Dengan Berbesar Hati..


Gadis Sejuta -EP 13-

Tujuh hari dalam tempoh seminggu telah lengkap dilalui oleh para penduduk bumi termasuk lah pelajar-pelajar sekolah tempat Zaliamimi menimba ilmu. Sepanjang tempoh itu juga lah dia harus menahan malu apabila seringkali diusik oleh rakan-rakan kelas dek kekecohan Nazrullah dan Jimmy yang menyebarkan berita tentang kisah percintaan mereka.

“Oh… Kata marah lah, musuh lah, apa lah. Last-last terus couple. Tak bagitahu aku pula tu. Berita sensasi ni. ‘Budak baru yang nakal secara rasminya telah merebut hati seorang pelajar berjiwa sastera’. Kalau tulis di surat khabar, mesti laris punya lah”, bebel Tania pada hari dia mendapat berita bahawa Haikal sedang hangat bercinta dengan Zaliamimi.

“Ish, mana ada lah. Dia tu je yang beriya-iya. Aku tak kata apa-apa pun, dia yang cakap kita orang couple. Nia, kau kawan aku kan. Kau kena percaya aku. Haikal kenakan aku!”, Zaliamimi sedang mempertahankan dirinya, mencuba ingin lari daripada kontroversi sebegitu.

“Ye lah tu… Kata Haikal, tapi yang muka kau merah blushing-blushing tu kenapa? Kau suka kat dia ye…?”, Tania semakin galak mengusiknya. Zaliamimi menampar bahu Tania tanda protes.

“Mana ada lah!”. Zaliamimi terus mendiamkan diri selepas itu. Tidak mahu menjawab sebarang serkap jarang daripada Tania lagi. Seminggu sudah berlalu. Namun tiada tanda-tanda daripada Haikal untuk mengenakan dia lagi. Ada juga dia menunggu Haikal ingin memberikan sesuatu kah, ingin berkata sesuatu kah atau apa-apa saja. Yang ada hanya senyuman manis tatkala mereka bersua muka. Ada juga kadangkala Haikal mengenyitkan mata apabila mereka secara tidak sengaja bertentangan mata. Zaliamimi bercelaru. Dia tertanya-tanya mengapa jika dia berada dekat dengan Haikal mahupun hanya berpandangan pasti hatinya jantungnya berdegup kencang. Panahan anak mata lelaki yang terlalu dibenci itu tidak dapat ditenungnya lama.

“Ehem, ehem…”, perbualan Zaliamimi dan Tania terhenti tatkala terdengar suara Haikal yang sedang berdiri di hadapan kelas. Haikal menatapnya sesaat. Pandangan lelaki itu memanah jantung Zaliamimi lalu dia tertunduk menahan malu.

“Aku nak buat pengumuman penting. Dengar semua. Aku dan Zaliamimi secara rasminya dah couple”, kedengaran riuh seisi kelas. Zaliamimi pantas mengangkat kepalanya. “Apa?!”.

“Jadi, kau orang semua jangan ada yang berani kacau kekasih Ah Long Hike. Tahu?”, katanya lagi memberi amaran. Kemudian langkahnya diatur menuju ke meja Zaliamimi yang sedang terpaku. Rakan-rakan kelas yang lain sudahpun bersorak girang mengusik mereka.

“Ish, kau orang… jangan la bising macam tu. Kasihan la pada kekasih aku ni. Tengok, muka dia dah merah”, meledak tawa yang lain.

“Cinta, awak jangan risau ya, selagi kite ada di sini kita akan pastikan tak ada orang yang berani kacau awak. Walaupun si Tania ni”, Tania mencebik. Melampau ! namun Zaliamimi hanya membisu dan dibiarkan sahaja Haikal menapak jalan kembali ke tempat duduknya semula. Berpasang-pasang mata yang sedang memerhatikannya tidak lagi dihiraukan. Peduli lah, dia hanya ingin mencari jawapan kepada persoalan dalam ruang benaknya. Mengapa aku berasa segan dan bukannya marah?

            Pada waktu rehat, Zaliamimi yang sedang duduk bersama Tania dan Farish Adzim asyik ditenung Haikal yang sedang beratur membeli makanan sehinggakan hampir ke semua pelajar di sekelilingnya menyedari termasuklah Zaliamimi sendiri.

“Nia, aku tak selesa lah dia pandang aku macam tu”, Zaliamimi menyuarakan kebimbangannya.

“Hike? Mana?”, pantas sahaja Tania memusingkan kepalanya, tercari-cari lokasi tepat Haikal.

“Hish! Kau jangan pandang. Nanti dia perasan! Apa lah kau ni”, marahnya. Tania kembali menyuap nasi. Farish Adzim pula dari tadi leka menyemak buku laporan pengawasnya.

“Hai cinta…” Zaliamimi mengangkat wajahnya lalu menarik semula pandangan matanya. Adui… kenapa pula dia ni? Haikal hanya tersengih tatkala berdiri di sebelahnya. Zaliamimi buntu, bila pula si Haikal ni ada kat sini? Gumamnya sambil memberi isyarat reaksi kepada Tania. Tania juga terkejut sehinggakan sesuap nasi yang berada di dalam mulutnya tidak terkunyah.

“Boleh kita duduk sebelah awak?”, Haikal meminta izin. Di tangan kanannya ada sepinggan nasi goreng dan pada tangan kirinya pula segelas air oren digenggam erat. Zaliamimi kaku sebentar. Tania menepuk dahinya manakala Farish Adzim segera memberi perhatian. Lama Haikal berdiri menanti jawapan daripada Zaliamimi.

“Tak apa lah kalau awak tak sudi… Kita duduk je lah kat hujung tu”, nadanya menunjukkan merajuk lalu dia pun berlalu dengan perlahan. Zaliamimi pula menjadi tidak sampai hati kerana tempat duduk yang lain semuanya sudah penuh kecuali ada sebuah kerusi yang tidak bermeja.

“Err… Haikal !”, panggilnya menghentikan langkah pelajar itu. perlahan-lahan Haikal menoleh.

“Yelah, duduk di sebelah aku”, Zaliamimi mengalah. Apa lah nasib, keluhnya. Dengan senyuman melebar ke telinga, Haikal pantas mengambil tempat di sebelah Zaliamimi. Perasaan bahagianya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata sudah. Zaliamimi, aku akan tawan hati kau, bisiknya dalam hati.*

            “Wahai diari…”, tulis Zaliamimi pada buku kecilnya. Semua yang berlaku pada hari ini banyak memberikannya persoalan yang dia sendiri tidak pasti akan jawapannya. Dia merenung ruang biliknya mencari ayat yang sesuai untuk dicoretkan. Aman rasanya apabila tiba di kediaman setelah pulang dari sekolah tanpa diganggu adiknya. Nanti semakin bertambah pula pengetahuan adiknya mengenai dia dan Haikal. Zaliamimi kembali menulis.

Sudah seminggu setelah aku dan Haikal kononnya ‘declared’ couple. Entah lah diari, aku tak anggap semua tu betul, dia je yang melebih-lebih. Syok sendiri. Aku biasa je. Lagipun aku tak suka kat dia, hati aku hanya milik Farish Adzim. Dia tersenyum seketika tatkala bayangan wajah pujaannya itu menerawang dalam fikirannya. Kemudian dia menyambung kembali tarian pen bermata bolanya.

Kenapa lah bukan Farish yang minta aku terima dia padahal aku suka dia dah lama… sudah setahun aku pendam rasa suka aku kat dia. Tapi sekarang ni, aku dapat rasa yang dia semakin rapat dengan aku sejak aku bagi idea spot check hari tu. Kalau masa makan pun, mesti dia ada temankan aku dan Nia. Dalam kelas pula, kalau ada apa-apa yang melibatkan kumpulan, mesti Farish akan pilih untuk satu kumpulan dengan aku.kalau aku ada apa-apa nak minta tolong, dia lah orang pertama yang tolong aku… mungkin kah dia suka pada aku?” coretannya dihentikan lagi. Fikirannya tiba-tiba diterjah bayangan wajah Haikal.

Tapi dalam masa yang sama… kenapa aku rasa lain kat Haikal? Akhir-akhir ni dia baik dengan aku. Dia dah tak kenakan aku.kalau time balik, dia mesti tunggu aku kat depan pintu kelas sebab dia nak tolong angkatkan beg aku yang sarat dengan buku. Kadang-kadang kesian juga aku tengok dia. Mana nak angkat beg dia lagi, beg aku lagi. buku-buku nota hardcover yang aku pegang pun dia nak angkat juga. Dia kata, dia tak nak aku angkat apa-apa. Jadi, aku jalan lenggang lah. Tapi bagi aku Haikal tu kawan je. Tak lebih. Sebab Farish dah suka kat aku. Aku yakin, tak lama lagi, mesti dia akan mengaku kat aku. Tapi aku kena cari alasan untuk putus dengan Haikal. Alah, aku tak sampai hati pula. Tak kan aku dah sayang kat Haikal kot? Ah…!!! Pening”. Diarinya dimatikan begitu sahaja. Dia menutup buku kecilnya lalu berbaring melayangkan fikiran. Jauh dalam hatinya, dia sebenarnya sudah sayang dengan Haikal namun kerana ego, dia sering menafikan. Memang kebelakangan ini hanya Haikal sahaja yang difikirkannya. Terlintas juga untuk membalas kebaikkan Haikal kepadanya dengan mengucapkan terima kasih, tidak bercakap secara kasar dan marah-marah atau sekurang-kurangnya memberikan senyuman ikhlas. Namun setiap kali dia berhadapan dengan Haikal, dia menemui kegagalan. Ego yang tinggi menguasainya.

            “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu dan selamat pagi para pelajar”, guru ketua Panitia Bahasa Melayu memulakan ucapannya pada pagi perhimpunan hari Isnin. Pelajar-pelajar yang lain menjawab salam yang diberikan. “Seperti yang kita semua maklum, dua minggu yang sudah adalah minggu Bahasa Melayu dan sepatutnya pada minggu yang lepas kami seharusnya mengumumkan pemenang bagi pengarang puisi terbaik. Namun, oleh kerana respon yang kurang memberangsangkan kami membuat keputusan untuk memanjangkan tempoh penghantaran dan tarikh tutup yang baru adalah pada hari Jumaat yang lepas. Sekarang, kami sudah mempunyai pemenangnya”,.

“Lah, ya kah? Aku tak tahu pula”, bisik Zaliamimi kepada Tania yang berada di belakangnya.

“Tu lah kau, minggu lepas masa dia orang bagi pengumuman kau sibuk mengelamun”, balas Tania pula.

“Alah, apa bezanya. Bukannya aku nak hantar apa-apa pun. Ni mesti Junaidah punya lah yang menang. Memang dah tak da orang lain dah”, bisiknya lagi lalu menumpukan perhatian kepada nama pemenang yang bakal diumumkan.

“Pemenang bagi tempat ketiga ialah, Junaidah dari kelas 5 Mercury”, kedua-dua mereka tersentak.

“Hah?! Junaidah dapat tempat ketiga?”.

“Manakala pemenang bagi tempat kedua pula ialah… dari kelas yang sama, Muhammad Haikal”.

“Haikal?!”, serentak mereka menyahut nama tersebut. Haikal dengan bangganya naik ke atas pentas dan menerima hadiahnya. Tania menjadi celaru dan Zaliamimi pula menjadi keliru.

“Kalau Junaidah yang hebat tu dapat nombor tiga, Haikal dapat lawan dia jadi nombor dua, habis siapa yang menang?”, zaliamimi bertanya kepada Tania. Tania masih lagi membisu seakan tidak percaya bahawa Haikal turut mengambil bahagian.

“Dan pemenang bagi tempat yang pertama adalah… Zaliamimi dari 5 Mercury!”, ramai yang menepuk kuat tangan masing-masing. Zaliamimi terkedu. Macam nama aku! “Eh, pergi lah, kau dah menang tu”, tolak Tania dari belakang. “Tapi, tapi…” katanya melambatkan langkahnya. Mahu tak mahu, naik juga dia ke atas pentas bagi menerima hadiah. “Tahniah, sajak ‘Penjajah Hati’ awak memang bagus”, ucap pengetua sekolah, Tuan Haji Hussien dan disetujui oleh guru ketua Panitia Bahasa Melayu. Zaliamimi hanya mampu memberikan segaris senyuman plastik. Itu memang karya aku tapi, aku tak hantar untuk pertandingan ini, desisnya sambil berfikir-fikir.

“Aku lah yang hantar. Aku terbaca kat belakang buku nota Biologi kau. Aku nampak masa kau karang kat dalam makmal Biologi. Jadi, aku fotostat dan aku hantar guna nama kau”, terang Tania setibanya mereka di dalam kelas. “Apa?! Sampai hati kau tak bagitahu aku. Malu lah aku”, marahnya sambil mencuba untuk mengingat kembali bait-bait kata dalam hasil coretannya yang secara jelas menggambarkan perasaan hatinya yang sedang dilamun cinta. “Tapi kau dah menang kan? Sebab tu aku tak nak minta izin kau dulu sebab aku tahu kau mesti tak nak punya. Jadi aku senyap-senyap lah… jangan marah aku, sajak kau tu memang bagus. Tersentuh aku baca. Sampai kalah Junaidah kau buat. kau tahu tak, karya kau tu akan dia orang masukkan dalam majalah sekolah tahu?”, pujuk Tania bersungguh-sungguh.

Zaliamimi meredakan marahnya. Sebenarnya dia juga tidak menyangka bahawa sajaknya itu dapat menewaskan Ratu Sastera, Junaidah. Namun dalam masa yang sama, dia juga mempunyai saingan baru, Haikal. Bila pula dia hantar puisi dan, bila pula dia minat sastera ni?

“Ye lah, terima kasih kawan. Tapi, aku pelik macam mana Haikal dapat kalahkan Junaidah”, Zaliamimi berkata kepada Tania yang sedang leka meneliti sijil penghargaan Zaliamimi.

“Aku tak rasa pelik pun. Aku tahu dia pandai bersajak. Kau ingat lagi masa kelas Puan Hazlina? Jimmy dengan Naz bagitahu aku, masa dia bersajak tu sebenarnya dia spontan. Sajak dia belum siap lagi masa Puan Hazlina panggil dia”, terang Tania membelek bungkusan hadiah Zaliamimi pula. Zaliamimi membulatkan matanya. “Apa?! Hebatnya. Aku tak sangka…”

“Apa je yang kau sangka pasal Haikal tu? Dalam otak kau tu, Farish, Farish, Farish. Kau tahu tak, Hike tu dah lama suka kat kau. Dia buat jahat kau marah, sekarang ni, dia buat baik pun kau marah. Mi, kalau dah suka, jangan buat dia macam tu. Kau tak kasihankan dia kah?”, bebel Tania membangkitkan amarah Zaliamimi.

“Eh, mana ada aku suka kat dia!”. Tania terkejut ditengking sebegitu lalu bungkusan hadiah yang dipegangnya dihentakkan ke atas meja Zaliamimi lalu dia menyepi di tempat duduknya. Zaliamimi semakin makan hati dengan perlakuan Tania juga menyepi menahan marah. Tidak menyangka bahawa teman baiknya melakukan hal sebegitu.

Hadirnya dikau sederas angin baldu…”, Haikal tiba-tiba bersuara dengan penuh emosi bak mendeklamasikan sajak seraya menuju ke tempat duduk Zaliamimi. Zaliamimi yang sedang memeluk tubuh sekadar menjeling Haikal. Dia kenal benar ayat yang diucapkan oleh Haikal itu. Ini pasti kerja si Tania, memberikan Haikal membaca sajaknya itu. Tak hormat kawan langsung! Gumamnya semakin membuakkan api kemarahan.

“Kau boleh pergi tak Haikal? Tak nampak aku tengah tak da mood ni?”, usirnya tidak memandang langsung si Haikal yang sedang berdiri dihadapannya. Namun pelajar itu tetap tidak mahu berganjak.

“Cinta, sajak Penjajah Hati awak ni dah memikat hati kita. Terima kasih cinta. Kita makin sayang kat awak sangat-sangat”, ujarnya lembut.

“Kau ni kenapa?!”, tempik Zaliamimi mengejutkan seisi kelas. Terkebil-kebil Haikal dibuatnya. Tania juga turut memberikan perhatian.

“Jangan lah marah. Kita nak bagi kat awak hadiah yang kita dapat ni. Mungkin tak sehebat hadiah tempat nombor satu awak, tapi kita ikhlas sebab sajak yang kita buat tu untuk awak. Jadi hadiah ni awak yang layak dapat sebab awak jadi inspirasi kita”, katanya menghulurkan bungkusan hadiah yang baru sahaja dimenanginya. Rakan-rakan kelas yang memerhati berasa terharu dengan perbuatan Haikal malah ada juga yang memujinya. “Kau tengok bos kita jadi mat Romeo”,  kata Nazrullah kepada Jimmy lalu mereka tertawa kecil. Lucu melihat Haikal yang dahulunya gangster menjadi ‘jiwang’ seperti itu. Malang sekali, tawaran Haikal hanya dipandang sekilas oleh Zaliamimi yang sedang panas hati. Namun Haikal masih ingin mencuba untuk memujuk buah hatinya itu.

“Hmm… Cinta, kita letak atas meja awak ye? Sekali lagi terima kasih sebab awak tulis Penjajah Hati tu untuk kita. Kita hargai sangat-sangat”, katanya memandang tepat ke dalam anak mata Zaliamimi yang kini juga merenungnya tajam.

“Apa kau cakap?”, Zaliamimi berusaha untuk mengawal suaranya.

“Sajak yang awak tulis tu untuk kita kan? Panjajah Hati awak tu, kita la kan?”, tanyanya dengan yakin. Zaliamimi mengerutkan keningnya lalu segera berdiri dari tempat duduknya. Tidak tahan dengan usikan rakan-rakan sekeliling yang baginya sungguh memalukan.

“Hei! Kau jangan nak perasan sangat boleh tak? Bila masa pula aku tulis sajak tu untuk kau hah?!”, tengkingnya kasar sehingga kedengaran di setiap penjuru bilik darjah. Haikal terkedu. “Mesti lah untuk kita, kita dua kan couple”.

“Haikal, kau dengar sini, yang couple-couple tu kau seorang je! Aku tak pernah anggap kau siapa-siapa pada aku. Dan untuk pengetahuan kau, sajak tu untuk Farish Adzim, bukan untuk Muhammad Haikal. Faham?! Mulai sekarang, kau jangan panggil aku Cinta lagi. Aku dah muak. Ni lagi satu, ambil balik hadiah kau ni. Aku tak sudi!”, hadiah pemberian Haikal ditolaknya kasar sehingga jatuh ke lantai simen. Semua yang menjadi saksi kejadian itu mengunci mulut masing-masing. Tidak percaya dengan apa yang diucapkan oleh Zaliamimi. Tiada satu pun yang berani bersuara manakala Farish Adzim pula, tidak menyangka namanya akan disebut. Apa tujuan Zaliamimi?

Haikal menatap sayu pemberiannya. Ini kali ketiga pemberiannya disia-siakan oleh insan yang sangat dicintainya. Paling memberi kesan adalah nama Farish Adzim menjadi nama yang utama, bukan namanya. Kata-kata yang dilontarkan oleh Zaliamimi bagaikan sengat di hati. Pedih. Dia melihat sekeliling. Sehinggakan begitu sekali Zaliamimi memalukannya dan menolak cinta sejatinya di hadapan ramai rakan-rakan. Dengan pantas, Haikal keluar daripada kelas diikuti Jimmy dan Nazrullah. Zaliamimi terduduk. Dia sendiri juga tidak menyangka yang dia telah mengeluarkan kata-kata seperti tadi. Tania memandangnya dengan marah. Malah semua rakan-rakan juga begitu. Sanggupnya Zaliamimi melukakan hati Haikal yang begitu menyayanginya? Farish Adzim dengan tanpa lengah lagi menyusuri langkah tiga berkawan tadi. Siapa tahu dia boleh membetulkan keadaan?

“Puas hati kau?”, marah Tania pula. Zaliamimi membalas kemarahan Tania.

“Ini semua salah kau! Kau yang bagi dia baca sajak tu kan? Kau tengok apa jadi”.

“Sekurang-kurangya aku bukan jenis perempuan yang sakitkan hati lelaki yang sayang kat aku untuk lelaki yang langsung tak ada perasaan kat aku! Eh cik Zaliamimi, sajak kau tu semua orang dah baca lah kat papan kenyataan Bahasa Melayu”, balas Tania pula. Zaliamimi yang terasa pedas kata-kata sabahatnya itu lantas berdiri dan keluar daripada kelas menuju ke tandas. Dia menangis semahunya. Dia kini malu untuk berhadapan dengan rakan-rakan sekelas yang mungkin sedang memarahinya, dia malu untuk bersemuka dengan Farish Adzim setelah dia memberi kenyataan tadi dan dia tidak tahu bagaimana untuk dia menghadapi Haikal lagi setelah ini. Dia berasa bersalah kepada Tania.

“Hike, tunggu lah. Kau nak pergi mana tu?”, laung Nazrullah mempercepatkan langkahnya agar seiring dengan Haikal. Jimmy juga begitu. Namun Haikal hanya berdiam diri. Langkahnya termati setibanya mereka di belakang bangunan blok D. Berkali-kali dia menumbuk dinding. Hatinya dirasakan seperti disiat-siat dan sakitnya sudah tidak dapat ditahan lagi. Mengapa cinta, mengapa?! Jeritnya dalam hati.


Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.