Dua pasang mata kini merenung Zaliamimi tajam meminta penjelasan. Teragak-agak Zaliamimi bersuara. Apa yang hendak aku terangkan sekarang? Darahnya menjadi turun naik.
“Budak tu pengawas je mama, abah. Biasalah, kan Mimi datang lewat pagi tadi”, Zaliamimi berlaku jujur. Nahas lah kau adik! Memang sengaja ingin kenakan orang.
“Adik, I don’t like the way you accuse your sister like this. What is wrong with you?”, Zahra membela Zaliamimi manakala Asfi pula, sudah termati kata.
Anaknya itu bingkas bangun. Matanya sudah berkaca dan kian merah. Lancang sahaja mulutnya berbicara, “why must everything are right when it comes to her ma? Who am I to you? A black sheep?!”. Belumpun sempat sesiapa berkata apa-apa, gadis yang sedang berperang dengan emosi itu berlarian mendaki anak tangga dan menutup kasar pintu bilik di atas. Zaliamimi memohon untuk beredar mengikuti langkah adiknya.
“Adik, boleh aku masuk?”, pinta Zaliamimi setelah memulas perlahan pintu bilik adiknya itu. Meskipun dia tidak berkata apa-apa yang mengatakan dia bersetuju mahupun tidak, Zaliamimi tetap melangkah masuk seraya duduk di sebelah adiknya itu. baru sahaja dia mengambil nafas dan membuka mulut untuk memujuk adiknya, si adik terlebih dahulu berkata, “don’t talk to me”. Zaliamimi akur. Salah sendiri juga, siapa yang menyuruhnya untuk mengadu domba? Masing-masing membisu setelah itu. Malam yang terasa panjang berakhir tanpa sebarang kata.*
Rutin harian bagi sesi persekolahan pagi bermula untuk kedua kalinya bagi tahun tersebut. Tidak seperti hari yang sebelumnya, para pelajar kelihatan sudah tidak membakar semangat. Sudah ada yang berani untuk tidak memakai tali leher walaupun mengikut peraturan sekolah yang tercatat di dalam buku peraturan mengatakan bahawa setiap pelajar lelaki dan pelajar perempuan yang memakai uniform bukan baju kurung wajib memakai tali leher sepanjang masa sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan. Setelah loceng berdering nyaring dan doa dibacakan melalui gemaan pembunyi suara yang terletak pada dua bangunan utama, para pelajar kini bersiap sedia untuk menimba ilmu daripada para pengajar yang mulia. Namun bukan semuanya yang telah bersedia, ragam pelajar, manakan gemar waktu untuk guru meluaskan pengetahuan. Begitulah keadaannya di dalam bilik darjah 5 Mercury. Sentiasa dipenuhi dengann suasana hingar-bingarnya.
Haikal yang lengkap beruniform sekolah dan paling penting, sudah berkasut putih duduk di tempatnya sambil mengimbau kembali peristiwa semalam sewaktu dia menghabiskan pendeklamasian sajaknya. Rakan-rakannya yang dua orang itu segera menyambut kehadirannya ke tempat duduk dan berebutkan kertas sajak yang digenggamnya.
“Eh, sabarlah, bagi aku tengok dulu”, marah Nazrullah kepada Jimmy yang juga ingin melihat kandungan kertas itu kerana pada penglihatan nmereka sebelum Haikal dipanggil ke hadapan, dia juga sama seperti mereka, belum melengkapkan ayat sajak masing-masing.
Setelah kertas bersaiz A4 milik Haikal berada dalam tangan mereka, mereka berdua terdiam. Ternyata kertas itu kosong. Suci tanpa terpalit sebarang abjad pun. Lalu bagaimanakah dia…?
“Oh…. Kau ada hati dekat Mimi ye?”, perli Jimmy sambil melebarkan senyumannya lalu jelaslah kelihatan lesung pipitnya di kedua-dua belah pipi. Nazrullah masih terpaku tanpa berkata apa-apa. Kagum kepada Haikal yang bisa bersajak spontan. Dia menggelengkan kepalanya tanda tidak mahu percaya dengan apa yang telah dilakukan Haikal sebentar tadi.
“Diam lah, aku saja je lah nak kenakan dia”, balasnya segera ingin menutup malu. Rakannya hanya berdiam dengan senyuman yang tidak berhenti.
Haikal terbangun dari khayalannya. Payah benar untuk dia menerangkan situasi sebenar kepada dua orang rakannya itu. Dia tidak mahu perlakuannya itu disalah ertikan. Mana mungkin dia suka pada gadis yang dipanggil Mimi itu. Seketika kemudian Haikal melabuhkan pandangan matanya kepada Zaliamimi yang sedang duduk di barisan paling hadapan. Memang itulah Zaliamimi yang dikenalinya 10 tahun yang dahulu. Pelajar perempuan yang memang gemar duduk di barisan paling hadapan. Ya, sudah 10 tahun dia terpisah dengan gadis yang dulunya budak kecil yang selalu diusik dan dibulinya sewaktu mereka sama-sama menghadiri sekolah tadika yang sama. Dia masih ingat lagi akan keadaan Tadika Kemas Kampung Simpang Renggam.
Di antara kanak-kanak comel yang ada di situ, Zaliamimi lah yang paling comel baginya. Tapi pada waktu itu Haikal masih terlalu kecil untuk menyuarakan rasa sukanya terhadap Zaliamimi oleh itu, dia meluahkan dengan cara mengusiknya setiap hari sehingga pada suatu hari, Zaliamimi menangis teresak-esak lantaran rambutnya ditarik olah Haikal. Habis semua getah rambut yang terikat kukuh pada rambut hitamnya tercabut dan rambutnya menjadi kusut. Dia malu apabila ke semua kawan-kawannya mentertawakannya. Begitu kuat sekali Zaliamimi menangis sehinggakan tidak mahu lagi dipujuk oleh guru tadika. Ibu bapanya terpaksa menjemputnya balik pada tengahari itu juga. Tidak mungkin dia lupa akan peristiwa itu di saat ibu bapa Zaliamimi merenung tajam kepadanya gara-gara Zaliamimi menuding jari kepadanya dan sejak daripada hari itu, dia sudah tidak lagi suka pada Zaliamimi. Dia benci dengan semua kanak-kanak perempuan walaupun sehingga kini, semua pelajar perempuan yang dijumpanya tiada satu pun yang dapat melunturkan rasa benci itu. Baginya, semua perempuan sama, kaki mengadu. Namun tidak dapat dinafikan, sejak dari peristiwa itu juga, Haikal menjadi rindu kepada Zaliamimi kerana Zaliamimi telah berpindah pada keesokkan harinya. Rindu untuk menganggunya dan sekarang, mereka bertemu kembali. Masa untuk membalas dendam! Gumamnya sendirian.
“Hoi, Ah Long! Jom kita kutip duit. Cikgu Fatien suruh kutip seorang dua ringgit untk bulan ni”, sergah Jimmy penuh semangat. Di tangannya sudah ada sebuah buku catatan untuk mencatat nama-nama rakan-rakannya yang telah membayar wang bulanan kelas. Haikal menatap dengan teliti buku catatan tersebut. Ia nampak sangat baru. Jimmy memang bersungguh-sungguh untuk menjadi bendahari kelas, bisiknya dalam hati.
“Ha, jom lah. Kita mula dari….”, matanya meliar ke sekeliling kelas.
“Dari hujung sana”, katanya sambil jari telunjuk dihalakan ke arah tempat duduk Zaliamimi yang paling hujung, terletak betul-betul di sebelah pintu masuk kelas. Pelajar-pelajar yang lain masih lagi riuh bercakap sesama sendiri termasuklah ratu gosip sekolah, Tania. Aen Shaufi dan Izian pula sedang menyibukkan diri menghias kelas dengan jadual bertugas yang baru sahaja disiapkan semalam. Tanpa menghiraukan sesiapa di dalam kelas tersebut, Haikal laju menapak kaki menuju ke meja Zaliamimi dan Tania.
“Hai cinta..”, sapa Haikal sambil tersengih-sengih. Zaliamimi cepat sahaja menjadi sakit hati.
“Apa cinta-cinta? Suka-suka hati je panggil kita cinta. Aku tak habis lagi tahu marah dekat kau”, ujarnya berang. Lelaki di hadapannya ini berlagak seperti tidak membuat salah langsung. Haikal tersenyum bagaikan kucing miang. Suka benar dia mendengar ayat marah Zaliamimi. Persis dengan seperti waktu dulu-dulu di tadika.
“Alah, relax lah cintaku Zalia. Opps, salah, Mimi..”, Zaliamimi sudahpun mencebik marah.
“Kau nak apa pagi-pagi datang sini hah?”, tengking Tania pula. Dia juga naik darah melihat rakannya diganggu Haikal si budak nakal.
“Ssshhh… diam lah becok. Aku tengah cakap dengan cinta aku ni. Sibuk je”, katanya meletakkan jari hampir ke bibir Tania. Tania menepis kasar jemarinya.
“Di mana kita tadi cinta? Oh, ya, aku datang nak kutip duit dua ringgit. Cikgu Fatien suruh”, katanya sambil menghulurkan tangan kanannya.
“Boleh,tapi bagi aku sejuta!”, mintanya lantang. Haikal terkesima. Sejuta?!