Dengan Berbesar Hati..


Gadis Sejuta -EP 10-

Senyuman Zaliamimi itu terpaut pada hati Haikal. Mesti dia datang nak ucap terima kasih ni, fikirnya. Dia tidak tahu-menahu perihal Zaliamimi dimarahi oleh Puan Hazlina dan guru disiplin. Zaliamimi pun satu, langsung tidak mahu menyebut nama Haikal kerana dia yakin pasti dimarahi lagi. Jelaslah, katak itu kan untuk eksperimen mereka nanti. Zaliamimi gagal mencipta alasan lalu terpaksa lah dia menerima sahaja teguran daripada pihak guru atas kecuaiannya menjaga katak tersebut.

Zaliamimi tidak jadi hendak marah. Dia sedang merancang sesuatu tanpa Haikal sedari. “Tak ada apa. Terima kasih lah awak bagi kita katak tu”, ucapnya menghadiahkan segaris senyuman tawar.

              Haikal berbunga. Bangga benar dia dihargai seperti itu. “Sama-sama, cinta. Kita gembira awak suka”. Zaliamimi berlalu pergi ke tempat duduknya semula. Bukan main mekar lagi berbunga pelajar lelaki itu. “Kau tengok, kan aku dah kata, dia mesti suka punya. Dia cakap terima kasih…. Siap senyum-senyum lagi. Hebat tak aku?”, ujarnya lagi kepada Nazrullah dan Jimmy. Mereka juga turut tumpang gembira. Akhirnya usaha mereka menangkap katak-katak puru selama dua hari berturut-turut tidak sia-sia. Sepanjang pagi Haikal menguntum senyuman. Dia berjanji pada dirinya sendiri, dia tekad meleraikan dendamnya kepada Zaliamimi yang dipendam selama 10 tahun lamanya. Haikal ingin membina persahabatan antara dia dan Zaliamimi semula, dengan cara yang ‘bersih’.

“Auch!”, jerit kecil Haikal saat jari telunjuknya tertusuk jarum yang digunakan untuk mengukuhkan kaki-kaki katak pada papan bedah. Lalu mengalirlah setitik demi setitik darah merahnya keluar membasahi hujung jari. Pantas Haikal memasukkan jarinya ke dalam mulut untuk menghentikan pendarahan. Itu sahaja yang terlintas.

“Eii… kau ni pengotor lah Hike! Kan bekas kau pegang katak jari kau tu”, Nazrullah menggeliat kegeliaan. mata Haikal membulat. Alah! lupa lah. Jimmy yang berdiri berdekatan tertawa terbahak-bahak lantaran tindakan Haikal yang baginya sangat mencuit hati. Suara Haikal tadi menangkap pendengaran Zaliamimi yang sedang mengunting kulit katak purunya bersama Tania. “Mi, ‘cinta’ kau tercucuk jarum lah”, ujarnya kebimbangan. “Ah, biarlah, dia kan dah besar. Tahu lah dia apa nak buat”, jawabnya langsung tidak menatap Haikal yang sedang membasuh jarinya setelah diarahkan Puan Marliana. Haikal diberikan handyplast oleh guru Biologi mereka itu namun dia menolaknya. Menurutnya, luka terkena jarum tadi hanya meninggalkan kesan sedikit sahaja. Dalam diam, Zaliamimi mencuri pandang.

“Itulah kau Hike, memikirkan sangat si Mimi. Entah-entah kau nampak muka Mimi kat katak tu kot, itu yang kau tak sampai hati nak cucuk jarum. Sampai jari sendiri pula yang kau cucuk”, berderai tawa seisi makmal Biologi dek terdengar kata-kata Jimmy. Zaliamimi mencebik. Sempat lagi budak-budak ni malukan aku, getusnya geram. Dilihatnya lagi Haikal yang masih menekan keras hujung jarinya. Pasti dia kesakitan kerana jarum yang mereka gunakan itu adalah jarum yang datang dari golongan fine needle yang pastinya sangat tajam. Ia akan menusuk jauh ke dalam otot melepasi kulit yang berlapis jika tercucuk. Hati Zaliamimi tidak kesampaian melihat Haikal begitu. Dengan langkah perlahan dia menuju ke seberang mejanya untuk menemui Haikal.

“Nah, handyplast. Lekat kat jari tu, nanti makin luka”, tuturnya lembut. Itulah kelemahan Zaliamimi. Rasa simpati yang tinggi dalam jiwanya, walau musuh sekali pun dia akan sanggup bantu jika dalam kesusahan. Haikal mengangkat wajahnya. Benarkah ini?

Adegan romantik mereka disaksikan rakan-rakan kelas mereka dan tidak ketinggalan, Puan Marliana lalu bersorak girang lah mereka, mengusik Zaliamimi yang membantu Haikal. Kedua-dua pipi gebu Zaliamimi bertukar kemerahan menahan segan lalu dia kembali semula ke mejanya.

“Amboi, amboi Haikal… tadi cikgu bagi awak, tak nak ambil. Konon nak nampak kuat lah. Tapi bila Mimi bagi, bukan main suka lagi awak ye?”, perli guru mereka. Yang lain tertawa berdekah-dekah. Suka sungguh mereka dengan kontroversi yang tercipta secara tiba-tiba seperti ini. Haikal pula tersipu-sipu ditegur sebegitu manakala Zaliamimi sudah menekup muka. Malunya!

“Hehe. Memang lah saya kuat cikgu. Handyplast ni bukan untuk saya pakai, tapi untuk saya simpan jadi kenangan paling indah”, ujarnya tersenyum segan. Sekali lagi mereka yang lain bersorak kuat. Berdebar jantung Zaliamimi mendengar tutur Haikal. Cis, tak guna! Kau buat aku malu lagi Haikal. Menyesal aku bagi tadi. Patutnya aku duduk saja diam-diam, biar lah kau luka sampai habis darah pun. Aku dah agak tidak patut tolong kau tadi, Zaliamimi marah-marah dalam hati. Haikal yang mencium mesra waterproof handyplast pemberiannya tadi dijelingnya tajam. Aku benci kau Haikal!

Seharian Haikal termenung. Diajak untuk berjalan-jalan sekitar sekolah dia enggan, diajak untuk melepak di padang sekolah juga malas malah untuk makan tengahari pun dia menolak. Entah kenapa, Haikal cuma mahu duduk di atas kerusinya dan termenung jauh. Sambil tersengih pula itu!

“Kenapa kawan kau orang tu?”, soal Xian Lie yang baru sahaja memasuki kelas diikuti Izian dan Aen Shaufi. Mereka bertiga berehat bersama sebentar tadi kerana kebetulan duduk semeja. Namun bayang Zaliamimi bersama Tania masih juga tidak kelihatan. Mereka sememangnya terkenal dengan kebijakan menggunakan sepenuh masa untuk berada di kantin. Ironinya, mereka tidak pernah lewat untuk masuk ke kelas selepas tamat waktu rehat walaupun tanpa bantuan loceng sekolah lagi.

“Kena penangan cinta daa.. dari tadi, macam ni lah senyum dia. Kita orang pun dah tak boleh alihkan senyuman dia tu. Melekat! Aku rasa kalau kau kutuk dia pun dia tak sedar. Kan Hike? Muka kau memang macam katak kan?”, Nazrullah yang sedang berbual-bual dengan Xian Lie menguji kepekaan Haikal. “Hmmm…”, Haikal menganggukkan kepalanya. Matanya masih termenungkan sesuatu. “Kau tengok Lie, sah angau!”, ujar Nazrullah lagi menggelengkan kepalanya. Jimmy yang sedang leka mengira-ngira wang kutipan daripada rakan-rakan kelas tekun mencatat bilangannya ke dalam buku catatan khas miliknya. Sedikit pun tidak ambil kisah perbualan antara Nazrullah bersama Xian Lie.

“Farish, tunggu kejap!”, panggil Zaliamimi. Ketua pengawas yang berangkat keluar dari kantin sekolah menoleh ke belakang. Kelihatan Zaliamimi dan Tania berjalan ayu ke arahnya. Farish Adzim seperti biasa, suka menjadikan suatu habit untuk membetulkan tali lehernya yang sudah ketika itu ketat dan kemas dililit pada kolar kemeja hijaunya. “Ada apa Mimi?”. Zaliamimi tersenyum simpul. “Aku nak bagi cadangan dengan kau. Untuk reputasi kau sebagai ketua pengawas sekolah”. Tania pula merayu kepadanya, “boleh la..”. Farish Adzim mengerutkan dahi. Cadangan apa?*

“Kawan-kawan, cikgu disiplin bagi arahan untuk buat spot check mengejut sekarang. Pelajar-pelajar lelaki, sila berdiri di tempat masing-masing untuk diperiksa”, Farish Adzim memberikan pengumuman kepada pelajar kelas 5 Mercury berikutan arahan guru disiplin sekolah atas saranannya. Kelas-kelas yang lain juga turut dijalankan pemeriksaan mengejut terhadap pelajar-pelajar lelaki oleh pengawas kelas mereka.

“Weh, apa pasal budak lelaki je kena?”, Haikal bersuara dari belakang. Baginya adalah tidak adil kalau begitu. Kemudian Xian Lie pula menyahut, “Nak spot check apa Farish?”. Farish Adzim membuahkan senyuman. Dia berjalan dari satu tempat ke satu tempat pelajar lelaki dan meneliti penampilan setiap rakan yang dia singgah. “Hah! Kau, pergi belakang”, arahnya kepada Haikal. “Kenapa pula aku kena pergi belakang. Aku buat salah apa? Tie ada, tanda nama dah berjahit, kasut dah hitam, baju pun dah masuk dalam. Apa lagi?”, bentaknya tidak berpuas hati. Namun ketua pengawas yang berdiri di hadapannya hanya berwajah tenang. Dia mencuba untuk tidak lari daripada tenungan berapi Haikal dan mulai bersuara “cuba kau turunkan rambut yang terpacak kau tu”. Wajah Haikal menjadi kusut. Lalu diturutkan sahaja kemahuan rakan kelasnya itu. “Rambut kau panjang. Melepasi kening. Pergi belakang”, arahnya sekali lagi setelah menjelaskan kesalahan Haikal. Zaliamimi menoleh ke arah Haikal yang memaksa kakinya untuk berjalan ke belakang kelas. Dia tersenyum puas. Dendamnya kian terbalas.

             “Kamu tak baca buku peraturan sekolah? Rambut pelajar lelaki tidak sepatutnya panjang melebihi kolar belakang baju dan rambut yang di hadapan tidak boleh melebihi kening”, tegas Ustaz Ahmad Alif yang juga mengendong tugas sebagai guru disiplin sekolah pada tahun tersebut. Haikal tertunduk diam. Suasana di dalam dewan terbuka sekolah sepi walaupun bukan hanya dia sahaja yang diperintahkan untuk berada di sana. Terdapat juga pelajar-pelajar lelaki dari kelas yang berlainan ditahan di situ atas kesalahan yang sama. Tiada siapa menyangka bahawa hari itu Ustaz Ahmad Alif akan membuat operasi pemeriksaan rambut pelajar lelaki. Namun yang lebih mengejutkan, Haikal satu-satunya pelajar tingkatan lima yang ditahan. Hal itu membuatkan guru mereka yang dipanggil Ustaz berasa sangat berang dan kecewa. “Haikal, kamu tahu Ustaz tidak boleh terima kesalahan kamu ni. Kamu sudah tingkatan lima. Sepatutnya kamu sudah tahu tentang semua ini. Ustaz akan gunting rambut kamu. Panjang sangat ni, bukan calang-calang lagi pacak kamu ye?”, Haikal mengangkat wajahnya. Ustaz Ahmad Alif mencapai gunting rambut yang digunakan untuk memotong rambut pelajar-pelajar lelaki yang panjangnya melanggar peraturan sekolah. Itupun setelah seseorang pelajar tersebut diberikan amaran sehingga yang ketiga. Nasib Haikal amat malang pada hari yang cemerlang itu. Dia terpaksa redha dan akur pada ketajaman gunting duru disiplinnya. Sedikit demi sedikit rambut kebanggaannya digunting. Stail rambut sudah entah ke mana.

“Wooo… Bos, fesyen pacak apa ni?”, laung Jimmy setelah menerima kehadiran Haikal ke dalam kelas mereka. Wajah Haikal masam mencuka. Rambutnya yang panjang kini seperti hutan gondol. Rambut yang tergunting tidak begitu rapi. Ada yang panjang sedikit dan ada yang lebih pendek. Tanpa sebarang kata, dia menuju ke kerusi kayunya. Kedengaran suara rakan-rakan perempuan berbisik-bisik dan mulai tertawa sesama mereka sendiri. Di antaranya, Zaliamimi dan Tania. Begitu gembira nyatanya Zaliamimi tatkala rencananya ingin mengenakan Haikal berjaya dijalankan dengan mudah.

“Lawa rambut Hike. Servis gunting rambut free ye?”, perli Nazrullah setelah rakannya itu duduk di sebelahnya. Haikal berlagak tenang. Tidak meyumpah seranah mahupun mengamuk menendang kerusi meja. Dia hanya berkata, “menyesal aku tak pakai songkok hari ni”.


Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.