“Rokok?!”
Serentak Zaliamimi bersama Tania mengucapkan kata tersebut. Zaliamimi berfikir sebentar kemudian menggelengkan kepalanya. “Tak, aku tak percaya. Kau nak ugut aku je kan? Dah lah, aku nak naik kelas”, ujarnya segera berpaling meninggalkan Jimmy tercegat kebingungan.
“Aku rasa mesti Farish akan kecewa gila dengan kau nanti Mimi. Muka lawa tapi merokok rupanya. Tak pun, dia akan cakap kau supply rokok kat budak-budak lelaki. Kau nak ambil risiko?”, laung Jimmy apabila kedua-dua gadis tadi melangkah pergi. Langkah Zaliamimi termati. Wajahnya semakin pucat memikirkan kata-kata Jimmy sesaat tadi yang mungkin ada kebenarannya. Dia kembali berhadapan dengan Jimmy yang tersengih kerana berjaya menarik perhatian Zaliamimi semula.
“Tak, kau tipu kan? Bila pula ada rokok dalam beg aku?”, soalnya masih menduga kejujuran Jimmy. “Ya lah, apa bukti kau?”, desak Tania pula. Jimmy terkedu. Otaknya ligat berputar ingin meyakinkan rakannya yang berdua ini. Mengapa lah payah benar hendak mereka percaya? “Kau orang kalau time rehat, semua orang tahu memang kau orang lah yang keluar paling awal. Kan?” Jimmy pula yang menduga. Kedua-dua mereka saling berpandangan. “Betul juga tu..”, bisik Tania kepada Zaliamimi. “Aku nasihatkan kau, ikut aku. Kau nak aku report kat Farish? Sekarang ni macam yang kita semua tahu, dia bila-bila masa boleh buat spot check. Aku akan bagitahu, ada satu kotak rokok Dunhill dalam beg kau. Dunhill Fine Cut 20’s” ujarnya sambil menaikkan keningnya. “Mimi, kau tahu Haikal nekad macam mana kan? Aku pun tak nak buat semua ni, tapi dia yang beriya minta aku tolong. Dia nak jumpa kau je”. Zaliamimi mengalah. “Ya lah!”.
“Weyh, Hike, sasaran dah sampai tu”, beritahu Nazrullah sebaik sahaja Zaliamimi dan Tania kelihatan menuju ke arah mereka. “Dia orang ada bawa back up ke?”, tanya Haikal menginginkan kepastian dan dibalas oleh gelengan kepala Nazrullah. “Bagus. Naz, kau cover line. Report kat aku cepat-cepat kalau ada sesiapa okay?”, arahnya apabila Zaliamimi kelihatan semakin hampir.
“Woo… Tania, kau tunggu sini dengan aku. Mimi, kau boleh pergi ikut Naz”, Jimmy bersuara menghalang perjalanan Tania. Zaliamimi mengerutkan keningnya. “Apa hal pula?”. “Ikut je lah… mari, aku bawa kau. Jangan risau, kau selamat dengan aku”, ujar Nazrullah pula sambil menunjukkan jalan kepada Zaliamimi. Dia terpaksa akur. Lagi pula, tempat yang ingin dituju tidaklah terlalu jauh daripada tempat Tania dan Jimmy berdiri. Dengan langkah berat, dia mengikut sahaja di hadapan Nazrullah.
“Hai cinta…”, sapa Haikal mesra apabila Zaliamimi betul-betul dihadapannya. “Kau nak apa?! Kalau kau rasa kau nak kenakan aku kat tempat sunyi macam ni, anggaplah kau tu lelaki pengecut. Kalau apa-apa jadi kat aku, aku akan pastikan kau tak kan selamat. Termasuklah konco-konco kau ni”, tengkingnya memberi amaran keras. Tersentap juga Haikal dengan kata-kata Zaliamimi namun dia masih ingin bersabar. Agenda utama dia mengajak Zaliamimi untuk bertemunya di situ belum terlaksana lagi.
“Uih.., jangan lah marah-marah. Kalau kita nak kenakan awak, bukan kat sini. Tapi kat tempat yang ada ramai orang. Supaya dia orang semua boleh sama-sama gelakkan awak. Hehe”, guraunya sambil tertawa. Zaliamimi menjadi naik darah. “Dah, aku nak balik!”.
“Eh, kejap, kejap”, pantas sahaja Haikal memanggil agar Zaliamimi tidak meneruskan langkahnya dan dia berjaya. Zaliamimi menoleh kepadanya kembali. “Kau jangan nak buang masa aku kat sini”. “Okay, okay. Aku serius sekarang”, pujuknya lembut. Nazrullah yang sedang memerhati mereka berbalas pandangan dengan Haikal. Haikal kemudiannya memberikan isyarat agar Nazrullah menghadap ke belakang. Setelah itu, barulah dia bersuara, “Mimi, sebenarnya…”, dia menelan air liur. Kata-kata yang hendak diucapkan terasa sungguh berat untuk diluahkan. Namun dia harus berterus terang sekarang atau tidak selamanya. Zaliamimi menantikan dengan penuh tanda tanya di dalam kepalanya. “Err.. macam mana nak cakap eh. Sebenarnya…”, dia menggaru kepalanya pula.
“Sebenarnya apa?!”.
“Sebenarnya aku suka kat kau!”, membulat mata Zaliamimi, terpaku seketika. Haikal yang tersentak ditengking Zaliamimi tadi mengurut-urutkan dadanya. Zaliamimi sering melakukan hal sedemikian kepadanya. “Boleh kena serangan jantung kalau hari-hari macam ni”, ujarnya perlahan. Menyedari kenyataan bahawa dia baru sahaja meluahkan isi hatinya kepada Zaliamimi, dia tunduk menatap tanah lembab yang ditumbuhi rerumput segar. Sejenak kemudian, barulah kedengaran suara lunak Zaliamimi yang tergelak sinis.
“Huh, kau ingat aku tak tahu kau trick kau Haikal? Puas hati kau hah?”, Haikal mendongak ke wajah Zaliamimi yang sedang marah. “Apa maksud kau?”.
“Eh, sudah lah… cukup! Kau boleh kenakan aku sebanyak yang kau boleh. Tapi jangan ingat kau boleh mainkan perasaan aku sesuka hati kau. Kau ingat aku akan percaya dengan penipuan kau ni? Dah, aku nak naik kelas!”, bentaknya lantas melangkah jauh namun sekali lagi langkahnya menemui halangan. Zaliamimi segera menoleh. Tangan Haikal sedang kukuh memaut pergelangan tangan kanannya. “Tunggu kejap”, ujarnya memujuk. “Eii, lepas lah!”, balas Zaliamimi pula sambil memulaskan tangannya. Haikal segera meleraikan pegangan. “Aku minta maaf. Aku…”, belum sempat dia menghabiskan kata maafnya, Zaliamimi dahuluan melenting. “Kau ingat kau siapa?! Aku benci kau!”, lalu dia segera berlari mendapatkan Tania. Mereka berdua hilang dari pandangan Haikal, Nazrullah dan Jimmy. Haikal kecewa. Dinding bangunan yang diperbuat daripada simen itu ditumbuknya kuat sehingga meninggalkan kesan kemerahan. Namun ia tidak setanding dengan kesakitan yang dirasai pada saat itu.
“Mana pas keluar…?!”, laung Syarena mencetuskan gegaran gempa di dalam bilik darjah 5 Mercury. Daripada tadi, tiada satu pun rakan-rakannya yang mengetahui di manakah sebenarnya pas keluar kelas yang digunakan sebagai satu-satunya ‘tiket kebenaran’ untuk keluar daripada kelas semasa waktu Pengajaran dan Pembelajaran berjalan seharian. “Farish, kau ada nampak Naz?”, Syarena berpaling kepada Farish Adzim pula namun rakannya itu hanya menjungkitkan bahu tanda tidak mengetahui. Syarena yang seperti naga kelaparan itu mengamuk. Habis mejanya bersepah dikerjakan. Jam dinding kelas dikerling. Sudah jam 11 pagi namun guru kelas mereka masih tidak kelihatan kerana waktu itu sepatutnya menjadi waktu untuk matapelajaran Matematik Tambahan.
“Hah, mana kau pergi ah?”, bentaknya sebaik sahaja penolongnya, Nazrullah masuk ke kelas. “Hehe… sorry lah ketua. Ada hal tadi. Kenapa?”. Jimmy singgah sebentar di tepi pintu masuk kelas mereka. Pandangannya tertumpu ke arah tempat duduk Zaliamimi. Tania sudahpun terpacak di tempatnya namun Zaliamimi masih tidak kelihatan. “Eh, bukan sama-sama naik ke tadi”, ujarnya kepada Tania. “Dia pergi tandas, tak nak aku temankan. Apa Hike buat kat dia ah sampai macam tu punya marah dia?”, tanya Tania pula. Jimmy sekadar menggeleng lalu menuju ke tempat duduknya.
“Aku nak pas keluar. Mana kau simpan? Aku nak pergi panggil cikgu Fatien ni. Nanti aku pula yang kena marah”, pinta Syarena tidak sabar. “Mana ada kat aku”, jawab Nazrullah meninggikan suara. “Habis tu siapa yang pegang?”.
“Bodoh! Kenapa aku pergi, kenapa aku bodoh sangat…”, jerit Zaliamimi di dalam tandas. “What’s wrong with you?”, tersentak Zaliamimi ditegur sebegitu. Entah dari mana pula adiknya ini muncul tiba-tiba. Zaliamimi hanya berdiam. Malas hendak menerangkan apa-apa. “Pasal lelaki tu kan?”, adiknya mencuba untuk meneka. Namun dilihatnya si kakak masih juga tidak mahu berkata apa-apa. Dia memulas kepala pili air dan mulai membasuh tangannya. “Kau tak payah nak berahsia dengan aku lah. I heard everything about you two”, katanya lalu meninggalkan Zaliamimi terkebil di situ. Tanpa mengambil pusing kata-kata adiknya sebentar tadi, Zaliamimi juga mulai mengatur langkah longlai untuk masuk ke kelas. Namun nasibnya sekali lagi malang kerana guru kelasnya sudahpun berada di dalam. Teragak-agak dia mengetuk pintu kelas mereka.
“Ha, Mimi, kamu dari mana?”, soal beliau yang tadinya sedang mencoretkan sesuatu kepada papan putih. “Err.. saya, pergi tandas tadi cikgu”, jawabnya yang kini sedang berdiri betul-betul di hadapan Puan Nurfatien. “Mana pas keluar kamu?”, soalnya lanjut. Zaliamimi gagal memberikan jawapan. Lantas buku teks Matematik Tambahan yang terbuka luas dalam genggaman tangannya ditutup kuat dan diletakkan di atas meja guru. “Cikgu tak suka kamu suka-suka hati keluar kelas tanpa pas keluar. Kamu tahu tak, kalau kamu kena tahan oleh mana-mana guru tadi, nama siapa yang naik? Mesti lah nama cikgu bukan? Mana tanggungjawab kamu sebagai seorang pelajar?”, bertubi-tubi dia dimarahi. Dia menundukkan wajah kerana malu dimarah sebegitu. Rakan-rakan yang lain hanya mendengarkan sahaja bebelan Puan Nurfatien. Ada segelintir yang tidak mahu mengambil tahu hal tersebut sedang melekakan diri menyelesaikan soalan yang diberikan oleh guru mereka. Tidak lama kemudian Haikal muncul di muka pintu. Dia juga melaporkan diri di hadapan Puan Nurfatien.
“Ha, ni lagi satu, kamu dari mana ni?”, Haikal yang bersahaja itu memandang Zaliamimi yang seperti baru sahaja dimarahi. Kenapa pula ni? “Saya dari tandas”, jawabnya ringkas. Pandangannya masih lagi berlabuh kepada Zaliamimi. Puan Nurfatien terlihat akan pas keluar kelas yang berada dalam genggaman Haikal. “Kamu tengok ni Mimi. Haikal yang baru di sekolah ni pun boleh ikut peraturan sekolah, keluar kelas bawa pas keluar. Kamu yang sudah tahun kelima di sini pula.. Hei.. cikgu tak tahu nak cakap apa lagi. Sudah, pergi duduk kamu berdua”, arahnya. Ada kekecewaan dalam nada suaranya. “Terima kasih cikgu”, ujar Zaliamimi lemah. Haikal yang berjalan seiring dengannya tidak ditatap lagi. Sakit hati yang tadi belum lagi pulih, ditambah lagi dengan yang baru. Zaliamimi menjadi semakin lemah. Haikal pula merasa sangat bersalah kerana dia juga tidak tahu bahawa Zaliamimi akan lewat masuk ke kelas sepertinya. Jika tidak, pasti pas keluar kelas tadi diberikan kepada Zaliamimi. Dia mengeluh berat. “Maafkan aku Mimi”.
Pelajar-pelajar sudah bersiap sedia untuk keluar daripada kawasan sekolah. Keluar sahaja guru yang terakhir pada hari tersebut, mereka pantas mengemaskan apa yang patut dan segera berlumba-lumba menuju ke pagar sekolah dan ada pula menuju ke kawasan parkir bagi mendapatkan kenderaan masing-masing yang mana kebanyakan mereka menggunakan basikal sebagai medium pengangkutan. Namun Zaliamimi masih belum menuruti langkah rakan-rakannya yang lain. Perlahan sekali dia mengemas buku-bukunya seperti tiada bermaya sudah.
“Jom Mimi. Kita balik, nanti bas penuh pula, aku kena berdiri”, ajak Tania yang sudah menyandang beg sekolah birunya. “Kau pergi lah dulu. Tak apa, aku turun kejap lagi”, ujarnya sambil memasukkan satu persatu buku-bukunya ke dalam beg sekolah. Ada juga dia tercari-cari akan sekotak rokok yang diperkatakan oleh Jimmy sewaktu rehat tadi namun tiada juga kelihatan. “Hm, sah menipu! Aku patut tahu”, ujarnya bersendirian. “ya lah, aku pergi dulu. Bye”. Zaliamimi hanya membalas dengan segaris senyuman. Haikal juga sedang berkemas-kemas. Namun sedang dia hendak keluar, pandangannya tertarik oleh kewujudan Zaliamimi yang masih belum keluar dari kelas. Lalu dia segera mendekati.
“Mimi…”, panggilnya lembut. Tiada sebarang reaksi. “Mimi…”, panggilnya sekali lagi. Kerusi Tania ditarik perlahan dan dia duduk di atasnya, menghadap Zaliamimi yang masih sibuk mengemaskan meja. “Tak apa lah kalau kau tak nak pandang aku. Aku cuma nak cakap… Apa yang aku cakap masa rehat tadi, aku tak tipu”. Zaliamimi berpaling namun Haikal sudah tidak kelihatan. Pantas benar dia pergi meninggalkan Zaliamimi keseorangan kerana segan pula berbicara hati ke hati seperti itu. Biarlah Zaliamimi sendiri yang menilai kata-katanya. Namun apabila terbayang bagaimana Zaliamimi tidak mahu bercakap langsung dengannya malahan memandang pun sudah tidak sudi, Haikal dilanda kekecewaan yang maha hebat. Hatinya yang sesuci embun pagi telah terluka dihiris dek layanan Zaliamimi yang serba dingin. Apatah lagi sewaktu Zaliamimi meninggalkannya saat dia meluahkan kejujuran kata hati. Keperitan yang ditanggungnya meninggalkan kesan yang mendalam.
“Hike tu handsome juga aku tengok Mi”, ujar si adik setibanya mereka berdua di tingkat atas kediaman Asfizahra. Ibu mereka yang menjemput mereka dari sekolah tadi keluar sekali lagi ingin menghantar dulang-dulang hantaran kepada pelanggannya.
“Kenapa, kau nak? Bagi aku sejuta. Aku settlekan semua”, jawab Zaliamimi memerli adiknya. Adiknya mengeluarkan buku catatan dan mulai menulis sesuatu di atasnya. “Nah, aku bagi cek okay? Settled?”, ujarnya sambil menghulurkan helaian kertas yang dikoyakkan daripada bukunya. Terkekeh-kekeh dia mentertawakan kakaknya. Zaliamimi mensepetkan matanya lalu masuk ke dalam bilik dan menutupnya kasar. Tiada mood hendak melayan gurauan adiknya yang menyakitkan hati. Sambil berbaring di atas tilam empuknya, dia berfikir sejenak. Benarkah apa yang diucapkan oleh Haikal di sekolah tadi?*
“Mimi, Mimi, cepat ikut aku!”, terkocoh-kocoh Nazrullah memanggil Zaliamimi yang sedang makan tengahari bersama Tania dan Farish Adzim. “Ada apa ni? Apa pasal kau macam orang kena sampuk ni?”, soal Zaliamimi yang terkejut dengan tingkah laku Nazrullah yang kelam kabut seperti itu. Nazrullah mengambil nafas bagi bersuara namun kerap kali gagal. “Bertenang Naz. Semput pula kau kat sini nanti. Kenapa ni?”, soal Farish Adzim pula. Tercungap-cungap Nazrullah dek berlarian agar tiba tepat pada masanya untuk menemui Zaliamimi sehingga dia tertunduk bertongkatkan sebelah tangan pada lututnya manakala tangannya yang sebelah lagi dihalakan ke arah blok D.
“Hike… hike…”, ujarnya masih lagi tercungap-cungap.
“Haikal kenapa?”, tanya Zaliamimi ingin tahu. “Macam serius je ni”, sahut Tania pula.
“Hike ada kat tingkat empat blok D. Dia nak.. dia nak..”.
“Dia nak apa?!”
“Dia nak terjun bangunan!”.
“Apa?!”
“Tolong kita orang Mimi, aku dengan Jimmy dah pujuk dia. Tapi dia tak mahu dengar. Tolong lah.. Dia hanya akan dengar cakap kau je. Kita orang tak nak terlibat dengan kemalangan sekolah weyh. Cepat lah”, Nazrullah menapak beberapa langkah ke menuju ke blok D. Tanpa berfikir panjang lagi, Zaliamimi turut mengikuti Nazrullah. Benar kata Nazrullah, dia juga tidak mahu terlibat dalam kes disiplin seperti ini.
“Farish, Nia, kau berdua tunggu kat sini. Biar aku dengan Naz je yang pergi”, pesannya tidak mahu menganggu rakan-rakannya yang sedang makan tengahari. Kain kurungnya yang panjang itu ditarik ke atas sedikit bagi memudahkan lariannya. Anak tangga yang dinaikinya diambil dua anak tangga sekaligus agar tiba ke lokasi dengan pantas. Jika lewat sesaat pun, pasti akan menimbulkan seribu sesalan. Setelah bertungkus-lumus mendaki anak tangga, akhirnya tiba jua dia di tingkat yang paling atas. Tercungap-cungap dia menghela nafas. Pandangannya tertarik kepada Haikal yang sedang bergayut di hujung penghadang bangunan. Tinggal untuk dia merebahkan diri sahaja.
Haikal yang sedang menghadap ke hadapan itu dipanggilnya. “Haikal! Apa yang kau buat ni? Kau dah gila ke?”. Haikal menoleh. Kemudian pandangannya yang hanya sekilas kepada Zaliamimi berubah kepada permandangan yang sebelumnya. “Naz, kau buat apa panggil dia datang sini. Suruh dia balik. Nak tengok dia pun aku dah tak sanggup. Hati aku dah terlalu sakit”, katanya dengan nada kecewa.
“Kau tak payah nak berdrama kat sini la Haikal. Kau turun sekarang. Kau ingat kau boleh kenakan aku macam ni?”, Zaliamimi mencekak pinggangnya.
“Kalau kau rasa, kau datang sini setakat nak sakitkan lagi hati aku yang kena tikam-tikam ni, baik tak payah. Dah, kau blah lah. Aku tak perlu kau. Biar aku mati je!”, laungnya seraya melepaskan pelukannya pada tembok dinding dan mengambil langkah untuk terjun ke bawah.
“Jangan…….!!!!”, jerit Zaliamimi ketakutan. Haikal menghentikan pergerakkannya dan berpaling kepada Zaliamimi.
“Kenapa? Bukan kah aku ni orang yang kau benci? Aku tak ada makna dalam hati kau Mimi. Aku dah jujur pada kau tapi kau? Kau tolak cinta aku. Jadi apa ertinya lagi untuk aku hidup? Biar lah aku pergi membawa hati yang luka”.
“Tapi bukan dengan cara yang macam ni Haikal…”, Zaliamimi mencuba untuk memujuknya.
Haikal menatap Zaliamimi yang nyata kerisauan. “Aku nak tanya kau dan secara jujurnya aku nak kau jawab”. Zaliamimi mendongakkan kepalanya bertentangan mata dengan Haikal, menunggu kata-kata yang selanjutnya.
“Mimi, mahukah kau menerima cinta aku?”.
Zaliamimi menyepi. Pandangannya dialihkan daripada renungan mata Haikal yang tepat terpana ke hatinya. Tiada sebarang kata yang mampu dia ucapkan. Haikal mengeluh kecewa dan kembali melihat ke hadapan.
“Baik, itu saja yang aku nak tahu daripada kau. Terima kasih kerana berlaku jujur. Selamat tinggal Mimi”, kali ini Haikal benar-benar melompat dari simen tempatnya berdiri. Zaliamimi menjadi cemas.
“Aku terima cinta kau….!! Aku terima…! Jangan pergi Haikal…”, Zaliamimi meraung sekuatnya dan mulai menangis. Haikal sudah lenyap dari pandangannya. Cepat-cepat dia berlari ke tempat Haikal berdiri tadi dan memandang ke bawah.
“Jadi kita couple la sekarang ni?”, Haikal tersengih. Lantai tambahan yang dibina di setiap tingkat menjadi tempat untuk Haikal bersembunyi daripada pandangan Zaliamimi. Zaliamimi menjadi geram diperlakukan sebegitu. “Aku benci kau, benci, benci, benci!”, marahnya sampai memukul-mukul tubuh Haikal. Haikal hilang imbangan badan lalu tertolak ke belakang. Namun tangannya pantas ditarik oleh Zaliamimi sekaligus menahannya daripada terjatuh.
“Kata benci? Hehehe”, Haikal tersengih lagi menambahkan kerut pada kening Zaliamimi.
“Habis tak kan aku nak biar kau jatuh?”, Zaliamimi mencebik marah. Haikal melangkah masuk ke dalam ruang koridor bangunan semula. Gentar juga dia hampir-hampir terjatuh tadi. Untung ada Zaliamimi menjadi penyelamat. Terima kasih cinta, gumamnya.
“Ini tandanya sayang lah kan?”, Haikal mencuba untuk menduga gadis di hadapannya ini.
“Eh, tak ada maknanya aku nak sayang-sayang dengan kau. Perasan!”.
“Eleh… Orang tu dah lupa ke.. yang dia dah terima cinta kita. Siap jerit kuat-kuat lagi. Hehe… Jadi kita couple la kan, kan?”, Haikal menjungkitkan kening kirinya. Zaliamimi membalas dengan jelingan maut. “Suka hati kau lah. Malas aku nak layan”, ujarnya lalu menuruni tangga. Haikal menyusul dari belakang. “I like!!”.