekad melakukan hal itu. sudah tidak ada lagi kekuatan terhadap cinta yang dahulunya mekar di hati. Sudah tidak ada kekuatan lagi bagi menatap wajah yang telah mengkhianati cinta suci. Dan, sudah tidak ada kekuatan lagi bagi dia terus berdiri untuk meraih cinta si Zaliamimi. Haikal mengalah. Tidak menyangka sehingga begitu sekali Zaliamimi menolak cintanya padahal pada jangkaannya, Zaliamimi sudahpun menerima kasih ikhlas darinya.
“Mimi… Apa salah aku pada kau, Cinta? Huh! Kenapa lah perempuan susah sangat nak difahami. Kalau lah mama ada kat sini”, keluhnya lalu merenung bulan separa yang kelihatan di langit ditemani taburan bintang-bintang yang berkilau. Merenung bulan yang sama, Zaliamimi berdiri di beranda biliknya. Tidak mahu rasanya hati untuk mengenang peristiwa yang mengguris perasaannya. Kejujuran Farish Adzim siang tadi sungguh tidak dapat diterima. Baru kini dia sedari, hanya Haikal sahaja yang setia pada cintanya. Sayangnya, dia telah melukakan satu-satunya hati yang sedia untuk membahagiakannya.
“Ya, esok aku akan minta maaf pada Haikal”, tegasnya.
Keesokkan harinya, seperti yang telah dirancang, Zaliamimi menunggu ketibaan Haikal dengan perasaan yang teruja. Dia telah meletakkan sekotak gula-gula yang dibalut kemas dan cantik di bawah meja Haikal persis yang Haikal selalu lakukan dahulu. Namun beberapa kali dia menoleh ke belakang pun, Haikal masih tiada di tempat duduknya. Lalu dia bertanya kepada Nazrullah.
“Naz, kau ada nampak Haikal?”.
“Kenapa pula kau cari dia? Tu, ketua pengawas kesayangan kau tu kan ada”. Seperti gelora yang maha dasyat datang menghanyutkan Zaliamimi setelah Nazrullah berkata yang sedemikian. Perasaan bersalahnya semakin memuncak. Namun dia tetap menginginkan jawapan daripada Nazrullah.
“Aku tahu aku salah. Aku tak patut cakap macam tu. Naz, kau je yang boleh tolong aku. Aku nak minta maaf dengan dia. Tolong lah…”, rayunya separuh menangis sudah. Nazrullah yang cepat berlembut hati itu mendegus perlahan.
“Hike kena gantung sekolah seminggu. Minggu depan baru dia boleh datang sekolah”.
Zaliamimi terdiam. Sehingga begitu sekali hukuman yang Haikal terima? Digantung sekolah selama seminggu dengan serta merta. Zaliamimi mengambil kembali kotak yang berisi gula-gula tadi. “Aku tak boleh putus asa. Tak apa, minggu depan aku akan letak balik”.
Ternyata Zaliamimi silap. Seminggu yang dia jangkakan akan berlalu sekejap sahaja rupanya terasa begitu lama tanpa Haikal. Mungkin dia sudah kemarukkan cinta Haikal. Biarlah, dia tidak peduli. Yang dia tahu, dia ingin segera memohon maaf di atas kekhilafannya yang lalu dan mencipta perhubungan yang lebih baik; atau sekurang-kurangnya mesra seperti dahulu.
Sepanjang lima hari di sekolah tanpa kehadiran pelajar nakal itu, Zaliamimi dilanda kesunyian. Seakan kedengaran gelak tawa Haikal sepanjang waktu pengajaran dan pembelajaran berjalan. Kadang kala terasa janggal juga tatkala terlihat kelibat Jimmy dan Nasrullah berjalan beriringan kerana mereka yang dahulunya terkenal dengan panggilan ‘tiga serangkai’ kini menjadi ‘dua serangkai’. Tapi Zaliamimi yakin, semuanya hanya sementara. Mulai minggu depan, segala kekusutan yang wujud akan bertukar menjadi sediakala semula.
Kini barulah Zaliamimi mengerti penantian yang menyesakkan itu apa. Mungkin ini perasaan yang pernah Haikal lalui sewaktu sedang mencuba untuk meleburkan hatinya. Ia memang suatu penyeksaan. Dia benar-benar yakin pada kenyataan yang rupanya selama ini dia begitu mencintai Haikal namun kerana ego, dia telah mengorbankan perasaannya sendiri. Baru lah dia mengerti, mengapa dia tiba-tiba mendapat ilham untuk menulis sajak yang berjaya menaikkan semula namanya yang sudah lama terkubur. Hati yang semakin pedih apabila merindui, senyum manis tatkala teringatkan kenangan lucu mengenai Haikal… semuanya kerana cinta !
Hari isnin tiba lagi. Hari ini dimulakan dengan penuh debaran bagi Zaliamimi kerana pada hari ini, dia akan bersua dengan Haikal. Dia nekad akan meluahkan segala isi kerinduannya dan dia akan bersuara selantang yang mungkin, “aku cintakan kau Haikal!”. Cuaca pada pagi tersebut agak muram. Hujan yang mulanya renyai-renyai tiba-tiba bagai diseru untuk menjadi lebih lebat. Kedengaran suara Farish Adzim memberikan pengumuman bagi pagi tersebut.
“Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Perhatian kepada semua pelajar, perhimpunan pada pagi ini dibatalkan. Sila masuk ke kelas masing-masing. Ulang suara. Perhimpuan pada pagi ini dibatalkan. Sila masuk ke kelas masing-masing dan bersedia bagi bacaan doa. Terima kasih”, sambil tersenyum, dia menyerahkan mikrofon kepada pengawas yang bertugas untuk membacakan doa pada pagi tersebut.
Mendengarkan pengumuman tadi, Zaliamimi segera bergegas mendaki anak tangga menuju ke bilik darjahnya. Dari jauh, dia terlihat Haikal yang baru sahaja selesai menaiki tangga. “Alamak, Haikal dah nak masuk kelas. Aku kena cepat”, ujarnya kerana dia ingin meletakkan kotak gula-gula tersebut di bawah meja Haikal. Setibanya di dalam kelas, dilihatnya tempat duduk Haikal masih kosong.
“Aih, bukan dia dah naik ke tadi? Tak apa lah, dia pergi tandas kot. Tak pun melepak kat koridor”, Zaliamimi tersenyum girang kerana ketiadaan Haikal melicinkan lagi usahanya. Setelah selesai, dia kembali ke tempat duduknya.
“Morning Nia!”, ucapnya apabila rakan akrabnya itu duduk di sebelahnya.
“Yang kau macam kena sampuk ni kenapa? Happy semacam je aku tengok. Mengalahkan aku pula yang baru couple ni”, sahut Tania sambil menempatkan beg sekolahnya di atas kerusi. Ya, pada minggu yang sudah, Farish Adzim telah pun melafazkan cintanya kepada Tania dan rakannya itu menerima cinta Farish Adzim. Namun, kerana sikap Farish Adzim yang sederhana itu, tidak ramai yang mengetahui berita hangat tersebut. Begitu juga Tania, berubah seratus peratus daripada gadis yang becok, kini dia menjadi seorang gadis yang pendiam dan sopan. Benarlah kata orang, kerana cinta kita berubah. Dan hari ini, kerana cinta juga lah, Zaliamimi ingin berubah.
Tanpa disedari, tahu-tahu sahaja, guru kelas mereka Puan Nurfatien sudahpun melangkah masuk kelas. Zaliamimi menoleh ke belakang untuk mencuri pandang Haikal. Alangkah terkejutnya dia apabila Haikal masih tiada. “Dia ponteng kelas ke?”, bisiknya perlahan.
Setelah Syarena menjalankan tugasnya sebagai ketua kelas untuk memberikan salam, Puan Nurfatien memulakan bicara. “Baik, cikgu ada pengumuman nak bagitahu kamu. Haikal telah berpindah kelas ke 5 Earth, sebab kelas sains tulen kelas kamu ni dengan kelas sebelah je kan”. Riuh seluruh isi kelas. Mereka bercakap sesama sendiri. Zaliamimi sekali lagi menerima tamparan hebat. Pindah kelas?!
“Tapi kenapa cikgu?”, tanya Jimmy yang berbaur kesedihan.
“Cikgu pun tak pasti. Tapi yang cikgu dengar, Haikal sendiri yang nak pindah”, sekali lagi, pelajar-pelajar yang lain riuh berborak.
“Hah, tu yang dekat belakang tu, borak pasal apa? Kamu pun nak ikut dia pergi kelas sebelah?”, sindir beliau ditujukan kepada Jimmy dan Nazrullah yang sedang rancak berbual.
“Hehe. Tak lah cikgu. Tak, Jimmy ni bagitahu, pagi tadi dia nampak Haikal naik kereta pengetua. Kenapa ye cikgu?”, Nazrullah memberanikan diri untuk bertanya.
“Kamu tak tahu ke? Lah… cikgu ingat kamu tahu. Haikal tak cerita ke?”.
“Cerita apa cikgu? Tak ada pun?”.
“Haikal tu kan anak Tuan Pengetua kita. Hmm, cikgu-cikgu lain pun baru je tahu. Tapi cikgu dah tahu lama la. Hehe”, sengih guru kelas mereka. Ke semua mereka terkesima. Tidak menyangka pelajar nakal itu rupanya anak kepada pengetua baru mereka.
“Lagi satu, Haikal ada tinggalkan pesan untuk kamu Jimmy”.
“Hah? Apa cikgu?”, soal Jimmy yang sedang leka berbual.
“Haikal serahkan jawatan dia pada kamu. Dia kata kamu lagi pandai jadi bendahari daripada dia”. Jimmy terdiam sejenak. Terharu apabila diperkatakan sebegitu. Terima kasih, kawan.
Tania menoleh kepada Zaliamimi yang membisu dari tadi. Kasihan pun ada, padan muka pun ada. Zaliamimi dilihatnya muram dan matanya juga sudah bertakungkan air jernih. Sesiapa yang melihatnya pasti akan mengerti akan sebuah harapan yang sedang musnah. Sebuah harapan dan sebuah cinta.*