“Sejuta?! Gila ke apa kau ni? Kau ingat aku jutawan suka hati nak minta? Tak ada, tak ada. Demand pula aih. Aku minta dua ringgit je”, bentaknya tidak puas hati. Tidak padan betul diminta dengan nilai sebegitu padahal untuk dua ringgit sahajapun.
Zaliamimi berpeluk tubuh. Dia ingin melangkaui batas kesabaran Haikal sekaligus ingin menyakitkan hatinya. “Hm, kalau tak ada, nampaknya nanti ada lah ceti kena marah dengan cikgu Fatien sebab tak kutip duit..”, sindirnya sengaja ingin menimbulkan amarah. Haikal yang sudah tahu dia sedang diuji oleh Zaliamimi berlaku tenang dan bersahaja lalu menjawab, “cinta, kalau kita boleh bagi awak sejuta, kita tak lah minta awak dua ringgit. Faham?”. Haikal dengan sengaja memanjangkan lehernya ke muka Zaliamimi sehingga gadis itu tersandar ke bahu kerusinya. Zaliamimi mengalah dan mengeluarkan dua keping nota Ringgit Malaysia yang bernilai satu setiap nota. Haikal tersenyum puas. Kali ini aku menang lagi Mimi, dia berkata-kata di dalam hati.
Seiring dengan masa yang mengesot perlahan, seorang demi seorang guru masuk ke kelas untuk melaksanakan amanah masing-masing dan sempat meninggalkan tugas untuk dilakukan di rumah sebelum mereka beredar meninggalkan kelas. Bertambah-tambahlah keluhan para pelajar yang menganggap guru-guru mereka itu sengaja ingin mendera mereka walhal ia semua dilakukan untuk peningkatan mereka masing-masing juga. Apabila tiba sahaja waktu untuk para pelajar mengisi perut mereka yang pantas sahaja kosong itu, ke semuanya berkejar-kejar menuju ke kantin sekolah dan di antara pelajar pertama yang menjejakkan kaki ke kantin ialah Zaliamimi dan Tania.
Bahagia benar mereka berdua berjalan longlai bagai itik pulang petang di sepanjang koridor bangunan sehingga tidak sedar langsung bahawa Haikal bersama Nazrullah dan Jimmy berjalan di belakang mereka berdua. Cepat sahaja tiga rakan itu menjadi akrab kerana mereka sangat sehati, sejiwa dan yang paling utama sekepala.
“Tania…”, laung Haikal dari belakang. Tania segera menoleh ke arah punca suara tadi kerana pada sangkaannya ada yang menyebut namanya. Sedetik sahaja dia memusingkan kepala, kelihatan pelajar tiga serangkai tadi bersalaman sesama mereka sendiri.
“Tahniah, tahniah. Hehehe ”, sengih mereka sambil tidak menghiraukan Tania yang sedang berang. Entah apa yang yang mereka ‘tahniahkan’, Tania kebingungan. Hendak dimarah, Zaliamimi pula yang menahan.
“Sudahlah Nia, kau pun tahu kan perangai dia orang tu”, pujuknya menggenggam erat pergelangan tangan Tania.
“Mi…”, kali ini Zaliamimi pula yang menoleh kerana mendengar suara yang sama sedang memanggil namanya. Tapi perkara yang terjadi tetap sama. Di saat dia menoleh pelajar-pelajar lelaki tersebut, mereka seakan-seakan bercakap sesama sendiri.
“Miaw… alah, comel-comel.. aku tak tahu pula ada kucing comel kat sini, kan Naz, Jimmy?”, ujarnya sambil memandang ke suatu arah. Zaliamimi menjadi marah yang teramat. Haikal ini kalau sehari tidak menganggunya pasti tidak lengkap sehari itu agaknya.
Lama dia memandang Haikal tajam sambil mencekak pinggangnya yang ramping itu sehinggakan Haikal yang buat-buat tidak perasankan Zaliamimi, membalas pandangan tajam itu.
“Kau apa hal pandang-pandang aku macam tu?” ujarnya kasar kononnya tidak puas dengan perlakuan Zaliamimi dan membuat muka tidak bersalah.
“Ewah, ewah, aku pula yang kau marah. Yang kau tu dah tak ada kerja ke kacau orang hah?”, Zaliamimi pantas membentak Haikal. Rakan-rakan yang turut memegang watak sampingan dalam pergaduhan tersebut hanya berdiam diri.
“Siapa yang kacau kau? Perasan! Kau tak nampak aku tengah layan kucing ni?”, balasnya kembali tidak mahu beralah. Zaliammimi melihat sekeliling Haikal.
“Mana ada kucing kat sini!”. Haikal pula yang terdiam.
“Ni! Inilah kucing aku”, katanya sambil mengelus manja dagu Jimmy. Jimmy pula pandai sahaja memainkan watak ‘kucing’nya dengan menjadi manja tiba-tiba seperti lagatnya seekor kucing.
Zaliamimi sekali lagi terpaksa mengalah. Kalau dua-dua tidak mahu beralah, alamatnya sampai ke esok lah pergaduahan mereka ini tidak surut. Lagi pula, dia kan sedang kelaparan. Kalau lewat sedikit pasti kantin sekolah menjadi sesak. Lalu dia menapak langkah menuju ke destinasi sebenarnya dan diikuti oleh Tania. Tengoklah Haikal, aku akan pastikan kau rasa sakit yang aku rasa! Marahnya dalam hati.
Sebaik sahaja mereka menghabiskan hirupan air sirap mereka yang terakhir, mereka segera beredar ke kelas mereka yang terletak di aras yang paling atas. Terburu-buru mereka mendaki anak tangga kerana khuatir kelewatan untuk masuk ke kelas. Maklumlah, sekarang ini mereka tidak lagi boleh bergantung kepada bunyi loceng sekolah gara-gara sistem yang baru diperkenalkan oleh pengetua mereka, Tuan Haji Hussien iaitu Pengurusan Masa Mandiri. Zaliamimi dan Tania masing-masing mengambil tempat bagi bersedia untuk matapelajaran yang seterusnya, bahasa Inggeris. Guru yang berbangsa Cina ini sangat halus suaranya membuatkan pelajar-pelajar sering tertidur apabila beliau sedang mengajar. Oleh kerana sikapnya yang lemah lembut itu, beliau juga sering dibuli pelajar-pelajar lelaki terutamanya tapi jangan leka,kerana apabila sekali sahaja dia marah, mudah sekali untuk dia melangkah keluar daripada kelas.
“Lepas ni cikgu siapa hah?”, Nazrullah bertanya tanpa melihat dahulu jadual kelas mereka yang sudah tercatat waktu matapelajaran berserta nama guru sekali.
“Lepas ni, bahasa Inggeris lah”, kedengaran jelas sekali bunyi huruf ‘R’ yang disebut oleh Jimmy yang pelat menyebut huruf tersebut. Haikal sempat lagi mentertawakannya.
“Apa nama cikgu tu?”, tanyanya lagi.
“Erm.. lupa lah. Dah lama dia tak mengajar kita orang. Nama dia… Miss Winnie kot”, teka Nazrullah secara acuh tidak acuh. “Eh, apa pula, Miss Wendy la”, bidas Jimmy dengan yakin. Akhir sekali Haikal yang dari tadi tekun menelaah jadual kelas mereka bersuara, “kau orang ni pandai-pandai je. Miss Wenny la”. Mereka berdua tersengih.
Bagaikan diseru, guru yang mereka bualkan itu sudahpun terpacul di hadapan muka pintu hadapan bilik darjah 5 Mercury. Langkahnya yang ringan membuatkannya tiba di destinasi yang diingini dengan sepantas kilat. Miss Wenny Lee meletakkan buku-buku rujukan yang dirasakan terlalu berat di atas meja. Syarena yang sudah semakin selesa menyandang jawatan ketua melakukan tugas hariannya- memberikan ucapan selamat kepada guru yang memakai cermin mata tanpa bingkai itu.
“You may be seated students”, arahnya ringkas. Beliau sempat memberi arahan untuk para pelajar mengeluarkan buku latihan masing-masing bagi menyalin semula segala isi yang dicoretkan pada papan putih sebelum tanpa menghiraukan keriuhan suara-suara sumbang yang tidak pernah berhenti untuk mengeluh. “These are not for me you see. These are for your own good you see?”, bebelnya tatkala terdengar bunyi keluhan tersebut. Memang dua perkataan itulah kegemarannya, ‘you see’. Sehinggakan pelajar-pelajar suka benar meniru gayanya dengan menyebut dua perkataan tersebut di setiap akhir kata-katanya kerana mereka memang sudah menjangkakan itulah penghujung bagi ayatnya. Nazrullah memetik jarinya.
“Haa.. aku dah tahu kita panggil teacher apa”, ujarnya teringatkan hal yang sudah lama luput dari dalam ingatannya.
“Miss you see!”, sahut Jimmy teruja. Untung sahaja guru mereka itu tidak terdengar akan satu lagi kod nama yang pelajarnya cipta. Namun Haikal tidak ambil pusing langsung dengan perbualan rakan-rakannya itu kerana leka menatap Zaliamimi yang nun jauh di hadapan. Zaliamimi yang akur pada arahan tadi melihat ke dalam ruang mejanya. Tangan kiri dan kanannya meraba-raba sementara deria sentuhan yang sensitif pada permukaan jemarinya mengenalpasti bentuk sebuah buku namun jemarinya itu mengesan sesuatu objek yang lain.
“Apa pula ni?”, soalnya bersendirian. Tania yang duduk di sebelah bagaikan terhipnotis sudah untuk terus leka menulis patah-patah perkataan serupa dengan apa yang ditulis oleh Miss Wenny Lee. Zaliamimi diburu rasa ingin tahu yang terlalu dalam lalu dia mencapai objek tadi keluar dan membeleknya dengan cermat. Ada sekeping nota yang tersisip padanya. Dibacanya dengan nada separuh berbisik. “Senyumanmu yang manis”. Kertas nota yang secebis itu diterbalikkan demi mencari nama penghantarnya namun hampa. Dia masih tidak berpuas hati lalu gula-gula yang berbalut material berupa plastik nipis itu pula dibelek-belek. Cuma tertera jenis perisanya sahaja. “Super duper sour and salty”.
“Apa?! Kurang ajar!”, marahnya mendadak. Kata senyuman aku manis tapi bagi gula-gula yang berperisa masam. Masin sekali pula tu. Zaliamimi menyinga tanpa menyedari Miss Wenny Lee yang dari tadi leka menulis menoleh kepadanya. Tahu sahaja beliau bahawa pelajarnya yang satu itu belum menulis sepatah kata pun, beliau segera mengatur langkah menuju ke meja Zaliamimi yang sudah kaku ketakutan. Walaupun guru ini sangat lembut orangnya, akan terserlah lah wajah ngeri beliau apabila ada yang membuatnya marah. Gula-gula yang mempunyai pemegang itu dirampas dengan rakus daripada genggaman tangan Zaliamimi.
“Will you explain this?” beliau menatap Zaliamimi dengan pandangan yang setajam pisau pemotong daging menerusi kaca matanya yang berkilau sambil tangan kanannya mengangkat tinggi gula-gula tersebut. Zaliamimi kehilangan kata. Tekaknya terasa sudah terlalu kontang dan suaranya bagai turut sama-sama kekeringan. Matanya yang bundar itu membulat tanpa dipaksa. Habislah aku, gumamnya. Kesemua pelajar yang sedang leka menyalin mengalihkan fokus mereka kepada adegan yang dirasakan lebih menarik. Di sebalik kesunyian yang tercipta secara automatik itu, kedengaran suara nakal Haikal dari belakang.
“Haa... you see?”, sindirnya dipakejkan sekali dengan senyuman nipis yang paling sinis. Zaliamimi memalingkan pandangannya kepada yang bersuara. Tahulah dia siapa pengirim gula-gula tadi.
“Mimi is it? I can take you to Lembaga Disiplin for this you see? How can you have candy in class?”, Miss Wenny Lee meluahkan amarahnya. Zaliamimi tunduk membisu. Tiada sebarang jawapan menyusul dari bibirnya yang kian kehilangan warna dek ketakutan. Aku mengaku kalah Haikal. Kau menang. Lagi. Zaliamimi berserah. Matanya juga sudah merah menanti masa. Haikal melihat semua itu walaupun jarak di antara mereka yang cuma beberapa langkah itu menghalang sedikit penglihatannya kepada Zaliamimi.