Haikal nekad, dia tidak boleh meneruskan egonya. Cukuplah dia tahu bahawa Zaliamimi sudah dapat pengajarannya.
“Woo.. Tunggu dulu teacher. Err.. ape orang putih cakap, hold on. Ha, hold on teacher”, Haikal sekali lagi menyampuk. Miss Wenny Lee memberikan perhatian kepada Haikal pula.
“What is that boy? Do you have something to say?”.
“Actually teacher, err..”, dia berhenti sejenak memikirkan ayat untuk dibicarakan dalam bahasa asing itu. Lama dia mencari-cari perkataan yang sesuai namun tidak berjumpa. “Ah, cakap melayu je lah. Sebenarnya teacher, kan hari ni friendship day. So…”.
“So…?”, Miss Wenny jadi tidak sabar untuk tahu yang selanjutnya.
“So, dia orang tengah jual gula-gula untuk dikirimkan kepada kawan masing-masing. Zaliamimi kan seorang kawan yang baik, jadi dia dapat gula-gula dari kawan dia”, Haikal tersenyum kambing seperti yang dia selalu lakukan. Zaliamimi mengangkat muka tidak menyangka Haikal berkata sedemikian. Jimmy dan Nazrullah yang disenggol oleh Haikal mengiyakan kenyataan Haikal sebentar tadi membuatkan guru mereka itu percaya dengan penipuan licik mereka.
“Ohh.. I see..” , ujarnya termakan dengan kata-kata pelajar yang belum beliau kenali.
“Yes, you see…”, sambung Haikal seakan memerli Miss Wenny Lee. Namun guru itu tetap seperti biasa, tidak dapat menangkap sindiran tersebut. Sudah terbiasa barangkali.
“Okay lah. Class, please continue writing. Mimi, you can have your candy back. Why you never explain to me? Haiyo..”, beliau memulangkan semula gula-gula tersebut kepada Zaliamimi dan menyambung kembali apa-apa yang tergendala. Zaliamimi tidak mahu lagi berpaling kepada Haikal. Perasaannya bercampur aduk. Dia sendiri juga tidak mengerti. Harus aku marah kah, berterima kasih kah, benci kah, suka ataupun harus aku maafkan? Zaliamimi terjatuh ke lembah penuh tipu daya. Jika sekali sahaja dia tersilap pilih, semuanya tidak akan jadi perkara yang sama seperti sekarang nanti. Begitu juga dengan Haikal. Apa yang sedang terjadi? Mengapa aku diserang perasaan dendam dan belas kasihan dalam satu rasa yang sama?
Matapelajaran yang menyusul selepas Bahasa Inggeris adalah matapelajaran Biologi yang diajar oleh Puan Marliana. Waktu Bahasa Inggeris yang masih bersisa kerana Miss Wenny Lee yang keluar awal dari kelas mereka digunakan dengan sebaik mungkin. Untuk apa lagi kalau bukan untuk mereka bergosip, berborak kosong dan tiada satu pun di antara mereka yang membuka buku untuk mengulangkaji bagi menghadapi subjek yang seterusnya.
“Tak!!”, gula-gula yang bersaiz lebar itu meretak akibat hentakan kasar Zaliamimi. Kalau sahaja gula-gula itu bernyawa, pasti ia akan menjerit kesakitan atau paling tidak pun, pasti ia menangis kesedihan kerana tugasnya untuk membahagiakan pembelinya menemui kegagalan. Haikal bagaikan terpanah petir terkejut dengan hentakan objek keras di atas mejanya. Pantas sahaja dia mengamuk.
“Hoi! Kau ni kenapa hah?”, tanyanya kasar. Mata bertentangan mata. Anak api yang membakar bebola mata Zaliamimi kini menjadi persaingan mata hitam Haikal yang kegelapannya payah diungkapkan. Masing-masing tenggelam dalam dasar emosi amukan yang tidak berpenghujung. Hanya menunggu mereka lemas sahaja namun Haikal dan Zaliamimi masih bertahan melawan panahan anak mata pihak lawan. Tiada siapa yang mahu tunduk.
“Ni, ambil balik gula-gula kau. Aku tak hadap! Kau ingat aku tak tahu ke Haikal? Kau sengaja nak kenakan aku lepas tu kau nak berlagak hero depan semua orang. Kan?!”, sergahnya lantang. Rakan-rakan yang lain yang seperti memakai alat pendengaran jauh pantas menangkap suara Zaliamimi lalu hampir kesemua memberikan perhatian. Pergaduhan memang sentiasa dialu-alukan namun jarang sekali tercetus di antara pelajar yang bertentangan jantina seperti ini. Ia jarang berlaku. Haikal masih membisu membiarkan sahaja Zaliamimi marah sendirian. Lagak selambanya yang seperti tidak bersalah itu menambah lagi kepanasan hati Zaliamimi dan bahangnya kian terasa seisi kelas. Zaliamimi nekad, dia mahu lelaki yang sedang duduk selesa di hadapannya ini melawan kata-katanya.
“Haikal! Sekarang aku tanya kau, apa salah aku kat kau? Kenapa kau tak habis-habis ganggu hidup aku? Apa salah aku..?”, nada suaranya berubah menjadi perlahan dan bergetar. Zaliamimi tewas dengan perasaannya sendiri. Dia sudah mencuba semampunya untuk menahan dengan semua sikap Haikal kepadanya namun dia sudah tidak kuat lagi. Haikal mengangkat wajahnya menatap gadis yang menjadi bahan dendamnya. Menangiskah dia? Zaliamimi melihat sekelilingnya. Ramai sudah yang menonton babak drama percuma mereka. Sebelum mereka melihat lebih banyak lagi, Zaliamimi berlari keluar dari kelas mereka dan diikuti Tania, meninggalkan Haikal terkebil dan kaku. Mata-mata yang tadinya leka memerhatikan mereka memandang tajam Haikal. Di antara pemilik mata-mata itu adalah Syarena, Jimmy, Nazrullah dan Farish Adzim.
“Apa?”, tanya Haikal kepada mereka dengan wajahnya yang tenang itu, tetap tidak mahu mengalah. Mereka yang lain hanya menggelengkan kepala dan mencapai buku-buku Biologi untuk beredar ke Makmal Biologi apabila tersedar jam dinding sudah menunjukkan jam 12. Kalau lewat, pasti akan dibebel oleh Puan Marliana yang terkenal dengan hobinya yang suka membebel itu. silap haribulan, beliau membebel setengah jam, mengajar lima belas minit.
“Sudah lah Mi. Kau tak boleh lemah macam ni. Kalau kau menangis, nanti dia akan rasa menang. Dah, dah, basuh muka kau”, pujuk Tania kepada Zaliamimi di dalam tandas pelajar perempuan. Sungguhpun dipujuk begitu, Zaliamimi tetap masih mahu meluahkan isi tangisan yang lama dipendamnya. Sejak pelajar lelaki itu datang ke sekolah mereka, Zaliamimi sering menjadi kacau-bilau. Emosinya terganggu dan hidupnya tidak tenang di sekolah. Apa yang dia mahukan?*
“Cikgu bagi tempoh tiga hari untuk kamu dapatkan bahan untuk eksperimen kita yang seterusnya. Cikgu tak kisah kamu nak beli ke, ambil ke, tangkap ke… yang penting setiap pasangan kena ada, boleh?”, ujar Puan Marliana memberi penjelasan tentang arahannya. Zaliamimi yang berpasangan dengan Tania mengerutkan dahinya. Mana hendak dicari bahan tu?
29 pelajar berjalan santai menuju ke kelas mereka semula setelah waktu matapelajaran Biologi tamat. Masing-masing riuh bercerita tentang eksperimen yang akan mereka lakukan hari Jumaat dalam minggu tersebut. Begitu juga dengan rakan tiga serangkai yang semakin mencipta populariti di dalam kelas mereka.
“Apa kata kita bagi satu kat Mimi”, Haikal memberikan cadangan. Jimmy dan Nazrullah menghentikan langkah kaki mereka tanda terkejut. Atau buat-buat terkejut.
“Eh, bos. Satu pun payah benar nak cari. Kau nak bagi free-free je kat Mimi?”, ujar Jimmy membantah. Sempat lagi Haikal mentertawakan kepelatannya.
“Biar aku yang cari lah. Sebagai tanda minta maaf aku kenakan dia tadi”, jawabnya menundukkan wajah ke lantai apabila terlihat Zaliamimi dari jauh. Jimmy dan Nazrullah yang mulanya kebingungan melihat tingkah laku Haikal, mulai memahami. Mereka memberi laluan kepada Zaliamimi dan Tania. Wangian yang dipakai oleh pelajar-pelajar perempuan tadi menyusup terus ke dalam kalbu. Tidak pasti yang mana satu kah wangian yang dipakai oleh Zaliamimi, Haikal hanya menikmatinya sahaja lembutnya wangian yang menyinggah. Lalu dia menyambung semula perbualannya bersama Jimmy dan Nazrullah.
“Aku tak kisah. Jimmy, Naz, petang ni juga kita pergi cari faham? Siapa tak datang petang ni, bukan lelaki lah tu”, tekan Haikal. Rakannya yang berdua itu memandang satu sama lain.
“Nak pergi mana Hike?”, soal salah satu daripada mereka. Haikal tersenyum dan mengangkat keningnya. “Ada lah…”.
Tiga pelajar itu menjadi pelajar yang terakhir tiba ke kelas. Apabila mereka melangkah masuk ke dalam kelas 5 Mercury, kelihatan seorang guru sudahpun menunggu ketibaan mereka semua. Beliau tampak tenang walaupun pen penanda papan putih yang digenggamnya sedang dihentak-hentakkan perlahan ke meja guru tempat beliau duduk. Tudung labuh berona merah jambu muda yang disarungnya sedikit pun tidak membuatkan beliau terasa panas atau rimas. Setelah beliau yakin ke semua pelajar kelas tersebut telah tiba, beliau meletakkan kembali pen penanda tadi. Pelajar yang bukan Islam segera menyusun langkah menuju ke kelas 5 Earth manakala pelajar Islam daripada kelas itu sudahpun menanti lama di dalam 5 Mercury. Ketua kelas 5 Earth, Hardie diminta untuk mengetuai ucapan salam kerana dia adalah pelajar lelaki dan bukannya Syarena walaupun dia ketua dalam kelas tersebut.
“Assalamualaikum yaa ustazah”, tuturnya dan diikuti dengan yang lain. Ustazah Almunawarah. “Waalaikumussalam, duduk semua”, jawabnya lembut.
“MasyaAllah kelas 5 Mercury. Kenapa anda semua lewat?”, beliau bertanya sambil menegakkan kedua-dua belah kakinya yang tidak kelihatan. Syarena yang berani itulah bersuara untuk menerangkan keadaan. Puan Marliana yang rajin membebel itu tidak perasankan waktunya yang telah tamat. Rancak benar beliau bercerita tentang eksperimen mereka yang sepatutnya mereka jalankan pada tingkatan 4 namun tidak sempat. Oleh kerana itulah beliau begitu menekankan para pelajar untuk melakukan eksperimen itu juga.
Ustazah Almunawarah melebarkan skop pandangannya ke seluruh luas kawasan bilik darjah 5 Mercury, mengira-ngira jumlah pelajar yang hadir pada hari itu. “Mana lagi seorang?”, tanyanya ditujukan kepada sesiapa yang mengetahui. Namun mereka semua menggeleng-gelengkan kepala. Tidak lama kemudian Zaliamimi yang sel memorinya tiba-tiba memberi informasi segera mengangkat tangan meminta perhatian. “Ustazah, dia tak sihat hari ini”, jawabnya berlaku jujur. Ustazah Almunawarah mengangguk mengerti dan memulakan kelasnya yang tinggal sedikit masa sahaja lagi. Berkali-kali beliau menatap jam tangan yang dililitkan pada pergelangan kirinya. Jika hendak siteruskan dengan bab yang baru, memang tidak sempat. Beliau tidak mahu mengambil waktu matapelajaran guru lain pula. Maka, terpaksa lah beliau meninggalkan tugasan sahaja kepada pelajar-pelajarnya agar kelas yang seterusnya berjalan dengan lancar.
“Baiklah, ustazah tengok macam tak sempat je ni. Kelas yang seterusnya ustazah akan mula dengan bab Ibadat. Anda semua baca bab Perkahwinan. Ustazah tidak mahu nanti ada yang masih tidak tahu jika ustazah tanya. Faham anda semua?”, anak-anak muda di hadapannya hanya menganggukkan kepala. Suka dengan waktu belajar yang pendek. Mereka memang gentar sedikit jika berada di dalam kelas Ustazah Almunawarah kerana beliau suka menduga ilmu agama yang wujud dalam diri pelajar-pelajarnya. Beliau mengemas buku-buku ilmiahnya dan berlalu pergi setelah diucapkan dengan kata ‘syukran jazilan’.*
“Haikal….!!!”, bergegar kediaman Asfizahrah dengan jeritan Zaliamimi lalu mengejutkan seluruh isinya. Zahrah segera mendapatkan puteri sulungnya itu sementara adiknya yang sedang tidur terjaga daripada mimpi indahnya.
“Anak mama kenapa?”, ujar Zahrah kerisauan. Dilihat puterinya itu bagai kerasukkan syaitan amuknya. Zaliamimi membisu. Matanya sudah merah berlopakkan air jernih. “Mimi benci dia ma. Benci sangat-sangat!”, bentaknya seraya memeluk ibunya. Zahrah menjadi semakin gusar. Dia tidak pernah melihat tingkah laku anaknya yang seperti ini sejak mereka mengambil keputusan untuk memindahkan Zaliamimi dari tadika di kampung ayahnya, Simpang Renggam.
“Siapa sayang, bagitahu mama”, pujuknya lembut, membelai-belai rerambut lembut puterinya.
“Kawan sekolah Mimi. Haikal”, jawabnya ringkas.
Zahrah berfikir sejenak. Dia kenal nama itu. Tidak pernah luput dari ingatannya walaupun sudah 10 tahun berlalu. Budak nakal itu… “Haikal?”.