Salahkah aku mencintaimu
Walau ku tahu ku tak dihatimu
Egokah aku memilikimu
Walau ku tahu kau tak memilihku
Putaran lagu tersebut membuatkan Diana terjaga dari lenanya. Berat-berat matanya membukakan kelopak. Kepalanya terasa sakit dan dipipinya sudah ada darah kering yang mengalir dari kepalanya. Dia kenal lagu itu. lagu yang sentiasa dipasang semasa mereka berduaan duduk di bawah pohon besar yang rendang.
Ku harap tuhan cabut nyawamu
Agar tak ada yang milikimu….
Diana menjadi semakin takut. Dia cuba untuk bersuara namun mulutnya ditutup kemas oleh sehelai kain putih. Dia melihat sekeliling. Ruang itu kosong dan sepi tanpa sesiapa pun.
“Nora sayang…”, Diana semakin meremang. Suara itu….
“Nora… kenapa Nora buat Zarul macam ni? Nora suka tinggalkan Zarul seorang-seorang. Lama Zarul cari Nora tahu?”, bisik Zarul ke telinga Diana sambil mengelus rerambut Diana. Diana mencuba untuk melepaskan diri tapi hampa, Zarul sudahpun mengikat ketat tangan dan kakinya ke kerusi tempat dia duduk.
“Zarul sayang Nora… Nora sayang, jangan lari dari Zarul lagi ye? Kita kahwin. Kan tak lama lagi majlis kita?”, pinta Zarul dan kali ini, sebuah kucupan hinggap ke kepala Diana. Diana menangis ketakutan. Berkali-kali dia meronta minta dilepaskan tapi keadaan masih juga sama.
“Janji dengan Zarul, Nora tak tinggalkan Zarul lagi okay? Nora sayangkan Zarul kan?”.
“Mmmmm….!”, Diana ingin bersuara namun jeritannya tidak didengar.
“Apa dia sayang?”, Zarul mendekatkan cuping telinga ke mulut Diana yang bertekup itu. tak lama kemudian kain putih yang berlilit di kepala Diana itu dileraikan. Tanpa berfikir panjang lagi Diana menjerit dengan lantang sekuat kudrat yang berbaki waktu itu.
Menyedari tindakan Diana yang baginya melampau, Zarul menampar keras pipi Diana sehingga berdarah bibir munggilnya.
“Tolonglah Zarul.. lepaskan saya. Saya bukan Nora!”, rayu Diana sambil menangis. Kepalanya terasa pusing akibat tamparan hebat tadi. Pipinya juga terasa pijar dan sudahpun menunjukkan kesan kemerahan.
“Nora sayang... Kau tahu macam mana aku sayangkan dia?!”, bentak Zarul. Diana membisu. Hanya esakkan halusnya sahaja kedengaran.
“Dia tak pernah cakap dia ada orang lain. Dia terima cinta aku! Aku tahu dia memang berada dalam genggaman tangan aku dah. Puncak gunung tu jadi saksi! Tapi.. seminggu sebelum sepatutnya aku sah jadi suami dia, dia tinggalkan aku ikut lelaki lain. Kau tahu apa aku rasa?! Kau tak tahu! Sebab kau pun sama je!”, marah Zarul bagai kerasukkan. Sungguhpun begitu, matanya sudah bertakungkan air. Berat penderitaan kau Zarul tapi aku bukan Nora, bisik Diana.
“Zarul.. kalau awak sayangkan dia, awak patut lepaskan dia. Biar dia bahagia”, pujuk Diana.
“Sshhh… Nora sayang, Nora kena banyak rehat. Kita kan kejap lagi nak kahwin. Nora kena cantik-cantik..”, kata Zarul kembali hilang dari alam nyata sambil mengemas rapi rambut Diana. Diana panik, dia risau sekiranya Zarul benar-benar akan menunaikan kata-katanya. Diana tak mungkin akan rela!
“Saya bukan Nora! Lepaskan saya Zarul. Walau apa pun awak buat, hati saya, cinta saya tetap milik Akim!”, Diana membentak. Api kemarahan Zarul semakin menyala.
“Baik. Kalau kau tak nak bagi cinta kau pada aku, lelaki lain pun tak akan dapat!”, marah Zarul lalu dia mencapai sebilah pisau yang disisipkan di kocek belakang seluarnya.
“Zarul, jangan….!!!”..
Diana terkulai. Di dadanya tertusuk pisau tadi. Darahnya terpancut keluar dari tertanamnya pisau pemotong daging itu serta dari mulutnya juga bermuntahkan darah pekat. Namun Zarul belum habis lagi meluahkan rasa kecewanya. Pisau yang terpacak itu dia tarik perlahan-lahan sehingga ke bahagian perut Diana yang seperti ikan ketiadaan air itu. Zarul membenamkan tangan kanannya ke dalam dada Diana dan menarik keluar jantung Diana yang mengepam lemah lalu dipeluknya erat ke dada bidangnya. Zarul tersenyum puas.
“Hati Nora dah jadi milik Zarul…”.
***************************************************************************
Angin yang bersiulan merdu bertukar kepada sapaan bayu yang semakin kencang. Dedaunan mulai menari-nari mengikut irama sang angin dan ada pula yang gugur dari tangkai lalu berterbangan mengikut sahaja arah angin. Keadaan di atas kawasan pergunungan itu tidak pernah sedingin itu. Kepulan awan yang kian menebal bertukar menjadi kelabu menandakan bila-bila masa sahaja hujan akan datang menjengah.
Tiada orang di situ pada waktu tersebut. Namun di suatu sudut di puncak gunung itu berdirinya seorang gadis sedang berpeluk tubuh. Daripada susuk tubuhnya, sesiapa sahaja yang terlihatnya pasti dapat meneka bahawa dia sedang menangis dek bahunya yang terhenjut-henjut.
“Abang… sampai hati abang buat Nurul macam ni”, sayup-sayup kedengaran suara tangisan gadis itu.
“Nora?”, ada suara yang menegurnya. Dia segera berpaling.
“Kenapa menangis ni? Nah, ambil tisu ni”, tisu yang dihulurkan disambut oleh Nurul.
“Awak tak sejuk ke? Nanti awak demam. Nah, pakai baju panas saya”, katanya lagi seraya meletakkan baju panas itu ke bahu Nurul yang hanya mendiamkan diri.
“Terima kasih. Tapi nama saya bukan Nora. Saya Nurul. Awak?”, akhirnya Nurul beranikan diri untuk bersuara.
“Nama saya Zarul”, jawabnya sambil meleretkan senyuman...
-
TAMAT -
No comments:
Post a Comment