“Bos, kau kata nak pergi cari bahan. Ni apa ke benda kita buat dekat Jaya Jusco pula ni?”, Jimmy melontarkan persoalan utama kepada Haikal yang sedang berdiri mencekak pinggang, melihat di sekelilingnya mencari-cari kedai yang ingin dituju.
“Hike, kau nak beli ke? Tak mahal ke? Membazir je Hike”, tegur Nazrullah pula sambil menepuk bahu rakannya itu. Haikal menatap rakan-rakannya dengan pandangan yang menjengkelkan.
“Ikut je lah. Aku dah nampak dah kedai Popular tu. Jom”, panggil Haikal. Popular?! Gila apa si Haikal ini. Ah, melihat akan Haikal yang berjalan lurus menuju ke eskalator untuk tiba ke aras dua terletaknya kedai yang namanya meniti di bibir Haikal sebentar tadi, Jimmy dan Nazrullah membontoti sahaja. Haikal membawa mereka ke bahagian kotak-kotak hadiah. Tersusun pelbagai kotak kertas yang berbeda dari aspek bentuk, saiz dan warna serta rekaan hiasannya. Haikal meneliti setiap satu daripada timbunan kotak-kotak tersebut.
“Mari tolong aku pilih. Kau rasa mana yang sesuai?”, Haikal meminta pendapat namun soalannya tadi tergantung tanpa jawapan. Rupa-rupanya Jimmy dan Nazrullah sempat lagi bergurau senda di hujung rak tersebut. Haikal merenung marah kepada Jimmy yang sedang melutut menghadap Nazrullah yang tersipu-sipu malu bagai anak dara pingitan yang sedang dipinang jejaka kacak. Di tangan Jimmy, sebuah kotak kecil berbalut kain baldu dingangakan penutupnya dan dihalakan kepada Nazrullah.
“Will you marry me?”, ajuk Jimmy seperti dalam drama orang putih. Darah panas Haikal membuak-buak hingga ke kepala sudah.
“Hoi! Yang kau orang berdua menggedik kat situ kenapa?”, sergah Haikal. Pucat lesi muka mereka berdua. Kotak kecil tadi telah tercampak entah ke mana dek terkejut dengan jeritan Haikal. Mereka kembali buat-buat serius memilih kotak-kotak kertas yang berbagai-bagai itu.
“Erm, aku rasa yang ni sesuai”, Nazrullah berpura-pura menilai sebuah kotak yang saiznya sama kecil dengan kotak yang menjadi permainan mereka tadi. Haikal merampas kasar kotak kecil itu. “Yang ini mana muat. Hei, kau orang ingat aku nak beli cincin kahwin ke?”, bentaknya masih marah. Rakan-rakannya yang berdua itu baginya tidak langsung menunjukkan kesungguhan bagi membantunya. Akhir sekali dia sendiri yang memilih sebuah kotak yang berukuran segi empat sama. Kotak yang sederhana besar itu boleh memuatkan isi sebesar 10cmx10cmx6cm. Jimmy dan Nazrullah mulai memberikan perhatian. Kotak yang telah berada dalam genggaman Haikal itu diperhati betul-betul. Ada sehelai renda putih dilekatkan secara melintang di atasnya. Cukup femimin apatah lagi dengan ronanya merah jambu yang lembut. Pasti Zaliamimi akan suka, teka masing-masing dalam hati. “Dah jom kita balik. Aku pilih yang ini”, ujarnya bingkas menuju ke kaunter bayaran.
“Pergi tempat besar-besar macam ni semata-mata nak beli kotak kecil tu je?”, bebel Nazrullah. Sungguhpun tidak berpuas hati, dia kemudiaannya ceria apabila Haikal mengajak mereka untuk makan di restoran segera Mc Donald®, Haikal yang membayar segala bil.*
“Cubaan suara. Satu, dua, tiga. Assalamualaikum dan selamat pagi. Diminta semua pelajar Islam untuk turun ke dewan terbuka sekarang untuk membentangkan tikar dan bersedia bagi bacaan Yassin”, bergema suara lelaki si Farish Adzim memberikan pengumuman penting pada pagi mulia hari Jumaat, penghulu segala hari. Kemudian, mikrofon suara tadi dirapatkan semula ke bibirnya, “Ulang suara, diminta semua pelajar Islam untuk turun ke dewan terbuka untuk bacaan Yassin dan bersedia untuk membentangkan tikar. Eh, hm, tak pe lah, sama je maksudnya tu”, bisiknya tertawa kecil kerana ayat ulangannya diucapkan secara terbalik. “Harap-harap tak ada orang yang perasan”, bisiknya lagi lalu membetulkan lipatan sampinnya dan songkok hitam yang terletak kukuh di atas kepalanya. Setelah mikrofon tersebut diletakkan kembali ke tempat asalnya, Farish Adzim segera menuruni anak tangga kerana dia harus menbantu rakan yang lain pula untuk mengangkat gulungan tikar yang berpuluh itu untuk dibentangkan ke atas simen rata berdebu dewan terbuka sekolah. Para pelajar perempuan pula ada yang rajin untuk turun awal ke dewan terbuka bagi mengejar ganjaran membentangkan tikar, menyediakan tempat yang selesa bagi para guru dan pelajar yang lain.
Pada pagi hari seperti inilah suasana dalam kawasan sekolah mereka menjadi permandangan yang sangat menyejukkan mata. Ketertiban para pelajar dalam kemas berpakaian, sopan mengikut garisan yang telah ditetapkan syarak. Sifat saling membantu begiru terserlah apabila mereka meringankan tulang untuk membentangkan tikar-tikar yang disimpan rapi di dalam stor berdekatan. Belumpun para guru dan Ustaz Ahmad Alif tiba, mereka sudah siap menyediakan segala yang patut. Tikar yang sudah terbentang luas dan kemas tersusun sehingga tiada kelihatan permukaan simen kelabu sedikit pun, naskah-naskah Yassin yang sudah tersedia di setiap penjuru dan mikrofon berserta pemegangnya juga sudah terpacak menanti ketua bacaan sahaja kini.
Tidak ketinggalan, Haikal dengan temannya yang berdua itu. Sangat kemas bersampin walaupun tidak memakai songkok. Baju melayu yang hanya dipakai khas pada hari Jumaat dilipat lengannya sehingga ke paras siku menambahkan lagi kekacakan sebagai lelaki melayu terakhir. Mereka bertiga berjalan seiring menuju ke dewan terbuka sebaik sahaja semua hal telah dibereskan. Memang mereka sengaja melambat-lambatkan ketibaan di dewan terbuka atas dua sebab utama. Pertama, mereka tidak mahu membentang tikar-tikar kerana bagi mereka, sudah ada terlalu ramai pelajar yang menolong ataupun lebih jelas sebenarnya, malas. Kedua, mereka ingin kesemua pelajar tiba dahulu khususnya yang perempuan agar mereka menjadi perhatian pelajar-pelajar perempuan yang sentiasa melihat pelajar lelaki yang lalu di hadapan mereka lantaran tempat duduk pelajar perempuan di belakang barisan tempat duduk pelajar lelaki. Macam biasa, test market.
Zaliamimi dan Tania duduk di barisan yang paling hadapan kerana mereka awal tiba di dewan terbuka malah, mereka lah antara pelajar yang membantu menyiapkan dewan terbuka awal pagi tadi. Seketika kemudian Zaliamimi terlihat kelibat Farish Adzim sedang mengambil tempat duduk di sebelah Ustaz Ahmad Alif yang menghadap para hadirin. Wajah suci pelajar lelaki pujaan hatinya itu ditatap tanpa berkelip.
“Handsomenya dia pagi ni Nia. Aku tak boleh kalau tengok lelaki pakai baju melayu ni. Handsome sangat. Cair aku..”, katanya sambil meleret-leretkan pandangan matanya tatkala mata Farish Adzim bertentangan dengan matanya. Malu pula apabila pelajar lelaki itu perasankan dirinya yang sedang mencuri pandangan dari jauh. Tania hanya tersenyum. Sudah masak dengan perangai sahabatnya yang memang memendam rasa suka terhadap Farsih Adzim sejak mereka ditempatkan di dalam kelas yang sama selepas tamat Peperiksaan Menengah Rendah. Sejurus kemudian ada kelibat lain yang menghalang renungan matanya kepada Farish Adzim. Penat dia menggerakkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan namun wajah pujaannya si Farish Adzim tidak juga kelihatan. Zaliamimi mendengus geram. Kalau bukan kerana barisan guru perempuan yang sedang duduk dihadapannya itu, pasti dia sudah menjerit marah pelajar lelaki itu. Lama pula dia berdiri. Bukannya langsung duduk. Masih tercari-cari ruang kosong di sekelilingnya. Pelajar lelaki tadi menoleh ke belakang.
“Huh! Haikal rupanya. Kacau betul lah”, marah Zaliamimi kepada Tania. Namun rakannya itu hanya membisu. Terpaku dengan kekemasan serta kekacakan Haikal yang menyarungkan baju melayu sekolah buat pertama kalinya. Zaliamimi berang. “Kau ni dah kenapa?”, tanyanya kebingungan melihat Tania yang mulutnya terbuka luas. Zaliamimi menolak dagu Tania ke atas untuk menutup kembali mulut yang ternganga itu. Tania mengelipkan matanya berkali-kali.
“Yang ni baru handsome Mi…”, ujarnya masih mengamati Haikal dari belakang. Zaliamimi mensepetkan matanya. Bahagian mana pula pada Haikal itu yang dikatakan kacak pada Tania? Dia menggelengkan kepala dan mengeluh ringan. Perbualan mereka terhenti pabila Ustaz Ahmad Alif memulakan bacaan Yassin rutin setiap minggu pada pagi itu.
“Kau ada baca poster tu Mi?”, tanya Tania setelah mereka masing-masing duduk di kerusi mereka di dalam kelas. Selepas bacaan Yassin pagi tadi, sempat lagi Ustaz Ahmad Alif menyampaikan pesanan ringkas daripada Ketua Panitia Matapelajaran Bahasa Melayu yang sedang menggalakkan para pelajar untuk mencipta puisi dan cerpen bagi Minggu Bahasa Melayu yang bakal dilancarkan pada minggu hadapan. Zaliamimi berfikir sebentar. Memang dia cintakan kesusasteraan. Lagi pula, dia memang gemar menyertai pertandingan seperti ini kerana kurang persaingan akibat sekolah mereka yang tidak menawarkan aliran sastera. Maka, kuranglah pelajar yang mencintai bahasa yang menjadi jiwa bangsa itu. Zaliamimi melihat Junaidah yang sedang tekun membaca. Pasti rakannya yang satu itu juga turut serta. Junaidah memang sudah menjadi lawan tradisinya. Sentiasa bersaing untuk merebut tempat pertama. Tidak ramai pelajar yang sudah tiba di dalam kelas mereka. Masih ada yang sedang memanjat tangga dan ada yang singgah di kelas lain sebentar. Zaliamimi yang sedang memikirkan sesuatu mematikan fikiran. “Haikal!”, sebutnya apabila tuan empunya nama lalu di hadapannya.
“Awalnya orang tu naik kelas. Habis je Ustaz bagi ucapan, terus je naik kelas kan Jimmy, Naz?”, usik Haikal menjeling manja kepada Zaliamimi. Zaliamimi melihat sekeliling. Mana Tania? Junaidah juga sudah tiada di tempat duduknya. Tahu-tahu sahaja, yang berada di dalam kelas 5 Mercury hanya dirinya dan Haikal. Sedang dia memerhati sekeliling, Haikal datang mendekati. Tangannya di sorokkan ke belakang tubuh. Zaliamimi buat-buat tidak nampak gerak-geri Haikal yang semakin dekat lalu berdiri ingin keluar dari kelas. Rasa janggal pula berduaan seperti itu. Dengan lelaki yang paling dia benci pula. Namun langkahnya dihentikan oleh panggilan Haikal.
“Mimi…”, Zaliamimi menoleh. Riak muka Haikal yang seperti anak kecil dimarahi si ibu itu membuatnya ingin segera tergelak. Namun ditahannya.
“Apa kau nak?”, jawabnya kasar. Meninggikan ego.
“Cinta, di pagi jumaat yang mulia ini…”
“Cakap straight to the point je la! Berkias bagai lagi”, kata-katanya dipotong oleh Zaliamimi yang melenting. Haikal mengeluh. Buat perangai pula dia ni, gumamnya. Haikal menahan sabar.
“Cinta, kita nak minta maaf sebab… sebab kita kenakan awak pasal gula-gula tu. Kita harap awak sudi terima pemberiaan kita ni, ikhlas tahu”, ujarnya lembut sambil menghulurkan kotak yang dibelinya tiga hari yang lalu. Tapi tidak dilihat langsung oleh Zaliamimi. Dia memeluk tubuhnya dan memandang ke luar. Geram juga Haikal diperlakukan sebegitu. Sabar Haikal, sabar… Dia mengingatkan dirinya.
“Cinta, awak dengar tak ni? Kita minta maaf… Awak maafkan tak?”, pintanya lagi masih berusaha untuk bersabar. Akhirnya Zaliamimi menoleh juga. Hati perempuannya memang mudah dilentur dengan pujuk rayu dan wajah sepuluh sen yang dipertaruhkan Haikal.
“Boleh”, jawabnya tersenyum plastik. Haikal sudahpun berbunga bahagia. Yes! Bisiknya perlahan.
“Tapi bagi kita sejuta!”, tekan Zaliamimi. Haikal membulatkan matanya. Pula dah…
“Cinta, kita mana ada sampai sejuta. Hmm… masuk dalam buku 555 je lah dulu. Boleh?”, pujuknya lagi. Haikal masih ingin berlembut walaupun dilihatnya Zaliamimi semakin meninggikan ego. Niatnya untuk meminta maaf digenggam erat. Kalau bukan kerana itu, sudah lama dibalingnya kotak itu ke arah Zaliamimi. Zaliamimi tersenyum. Akhirnya Haikal mahu tunduk kalah. Dengan cara senjata yang paling rapuh, merajuk. Selama tiga hari dari mereka bertengkar hari itu, dia langsung tidak bercakap dengan Haikal. Menjeling pun tidak.
“Boleh lah. Letak je kotak tu bawah meja”, arahnya menarik kembali pandangan dari Haikal. Haikal menurut sahaja perintah Zaliamimi yang bagai permaisuri itu. Setelah memberikan isyarat kepada Jimmy dan Nazrullah, rakan-rakannya itu pun mulai masuk ke kelas dan diikuti Tania dan yang lain-lain. Zaliamimi duduk di tempatnya. Pelik, tiba-tiba pula pelajar 5 Mercury memenuhi kelas yang tadinya kosong. Zaliamimi mengesan sesuatu yang aneh lalu bertanya Tania.
“Nia, kau pergi mana tadi?”, namun selamba sahaja Tania menjawab, “lepak kat luar lah dengan dia orang yang lain. Jimmy dengan Naz dah tolong bawakan kita bahan eksperimen tu”.
“Ye ke?”, Zaliamimi teruja. Lega rasanya masalah yang menghantui fikirannya sudah selesai. Memang mereka berdua ada berpesan kepada Tania agar tidak mencari bahan tersebut kerana mereka telah berjanji untuk mendapatkannya.
“Eh, kau pula, bukan main dating lagi dengan Hike. Ada apa-apa ke?”, usik Tania pula. Pertemuan antara Haikal dan Zaliamimi tadi memang sudah dirancang oleh mereka termasuk Tania juga bersubahat. Umpannya, bahan eksperimen tersebut. Kerana itulah dia sanggup. Lagi pula, dia yakin benar bahawa Haikal tidak akan membahayakan atau menyakitkan Zaliamimi. Dia sudah melihat segalanya dari tingkap kelas.
“Tak ada apa lah. Dia nak minta maaf. Tahu dia takut. Kelakar aku tengok dia pujuk aku”, tawanya berderai apabila teringat riak wajah Haikal sebentar tadi.
“Apa dia bagi kau?”, soal Tania ingin tahu. Nalurinya yang suka mengambil tahu hal orang lain begitu membuak-buak ingin mengetahui apakah isi di dalam kotak yang diberi oleh pelajar nakal itu.
“Entah. Apa kata kita buka?”, Zaliamimi turut berasa teruja. Haikal, Jimmy dan Nazrullah melihat dari belakang. “Aku harap dia suka”, ujar Haikal perlahan. Bukan main lagi debarannya sehingga telapak tangan Jimmy dan Nazrullah digenggamnya erat-erat. Zaliamimi dilihat mencapai kotak berwarna merah jambu lembut itu. Semuanya menanti penuh berdebar. Zaliamimi membuka penutup kotak kertas tadi dengan perlahan-lahan dan diintip sedikit. Namun masih tidak jelas apakah isinya lalu dibuka habis penutup tadi. Setelah kotak tadi terbuka sepenuhnya...
“Aaaaaaaaaarrrrrhhhhhhhhhhhhh…………!”