Pagi yang masih basah dek embunan malam berbau segar sementara menanti sang matahari. Lena Alfira dihentikan dengan deringan telefon bimbit pemberian ayahnya sebagai hadiah hasil pencapaiannya dalam Sijil Pelajaran Malaysia yang lalu. Dengan berat dia cuba membuka matanya sambil membaca nama gerangan yang menelefonnya pada pagi Isnin itu. “Ummi!”, katanya separuh menjerit kerana terkejut. Matanya yang tadinya layu terus menjadi segar dan sudah tidak ada rasa untuk tidur semula. Lambat-lambat dia mengangkat panggilan ibunya.
“Assalamualaikum ummi”, tuturnya lembut sambil mencuba untuk menyembunyikan suara mengantuknya. “Waalaikumussalam. Kakak, baru bangun tidur ke? Dah pukul berapa ni. Kakak tak bangun untuk solat subuh lah ni?”, bebel ibunya sebaik sahaja mendengar nada suara anak gadisnya itu. “ Kakak tak sihat lah ummi. Tak sedap badan. Demam agaknya”, jawab Alfira mencuba sedaya upaya untuk berlaku jujur dan dalam masa yang sama dia ingin berdalih agar tidak berterusan dimarahi ibunya.
“Apa, kakak demam? Itulah ummi suruh balik, sekurang-kurangnya ada orang tengok-tengokkan kakak kat rumah ni. Cuti seminggu kan?”, pinta ibunya buat kali yang kedua. Ibunya sangat berharap agar Alfira segera pulang ke rumah apatah lagi apabila mengetahui keadaan anaknya yang kurang sihat itu. Kasihan Alfira. Pasti kesihatannya itu terjejas kerana bekerja kuat di hospital selama tiga bulan yang lalu dan dalam masa yang sama dia harus mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan akhir semester ke empatnya. Ibu Alfira tiba-tiba diserang rasa bersalah kerana menganggap tindakannya yang mendesak Alfira untuk mengikuti kehendaknya telah memberi impak yang negatif terhadap anak sulungnya. Walhal, ini semua akibat kesilapan Alfira dalam membuat keputusan dalam menentukan hidupnya. Apa lagi yang tidak cukup? Sedangkan Alfira mendapatkan didikan agama yang sempurna daripada kedua-dua orang tuanya. Ibunya dahulu seorang ustazah di sebuah sekolah rendah namun kerana penyakit yang dihadapi, ibunya terpaksa berhenti bekerja. Ayahnya pula, seorang yang amat tegas apatah lagi berkaitan dengan soal rakan-rakan Alfira. Jika Alfira ingin berkawan, dia harus memperkenalkan kawannya itu kepada ayahnya terlebih dahulu baru lah ayahnya mengizinkan Alfira untuk berkawan. Dia juga jarang sekali keluar dari rumah selain waktu persekolahan untuk bersosial seperti remaja-remaja lain seusia dengannya. Ingin bersama kawan-kawan perempuannya juga payah, apatah lagi keluar dengan teman lelaki. Oleh kerana itu, Alfira tidak pernah mempunyai teman lelaki. Azfarlah jejaka yang pertama mengajarnya tentang cinta. Oleh itu, tidak hairanlah akan tindakan Alfira yang sanggup menyerahkan segalanya kepada Azfar.
Alfira segera menjawab pertanyaan ibunya tadi. “Ye ummi. Tapi kakak tak larat lah nak balik ummi. Lagipun kakak nak prepare untuk final exam next week. Maafkan kakak ye ummi. Kakak janji nanti dah habis exam, kakak balik rumah. Kakak cuti sebulan masa tu”, pujuk Alfira untuk mengambil hati ibunya. Dia tahu, pasti ibunya kecewa dengan keputusannya yang tidak mahu pulang ke rumah.
“Emm, ye lah. Tapi ingat, nanti kakak balik tau. Ummi tunggu. Ummi dah rindu sangat pada kakak. Akhir-akhir ini, ummi selalu mimpikan kakak. Jangan lupa ye kakak, jaga kesihatan tu. Exam pun dah dekat kan. Solat jangan tinggal, yang subuh tadi jangan lupa untuk qada’, ye?”, pesan ibunya. Alfira hanya menjawab dengan lemah. Dalam diam-diam, dia sudahpun menitiskan airmata. Sungguh dia tersentuh dengan kata-kata ibunya yang kerap memimpikan dirinya, juga nasihat ibunya yang sudah lama dia lupakan. Setelah talian diputuskan, Alfira duduk termanggu di sisi katil. Bagaimana harus aku teruskan hidupku apabila sesi pembelajaran bermula nanti? Bagaimana pula keadaannya untuk aku balik ke rumah pada bulan hadapan? Alfira terus menekup mukanya ke bantal lalu meraung sekuat hatinya.
Tanpa disedari Azfar yang sedari tadinya sedang lena diulit mimpi di sebelahnya sudahpun terjaga kerana sudah tentu dia terdengar perbualan Alfira dengan ibunya tadi. Alfira yang masih menekup mukanya terasa bagai ada yang menyentuhnya. Ternyata rupanya Azfar, sedang mengelus halus helaian rambut Alfira.
“Ummi call tadi. Dia suruh balik”, Alfira bersuara memecahkan kesunyian. Azfar yang masih lagi dalam mamai menjawab, “Ummi cakap apa?”. Lalu Alfira menceritakan semua yang diperkatakan kepada ibunya tadi. Azfar hanya mengangguk tanda memahami sekaligus bersetuju dengan keputusan Alfira yang menunda tarikh untuk balik ke rumah. Setelah puas dipujuk, Alfira kembali menyambung lenanya dalam pelukan Azfar.
Begitulah kehidupannya sepanjang seminggu dia bercuti. Alfira tidak tinggal di asrama sebaliknya dia menetap di rumah sewa Azfar kerana teman sebiliknya Erina sudahpun balik ke kampung halamannya di Terengganu. Sudah sekian lama dia tidak bertemu dengan temannya itu sejak tiga bulan yang lalu lagi kerana mereka tidak bertugas di tempat yang sama. Alfira walaubagaimanapun, berasa sedikit lega kerana Erina tidak dapat melihat perubahan pada fizikal Alfira. Atau mungkin, belum lagi. Tambahan pula, Azfar tidak mahu melihat Alfira menjalani kehidupannya sendirian tanpa dirinya. Bagi Azfar, selagi dia bisa bersama Alfira selagi itulah dia akan tetap menjaga Alfira walaupun untuk tempoh masa yang singkat. Azfar lah yang menjaga makan minum Alfira dan membawanya ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan. Apabila Azfar harus menghadiri kuliah, Alfira akan duduk sahaja di dalam rumah itu dan menunggu kepulangan Azfar. Manakala Azfar pula, pantang sahaja ada waktu lapang di antara dua kuliah, pasti dia akan berulang-alik ke rumah sewanya untuk melihat keadaan Alfira dan membawakan makanan. Azfar sentiasa mencuba untuk melakukan semampu yang mungkin untuk membahagiakan Alfira. Dia tidak mahu Alfira merasa bersendirian dan kesusahan dalam menghadapi permasalahan ini.
Hari demi hari yang dilalui seperti suatu kebiasaan, berlalu dengan terlalu pantas. Esok hari, Alfira perlu hadir ke kelas untuk menghadapi peperiksaan akhir semester empat. Segala persiapan sudahpun dilakukan sepanjang dia tinggal bersama Azfar. Dia berasa amat bertuah kerana Azfar tidak pernah jemu untuk membantunya mengulangkaji dan sentiasa memberikan semangat kepadanya meskipun Azfar sedang keletihan dek menghadiri tiga sesi kuliah setiap hari.
“Fira, kenapa pandang Az macam tu? Makanlah cepat. Nanti lepas Fira dah habis makan, Az hantar Fira balik ke asrama okay?”, pesan Azfar sewaktu mereka berdua sedang makan malam di sebuah restoran. Alfira hanya tersenyum tawar sambil ditenungnya lagi wajah pujaan hatinya itu apabila Azfar tidak menyedari. Aku sangat beruntung kerana Azfar tidak pernah sesaat pun melupakan diriku apatah lagi ingin meninggalkanku sendirian dalam melalui keadaan getir seperti ini tidak seperti perempuan lain yang ditinggalkan teman lelaki masing-masing setelah mengetahui bahawa mereka telah mengandung.
Sudahlah Azfar harus kelam-kabut untuk masuk kelas, mana hendak melawat aku di rumah lagi. Syukurlah, Azfar telah membuktikan kata-katanya, bisik Alfira di dalam hati. Sewaktu Azfar menghantar Alfira ke asrama perempuan kolejnya, sempat lagi Azfar menghadiahkan sebuah kucupan kasih ke dahi Alfira sambil memberi pesan, “Jaga diri Fira dan anak kita baik-baik ye sayang?”. Alfira hanya mengangguk tatkala menatap wajah Azfar buat kali terakhir untuk minggu itu.
“Huh! Malasnya nak pergi exam...! Nak iron baju lagi, esok kena bangun awal pagi. Argh! Malasnya”, ngomel Alfira yang sudah terbiasa bangun lewat sepanjang seminggu tersebut setibanya dia di dalam biliknya. “Alamak, esok kena pakai uniform. Ah, belasah je lah. Kalau pakai uniform tak nampak kot. Yang penting, datang exam, jawab dan terus balik”, katanya lagi.
“Hah! Buat apa tu mak cik?”, sergah Erina dari belakang Alfira. Alfira segera berpaling dan terus memeluk erat Erina. “Erin, aku rindu kau sangat-sangat. Ada apa-apa tak untuk aku dari Ganu?”, gurau Alfira di saat sedang dia meleraikan pelukannya. Erina tersenyum dengan telatah Alfira biarpun dia sedang kepenatan setelah mengharungi lapan jam perjalanan daripada Kuala Terengganu.
“Mak aih, tengok lah kawan aku sekarang ni. Bulat macam doraemon dah aku tengok. Diet lah Fira”, usik Erina apabila melihat Alfira yang semakin berisi. Namun tidak pula Erina kelihatan curiga pada perubahan Alfira. Mungkin kerana dia sedang kepenatan, teka Alfira lalu membiarkan sahaja teman sebiliknya itu merehatkan diri di atas katil dan seketika kemudian Erina mulai melelapkan mata. Alfira juga mengikuti langkah Erina untuk segera terlena dibuai mimpi.
* * *
No comments:
Post a Comment