Dengan Berbesar Hati..


Meniti Pelangi Menanti Matahari -Episod 7-

                                             
“Ummi, abi telefon”, beritahu Alsahara, adik kedua kepada Alfira seraya menghulurkan gagang telefon rumah mereka kepada ibunya. “Ye abang? Aisyah ni”, jawab ibu Alfira setelah mengucapkan salam. “Astaghfirullahal’azim... ye abang, Aisyah bersiap sekarang”, katanya cemas lalu segera meletakkan kembali gagang telefon. Alsahara dan adik bongsunya Alzahri memerhatikan lagat ibunya yang kelam kabut masuk ke dalam bilik. Seketika kemudian ibunya yang lengkap berjubah gelap dan bertudung labuh keluar daripada bilik dan segera mencapai kunci rumah. “Sahra, Zahri, duduk jaga rumah ye? Ummi nak keluar dengan abi kejap. Jangan pergi mana-mana tau!”, arah ibu mereka sambil menyarungkan sarung kaki. “Ummi dengan abi nak pergi mana?”, tanya anak bongsu yang juga merupakan satu-satunya anak lelaki Aisyah dan Arshad. “Hospital”, jawabnya ringkas lalu mengunci pintu rumah apabila terlihat suaminya sudahpun tiba di luar rumah lalu meninggalkan Alsahara dan Alzahri terkebil di situ.
Hospital Kuala Lumpur sentiasa sibuk dengan pesakit-pesakit yang tidak berhenti-henti keluar dan masuk bagi mendapatkan rawatan membawa secebis harapan agar penyakit yang dihidapi dapat disembuhkan. Di salah satu daripada wad di dalam hospital inilah tempat Alfira dirawat. Alfira tersedar dari tidurnya dalam alam maya apabila terdengar suara profesor Tengku Naila bercakap-cakap. Eh, aku tertidur dalam dewan peperiksaan kah? Exam dah habis belum? Perlahan-lahan dia membuka matanya dengan payah. Ini bukan dewan. Kenapa aku ada di hospital? Alfira mencuba untuk mengingati apa yang terjadi sebelum dia melelapkan matanya tadi namun gagal. Sayup-sayup kedengaran suara pensyarah kesayangannya menyebut nama ibu dan ayahnya dari luar bilik. Apa, ummi dengan abi datang? Mesti dia orang semua sudah tahu tentang aku, ujarnya kerisauan.
 Di saat terdengar pintu biliknya ditolak perlahan, Alfira cepat-cepat menutup kembali matanya berpura-pura untuk tidur. Ibu dan ayahnya masuk diiringi profesor Tengku Naila serta Puan Saodah. Melihatkan puteri mereka yang masih tidak sedarkan diri, Aisyah tanpa berlengah lagi bertanyakan keadaan Alfira kepada profesor Tengku Naila.
“Anak saya kenapa cikgu? Kenapa sampai masuk hospital macam ni?”, luahnya tidak puas hati. Profesor Tengku Naila menundukkan kepalanya. Dia sudah mengagak pasti soalan ini akan diajukan kepadanya. Dia memandang sayu Puan Saodah meminta bantuan untuk menjawab soalan ibu kepada pelajar kegemarannya itu. Puan Saodah juga membisu membuatkan Aisyah hilang sabar.
“Cikgu, saya perlu tahu, apa yang telah jadi kepada anak saya Alfira?”, Aisyah masih berusaha untuk mengawal emosinya.
“Puan, Alfira seorang pelajar yang baik puan. Saya tiada masalah sepanjang menjadi pengajarnya malah saya sendiri mengagumi sikapnya yang bersungguh-sungguh ingin mengejar cita-citanya. Tapi, saya kurang memahami mengapa perkara seperti ini berlaku kepadanya. Atau mungkin, dia cuma mangsa keadaan dan dia takut untuk memberitahu kepada puan dan encik”, profesor Tengku Naila memberikan kata pembuka.
“Perkara apa yang dimaksudkan oleh cikgu ni?”, tanya Arshad dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak. Dia tidak mengerti dengan apa yang diperkatakan oleh wanita yang berdiri dihadapannya. Alfira yang dari tadi mendiamkan diri meneruskan pendengarannya. Puan Saodah yakin, pasti berat bagi profesor Tengku Naila untuk memberitahu berita buruk itu lalu dia menawarkan diri untuk berbicara. “Puan, Encik, Alfira sedang hamil”.
“Laailahailallah! Astaghfirullahal’azim Alfira..”, ucap ibu Alfira sambil memeluk suaminya. Ayat yang diucapkan sebentar tadi sangat mengejutkan. “Cikgu, saya mohon cikgu jangan berkata sembarangan. Anak kami tak mungkin berbuat sebegitu. Tak mungkin!”, marah Arshad. Isterinya, Aisyah sudahpun mengalirkan airmata kekecewaan. Puan Saodah menjadi takut namun dia tegar kerana kenyataan harus disuarakan. “Encik, seperti yang kami katakan, mungkin saja Alfira telah menjadi mangsa keadaan kerana kami juga yakin yang dia tidak akan melakukan hal yang sedemikian. Doktor sudah mengesahkannya. Jika encik ingin tahu lebih lanjut, saya boleh bawakan encik untuk berjumpa dengan doktor tersebut”, ujar profesor Tengku Naila bagi menepis dakwaan tidak benar ayah kepada pelajarnya itu. Suasana menjadi semakin hiba apabila Arshad terduduk di atas kerusi pelawat lantaran terlalu terkejut. Diusap dadanya perlahan untuk menenangkan diri sendiri. Pandangannya dihalakan kepada Alfira yang terbaring tanpa sebarang pergerakan. Mengapa kau lakukan semua ini nak?
Alfira dibenarkan untuk keluar daripada hospital keesokan harinya. Dia bersama ibu dan ayahnya dipanggil oleh pengarah kolej dan ketua perihal disiplin pelajar untuk membincangkan masa depan Alfira.
“Puan Aisyah, encik Arshad, seperti yang telah ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan kolej ini, kami terpaksa menghentikan sesi pembelajaran mana-mana pelajar yang didapati sedang hamil samada di dalam pernikahan mahupun di luar nikah”, Puan Sri Orkid menghentikan kata-katanya dan memandang Alfira tajam. Alfira rasa tertampar dengan pandangan pengarah kolej yang pernah dia temui suatu ketika dahulu sewaktu dia ditemu ramah untuk mendapatkan biasiswa penuh. Lalu beliau menyambung kembali ayatnya, “Oleh itu, saya dengan dukacitanya ingin memaklumkan bahawa Alfira tidak boleh menyambung sesi pembelajarannya di kolej ini kerana telah melanggar peraturan kolej. Biasiswa yang diterima juga akan ditarik semula dan Alfira harus membayar jumlah bayaran sepanjang dia menerima biasiswa tersebut kepada pihak kolej. Alfira, kamu harus segera mengemas barang-barang kamu daripada asrama dan selesaikan urusan perihal asrama dalam minggu ini juga”, pinta Puan Sri Orkid lagi. Alfira hanya diam membisu sepanjang masa. Lalu Arshad bersuara, “Tidak ada cara lain ke Puan Sri? Kami akan berusaha untuk membayar kembali biasiswa yang telah diberikan kepada anak saya tapi saya minta tolong jasa baik Puan Sri untuk terima kembali Alfira supaya dia boleh habiskan diplomanya. Hanya setahun sahaja lagi Puan Sri, saya merayu”.
Puan Sri Orkid berfikir sebentar. Beliau teringat akan saranan profesor Tengku Naila untuk menghentikan pengajian Alfira untuk sementara waktu sahaja selagi Alfira masih belum melahirkan anaknya dan habis berpantang. Beliau berkata sedemikian kerana beliau tidak mahu mensia-siakan pelajar cemerlang seperti Alfira dan beliau yakin bahawa Alfira boleh menjadi seorang pekerja yang baik pada masa hadapan dan dapat mengharumkan nama kolej mereka. Setelah puas berfikir, Puan Sri Orkid nekad membuat keputusan yang adil. “Beginilah encik Arshad dan Puan Naila, saya akan beri satu peluang terakhir untuk Alfira memandangkan dia seorang pelajar yang konsisten dan cemerlang. Dia akan diterima kembali untuk menamatkan kursus diplomanya sebaik sahaja dia bersalin dan habis pantang. Setelah itu, dia dikehendaki mengulang semula sesi pengajian semester empat dan menyambung sehingga habis semester enam. Bagaimana?”, katanya sembil tersenyum.
“Alhamdulillah, syukur ya Allah. Terima kasih Puan Sri’, ucap Aisyah sambil bersalaman tangan dengan Puan Sri Orkid. Begitu juga Arshad, dia berterima kasih dengan kebaikkan pengarah kolej tersebut. Namun Alfira hanya tertunduk membisu. Rasa malunya teramat besar sehingga tidak tertanggung dengan ucapan terima kasih pun. Biarlah ibu dan ayahnya sahaja yang berbincang dengan pihak atasan. Dia sudah cukup melakukan khilaf dan baginya, dia sudah tidak layak untuk bersuara.
*       *      *

No comments:

Post a Comment

Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.