Dengan Berbesar Hati..


Meniti Pelangi Menanti Matahari -Episod 9-


Malam itu tidak sama seperti malam-malam yang lain. Alfira terkurung di dalam bilik sendiri. Bukan dia tidak boleh keluar tapi dia tidak berani melakukan hal yang sedemikian lantaran amaran keras ibunya. Bagi Aisyah pula, biarlah dia tidak melihat wajah anaknya itu sementara ini kerana pasti hatinya akan terbakar setiap kali memandang Alfira. Apatah lagi perutnya yang semakin membulat itu. Sakit sungguh rasanya hati! Lebih-lebih lagi apabila Alfira berkeras tidak mahu mendedahkan siapa gerangan yang telah mencemarinya. Aisyah buntu. Lama dia duduk berteleku dalam telekungnya menadah tangan kepada Ilahi, berdoa dalam tangisan. Suaminya Arshad masih belum juga balik ke rumah sedari petang tadi lagi. Aisyah menjadi semakin lemah kerana penat mengalirkan airmata sepanjang hari. Badannya kian lesu dan wajahnya... wajahnya seperti sudah tiada rona lagi. Bibirnya pucat lesi memberi tanda yang bila-bila masa sahaja dia akan rebah ke bumi. Namun Aisyah sangat kuat. Dia tidak mahu kalah kepada penyakitnya dan juga masalah yang menimpanya. Dia harus kuat demi Alfira.

“Masuk”, arah Alfira apabila terdengar ketukan perlahan pada pintu biliknya. Kelihatan Alsahara masuk membawa sepinggan nasi dan segelas air. “Kakak makan lah. Ummi ada kat dalam bilik jadi ummi tak tahu Sahra bawakan kakak makanan. Makan ye kakak?”, pinta Alsahara sambil menghulurkan hidangan air tangan ibu mereka. Dia mengerti masalah yang dihadapi kakaknya itu kerana usianya yang sudah menginjak 14 tahun. Alzahri juga turut berada di situ. Namun Alzahri tidak berapa memahami apa yang sedang berlaku. Mungkin kerana dia baru berumur 10 tahun. Melihatkan kakaknya yang akur dengan permintaannya, Alsahara bersuara, “Sahra terdengar ummi nangis tadi”.
Alfira yang sedang leka menyuap nasi ke mulutnya menghentikan suapannya. Dia memandang anak mata adiknya itu dalam-dalam meminta penjelasan. Alsahara menyambung lagi, “Abi tak balik lagi dari kedai. Dah pukul 10 dah. Abi tak pernah balik lambat macam ni kakak. Sebab tu ummi nangis. Kakak tahu tak, dari lepas isyak tadi sampai sekarang ummi masih tak buka lagi telekung, masih duduk atas sejadah. Sahra risau kakak”. Alfira meletakkan kembali nasi yang ingin disuapkan tadi ke dalam pinggan. Seleranya sudah mati dek berita yang disampaikan adiknya sebentar tadi. Kini Alfira pula yang menangis. Alsahara menjadi semakin risau. Begitu  juga Alzahri.
“Kakak... janganlah menangis. Zahri pun sedih kalau kakak sedih macam ni”, pujuk Alzahri sambil memeluk erat kakak sulungnya itu. Alsahara memerhatikan mereka dengan sayu. Keluarga mereka sudah tidak bahagia seperti dahulu. Ummi sudah kerap kali menumpahkan airmata kesedihan. Abi pula pulang lewat dari tempat kerjanya tidak seperti selalu. Kakaknya, diberi perintah kurungan di dalam bilik sendiri dan tidak dibenarkan turun untuk makan. Malam itu adalah malam pertama mereka tidak makan malam bersama. Semuanya tidak pernah berlaku seperti ini tapi mengapa kini?
“Kakak... kakak dengar lah cakap ummi. Kakak bagitahu lah siapa boyfriend kakak tu. Tak lah kakak kena makan senyap-senyap macam ni. Ummi pun tak selalu menangis. Masalah pun cepat settle”, cadang Alsahara. Kadang-kadang dia geram juga dengan sikap kakaknya yang keras kepala itu. “Sahra tahu tak ummi nak report polis kalau kakak bagitahu siapa bapa anak dalam perut ni? Apa jadi dengan kakak nanti? Kakak dah buat keputusan, selagi kakak tak lahirkan anak ni, kakak tak akan bagitahu siapa orangnya. Nanti bila dah beranak, ummi tak boleh masukkan dia dalam penjara. Sebab dia kena jaga anak ni juga”, terang Alfira menganggap ideanya itu jalan yang terbaik. Alsahara mengeluh. Walau macam mana cara sekali pun, kakaknya itu tetap berdegil. Dia khuatirkan dengan status anak yang dikandungkan kakaknya. Hujung bulan ini usia janin itu akan genap enam bulan. Hendak ataupun tidak, anak itu kelak akan berbin atau berbintikan Abdullah. Mengapa kakaknya tidak pernah mengambil berat soal itu?
Tiga beradik tersebut tersentak tatkala terdengar suara ummi mereka memanggil nama Alsahara. Terkocoh-kocoh Alsahara bangun dari duduknya dan segera menyahut panggilan ibunya. Alfira dan Alzahri saling berpandangan. Panggilan ibu mereka menimbulkan persoalan utama, mengapa?
“Zahri pergi tengok kenapa ummi panggil kak Sahra”, arah Alfira kepada adik bongsunya. Berdebar-debar juga rasanya tatkala memikirkan jikalau ibu mereka mendapat tahu akan tindakan Alsahara yang secara senyap-senyap memberikannya makan. Apabila Alzahri sudah hilang dari pandangan, Alfira berbaring merehatkan diri. Nasi yang baru dijamah sedikit dibiarkan sahaja di atas meja sisi katil. Dia menyentuh perutnya yang bulat dan berisi itu. Apalah nasib badan, keluhnya.

Berkelip-kelip matanya memikirkan setiap satu kesilapan yang telah dilakukan. Hendak disalahkan Azfar, jejaka itu tidak pernah memaksa dirinya untuk  menyerahkan mahkota berharga itu. Segalanya berlaku pun gara-gara dirinya sendiri yang tewas dengan pujukan syaitan dan tuntutan nafsu. Ya, silap aku sendiri juga, Alfira mengeluh lagi. Masa depan yang bakal mendatang menari-nari di fikirannya. Tidak lama lagi anak ini akan melihat dunia. Adakah aku sudah bersedia? Bagaimana aku hendak membesarkan anak ini kelak? Pengajianku sudah dihentikan. Walaupun Puan Sri Orkid berkata bahawa aku boleh meneruskan pengajianku nanti, aku tidak merasa aku mampu. Aku harus menjaga anakku ini kelak. Kalau bukan aku, siapa lagi? Tiba-tiba nama Azfar muncul di kotak fikiran Alfira. “Azfar!”, katanya. Bagaimana dengan kekasih hatiku itu? Alfira kebingungan. Azfar belum mengetahui hal-hal yang baharu sahaja menimpa Alfira namun Alfira tiada jalan untuk memberikan info semasa mengenai dirinya. Alfira melihat sekeliling. Beg tangannya tiada di dalam ruang bilik tersebut. Ah! Tertinggal di ruang tamu. Otaknya ligat berputar sebentar. Ya, aku akan meminta Sahra untuk membantuku, bisiknya. Lama dia menanti adiknya yang perempuan itu untuk muncul tapi bayang-bayangnya pun tidak kelihatan sehinggakan Alfira terlena sendiri berselimutkan keletihan.
“Ye ummi, ummi panggil Sahra ke?”, tutur Alsahara penuh sopan sambil duduk melutut di hadapan ibunya. “Abi dah balik tu, tolong bukakan pintu”, jawab Aisyah lemah. Semasa dia sedang leka berzikir dia terdengar bunyi enjin kereta memasuki perkarangan kediaman mereka. Alsahara patuh pada arahan ibunya lalu segera menuruni anak tangga dan membuka pintu rumah. Kelihatan wajah tua ayahnya yang pada tekaannya sedang kepenatan dek bekerja seharian. Mungkin juga kerana masalah yang menimpa keluarga bahagia mereka. Melihatkan ‘angin’ ayahnya itu yang tidak seberapa baik, Alsahara membisu sahaja dan diperhatikan adiknya Alzahri dari anak tangga. Ayahnya mendaki tangga satu persatu dengan langkah yang berat. Ya Allah, Kau berikan lah ketenangan kepada seluruh ahli keluarga hamba, rintih Alsahara.
Matahari bersinar lagi pada keesokkan paginya. Tidak akan pernah berhenti melimpahkan cahayanya selagi masih ada waktu. Alfira terjaga dari tidur bak puterinya apabila terdengar bunyi kaca yang jatuh berderai dari tingkat bawah. Alfira mencuba meneka gerangan siapakah yang memecahkan kaca di dapur pagi-pagi begini? Alsahara dan Alzahri sudahpun berangkat ke sekolah. Begitu juga dengan ayahnya yang sudahpun bertolak ke kedai tekstil miliknya. Terkocoh-kocoh Alfira membuka pintu biliknya dan mencuba untuk mendengar apa-apa bunyi lagi. Sepi. Namun di sebalik kesunyian itu, terdengar suara ibunya yang menangis teresak-esak diiringi dengan ucapan istighfar yang tidak berhenti-henti.
“Ya Allah, Kau berikan lah hamba kekuatan. Hamba hanya seorang yang  lemah lagi hina. Hamba tidak kuat melalui ujianMu Ya Allah. Hamba tidak kuat..”, tangis ibunya lagi. Alfira terduduk di pagar anak tangga. Dia juga turut mengalirkan airmata. Sepatutnya dia berada di kolej sekarang untuk berbakti kepada ibunya, menurut permintaan ibunya untuk mengubah nasib keluarga mereka. Tapi dia malah menyusahkan lagi ibunya dan lebih teruk, mendera emosi serta menghancurkan harapan. Sudah terlalu banyak airmata seorang ibu yang tertumpah gara-gara kesilapannya. Alfira menyesal. Semua yang dahulu dia miliki, cita-cita, sebuah harapan, satu jaminan, masa depan yang cerah, musnah sekaligus hanya dalam sekelip mata. *


“Alfira...!”, jerit Azfar. Matanya sudah terbuka luas menebarkan pandangannya ke seluruh ruang di sekeliling. “Mimpi rupanya”, katanya sendirian. “Sayang, mana sayang  menghilang? Kenapa Az call tak jawab? Mesej pun tak bereply. Az risaukan Fira. Az rindukan Fira...”, rintihnya. Sudah hampir seminggu dia mencuba untuk menghubungi kekasihnya itu namun seringkali gagal. Dia juga sudah menghubungi Erina namun rakan Alfira itu juga tidak tahu menahu soal Alfira. Erina cuma mampu menceritakan peristiwa semasa peperiksaan yang lalu. Azfar semakin tidak keruan. Dia tidak sanggup membiarkan Alfira mengharungi masalah ini bersendirian. Dia ingin tahu perkembangan Alfira, kesihatannya dan paling penting, kesihatan anaknya. Di mana hendak Az cari Fira? Gumamnya kebingungan.
“Sahra buat apa tu?!” sergah Aisyah kepada Alsahara tatkala melihat anak gadisnya itu sedang memegang telefon bimbit milik kakaknya. Belumpun sempat Alsahara berbicara sebarang kata, ibunya pantas merampas telefon bimbit tersebut daripada genggaman Alsahara. “Ni mesti sebab kakak yang suruh kan? Tak payah! Dah, tolong ummi kat dapur. Kejap lagi abi balik. Nanti bawakan makanan untuk kakak. Karang tak makan, abi marah ummi lagi. Bawa masuk bilik dia. Ummi tak mahu tengok muka dia”, arah sang ibu. Alsahara sekadar mengangguk tanda patuh. “Kalau kakak tak sihat, cepat-cepat bagitahu ummi”, tambahnya lagi. Alsahara mengangkat muka melihat ibunya yang menuju ke dapur. Hmm, sayang lagi ummi pada kakak, Alsahara bermonolog.
“Kakak....”,  Alsahara bersuara memecah suasana sepi di dalam bilik kakaknya. Lama dia tunggu untuk berbicara kerana terpaksa menanti kakaknya menghabiskan makan malam. Kalau tidak, pasti dia kematian selera lagi. Melihatkan kakaknya yang tenang, dia menyambung, “Ummi suruh Sahra temankan kakak tidur mulai malam ni. Ummi pesan, kalau kakak rasa sakit, cepat-cepat bagitahu. Lagi satu, esok ummi kata kakak kena pergi klinik untuk buat check up. Tapi, abi yang bawa la”. Alfira masih berdiam diri. Wajahnya seperti memikirkan sesuatu.
Handphone kakak?”, tanyanya ringkas. Alsahara tunduk. Jawapannya pasti akan mengecewakan kakaknya. Dia kemudiannya menggelengkan kepalanya. Alfira berputus asa. Dia menyandarkan tubuhnya ke kepala katil. “Padan muka kakak kan Sahra? Sudahlah kena buang kolej, biasiswa kena tarik. Kena bayar balik pula tu. Sekarang ni pula...”, Alfira mulai sebak. Sambil tersedu-sedu dia berkata-kata lagi, “sekarang ni, Sahra tengok lah. Kakak mengandung anak luar nikah. Kakak tak boleh nak reach boyfriend kakak pun. Kakak dah buat ummi dengan abi gaduh, ummi menangis tiap hari... kakak jahat! Kakak tak layak hidup di dunia! Kakak anak derhaka....”. Alsahara mencuba untuk menenangkan kakaknya yang sedang meraung itu. Sungguh haru rasa hatinya melihat keadaan kakak yang sedang menderita. Kalau lah dia bisa membantu.
“Bawa bersabar banyak-banyak kakak. Mengucap, jangan lupa Allah. InsyaAllah, semua yang jadi ni, pasti ada hikmahnya. Kakak kena tabah. Demi hidup kakak dan hidup anak kakak”, katanya lembut sambil menggenggam erat tangan kakaknya. Dia yakin, kakaknya mampu mengharungi dugaan Ilahi kali ini walaupun terlalu berat.

No comments:

Post a Comment

Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.