Dengan Berbesar Hati..


Meniti Pelangi Menanti Matahari -Episod 3-

Malam berganti siang, siang pula berganti malam. Tanpa disedari, Alfira sudahpun selesai menjalani latihan praktikal selama tiga bulan lamanya. Namun begitu, tempoh waktu yang panjang itu tidak dirasainya seperti dalam sekelip mata sahaja. Alfira kembali ke kolej semula untuk menghadapi peperiksaan akhir semester. Kesemua pelajar diberikan cuti untuk mengulangkaji pelajaran selama seminggu dan kesempatan yang diberikan ini Alfira gunakan sebaiknya untuk berjumpa dengan Azfar.
“Sayang, Fira cuti seminggu start minggu depan. Kita one night jom?”, Alfira bersuara manja menbuatkan hati sesiapa sahaja mencair dan pastinya permintaan Alfira tidak mampu ditolak oleh mana-mana lelaki pun. Azfar melonjat kegembiraan mendengar ajakan Alfira. Lebih-lebih lagi mereka sudah lama tidak berjumpa dan kalau ada, hanya sebentar sahaja. Tanpa berfikir panjang lagi, Azfar bersetuju dan malam itu juga dia datang menjemput Alfira. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat perubahan pada fizikal Alfira semasa gadis itu duduk di sebelahnya. Sambil melirikkan anak matanya dari kepala hingga ke hujung kaki Alfira, dia bertanya, “Sayang, kenapa Fira makin chubby Az tengok? Ke Az yang salah pandang ni?”.
Alfira melihat tubuhnya sendiri. “Ish, mana ada! Baju ni yang buat Fira nampak gemuk. Baru beli kat Perak hari tu.”, katanya memuncungkan bibirnya tanda merajuk. Mengapa ramai yang mengatakan aku gemuk? Nampak sangatkah perubahan pada badan aku ni? Ngomel Alfira sendirian.
Azfar terus mendiamkan diri. Jika dilanjutkan lagi perbicaraan ini, pasti buah hatinya mengamuk nanti. Ah, biarlah. Biasalah, perempuan memang cepat beremosi jika bercakap soal berat badan.
“Kita hendak ke mana malam ni Az?”, Alfira cuba memecahkan suasana dingin di dalam kereta Azfar. Lebih dingin daripada suasana di luar kereta yang semakin gelap dan sejuk.
“Malam ni housemate Az semua balik kampung sebab dah cuti semester. Fira tidur kat rumah Az lah malam ni ya?”, pujuk Azfar. Ini adalah saat yang ditunggu-tunggu setelah sekian lama keinginannya itu tidak dipenuhi. Dia lalu tersenyum puas apabila melihat Alfira menganggukkan kepalanya tanda setuju dan terus menggenggam erat tangan Alfira. Sempat lagi dia memandang wajah pujaan hatinya itu dengan penuh kasih. Sungguh aku sangat cintakan dia lebih daripada hidupku sendiri, katanya dalam hati dan hanya diterjemahkan melalui segaris senyuman ikhlas. Alfira membalas senyuman itu tanda mengerti.
Rumah teres yang disewa Azfar dan lima rakan-rakannya yang lain kelihatan sangat sepi dan gelap dek ketiadaan penghuninya. Setelah Azfar yakin tiada sesiapa yang memerhatikan mereka, dia membuka kunci pagar pintu rumah dan menjemput Alfira masuk. Mereka terus mengatur langkah ke bilik Azfar untuk melaksanakan agenda utama mereka.
“Fira! Ini yang Fira kata tak ada apa-apa?”, Azfar meninggikan suaranya apabila melihat tubuh Alfira dari jarak dekat. Seingat dia, Alfira bertambah berat badan, kerana itulah Alfira kelihatan besar. Tapi apabila dilihat dengan teliti, ternyata hanya perut Alfira sahaja yang membesar. Dia mengerutkan dahinya menanti penjelasan daripada mulut Alfira.
“Kenapa ni Az? Apa yang tak kena?”, Alfira masih tidak mengerti. Mengapa Azfar memarahinya secara tiba-tiba? Adakah hanya kerana dia gemuk dan Azfar tidak dapat menerimanya? Habislah aku kalau macam ini, gerutu hatinya.
“Sayang, tak kan Fira tak sedar-sedar lagi? Perut dah besar macam ni pun masih tak tahu lagi. Ini bukan biasa ni sayang. Perut Fira tak besar macam ni masa last kita jumpa dua tiga bulan lepas!”, Azfar menjadi semakin geram apabila menerima reaksi sebegitu daripada Alfira.
“Habis apa, Az nak cakap yang Fira pregnant? Macam tu?”, jawab Alfira yang juga meninggikan suara menahan amarah. Dia memang tidak akan beranggapan yang dia sedang hamil. Dia tidak mahu berfikir sebegitu pun. Namun kata-kata Azfar amat mencabar kesabarannya.
“Tak lah macam tu. Tapi kalau dah perut bulat macam ni, apa lagi? Az dah cakap awal-awal kan, kalau ada apa-apa perubahan pada Fira, bagitahu Az cepat. Boleh lah kita buat langkah awal. Ni sekarang dah besar macam ni, kan susah? Nak gugurkan pun dah tak boleh. Tinggi risikonya, sayang tahu tu kan? Az tak mahu kehilangan Fira”.
Alfira terdiam sejenak berfikir untuk mencari jalan keluar. Bagaimana hendak bagitahu, tanda-tanda dia hamil juga dia tidak dapat kesan pada tubuhnya. Alfira juga tidak menyangka bahawa perubahan pada saiz perutnya itu sebenarnya kerana dia sedang mengandungkan janin. Dia buntu. Apa yang harus dilakukan kini? Penyesalan menyelubunginya. Azfar yang kian memanjangkan leteran tidak diendahkan lagi. Alfira kembali mengingati pesan ibunya yang dia langgar. Riak muka ibunya yang sedang marah sudahpun terbayang jelas dalam fikirannya. Wajah ayahnya juga datang menerjah. Pasti ayahnya berang dengan perlakuannya yang menjatuhkan maruah ayahnya sendiri. Seribu sesalan kini datang menimpanya tanpa ada rasa simpati. Bertubi-tubi sehinggakan Alfira mengalirkan airmatanya dan mula menangis teresak-esak. Azfar yang sudah berhenti membebel segera memujuk Alfira agar meradakan tangisnya. Dipeluknya tubuh gadis itu erat ke dadanya. Azfar juga turut mengalirkan airmata. Bukan kerana sesal, tapi kerana dia mengerti penderitaan yang bakal dihadapi kekasihnya itu dan ini semua gara-gara dirinya. Berkali-kali dia mengucup dahi Alfira namun tidak juga reda tangisan gadis itu. Azfar hanya mampu mengucapkan kata, “Maafkan Az, Fira. Maafkan Az...”
                            *     *     *

No comments:

Post a Comment

Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.