Dengan Berbesar Hati..


Noraku Sayang 1

Permandangan indah dari puncak gunung yang dingin itu agak kelam sedikit lantaran selimut kabus yang menyelaputi seluruh daerah itu. Kelihatan beberapa pelancong bersama pasangan masing-masing sedang memadu cinta sambil menghayati keindahan ciptaan Yang Maha Esa. Ada yang sedang duduk berduaan di sudut-sudut kaki gunung, ada yang sedang bergambar sesama sendiri bagi mengabadikan kenangan mereka di sana dan tidak kurang juga, ada yang segelintir pelancong sedang berjalan mengelilingi kawasan pergunungan. Memang begitulah suasananya. Sentiasa hidup dengan kehadiran pelancong samada dari luar mahupun dalam negara malah, ada juga yang menjadikan kawasan tersebut sebagai port untuk melepak lantaran rumah mereka berhampiran sahaja dengan tempat pelancongan yang terkenal dengan ladang teh itu.
            Di tengah-tengah puncak gunung tersebutlah duduknya seorang perempuan. Sudah lama dia bersimpuh di bawah pohon yang rendang di situ dan tiada seorang pun yang menegurnya. Mungkin mereka juga mengerti bahawa perempuan tersebut sedang mengamati permandangan yang tidak ternilai.
            “Akim.. kenapa you buat I macam ni? Kenapa you  tinggalkan I? apa salah I pada you?”, tangis perempuan tadi teresak-esak sambil memeluk sebuah kotak musik. Pemberian lelaki yang dipanggil Akim tadi barangkali. Perempuan itu menekup mukanya dan kembali meraung sekuat hati. Berkali-kali dia menyebut nama lelaki tadi.          
            “Nora?”, sapa seorang jejaka kepada perempuan tadi sekaligus menghentikan tangisannya. Perempuan itu mengangkat wajahnya menatap sebuah jasad yang berdiri di hadapannya kini. Dia tidak mengenali jejaka yang bertubuh  sasa ini.
            “Tak. Nama saya bukan Nora. Saya Diana. Awak dah salah orang ni”, jawab perempuan tadi. Benar, namanya adalah Diana dan bukannya seperti yang disebut oleh lelaki tadi, Nora. Lelaki tersebut terdiam sebentar.
            “Maaf, saya sangka awak ni orang yang saya kenal tadi”, jawabnya ringkas. Diana hanya mengangguk lemah dan menyambung kembali ratapan dan tangisannya kerana dia yakin pasti jejaka di hadapannya itu berlalu pergi. Namun dia silap. Lelaki tersebut masih tidak berganjak malah merenung wajahnya dalam-dalam.
            “La, kenapa menangis ni? Nah, ambil ni”, katanya sambil menghulurkan kertas tisu. Diana menatapnya dengan seribu tanda tanya. “Saya tahu tisu ni boleh dapat di mana-mana tapi berguna kan untuk masa sekarang?”, katanya lagi sambil tersenyum. Diana tertawa kecil. Lelaki di hadapannya ini berjaya meleraikan rasa kesedihannya. Lalu dengan menghadiahkan senyuman, dia mencapai pemberian lelaki itu.
            “Boleh saya duduk?”, pinta lelaki itu. Diana sekadar mengangguk lagi. Tapi kali ini, diiringi dengan senyuman manis. Sudah berhari-hari dia datang ke situ untuk meluahkan kekecewaan terhadap peristiwa dia ditinggalkan kekasihnya, Akim, namun baru kali ini ada yang menghampirinya.
            “Awak tak sejuk ke? Kenapa tak pakai baju panas? Nanti awak demam. Nah, awak pakai baju panas saya ni”, ujarnya sambil meletakkan baju panasnya yang berwarna merah di atas kedua-dua belah bahu Diana. Mata Diana membulat. Caringnya lelaki ni, walaupun dia tak kenal aku, desis Diana dalam hati. Baju panas itu dia kemaskan ke tubuhnya.
            “Nama saya Zarul”, tuturnya memecah suasana yang tiba-tiba dikuasai kesepian. Zarul menatap gadis di sebelahnya. Masih lagi wajah Diana dirundung kesuraman. Masalah yang bagaimana sedang gadis ini lalui? Berat sangatkah sehingga dia sanggup duduk termenung di tempat yang sejuk seperti di dalam peti ais ini? Ah, aku harus bertanya kepada dia, bisik hati Zarul. Lirikan matanya termati pada kotak musik yang dipeluk erat Diana. Kotak apa tu?
            “Awak… kalau boleh saya bertanya, yang tu kotak apa? “, tanyanya tergagap-gagap. Diana merenung kotak yang berada lama dalam genggamannya. Seketika kemudian barulah dia menjawab pertanyaan Zarul yang  sudah dari tadi lagi setia menanti jawapan.
            “Kotak musik ni, Akim yang bagi masa ulangtahun hubungan kami yang ketiga. Katanya, setiap kali saya rindukan dia, saya buka je kotak musik ni. Sebab lagu yang bermain apabila kotak ni dibuka adalah lagu kegemaran kami berdua”, jawabnya sambil tersenyum mengimbau kembali kenangan indahnya bersama Akim.
            “Romantiknya. Mesti awak sayangkan dia sangat-sangat kan?”,  Zarul melontarkan soalan yang kedua pula tapi kali ini respon Diana semakin merosot. Diana kelihatan sayu sekali apabila hal mengenai ‘sayang’ diajukan sebentar tadi.
“Saya terlalu sayangkan dia, awak. Tapi..”, ayatnya menemui jalan mati.
“Tapi apa?”, soal Zarul semakin teruja. Diana merenungnya tajam. Ada dendam disebalik matanya yang bundar itu.
“Tapi dia tak sayangkan saya! Dia curang! Dia pergi tinggalkan saya dengan betina murahan tu!”, marahnya tidak semena-mena meledak. Terkejut Zarul dibuatnya. Hampir sahaja dia melompat dek jantungnya yang tiba-tiba bagai terkena renjatan elektrik berkuasa voltan yang tinggi. Zarul mengurut-urut dadanya bagi menenangkan diri. Dilihatnya Diana kembali menangis.
“Sudah lah tu Diana, jangan menangis lagi. Saya faham perasaan awak. Kekasih saya pun tinggalkan saya”, suara pujukan Zarul berubah menjadi sayu. Diana meredakan tangisannya. Dia mengangkat mukanya melihat wajah Zarul meminta penceritaan lebih lanjut.
“Dia kata jangan cari dia lagi sebab dia dah bahagia dengan lelaki lain”, sambungnya lagi.
“Saya bersimpati”, kata Diana lantas menepuk perlahan bahu Zarul.
“Diana, awak jangan sedih-sedih lagi. Kotak tu, awak buang lah jauh-jauh”, katanya sambil jari telunjuknya menuding ke arah kotak musik tersebut. Diana mengerutkan dahinya.
“Tak boleh. Kalau saya buang, saya tak dapat dengar dah lagu kegemaran kami! Kenapa pula awak suruh saya buang?”, marahnya sambil mengeratkan lagi pelukannya.
“Sebab lepas ni, awak akan dengar lagu yang baru pula. Lagu kegemaran kita”, kata Zarul sambil tersenyum. Di situ lah detik permulaan kepada buah perkenalan antara Zarul dan Diana, dan puncak gunung yang bermandikan embun segar itulah saksi persahabatan mereka.
            Hari demi hari yang dilalui oleh mereka menyemai benih-benih cinta yang kini semakin mekar berbunga. Mereka berdua sering dilihat duduk berduaan di puncak gunung tersebut. Tidak hairan lah, memang resam orang sedang dilamun cinta. Panas kah, sejuk kah, sudah tidak terasa lagi oleh lapisan kulit yang paling nipis sekali pun. Mungkin jika mereka berada di kutub utara juga tidak terasa kesejukan yang mengigit-gigit sel-sel kulit seperti itu.
            Pada hari itu, mereka duduk di bawah pohon rendang itu lagi. Lagu ‘egokah aku’ nyayian Wali Band berkali-kali diputarkan menemani perbualan mereka berdua. Kononnya, itulah lagu tema percintaan mereka. Suasana kelihatan cerah sekali pada hari itu dek kehadiran sang suria yang gagah menghujani kawasan pergunungan itu dengan panahan cahayanya. Zarul yang sedari tadi berbaring di atas riba Diana begitu tekun menghayati bait-bait lagu kesukaannya itu. namun penghayatannya terhenti tatkala Diana bersuara.
“Zarul, kenapa Zarul suka sangat dengan lagu ni?”, tanyanya. Dia memang kenal benar dengan lagu yang menjadi pilihan Zarul itu dari hari pertama mereka saling berkenalan lagi. Zarul yang memilih lagu tersebut kerana menurutnya, lagu itu sesuai dengan situasi mereka. Namun setelah lirik lagu tersebut dihayati betul-betul, Diana menjadi seram. Bagaikan orang yang benar-benar obses dalam percintaan, fikirnya. Selama ini, dia tidak pernah mencuba untuk menterjemah maksud lagu tersebut, dia hanya menyanyikannya kerana susunan lagunya yang mengusik jiwa.
            Zarul membuka matanya dan menatap wajah ayu Diana. Dia tersenyum simpul lalu segera menukarkan posisinya kepada duduk bersila di sisi Diana. “Sebab Zarul nak Diana jadi milik Zarul”, jawabnya ringkas lalu mengeluarkan sebentuk cincin dari dalam poket bajunya.
“Diana, dah lama kita kenal kan? Awak pun tahu yang saya dah lama sayangkan awak. Saya harap awak terima cinta saya ini. Sudikah awak menjadi suri dalam hidup saya?”, pinta Zarul dengan penuh harapan dan debaran. Di hulurnya cincin emas bertakhta berlian itu dekat kepada Diana.
“Zarul, maafkan saya. Saya tak boleh terima lamaran awak ni”, jawab Diana tersekat-sekat. Dia mengalihkan pandangannya daripada kilauan cincin tadi. Zarul terkesima.
“Apa? Tapi kenapa Diana? Saya sangat sayangkan awak”, pujuk Zarul. Ada nada hiba kedengaran daripada pujukannya itu. matanya sudah berkaca. Dia benar-benar tidak memahami kerana dia yakin Diana akan menerima lamarannya setelah sekian lama dia memendam rasa. Dia yakin bahawa Diana juga mencintai dirinya namun dia mungkin malu untk menyuarakannya.
“Saya tahu tu Zarul tapi, saya masih belum dapat lupakan Akim. Dalam hati saya ni, saya masih sayangkan dia”, akhirnya kejujuran soal hati Diana terbongkar.
“Jadi, selama ni kau anggap aku ni teman sandaran kau je la? Kau ni tak ada hati dan perasaan ke?!”, tengking Zarul membangkitkan Diana daripada igauan kepada kenangannya bersama Akin dahulu. Terkejut dengan tingkah Zarul yang berubah menjadi kasar, Diana segera bangun dari duduknya.
“Saya minta maaf Zarul. Awak lelaki yang paling baik saya pernah kenal tapi, cinta saya masih pada Akim”, katanya lalu mengatur langkah beredar meninggalkan Zarul.
“Tiada siapa yang boleh tinggalkan aku! Kau nak pergi mana tu?!”, jeritnya lagi dengan penuh lantang namun tiada siapa yang dapat mendengar suaranya kerana tidak ramai pelancong mahupun orang tempatan di kawasan itu kerana cuaca yang panas.Mendengarkan suara Zarul yang semakin mengganas itu, Diana mulai diburu resah. Dia percepatkan langkahnya apabila menyedari bahawa Zarul sedang mengekorinya dengan tenungan yang tajam. Zarul pula terasa bagai gadis di hadapannya ini sedang menguji kesabarannya. Lalu dia pun mengatur langkah seribu bagi mendapatkan Diana yang agak jauh darinya. Semakin dia berlari, semakin dekat jaraknya kepada Diana.

 Diana yang ketakutan berlari sambil menolah belakang untuk memastikan bahawa Zarul masih jauh daripadanya namun alangkah terkejutnya dia apabila terlihat yang Zarul sebenarnya sudah hampir dengannya. Semasa dia leka mengatur langkah, dia terpijak reranting kering lalu tersembam ke bumi hijau. Dengan pantas dia memalingkan tubuhnya menghadap Zarul yang sudahpun berdiri di hadapannya sambil memegang ranting kayu besar. Wajah Diana menjadi pucat lesi.
“Jangan Zarul. Saya mohon”, namun rayuannya itu tidak berkesan malah merangsang respon kepada Zarul untuk mengangkat tinggi kayu tersebut.
“Jangan…!!!”. Debuk! Diana pengsan.

No comments:

Post a Comment

Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.