Semenjak pertemuan pada hari itu, Alfira menjadi semakin kacau. Ibunya baru sahaja menelefonnya keesokkan hari menyuruh agar dia balik ke rumah sementara bercuti. Ibunya berasa sangat rindukan anak gadisnya yang sulung itu. “Sudah lama kakak tak balik ke rumah. Ummi rindu”, sayu kedengaran rintihan seorang ibu yang usianya kian menghampiri separuh abad. Alfira secara acuh tak acuh sahaja menjawab permintaan ibunya. Balik rumah? Dengan keadaan seperti ini, tidak mungkin. Aku tak akan balik selagi masalah ini tak selesai. Alfira mengimbas kembali detik sewaktu dia berbincang dengan Azfar malam itu.
“Kita nak buat apa sekarang ni Az? Fira dah stucked ni. Macam mana kalau pihak kolej tahu? Fira boleh dibuang kolej. Ummi dengan Abi pula? Fira pening la sayang...”, katanya sambil mengusutkan lagi rerambutnya yang sudah terdedah.
“Kita nikah di Thailand”, jawab Azfar pendek. “Hah?! Az dah gila ke? Jangan merepek lah”, pintas Alfira tanpa mempertimbangkan cadangan Azfar tadi. Masalah yang sedia ada ini pun belum selesai, ditambah lagi dengan masalah baru. “Jadi macam mana lagi? Tak kan kita nak gugurkan anak dalam ni”, katanya menunjuk ke arah perut Alfira. Alfira terdiam lagi. Benar kata Azfar, usia janin dalam kandungannya ini pasti sudah lebih daripada tiga bulan dan jika dia masih mahu berkeras untuk melakukan prosedur pengguguran, risikonya adalah sangat tinggi.
Mahu atau tidak, terpaksa lah dia kekalkan juga kandungannya. Alfira menangis lagi. Permasalahan yang dia hadapi kini terlalu berat dan dia tumpas. Kepada siapa lagi ingin dia mengadu? Dia sudah lupa akan Tuhan pemilik sekalian semesta.
“Macam ni lah sayang, Fira sorokkan perut Fira ni selagi boleh. Ada kawan Az pun buat macam tu. Perut dia tak nampak pun macam orang mengandung. Tahu-tahu je, dah beranak. Fira janganlah pakai baju-baju yang ketat. Pakai baju kurung. Tak pun jubah ke. Nanti kita pergi beli baju ya?”, kata Azfar memberikan cadangan lagi dengan harapan ideanya yang ini akan diterima.
“Lepas tu?”, tanya Alfira lebih lanjut. “Lepas tu kita fikir lagi macam mana. Sebab Az pun tengah blank nie. Nanti Az tanya kawan Az yang hari tu ya sayang? Fira jangan risau. Kita hadapi sama-sama”, pujuk Azfar untuk meyakinkan Alfira. Alfira mengangguk lemah sambil menutup kelopak matanya. Dia ingin segera lena dek kekusutan yang bertakhta di kepalanya yang tidak dapat dileraikan lagi. Namun jauh di sudut hati, Alfira menidakkan kenyataan yang dia kini sedang hamil.
Jalan-jalan raya di kota Kuala Lumpur yang menjadi nadi wilayah persekutuan itu sentiasa sesak dan tidak pernah mati. Azfar yang sedang memandu membiarkan sahaja Alfira melayarkan menungnya. Pasti emosinya terganggu memikirkan masalah yang dihadapi mereka. Apatah lagi apabila Azfar memaksanya untuk berjumpa dengan doktor bagi mengesahkan kehamilannya. Azfar yakin bahawa kekasihnya itu memang benar sedang hamil namun Alfira berkali-kali tidak mempercayai kenyataan tersebut. Lagipun, Azfar ingin sekali mengambil tahu tentang kesihatan anak sulungnya itu.
“Kandungan puan ni dah berusia lebih daripada lima bulan. Baby ada degupan jantung. So, puan kena datang untuk pemeriksaan lanjut sebulan berikutnya okay?”, kata doktor lelaki berbangsa cina yang mereka temui di sebuah klinik swasta. Alfira menundukkan wajahnya ketika doktor tadi bercakap dengannya. Melihatkan reaksi Alfira yang membisu itu, Azfar yang berada di sebelah Alfira segera berkata, “baik doktor, we will. Terima kasih”.
Sepanjang perjalanan balik juga begitu suasananya. Sepi tanpa sepatah kata pun. Yang kedengaran cuma esakkan halus Alfira yang tidak pernah reda sedari mereka keluar daripada klinik tadi lagi. “Sayang... jangan lah macam ni. Dari tadi dah Fira nangis. Az risau tahu. Fira kena jaga kesihatan Fira. Kan kesian pada baby kita”, katanya lembut sambil mengusap bahu Alfira. Alfira yang sedang melihat ke luar tingkap kereta memandangnya tajam. “Apa?! Kesian? Az tahu tak sebab budak dalam perut Fira ni lah Fira jadi macam ni. Kenapa dia kena hidup dalam ni? Kenapa tak mati je?!”, Alfira tiba-tiba mengganas sambil memukul perutnya sendiri. “Sayang!”, panggil Azfar agar Alfira menghentikan tingkah lakunya itu. Hampir sahaja kereta Proton Perdana V6 yang dipandunya itu hilang kawalan. Kereta lain yang berada di belakang mereka sudahpun membunyikan honk. Azfar terpaksa menghentikan keretanya di stesen isian minyak yang kebetulan berada berdekatan.
“Sayang, kenapa sampai jadi macam ni? Kan Az dah kata, kita lalui sama-sama. Anak yang Fira kandungkan ni anak Az juga. Masalah ni berpunca daripada kita, kita yang bertanggungjawab. Jangan salahkan anak dalam perut ni. Az tahu memang susah kita nak lalui sayang. Tapi Az ada kat sini dengan Fira. Az tak akan pernah tinggalkan Fira, ya sayang?”, tuturnya lembut sambil menatap Fira yang semakin tenang. Rasa kasihnya terhadap Alfira tidak pernah luntur walaupun mereka dilanda badai hebat seperti ini. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk meninggalkan Alfira dalam menghadapi kesulitan ini malah dia sering menyalahkan dirinya yang menjadi punca kepada penderitaan Alfira.
Tidak dinafikan, dia juga turut merasa seksanya, oleh itu dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan apa jua rintangan yang bakal menerjah mereka. Azfar nekad, dia akan melaksanakan tanggunggjawabnya semampu yang boleh untuk menjadi seorang ketua keluarga dan seorang ayah kepada anak mereka yang bakal lahir nanti. Alfira menjadi semakin kusut. Sudah terlalu jauh langkah kakinya sehingga membawanya ke lembah durjana yang tidak mungkin ada jalan untuk berpatah arah. Dia mengurut-urut dahi yang urat-uratnya terasa seperti menegang. Ummi, abi, maafkan kakak.
* * *
No comments:
Post a Comment