Dengan Berbesar Hati..


Meniti Pelangi Menanti Matahari -Episod 8-

“Bertuah punya anak!”, tempik Aisyah sambil menampar pipi halus Alfira lalu tubuh ringan anak gadisnya itu tersembam ke sofa sejurus sahaja mereka memasuki kediaman mereka yang terletak di tengah kota metropolitan Kuala Lumpur. Alfira menjerit kesakitan selain terkejut dengan perlakuan ibunya sebentar tadi. Pipinya yang semakin merah itu terasa pijar dan spontan sahaja tangannya memegang bekas tamparan kasar si duhai ibu. Ibunya yang bagai kerasukkan itu masih tidak berpuas hati lalu memuntahkan segala isi kemarahannya dengan berkata, “Sahra, Zahri, naik atas sekarang! Jangan turun selagi ummi tak panggil. Cepat!”. Anak-anaknya yang tidak mengerti apa-apa itu pantas berlarian mendaki anak tangga menuruti perintah keras ibu mereka. Arshad hanya terduduk membisu di salah satu kerusi ruang tamu. Setelah Aisyah yakin kedua-dua anaknya itu sudah masuk ke bilik mereka, dia langsung menyerang Alfira yang terdiam kaku tidak bermaya.
“Kakak dah memalukan ummi, tahu tak? Kenapa kakak buat ummi macam ni? Apa salah ummi pada kakak? Cakap Alfira, cakap pada ummi. Semua orang akan mengata pasal ummi. Ummi gagal jaga anak-anak ummi. Ummi malu kakak, malu yang tersangat. Kenapa kakak buat ummi macam ni...?”, katanya sambil menggoncang-goncangkan kepala Alfira dengan menarik rambut yang sudah terhurai kusut. Berkali-kali Alfira memohon ampun dan merintih kesakitan namun tetap tidak dihiraukan si Ummi. “Sakit ummi... maafkan kakak”, pohonnya lagi. Aisyah yang sudah tidak dapat mengawal kemarahannya semakin galak memarahi Alfira. Berkali-kali dia memukul dan menampar Alfira sehingga Alfira terjatuh dari sofa dan kepalanya terhantuk ke lantai sejuk.
“Aisyah! Sudah la tu. Kan tengah mengandung, kalau jadi apa-apa macam mana? Bawa mengucap banyak-banyak yaa Aisyah”, pujuk Ashad sambil membantu Alfira untuk duduk semula di atas sofa. Namun teguran suaminya itu membakar lagi kemarahan Aisyah yang menganggap suaminya mencuba untuk melindungi kesalahan besar Alfira. “Itulah abang, manjakan lagi Alfira. Dari kecil sampai sekarang kalau Aisyah marah dia, tegur dia, abang selalu nak menolong dia. Sanggup abang marah Aisyah lepas tu. Sekarang ni? Anak manja abang ni dah conteng arang kat muka abang”, tambah Aisyah lagi seakan-akan menjentik hati Arshad untuk membangkitkan amarahnya. Namun dia masih bersabar. Lain pula situasinya dengan Aisyah yang masih belum berjaya menenangkan jiwanya. “Bagitahu ummi, anak siapa dalam perut tu? Biar ummi cari lelaki durjana tu, ummi report pada polis. Anak derhaka!”.
“Aisyah!”, tengking Arshad. Aisyah yang sedang menjengkilkan matanya kepada Alfira terhenti lalu mengalihkan pandangannya kepada suaminya, terkejut dengan nada suara yang didengarinya. “Abang kata sudah, sudah lah! Kakak, pergi naik bilik sekarang”, perintah ayahnya pula. “Jangan berani nak pergi mana-mana. Kakak belum jawab lagi soalan ummi. Suka lah kan dah buat ummi dengan abi gaduh?. Abang pun sama je dengan dia. Kakak tahu kan, anak yang derhaka tak kan dapat cium bau syurga pun!”, marah Aisyah lagi. Matanya sudah berlopakkan airmata.
Arshad merasakan bahawa isterinya Aisyah bagaikan sengaja ingin mencabar kesabaran yang sudahpun terjejas sedikit. Dia menjawab, “habis awak ingat seorang isteri yang derhaka pada suaminya dapat cium bau syurga lah?”.
Ya Allah! Aisyah terpaku. Kata-kata suaminya seolah-olah suatu tamparan hebat yang hinggap ke pipinya. Sungguh tidak disangka suaminya memilih untuk berpihak kepada Alfira yang secara terang-terang sudah melakukan silap. Airmata yang sudah lama bertakung dalam kelopak matanya sudahpun mengalir membasahi wajahnya yang merah. Aisyah terduduk. Alfira juga terkejut dengan ucapan ayahnya yang tidak pernah dia dengari selama dia hidup. Pandangannya difokuskan kepada sang ibu yang berwajah pucat. Dia juga turut menangis. Ya Rabbi, aku telah menyebabkan ummi dimarahi abi dan lebih teruk, ummi menangis!
“Baik, kakak pergi lah naik atas”, tutur Aisyah perlahan. Kedengaran halus sekali suara ibunya tanda sedang kecewa. Sambungnya lagi, “dan jangan berani keluar dari bilik kakak selagi kakak tak bagitahu ummi siapa bapa budak yang kakak kandungkan tu. Faham?!”, tegas Aisyah sambil memandangnya tajam. Alfira seperti tidak mahu berganjak. Dia mencuba untuk meraih simpati ibunya dengan duduk melutut di hadapan ibunya dan merangkul kaki kiri dan kanan si ibu. “Ummi, kakak minta maaf sangat-sangat...”. Malang sekali, rayuannya itu dibalas dengan sepakkan kasar. “Naik sekarang!”, tengking ibunya. Tendangan ibunya itu dirasakan telalu menyakitkan hati. Alfira segera berlari meninggalkan ummi dan abinya di situ. Namun sewaktu dia menaiki tangga, kedengaran suara ayahnya memarahi ibunya lagi. Dia duduk di salah satu anak tangga untuk mencuri dengar perbualan mereka.
“Aisyah ni kenapa? Kan kesian kat kakak. Mana tahu dia mangsa keadaan?”, Arshad mencuba untuk bertenang. Dia sedar, pasti kata-katanya tadi telah mengguris perasaan isterinya itu. Tapi itu satu-satunya cara untuk menutup kemarahan isterinya yang seakan-akan telah dikuasai syaitan. Aisyah lantas menjawab, “apa abang kata? Mangsa? Cuti jarang balik rumah. Bila kita suruh balik, macam-macam alasan yang dia bagi. Kalau balik rumah pun, 24 jam pegang handphone. Dia ingat kita tak tahu? Abang ye lah, mana nak perasan. Kerja sampai tak ingat anak-anak”.

Arshad yang semakin tenang kembali panas. Memang benar sangkaannya, isterinya ini sengaja untuk membuatnya marah. “Apa Aisyah kata? Abang kerja tak ingat anak-anak? Sebab ingat anak-anak lah abang kerja Aisyah tahu tak? Abang tak pernah mengadu penat kerja seorang diri. Tapi apa yang abang dapat? Yang Aisyah cakap tadi, tak ingat kat anak-anak. Siapa yang beriya-iya nak hantar Alfira ke kolej untuk jadi pakar perubatan? Dah senang-senang hari tu dia dapat tawaran kat universiti dalam bidang seni, Aisyah tolak. Kalau tak, dia boleh sambung jagakan kedai abang”.
“Oh... jadi sekarang abang nak salahkan Aisyah pula lah ye? Memang semua lah salah Aisyah. Aisyah marah dia, tegur silap dia, salah Aisyah. Dia sampai terlanjur, mengandung anak luar nikah pun salah Aisyah. Entah-entah masa Aisyah beranakkan dia dulu pun salah Aisyah kan?”.
“Itu lah Aisyah. Kalau abang tegur sikit mula nak melenting. Aisyah sedar tak apa yang Aisyah buat ni? Dah tahu anak tu mengandung, Aisyah pergi pukul dia, tendang dia. Kita nak selesaikan masalah. Bukan nak buat masalah baru”, jawab Arshad semakin marah.
“Ha ye lah, manjakan lagi banyak-banyak anak tu abang. Nanti bila dah beranak nanti, abang ada cucu luar nikah, semua orang mengutuk kita, mak abang pula salahkan Aisyah sebab tak reti nak jaga anak dara sampai dah tak ada dara dah. Baguslah! Nanti abang manjakan pula si Sahra. Biarkan dia ikut langkah kakaknya pula”, sindir Aisyah melepas geram.
“Awak ni kalau bawa berbincang tak mendatangkan hasil langsung! Dah lah, baik abang pergi tengokkan kedai abang tu daripada asyik bergaduh dengan Aisyah. Nanti masalah kakak tak selesai, datang pula masalah dengan kita”, katanya sembil mencapai kunci kereta dan mengatur langkah keluar daripda rumah. Aisyah yang masih membara menjawab, “elok lah. Abang keluar, tinggalkan Aisyah dengan anak-anak, dengan masalah yang tak ada jalan keluar. Abang pentingkan lah kerja abang tu sampai lah kakak beranak nanti”. Arshad hanya mengunci mulutnya dan segera berlalu. Dia tidak mahu memanjangkan lagi pertelingkahannya dengan Aisyah. Biarlah dia keluar sebentar mencari jalan penyelesaian. Dia yakin, apabila sudah tenang nanti, pasti Allah akan menunjukkan jalan. Melihatkan suaminya pergi sahaja meninggalkannya tanpa sebarang kata, Aisyah kecewa. “Kenapa kakak buat ummi macam ni...?” rintihnya sendirian. Teresak-esak dia menangis ditinggalkan begitu. Manakala Alfira yang dari tadi mendengar perbualan mereka menangis sepi menyandarkan kepalanya ke dinding tangga. Sesungguhnya, aku memang seorang anak yang derhaka! Marahnya kepada diri sendiri.

No comments:

Post a Comment

Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.