“Aaaaaaaaaarrrrrhhhhhhhhhhhhh…………!”, bingit 28 pasang telinga mendengarkan suara jeritan Zaliamimi. Gegaran blok bangunan terletaknya bilik darjah 5 Mercury bersusul lagi sekali apabila Zaliamimi menjerit kali kedua. Seluruh isinya memberi perhatian kepada suara itu. Kotak cantik tersebut dicampakkan jauh ke lantai. Seekor katak puru yang masih ada kesan melekit melompat keluar. Makhluk yang menggelikan itu mengundang suara jeritan para pelajar perempuan yang lain pula bergema di dalam kelas. Huru-hara sebentar jadinya apabila ada pelajar yang berlarian mengelakkan diri daripada didekati katak puru yang galak melompat itu. Haikal rasa terpukul dengan tindakan Zaliamimi yang membaling pemberiannya itu. Apa pula silap aku kali ini? Fikirnya kekalutan.
“Naz, kau pergi tangkap katak tu. Simpan dalam bekas katak kita. Jimmy, kau pergi tanya yang lain mana dia orang simpan katak dia orang. Kau letakkan sekali dengan katak kita. Bekas tu besar, muat untuk simpan katak yang lain”, arahnya pantas bertindak. Bunyi-bunyian katak sudahpun mengisi segenap kelas 5 Mercury. Itu suasana yang biasa apabila tiba musim untuk menjalankan eksperimen membedah katak untuk mengkaji degupan jantung. Tikus tidak begitu digalakkan Puan Marliana atas faktor kebersihan dan risiko jangkitan penyakit berbahaya. Farish Adzim dan Xian Lie juga turut membantu untuk meredakan keadaan yang kian meliar. Tertunduk-tunduk Nazrullah mencari keberadaan katak puru tadi. Tatkala dia leka menghadap permukaan lantai, tekun mencari katak puru yang berwarna coklat tua itu, lain pula yang muncul di hadapannya. Sepasang kasut tumit merah hati ditutup sedikit dengan hamparan kain kurung berwarnakan padanan yang sama. Perlahan-lahan dia mengangkat muka dan meluruskan tulang belakangnya, berdiri tegak berhadapan dengan jasad yang dia kenali. “Puan Hazlina…”, panggilnya perlahan.
Tenaga pengajar sekolah itu merenungnya tajam. Pelajar yang lain segera mengunci mulut dan bergegas mendapatkan tempat masing-masing. Haikal dan Jimmy yang sedang sibuk menguruskan katak-katak, membeku di belakang. Haikal menepuk dahi. Habis lah!
“Awak buat apa kat depan ni? Pergi duduk tempat awak. Sekarang!”, marah Puan Hazlina ataupun guru yang terkenal dengan jolokan ‘cikgu Hazel’ oleh pelajar-pelajar tingkatan 5. Nazrullah tidak berpeluang untuk menjelaskan apa-apa lalu dia segera duduk di tempatnya. Masing-masing menjadi pucat teringatkan katak puru yang melompat keluar dari kotak tadi masih belum dijumpai. Setelah diucapkan sejahtera, Puan Hazlina menarik kerusi guru dan melabuhkan punggungnya. Namun pantas beliau mengangkat kembali punggungnya tatkala terasa sesuatu yang basah dan sejuk di atas kerusinya tadi. Beliau menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya beliau apabila terlihat seekor katak puru yang berkedut dan busuk sedang mengembangkan mulutnya yang bulat dan menghasilkan bunyi, merenungnya kembali. “Ya Allah, kataaakkk…..!”, jeritnya ketakutan. Haikal mentertawakan gelagat guru yang garang itu, rupanya takutkan katak. Namun pelajar yang lain menjadi ngeri. Bencana besar pasti melanda.
“Katak siapa ni hah?!”, soal beliau menyeringai. Hampir kesemua pelajar kelas menuding jari ke arah Zaliamimi. Semua ingin membela diri. Haikal kebingungan. Baru sahaja dia ingin mengangkat tangan dan memberi penjelasan. Sayangnya, dia terlambat. Puan Hazlina sudahpun merenung tajam ke arah Zaliamimi. “Mimi…..!!!!”.*
“So, macam mana Mi?”, Tania meluahkan kerisauannya. Zaliamimi yang baru sahaja keluar dari bilik guru mengesat pipinya yang basah. Matanya juga menunjukkan kesan yang dia baru sahaja mengalirkan air mata dengan banyak sehingga matanya itu menjadi sembab. Tiada siapa pun yang tahu dia dipanggil oleh Puan Hazlina selepas kelas Bahasa Melayu tamat tadi. Tapi ternyata, bukan Puan Hazlina seorang sahaja yang ingin berbicara dengannya malah, guru disiplin juga turut berada di sana.
“Aku tak sangka dia buat aku macam ni Nia. Aku tak sangka…”, Zaliamimi memulakan kembali tangisannya. Dia masih mencari-cari apakah salah yang dia lakukan terhadap Haikal sehingga sebegini teruk dia dikerjakan. Dia ingin tahu sebesar manakah silapnya kepada Haikal. Dia buntu. Air matanya deras mengalir. Dia sudah tidak kisah jika ada pelajar yang melihatnya dalam keadaan yang begitu. Dia nekad, akan membalas dendam. Sudah tiba masanya untuk Zaliamimi menjadi lebih agresif. Aku akan pastikan aku menang dalam pertempuran kita Haikal! Zaliamimi bersendirian menuju ke tandas perempuan. Biarlah Tania masuk ke kelas terlebih dahulu daripadanya. Dia mahu menenangkan minda yang sedang sarat dengan nama Haikal.
Zaliamimi melangkah longlai menuju ke bilik darjah 5 Mercury. Rasanya tidak ingin dia masuk ke dalam kelas tersebut selagi Haikal masih wujud. Sepanjang langkah yang diatur, dia ligat berfikir. Haikal tidak habis-habis mengganggu hidupnya, mencemarkan nama baiknya dan paling parah, menikam hatinya. Zaliamimi berfikir-fikir bagaimana caranya untuk membalas perbuatan jahat Haikal kepadanya walaupun dia tidak dididik untuk menyimpan dendam. Dia memilih jalan sendiri untuk menyelesaikan pergelutan antara dia dan Haikal. Dia tidak mahu kes yang berlaku hari ini sampai ke telinga mama dan abahnya. Pasti lebih rumit jika hal seperti itu terjadi. Zaliamimi mengimbas satu persatu wajah-wajah di dalam kelasnya. Gembira benar rakan-rakannya itu bercerita sesama puak sendiri. Mana cikgu Nurfatien? Tidak masuk ke kelas kah dia? Tanyanya sendirian. Pandangannya dilabuhkan kepada Haikal yang sedang berbual-bual dengan sahabat-sahabatnya. Dengan bertemankan bisikan syaitan dan nafsu kemarahan yang menggila, Zaliamimi menuju ke tempat duduk Haikal.
“Siapa punya idea bagi aku katak tadi?”, soalnya merenung pasangan mata yang juga sedang menatap anak matanya. Nada suaranya yang dikawal dengan baik terjejas sedikit. Jimmy yang selesa duduk di kerusi berdiri dan membetulkan sampinnya yang sudah longgar.
“Memperkenalkan, jejaka bijak pujaan ramai, dengan ketinggian 5 kaki setengah, rambut stail pacak tanpa sebarang gel rambut, memiliki renungan mata yang mampu mencairkan ramai gadis. Ini lah dia, Muhammad Haikal bin… err, apa nama bapa kau?”, terang Jimmy bagi memperkenalkan rakannya ala-ala iklan di kaca televisyen. Namun ayat terakhirnya itu tidak dapat dihabiskan kerana kurang mengetahui.
“Nama bapa aku tak payah. Erm, ye cinta. Ada apa?”, tuturnya sopan kepada Zaliamimi. Zaliamimi mendengus geram. Lelaki ini memang tiada perasaan bersalah walau sedikit pun. Dia melihat di sekeliling lagi sebelum memulakan bicara lanjut. Sudah ada yang memerhatikan mereka seperti dapat mengagak sebuah pergaduhan akan bermula lagi. Kelihatan Haikal merapikan rambutnya, dipacak-pacakkan. Zaliamimi meneliti rambut kebanggaan Haikal. Panjang! Zaliamimi menguntum senyuman di dalam hati. Habislah kau kali ini Haikal, desisnya gembira.