“Dan sebaik-baik manusia adalah hamba Allah yang sentiasa memperbaharui taubatnya, walaupun dosa yang telah dilakukan sebesar kuman pun. Ingatlah, Allah senantiasa membuka pintu taubatNya untuk hamba-hambaNya. Tidak pernah terlambat bagi sesiapa pun yang ingin bertaubat kecuali apabila tiba hari kiamat. Astaghfirullahal a’zim. Sama-sama lah kita bertaubat wahai pendengar sekalian. Allah itu maha pemurah lagi penyayang. Ingatlah Allah walau di mana kita berada dan Allah akan lebih mengingati kita. InsyaAllah”, sayup-sayup kedengaran suara penyampai radio di dalam bilik Alfira sehingga menitik airmatanya. Ya rabbi, aku telah terkandas jauh dari jalanMu yang lurus. Aku khilaf ya Allah. Aku banyak melakukan dosa. Aku telah melupakanMu ya Allah. Aku telah lupa pada kurniaanMu padaku, kemudahan yang telah Kau berikan, kebahagiaan yang Kau berikan. Aku tidak bersyukur kepadaMu. Aku telah melakukan larangan kerasMu. Adakah lagi ruang bagiku untuk bertaubat ya Allah?
“Maka dengan itu, jika kita ingin bertaubat adalah wajib bagi kita untuk mengambil kira tiga syarat taubat yakni pertama, berhenti daripada melakukan maksiat tersebut. Ini adalah langkah yang paling penting kerana tiada guna untuk kita bertaubat apabila masih melakukan dosa tersebut. Yang kedua adalah kita harus ada rasa menyesal dengan maksiat yang telah dilakukan. Berdoa banyak-banyak kepada Allah SWT dan haruslah kita menempelak diri kita yang banyak melakukan dosa. Dan langkah yang paling mustahak ialah, istiqamah. Maknanya, kita mestilah bertekad untuk tidak mengulangi lagi maksiat yang telah dilakukan. Berzina contohnya, kalau orang telah melakukan zina, memang sukar untuk tidak mengulanginya. Kerana itulah Allah telah melarang penzinaan. Kerana ia sebahagian daripada ketagihan yang memudaratkan”, sambung penyampai radio tersebut lagi. Alfira termenung sendirian bertemankan airmata. Peringatan sebentar tadi menusuk tepat ke dasar hati Alfira. Aku harus bertaubat, tegasnya.*
“Sshhhyyy...”, Alsahara meletakkan jari telunjuknya ke bibir memberi isyarat kepada Alzahri sewaktu mereka ingin memasuki bilik kakak mereka. “Kakak tengah solat ye kak Sahra?”, tanya Alzahri seakan memahami. Alsahara mengangguk lalu mengucap, “Alhamdulillah ya Allah”. Akhir-akhir ini, dia sering kali melihat kakaknya itu memakai telekung bagi menghadapNya. Bukannya tidak pernah, namun sudah lama dia tidak melihat kakaknya menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Mungkin inilah petunjuk yang telah Allah berikan kepada kakak untuk dia kembali ke landasan yang benar. Alfira juga semakin rajin untuk membaca surah Yassin bukan sahaja pada malam jumaat namun hampir setiap malam. Mana tidaknya, dia berseorangan di dalam bilik tanpa berbuat apa-apa. Alsahara juga ada menemaninya jika dia sudah habis mengulangkaji pelajaran. Setiap perkembangan pada Alfira akan dia sampaikan kepada ibu mereka.
“Kakak, tengok apa yang Sahra belikan untuk kakak”, katanya sambil mengeluarkan senaskah majalah khas untuk ibu-ibu hamil. Alsahara kelihatan sangat teruja semasa memberikan majalah itu kepada kakaknya. Namun kakaknya itu hanya tersenyum tenang. Majalah yang dihulurkan dia letak ke sisinya. Alsahara kebingungan. Adakah kakaknya tidak gembira dengan bantuan yang cuba dia berikan? Dia melihat wajah tenang kakaknya itu dalam-dalam. Ada sendu di dalam anak mata tersebut.
“Sahra...”, ujarnya seperti tidak bermaya. “Bukan semua orang yang beranak, dapat survive. Kalau ya pun, mesti dengan susah payah. Itupun dengan kesakitan yang teramat. Antara orang yang dapat survive tu ialah ummi”, Alfira membalas pandangan Alsahara. “Kakak selalu ingat akan pesan ummi, buat baik kepada ibu bapa. Jangan pernah derhaka sebab.... Sebab Allah itu Maha Adil. Sesiapa yang menderhaka, Allah akan beri balasan cash di dunia. Kakak derhaka pada ummi, Sahra dan sekarang, kakak tengah rasa beratnya hukuman dari Allah..”, kata Alfira lagi. Alsahara yang sayu melihat keadaan kakaknya itu sudahpun mengalirkan airmata walaupun setelah ditahan. Dia menggosok lembut belakang kakaknya. Namun Alfira dilihat sungguh tenang.
“Kakak, bawa-bawakan beristighfar. InsyaAllah, Allah sudi menerima taubat kakak. Allah kan Maha Penyayang?”, ucapnya bagi memulihkan semula semangat kakaknya yang telah hilang. Namun tiada respon daripada Alfira. Dia hanya membisu membuatkan adik perempuannya itu cemas. “Kakak? Kakak okay ke?”, ujarnya kerisauan.
Seketika kemudian barulah Alfira bersuara, “Sahra..”. suaranya kedengaran putus-putus. “Ye kakak, kenapa ni?”, sahut Alsahara lalu menggenggam erat tangan kakaknya yang kian sejuk.
“Kalau apa-apa jadi pada kakak, Sahra jaga ummi baik-baik ye? Sampaikan pada ummi yang kakak sayangkan ummi sangat-sangat”, tuturnya lagi. Kedua-dua belah kelopak matanya sudah bertakungkan airmata hangat.
“Kakak, apa yang kakak cakap ni? Ingat kakak, ajal maut itu di tangan Allah. Kakak tak boleh lemah macam ni. Kakak kena kuat demi kami semua. Demi anak yang kakak kandungkan!”, marah Alsahara. Dia tidak mahu kakaknya berfikiran yang bukan-bukan walaupun hakikatnya dia juga kerisauan tentang kata-kata kakaknya yang mungkin ada kebenaran.
“Tak Sahra. Kakak tahu...mma ma maut akan menjemput kakak bila-bila masa saja sekarang”, kata Alfira sambil separuh mengerang. Tangannya menekan kuat di bahagian perut sehinggakan dia tertunduk dek menahan kesakitan.
“Kakak? Kenapa ni, kakak rasa sakit ke?”, Alsahara semakin cemas. Dilihatnya pada tubuh kakaknya yang lemah itu. Ada darah yang mengalir di kaki kanan kakaknya.
“Darah!”, jerit Alsahara. “Kakak, kakak bertahan sekejap. Sahra panggil ummi suruh abi bawa pergi hospital ye?”, tambahnya lagi namun pergerakannya terhenti tatkala Alfira menggenggam kuat tangannya, menahan daripada dia segera keluar mendapatkan ibu mereka.
“Biarkan Sahra. Darah ni... bukan baru keluar hari ni”, katanya tenang. Namun riaknya jelas menunjukkan yang dia dalam kesakitan. Alsahara terkejut. Berkerut dahinya mendengarkan kata-kata kakaknya itu. “Apa? Habis, dah berapa lama kakak jadi macam ni?”
Alfira tertawa kecil. “Cukup lama..”, sahutnya sambil tersenyum. “Tak boleh, kakak tak boleh macam ni. Biar Sahra panggil ummi. Keadaan kakak dah parah ni”, katanya lalu bingkas bangun.
“Tak akan ada bezanya Sahra. Kakak tetap akan mati juga. Biarlah kakak pergi dengan perlahan-lahan. Kakak dah tahu semua ni akan jadi. Kakak…”, Alfira terus pengsan. Alsahara yang ingin keluar sekali lagi menghentikan langkahnya. Dia segera mendapatkan kakaknya yang terkulai di atas tilam. “Ummi…!”, jeritnya selantang yang boleh. Matanya meliar ke atas meja sisi milik kakaknya berusaha mencari sesuatu. Penglihatannya tertumpu pada dompet kakaknya. Dengan pantas dia mencapainya dan membuka lipatan dompet tersebut.
Dia membaca perkataan yang tertera di atas kertas yang disisipkan di dalam dengan teliti lalu dompet itu disimpan kemas di dalam koceknya. Tidak lama kemudian ibunya muncul di muka pintu.*
“Macam mana dengan anak saya doktor? Anak dalam kandungannya pula bagaimana?”, tanya Aisyah penuh cemas. Dari tadi dia mundar-mandir di hadapan bilik kecemasan menunggu hasil rawatan daripada doktor tersebut. Arshad pula dipenuhi dengan perasaan gundah gelana yang menggunung. Kedua-dua mereka gagal menenangkan diri. Alsahara dan Alzahri juga turut berada di situ.
“Kami terpaksa melakukan prosedur bersalin secara pembedahan kerana cik Alfira dan bayinya menghadapi komplikasi. Namun peratus untuk bayinya selamat terlalu tipis. Walaupun bayi tersebut dapat diselamatkan, keadaan kesihatannya akan terjejas kerana dilahirkan pramatang. Oleh itu, kami memerlukan kebenaran puan dan encik untuk meneruskan prosedur ini” terang doktor yang berusia separuh abad itu. Arshad hanya mengangguk lemah namun isterinya Aisyah masih tidak berpuas hati.
“Anak saya, doktor?”, tanyanya lagi. Lalu doktor tersebut menjawab, “Cik Alfira mengalami pendarahan yang teruk dan kehilangan banyak darah. Bekalan darah di hospital ini tidak mencukupi buat masa ini untuk menampung keperluan darah Cik Alfira. Kami perlukan penderma darah dengan segera kalau tidak, kita boleh kehilangan Cik Alfira”.
“Saya akan menderma darah, doktor”, kedengaran satu suara yang asing. Aisyah dan Arshad mengalihkan pandangan mereka kepada lelaki muda yang berkata-kata sebentar tadi.
“Anak ni siapa?’, tanya Aisyah kebingungan. Anak muda yang berada di hadapannya ini kelihatan tercungap-cungap seperti baru sahaja selepas berlari.
“Abang Azfar?”, panggil Alsahara apabila terlihat pemuda itu. Azfar sekadar mengangguk mengiyakan.
“Sahra kenal? Siapa ni Sahra?”, soal Arshad ingin tahu kerana seingatnya, dia tidak mengenali pemuda ini jika dia teman Alsahara. Namun anaknya yang satu itu tunduk mendiamkan diri.
“Assalamualaikum, pak cik, mak cik. Nama saya Azfar, lelaki yang bertanggungjawab atas apa yang terjadi pada Alfira”, terang Azfar penuh berdebar. Dia tahu pasti dia akan menghadapi masalah apabila berhadapan dengan ibu bapa kekasihnya itu. Namun dia juga sedar bahawa, ini semua berpunca daripadanya dan anak di dalam kandungan Alfira itu adalah tanggungjawabnya. Oleh kerana itulah dia bergegas ke hospital setelah mendapat panggilan daripada Alsahara.
“Kurang ajar!”, jerit Arshad sambil mengangkat buku lima untuk dihalakan kepada wajah Azfar namun ditahan oleh isterinya. “Abang, ini kan hospital. Yang penting sekarang untuk selamatkan kakak”. Arshad patuh dan segera dia melabuhkan punggungnya di kerusi yang telah disediakan.
“Ikut saya encik”, panggil doktor tersebut sambil meninggalkan mereka anak beranak di sana. Langkahnya diikuti oleh Azfar. “Selama ni, ummi tunggu lelaki tu untuk datang jumpa ummi. Tapi kakak tak mahu bagitahu ummi siapa dia. Macam mana dia boleh datang sini Sahra?”, tanya Aisyah lagi. Kali ini persoalan tadi ditujukan kepada Alsahara pula. Terkejut juga sebenarnya melihat jejaka tersebut mengetahui perihalAlfira yang dimasukkan ke hospital. Arshad yang sedikit tenang turut memberikan perhatian kepada Alsahara, menanti jawapan daripadanya.
“Sahra jumpa nombor telefon abang Azfar dalam dompet kakak. Dah lama kakak nak call abang Azfar tapi ummi rampas telefon kakak”, jawabnya menundukkan semula wajahnya kerana takut dimarahi. Aisyah terjatuh dalam penyesalan yang terlalu dalam. Dia teringat akan tindakannya yang merampas telefon bimbit Alfira tempoh hari. Pada tekaannya, Alfira boleh diugut dengan cara sebegitu namun dia silap. Ternyata anak gadisnya itu sungguh keras kepala.
“Ummi, abi.. sebenarnya dah lama kakak mengalami pendarahan. Tapi dia tak nak bagitahu siapa-siapa walaupun Sahra. Sebab.. kakak kata, dia tahu Allah sedang menghukum dia. Jadi dia nak mati perlahan-lahan..”, teresak-esak Alsahara meluahkan kata-kata tersebut. Ibunya mengucap panjang mendengar penjelasan Alsahara itu. Begitu juga Arshad, matanya telahpun menjadi kemerahan akibat tersentuh dengan dugaan yang menimpa anaknya yang sulung itu. Hampir sahaja dia putus harapan namun dikuatkan juga semangatnya yang tinggal sedikit itu. Dia kini hanya mampu meletakkan sepenuh harapan kepada yang Maha Kuasa.
“Sayang…”, seru Azfar kepada Alfira yang terbaring kaku. Mukanya sudah terlalu pucat begitu juga dengan bibirnya. Kesempatan yang diberikan oleh doktor untuk melihat keadaan Alfira buat seketika digunakan dengan sebaik mungkin. “Sayang, Az ni. Az dah datang jumpa Fira. Fira bangunlah ye? Az tahu Fira kuat. Fira yang Az kenal sangat kuat kan?”, panggilnya lagi. Tapi, tetap tiada respon daripada Alfira. Melihatkan keadaan kekasihnya yang masih tidak sedarkan diri itu, dia menangis sendirian. “Sayang, Az tetap akan tunggu Fira. Walau apa pun yang terjadi, Az yakin, Fira akan berjaya lahirkan anak kita. Az sangat cintakan Fira, Fira tahu tu kan? Az yakin, anak kita akan selamat walaupun doktor kata lain. Az dah bincang dengan abi Fira tadi. Abi kata, lepas Fira dah baik, kita boleh nikah sayang. Jadi sayang kena bangun. Sayang kena bangun….”, rayunya teresak-esak. “Bangun lah sayang….”, itulah kata-kata terakhirnya sebelum dia diminta keluar kerana doktor dan para jururawat akan menjalani pembedahan ke atas Alfira. Namun tetap sahaja tubuh layu Alfira tidak bergerak. Ayahnya, ibunya serta adik-adik Alfira menunggu di luar bersama Azfar, menanti dengan penuh harapan dan debaran. Berkali-kali Aisyah berdoa kepada Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah, Kau selamatkanlah anak hamba bersama bayinya. *
“Baiklah para pelajar, kita ada pelajar baru bagi semester ini. Sila memperkenalkan diri anda kepada rakan-rakan kelas”, arah pensyarah pada pagi hari pertama para pelajar bagi semester tersebut. Pelajar perempuan tersebut tampil ke hadapan kelas lalu mencapai mikrofon bagi memperkenalkan diri.
“Nama saya Alfira Binti Arshad. Saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang baru berusia enam bulan”, beritahu Alfira dengan yakin. “Ada apa-apa pesanan untuk rakan-rakan lain Alfira?”, tanya pensyarah itu lagi. Alfira mengangguk.
“Hidup kita tak selalunya seindah pelangi. Pasti bertemu kegelapan. Tapi ingat, tak selamanya kita berada dalam kegelapan tersebut. Kerana matahari akan sentiasa bersinar. Selagi masih ada waktu”, kata Alfira sambil tersenyum.
- TAMAT -
1 comment:
walao terbaik fy , xtdo mlm aku baca novel kau best2 buat lg :)
Post a Comment