Dengan Berbesar Hati..


Meniti Pelangi Menanti Matahari -Episod 1-

“Tahniah, Alfira. Kamu adalah pelajar terbaik bagi semester yang lepas. Saya harap, kamu dapat teruskan pencapaian cemerlang kamu dalam mencapai sijil diploma. Rakan-rakan yang lain, sila contohi sikap Alfira dan jadikan dia sebagai rujukan jika kamu semua ingin membuat ulangkaji. Alfira, tahniah sekali lagi,” ucap profesor Tengku Naila dengan penuh rasa bangga apabila mengumumkan nama pelajar kegemarannya itu di dalam kelas semester empat yang baru sahaja bermula. Itulah dia Alfira Arshad, seorang pelajar perubatan di sebuah kolej ternama di kota Kuala Lumpur.

            Alfira tersenyum sendiri tatkala melihat sijil keputusannya. Terasa sungguh puas dengan pencapaiannya hasil usaha keras dan keazaman yang menggunung untuk bergelar seorang pakar perubatan nanti. Jika dahulu sewaktu dia belajar di sekolah menengah, dia sering gagal untuk meraih kedudukan 10 tempat teratas di dalam kelasnya kerana dia selalu terleka dan malas mengulangkaji. Kerana itulah juga permohonannya untuk belajar di sebuah universiti terkemuka ditolak mentah. Terpaksa lah jua dia belajar di sebuah kolej yang kos pembelajarannya sangat tinggi. Apakan daya, dia harus meneruskan langkahnya dalam menimba ilmu bagi membantu keluarganya kelak. Namun kini, dia seakan bisa melihat masa depannya yang semakin cerah dan susur laluannya sudah terbuka luas untuk berjaya di masa hadapan kelak.
            Cuaca pada tengahari itu sangat ceria. Panahan sang suria semakin bersilau dan kehangatannya kian menggigit kulit, memerah keringat. Alfira segera menelefon ibunya untuk mengkhabarkan berita gembira itu. “Alhamdulillah, anak ummi. Ummi bangga dengan kakak. Kakak  lah satu-satunya harapan ummi. Ummi dah tak larat. Tunggu kakak habis belajar, dapat kerja, baru lah lega sikit hati ummi ni. Kakak dengar pesan ummi tahu. Belajar rajin-rajin. Hal-hal yang tidak penting, ketepikan dahulu. Jangan kecewakan ummi”. Sedemikian lah respon daripada ibunya yang meleletakkan harapan setinggi puncak gunung Everest agar anak gadisnya itu berjaya dalam pelajarannya dan mendapat pekerjaan yang menjamin masa depan mereka nanti. Almaklumlah, dia mempunyai dua orang adik lagi yang masih belajar di sekolah menengah dan rendah. Ayahnya pula memiliki sebuah kedai tekstil di tengah kota. Namun, pendapatan bulanannya tidak begitu memberangsangkan akibat persaingan dan kos sewa kedai yang tinggi. Ibunya hanya bekerja membuat kek dan kuih muih dari rumah. Hidup mereka tidak begitu mewah. Maka, Alfira lah harapan keluarga mereka, masa depan mereka. Wajarlah ibu dan ayahnya berkorban untuk membiayai segala kos sepanjang Alfira menuntut di kolej itu walaupun adakalanya wang harian mereka tidak mencukupi dan harus mengikat perut. Semua itu dilakukan demi kejayaan Alfira nanti.
            Alfira termenung memikirkan ayat terakhir ibunya tadi. Selama ini dia selalu menurut kehendak dan telunjuk ibunya. Cita-citanya untuk menjadi pereka fesyen dia lupakan kerana ibunya membantah. Ibunya tidak redha sekiranya dia menjadi seorang pereka kerana bagi ibunya, karier itu tidak akan dapat menjamin kehidupan mereka sekeluarga buat suatu jangka masa yang panjang walaupun sudah puas Alfira meyakinkan ibunya itu. Tambahan pula, pasti sukar untuk Alfira mendapatkan pekerjaan nanti kerana sudah terlalu ramai pereka yang berjaya pada masa kini. Alfira terpaksa akur. Tanpa disedari, dia sudahpun menitiskan airmatanya. Kali ini, dia tidak dapat patuh pada larangan keras ibunya. Dia ingkar dan membawa dirinya kepada suatu permasalahan yang sangat mencelarukan perasaannya. Alfira rasa serba salah. Ah, aku sudah pergi sejauh ini. Mana mungkin aku dapat berpatah balik, Alfira berkata dalam hatinya. Mata galaknya kemudian melirik ke skrin telefon bimbitnya. Berkali-kali dia menekan salah satu punat di badan telefon tersebut mencari suatu nama yang tidak asing lagi baginya. Dia tersenyum simpul setelah nama yang dicari tertera jelas di skrin. Azfar. Lalu dia menekan punat hijau dan menunggu kemunculan suara yang sangat dirindui.
“Hello sayang”, sahut mesra suara Azfar di talian. Mendengarkan itu, Alfira semakin berbunga. Dia segera menceritakan berita gembira yang sama kepada si jejaka yang berjaya merebut hati dan cintanya.
“Tahniah sayang.. Az tahu Fira boleh buat”,  jawabnya girang lalu menyambung, “Fira, Az nak tanya sesuatu ni”. Suaranya tiba-tiba menjadi perlahan namun ada nada serius kedengaran. Alfira berdebar. Soalan yang bagaimana hendak buah hatinya itu ajukan kepada dia? Takut-takut dia bertanya kembali, “apa dia Az?”.
“Emm...”, Azfar menjadi ragu-ragu untuk melontarkan persoalan yang kebelakangan ini mengganggu emosinya. Alfira semakin cemas. Mengapa pula aku rasakan soalannya nanti sesuatu yang sukar untuk dijawab? Namun dia hanya menunggu tanpa sepatah kata, membiarkan sahaja sang kekasih menyambung bicaranya.
“Az nak tanya, Fira sekarang macam mana?”, terkeluar juga persoalan yang sedari tadi bermain dalam benak fikirannya. Alfira mengerutkan dahi tanda tidak mengerti lalu  menjawab, “macam mana apa? Fira sihat je”. Azfar seakan tidak berpuas hati dengan jawapan Alfira kerana dia pasti gadis kesayangannya itu tidak memahami maksud sebenar pertanyaannya. Azfar melanjutkan lagi soalannya, “maksud Az, ada apa-apa perubahan ke pada badan Fira? Rasa loya ke, pening-pening ke?”. Akhirnya sampai juga makna kepada soalannya yang pertama tadi. Perkara ini lah yang selalu muncul menghantui pemikiran Azfar sejak pertemuan dengan Alfira dua minggu yang lepas. Pertemuan yang bukan sekadar perjumpaan biasa. Pertemuan yang bukan pertama kalinya.
Alfira berfikir sejenak. Memang dia juga ada memikirkan perkara yang sama malah Alfira lebih khuatir berbandingkan Azfar kerana dia seorang perempuan. Apa-apa yang berlaku kelak, dia yang akan merasa lebih pedih dan sengsara daripada si lelaki. Di mana dia hendak letakkan air mukanya nanti? Bagaimana pula dengan keluarganya? Pasti akan huru hara. Silap haribulan, dia boleh diusir pergi dari rumahnya. Alfira memejamkan matanya rapat-rapat. Ngeri rasanya apabila memikirkan hal-hal tersebut menimpa dirinya. Dengan penuh hati-hati, dia menyusun ayat untuk diucapkan kepada Azfar.
“Setakat ni tak ada apa-apa la Az. Az jangan risau, tak akan jadi apa-apa kat Fira la. Perut ni pun kempis je”, katanya cuba untuk meyakinkan Azfar. Bukannya apa, dia tidak mahu kekasihnya itu merisaukan perkara yang tidak mungkin terjadi. Alfira yakin, dia tidak mengandung berikutan kitaran haidnya yang seringkali tidak seimbang.
Azfar masih tidak berpuas hati dengan jawapan Alfira. Pelbagai persoalan terbit di ruang fikirannya apatah lagi mereka masing-masing masih muda dan sedang menuntut di institusi pengajian tinggi. Azfar terus diserang rasa sesalan yang amat dalam dek perlakuannya yang melanggar adab dan hukum hakam. Namun, dia terpaksa tunduk dengan nafsu yang menjadi raja, oleh sebab itu walau beberapa kali pun dia rasa menyesal atas ketelanjurannya bersama Alfira, dia masih tetap gagal untuk lari daripada tidak mengulanginya. Apatah lagi apabila Alfira tinggal di asrama yang kawalannya longgar manakala Azfar pula tinggal menyewa di sebuah rumah berdekatan kolejnya. Jarak antara mereka yang hanya beberapa kilometer membolehkan mereka untuk kerap berjumpa. Malahan, wang biasiswa yang diberikan kepada Alfira kerana prestasinya yang memuaskan juga habis dibelanjakan setiap kali mereka bertemu. Azfar kembali bersuara.

“Az risau jadi apa-apa pada Fira sebab kan hari tu Az...”, belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Alfira segera memotong, “Az, kan Fira kata tak kan jadi apa-apa. Dah la, kita tak payah bincangkan isu ni lagi okay? Fira nak rehat. Sakit kepala Fira jadinya” lalu pantas dia menekan punat merah sekali gus menamatkan perbualan mereka.
Alfira terbaring kaku di atas katilnya sambil mengimbas kembali detik dua minggu lalu. Memang ada peristiwa yang tidak dijangka berlaku pada hari itu. Mungkin kerana itulah Azfar menjadi terlalu risau. Ah, lupakan saja! Aku tidak mengalami sebarang tanda-tanda kehamilan pun hingga kini. Tidak mungkin aku mengandung. Aku tidak sesubur itu. Sebelum ini pun tidak ada apa-apa yang berlaku. Gerutu Alfira dalam hati. Perasaan cemasnya itu dibuang jauh-jauh dan mencuba untuk melelapkan matanya. Hari esok akan tiba dan banyak perkara yang harus diambil berat kerana bakal mempelajari topik-topik yang baru. Semester kali ini ternyata lebih mencabar dan Alfira sudah meletakkan nekad untuk berusaha dua kali ganda untuk mengekalkan pencapaiannya. Lagipun, dia bertekad kepada dirinya agar tidak mencampurkan urusan peribadi dengan pelajaran. Itulah janji yang sentiasa Alfira genggam.

No comments:

Post a Comment

Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.