Jarum jam sebentar lagi akan menunjukkan angka lapan menandakan kelas-kelas di kolej perubatan Taman Tunku Iskandar akan bermula. Alfira bersiap lambat pada hari tersebut membuatkan dia kelam kabut berdandan menyiapkan diri. Entah mengapa dia sukar untuk bangun pagi hari Isnin yang selalunya menjadi hari kegemarannya. Bagi Alfira, hari Isnin adalah hari yang paling ditunggu-tunggu setelah bercuti di hujung minggu dan semestinya hari permulaan setiap minggu di kelas ini membuatkannya lebih bersemangat. Namun, keadaan tidak sama pada pagi ini. Alfira seakan tidak mahu membuka matanya semasa bangkit dari tidur lenanya. Berjaya pun kerana puas dipaksa rakan sebiliknya Erina.
“Cepatlah Fira! Kita dah lambat ni. Nasib baik aku bangun sendiri pagi tadi. Kalau tidak, sama-sama lah kita lewat masuk kelas hari ni”, bebel Erina sambil membetulkan lipatan tudungnya. Memang hobi rakannya yang satu ini untuk membebel walaupun pada awal-awal pagi. Jika hari-hari biasa, Alfira yang rajin bangun awal menyahut seruan azan subuh dan kemudian barulah dia mengejutkan rakan sebiliknya itu dari tidur. Apatah lagi pagi Isnin seperti ini. Alfira hanya membisu mendengar sahaja leteran Erina kerana dia sedar akan salahnya sendiri.
“Alamak, lif penuhlah Erin. Kita dah lewat sangat dah ni. Lima minit lagi kalau kita belum masuk kelas kita tak akan dibenarkan masuk”, luah Alfira keresahan setibanya mereka di blok B7. Erina yang dari tadi menarik muka masam segera menarik lengan Alfira dan membawanya untuk menaiki tangga. Alfira menurut tanda memahami maksud Erina. Lagipun, bukannya dia tidak biasa menaiki tangga untuk ke kelas. Cuma Erina sahaja yang malas dan dia terpaksa mengikut langkah rakannya itu untuk menunggu lif pada hari-hari sebelumnya. Termengah-mengah dia mendaki anak-anak tangga yang dirasakan sangat banyak itu. Setibanya mereka di aras empat, Alfira mula menghentikan langkahnya. Erina yang laju mengatur langkah juga turut berhenti kerana terlihat Alfira tercungap-cungap di situ.
“Ai? Dah penat ke mak cik? Selalunya bukan main lagi kau naik sampai tingkat enam. Ni baru tingkat empat dah penat? Cepatlah, ada dua tingkat je lagi”, pinta Erina kerisauan.
Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia tinggalkan Alfira di situ dan teruskan pendakiannya. Tapi, kerana sahabat, dia menunggu jua agar Alfira dapat menarik nafas panjang seketika.
“Itu lah kau Erin, laju sangat naik tangga. Tak terkejar aku. Mana tak penat? Kejap lah, aku macam nak pengsan dah ni”, jawabnya mengatur langkah perlahan mendapatkan Erina di hadapannya lalu mengangkat tangan kanannya meminta untuk dipimpin. “Hei... manja sangat lah kau ni Fira”, Erina mengomel. Namun tangan yang dihulurkan itu dia capai jua kerana kasihankan Alfira. Mereka kemudiannya mengatur langkah menaiki anak tangga satu-persatu.
“Huh! Sampai akhirnya...”, keluh Alfira lalu terus duduk di salah sebuah kerusi dalam kelas mereka. Jantungnya terasa berdegup laju bagaikan hendak terkeluar daripada dadanya yang sesak. Letihnya mendaki tangga yang bertingkat-tingkat itu tidak terkata. Inilah akibatnya apabila kelam kabut menaiki tangga. Mujur dia tidak tersalah langkah tadi. Kalau tidak, ke hospital lah dia pagi itu. Pensyarah pula belum lagi memasuki kelas. Ada urusan barangkali di pejabat atau ada hal kecemasan yang tidak dapat dielakkan, Alfira meneka dalam hati. Kedengaran suara Erina yang dari tadi tidak berhenti-henti membebel. Begitulah hari-hari yang dilalui Alfira di kolej. Awal pagi harus ke kelas untuk kuliah, tengahari berehat sebentar untuk makan tengahari dan solat zuhur, akhirnya petang barulah habis ke semua kuliah. Rutin yang sama setiap hari sehingga tidak terasa dia kini berada d pertengahan semester empat. Beberapa hari lagi dia dan rakan-rakan sekelasnya akan melakukan latihan praktikal di hospital-hospital kerajaan pilihan kolej. Alfira amat menggemari sepanjang tempoh dia bertugas di hospital kerana pada waktu inilah dia dapat menimba pelbagai ilmu dan pengalaman yang tidak mungkin boleh didapati di dalam kuliah atau di mana-mana buku. Tak kurang juga, dia kerap membuat temujanji dengan Azfar kerana Azfar lah yang akan menjemputnya balik dari bekerja.
“Alfira, boleh saya tanya sesuatu?”, tanya seorang pendidik pelajar di wad tempat Alfira bertugas, Puan Sharifah. “Ya puan?”, jawab Alfira penuh sopan. Dia tidak berasa aneh apabila Puan Sharifah melontarkan soalan kepadanya kerana beliau memang suka bertanya soalan kepada pelajarnya untuk mengukur tahap pengetahuan setiap pelajar yang bertugas di bawah pemerhatiannya.
“Saya tengok awak ni makin montel lah. Rasanya dua bulan lepas saya tengok awak tak ada lah besar macam ni. Gembira nak kahwin ke?”, katanya dalam nada bergurau sambil tertawa kecil. Alfira tersenyum mendengar kata-kata Puan Sharifah yang mesra itu. “Mana tak besar Puan, kerja asyik makan je. Nak cuba diet pun susah. Makanan kat sini semua sedap-sedap”, jawabnya merujuk kepada kantin di hospital kerajaan Kuala Kangsar. Kali ini, Alfira ditugaskan ke negeri Perak dan dia sudahpun berada di sana selama hampir tiga bulan. Oleh itu, Alfira jarang bertemu dengan jejaka pujaannya Azfar. Dia mengusap perutnya yang ke depan itu. Benar kata Puan Sharifah, aku dah gemuk sedikit. Ini mesti kerana aku selalu makan lewat malam sebelum masuk tidur. Seluar uniform pun dah ketat, Alfira bermonolog dalam hati. Sejak menjalani latihan praktikal di hospital, Alfira kerap berasa lapar. Tambahan pula, dia menggunakan lebih banyak tenaga kerana perlu berkejar ke sana ke mari menjaga pesakit. Wajarlah berat badannya naik mendadak kerana dia juga tidak menjaga pemakanannya dengan betul. Pantang saja dia lapar, pasti dia akan makan apa sahaja.
No comments:
Post a Comment