Dengan Berbesar Hati..


Gadis Sejuta -EP 11-

  Jalan-jalan yang menghubungkan sekolah menengah kebangsaan mereka dengan Masjid Al-Baraqah menjadi sesak di kala waktu-waktu seperti itu. Kenderaan seperti kereta dan motosikal umumnya sudahpun membarisi tempat letak kenderaan yang disediakan disekeliling masjid besar itu. tidak kurang juga, puluhan basikal yang disusun rapi oleh pemilik masing-masing yang rata-ratanya daripada golongan pelajar sekolah menengah Zaliamimi. Suara gemaan Imam Hishamudin melalui pembesar suara yang melengkapi Masjid Al-Baraqah sudahpun jelas kedengaran. Kaum Adam pun patuh lalu segera mendekatkan diri bagi menunaikan kewajiban sekali seminggu. Haikal juga salah seorang daripada hambaNya yang tunduk dengan perintah Allah swt. Motosikal pemberiaan ayahnya diparkirkan di lot yang disediakan. Setelah itu Haikal menuju ke arah pili air bersama dengan jemaah yang lain bagi menyempurnakan wudhu’. Dengan tertib, dia mengambil tempat di barisan yang paling hadapan. Lama dia duduk bersila di situ. Fikirannya melayang kepada gadis yang sudah berjaya mencairkan bekuan sekeping hati setelah sekian lamanya.

“Zaliamimi…”, sebutnya perlahan. Tidak senang duduk dibuatnya apabila bayangan gadis tersebut menyinggah dalam kotak fikiran. Senyuman gadis itu, dia sudah kenal akan erti rindu dan cinta. “Mimi, kenapa makin hari aku kacau kau, makin aku jatuh hati? Wajah kau yang manis, sama seperti aku jumpa kau di tadika kita dulu. Tapi, mahukah kau terima cinta aku?”, Haikal terjaga dari angannya dan ia persoalan tadi terbiar hanyut tanpa jawapan. “Ya Allah, Kau bukakan lah hatinya”, bisik Haikal di penghujung doanya.

              Minggu yang kedua bagi sesi persekolahan pada tahun itu dimulai dengan hari Isnin seperti kebiasaannya. Suasananya, tak usah diungkapkan lagi, kerana jelas para pelajar kelihatan akur dengan perhimpuan rasmi pada setiap hari Isnin seperti minggu sebelumnya. Namun pada pagi kali ini, guru Ketua Panitia Bahasa Melayu menekankan lagi tentang pelancaran Minggu Bahasa Melayu yang akan berjalan sepanjang minggu tersebut. Beliau mengalu-alukan para pelajar untuk menyumbangkan nukilan mereka agar dapat dinilai dalam pertandingan ‘Penulisan Puisi dan Cerpen’.

“Kau masuk lah Mimi”, saran Tania. Kelas 5 Mercury masih lagi hingar-bingar sementara menunggu kehadiran pelajar-pelajar dari kelas 5 Earth serta guru bagi matapelajaran pertama mereka, Ustazah Almunawarah.

“Aku malas lah. Kau ingat lagi apa jadi tahun lepas masa aku hantar karya aku kat majalah sekolah? Bukan satu, tapi tiga tahu aku hantar. Tiga cerpen, satu sajak. Last-last jadi apa? Semua cerpen aku kena reject. Sajak aku je yang dia orang masukkan, itu pun sebab tak ada orang yang nak sumbang sajak. macam aku tak tahu”, bebel Zaliamimi meluahkan kekecewaannya. Percakapannya itu diselang-selikan dengan pandangan sekilas kepada Junaidah. Pasti hasil penulisannya yang akan menang nanti, desisnya.

“Aku tahu. Tapi tak kan kau nak mengalah. Kan masa tu majalah sekolah baru diterbitkan untuk edisi pertama. Jadi ramai lah yang nak masuk. Lagi pun budak-budak tingkatan lima tahun lepas kan tahun terakhir dia orang kat sekolah ini jadi dia orang nak lah nama dia orang penuh kat majalah sekolah kita tu. Ada faham? Go for it girl. I know you can!”, Tania ingin menyuburkan kembali semangat Zaliamimi yang kian terkubur. Zaliamimi termenung sebentar. “Tengoklah kalau aku ada ilham nak mencipta”.

“Bangun semua…”, seru Hardie selaku ketua kelas 5 Earth setelah melihat kelibat guru mereka masuk ke dalam kelas. Pelajar-pelajar dari kelasnya sudahpun mengambil tempat masing-masing dan ada yang terpaksa mengangkat kerusi dari kelas mereka kerana kelas 5 Mercury yang hanya boleh menempatkan 29 orang pelajar sahaja. Berpadu suara mereka mengucapkan salam dan dijawab lembut oleh Ustazah Almunawarah.

“Baik, Hardie, siapa yang tidak hadir pada hari ini dalam kelas anda?”, beliau mengajukan pertanyaan setelah duduk kemas di atas kerusinya. Hardie memandang sekeliling. Pelajar yang sama tidak hadirkan diri bagi kelas Pendidikan Islam pada minggu lepas, masih lagi tidak kelihatan. Ustazah Almunawarah mengeluh sedikit. Beliau tertanya-tanya, bilakah lagi pelajar perempuan ini akan berjumpa dengan jalan lurusnya? Daripada dia di tingkatan empat lagi, sering sahaja ponteng kelas Pendidikan Islam. Anehnya, kelas lain tidak pula beliau mendapat khabar bahawa dia selalu tidak mengahdirkan diri.

“Baiklah, anda semua sudah membaca apa yang Ustazah pesan?”.

“Sudah…”, sahut beberapa orang pelajar. Beliau membuahkan senyuman. Sekurang-kurangnya ada yang masih ingat akan kerja rumah yang beliau tinggalkan pada minggu lepas.

“Alhamdulillah. Begini, Ustazah hendak kamu semua buat kumpulan masing-masing. Tapi ingat, setiap kumpulan mesti ada sekurang-kurangnya seorang pelajar lelaki. Boleh? Aturkan diri anda sekarang. Ustazah bagi masa lima minit sahaja”, beliau memberi arahan untuk kerja berkumpulan yang akan beliau kendalikan sebentar lagi. Haikal tercari-cari akan Zaliamimi namun dia gagal untuk menemuinya kerana Zaliamimi yang duduk jauh di hadapan sedang dikerumuni dengan pelajar lain. Apabila terlihat Farish Adzim mendekati Zaliamimi dan Tania, dia akur. Gadis pujaan hatinya itu sudah ada kumpulan sendiri. Zaliamimi, Tania, Farish Adzim dan Hardie.

“Baik semua. Ustazah akan beri anda tugasan. Apabila Ustazah panggil kumpulan anda ke hadapan, anda harus melakonkan watak seperti dalam arahan boleh?”, ujarnya sambil tersenyum. Para pelajar yang lain berpandangan sesama mereka sendiri. Ada sedikit perasaan gerun terpancar pada wajah mereka tatkala memikirkan tugasan yang seperti apakah akan diberikan oleh Ustazah mereka dan mampukah mereka melaksanakannya?

“Baik, untuk soalan yang pertama, Ustazah hendak kumpulan Hardie dahulu datang ke depan bersama kawan-kawan anda”, Hardie dan tiga rakan sekumpulannya menapak langkah mencari ruang di bahagian hadapan ruang kelas. Meja guru yang besar itu dialihkan ke sisi sedikit dan empat buah kerusi disusun secara bertentangan.

“Sudah bersedia? Ustazah bacakan soalan ya? Lakonkan suasana akad nikah. Pelajar-pelajar lelaki diminta untuk melafazkan ijab dan qabul dengan cara yang betul manakala pelajar perempuan sila nyatakan rukun nikah”, mereka berempat terkebil mendengarkan arahan tersebut. Namun tiada satu pun yang menunjukkan bahawa mereka gentar kerana masing-masing sudah mengetahui jawapan kepada soalan tadi dengan yakinnya.

“Dalam tugasan ini, Ustazah hendak Tania dan Zaliamimi untuk nyatakan rukun nikah”.
“Err.. Bakal suami, bakal isteri, wali kepada bakal isteri, ijab dan qabul yang sah”, jawab Tania teragak-agak. Berdebar juga apabila namanya disebut tadi.

“Tak cukup tu, apa lagi satu Zaliamimi?”, beliau mengalihkan pandangan kepada Zaliamimi. Dia dengan yakin menjawab, “Dua orang wali yang adil”.

“Betul tu. Sekarang giliran pelajar lelaki pula ya? Ustazah nak Hardie jadi jurunikah dan Farish jadi bakal suami. Lafazkan ijab bagi Hardie dan qabul bagi Farish dengan menggunakan nama Zaliamimi sebagai bakal isteri dan sukatan mas kahwin negeri selangor”, Haikal tersentak. Zaliamimi dan ucapan qabul Farish?! Hardie bersalaman dengan Farish Adzim dan bersedia bagi melafazkan ijab.

“Aku nikahkan dikau dengan Zaliamimi binti Asfi dengan mas kahwinnya 300 Ringgit Malaysia tunai”, dan dia menggoncang tangan kanan Farish Adzim yang berpaut pada tangannya. Lalu Farish Adzim mengambil nafas untuk melafazkan qabul pula.

“Aku terima nikahnya Zaliamimi binti Asfi dengan mas kahwinnya 300 Ringgit Malaysia tunai”.

“Sah?”, Hardie memandang rakan-rakan kelas yang lain sebelum pandangannya itu berlabuh kepada Ustazah Almunawarah.

“Saya bantah!”, ada suara yang lantang bergema. Pasang-pasang mata rakan-rakan kelas berfokus ke belakang kelas.

“Bantahan apa pula ni?”, Ustazah Almunawarah kebingungan. Haikal terdiam. Menyesal dengan tindakan yang terbawa-bawa dengan emosi sebentar tadi.

“Tak, bukan… Saya, saya bantah kalau ada yang cakap tak sah Ustazah”, jawabnya bagi menutup kesalahan. Zaliamimi merenungnya tajam. Ada sahaja idea si Haikal ini untuk melakukan onar. Haikal tertunduk sipu bersendirian di tempat duduknya. “Hish, kenapa lah aku lancang sangat tadi. Tapi namapak macam real la, hish, tak sanggup aku” bisiknya lalu kedengaran oleh Nazrullah. “Kau kenapa Hike? Haa… jangan-jangan kau suka pada Mimi tak?”, Nazrullah mengusik Haikal. “Haa…..”, sorak rakan-rakan yang lain. Muka Zaliamimi menjadi merah padam manakala Haikal pula, tidak dapat mengawal perasaan lalu dia menutup mukanya dengan buku teks. “Jangan lah macam ni. Malu la I…”, tuturnya getik.  Zaliamimi mendengus. Menyampah!

Waktu rehat tiba lagi. Zaliamimi yang berjalan beriringan dengan sahabatnya Tania ditemani oleh Farish Adzim kali ini. Sejak pada peristiwa hari Jumaat yang lepas, mereka menjadi semakin akrab. Farish Adzim yang merasa terhutang budi pada Zaliamimi telah menjalinkan persahabatan yang lebih mesra dengan Zaliamimi. Ini semua gara-gara akal Zaliamimi yang ligat memberinya cadangan untuk membuat pemeriksaan rambut lelaki. Idea itu mendapat pujiaan daripada Ustaz Ahmad Alif dan Farish Adzim telah diberi kepercayaan untuk melakukan apa sahaja pemeriksaan mengejut pada masa hadapan dengan bantuan pengawas-pengawas yang lain. Benar kata Zaliamimi, reputasinya menjadi semakin cemerlang.

“Jadi maknanya sekarang ni, kalau ada orang bagi laporan pasal apa-apa, kau boleh buat spot check la?”, Zaliamimi mula bersuara setibanya mereka di kantin sekolah dan sudah mendapatkan santapan masing-masing.

“Ya, sesiapa je yang report kat aku ada sesiapa bawa barang larangan atau ponteng, aku boleh jalankan spot check dan rampasan masa itu juga tanpa kebenaran Ustaz sebab Ustaz kata, sementara nak dapatkan kebenaran dia, ambil masa, jadi budak-budak yang bersalah tu akan dapat hidu ada spot check”, terangnya panjang lebar sambil menadahkan tangan dan membaca doa makan. Zaliamimi dan Tania juga menurut dan mengunci mulut bagi menghayati pembacaan doa. Sesudah selesai, mereka kembali bercakap-cakap.
“Sekarang ni, sebab kau dah tolong aku kan, kalau kau ada apa-apa masalah kau cari je aku. Aku akan tolong kau okay?”, ujarnya sambil menyuap sesudu nasi goreng. Zaliamimi membulatkan anak matanya, benarkah? Dalam hati, sudah berbunga-bunga dan bahagia sungguh mendengarkan kata-kata yang diucapkan sebentar tadi, setelah setahun dia memendam rasa, akhirnya inilah peluang keemasan. Zaliamimi tersenyum sendiri. Cintanya akan bertukar menjadi realiti.

Farish Adzim meminta diri lebih awal kerana ada mesyuarat Lembaga Pengawas Sekolah yang perlu dia hadiri. Tinggal lah Zaliamimi bersama Tania berjalan longlai menuju ke anak tangga blok bangunan kelas mereka.

“Mimi!” ada suara yang memanggil. Dia menoleh. “Jimmy? Ada apa?”, tanyanya berasa pelik dengan sikap Jimmy yang semena-mena memanggilnya. Seperti ada hal yang penting mahu dia bicarakan.

“Haikal nak jumpa kau. Di belakang blok D”, jawabnya ringkas.

“Hah? Apa tabiat pula dia nak jumpa aku kat hujung tu. Dah lah tempat tu sepi. Tak nak la aku. Karang dia kenakan aku lagi”, Zaliamimi mencebik lalu memeluk tubuh sendiri.

“Jangan risau lah. Aku dengan Naz ada. Kalau kau nak, Tania pun boleh ikut sekali”, pujuknya lagi. Jimmy sememangnya agak lurus sedikit. Dia tidak mahir dalam menipu atau memujuk orang. Hanya kejujuran sahaja yang bisa dia perlihatkan.

“Aku kata aku tak nak. Kau pergi cakap dengan bos kau tu. Dah, aku nak naik kelas”, tegasnya lagi lalu menarik lengan Tania yang malas hendak berkata-kata.

“Kalau kau tak nak pergi, aku akan bagitahu Farish yang…”.

“Bagitahu apa?!”, tengking Zaliamimi ingin tahu. Lantas segera dijawab oleh Jimmy, “aku akan bagitahu dia yang dalam beg kau ada rokok”. Membuntang mata Zaliamimi dan Tania. "Rokok?!".


Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.