“Sayang sudah balik?”, tanya suamiku sejurus selepas melihat aku melangkah masuk ke dalam rumah. Aku lihat maduku ada di situ dan pandanganku meleret hingga ke perutnya. Empat minggu? Aku mengeluh perlahan dan sejenak kemudian suamiku datang berdiri di hadapanku. Aku hanya menatapnya dengan mata yang sembab dan merah dek tangisan sepanjang perjalanan balik menuju ke kediaman kami petang itu. Soalannya sebentar tadi aku tidak pedulikan sahaja lalu aku menarik lengannya menuju ke kamar kami di tingkat atas.
Tanpa sebarang kata, aku menumpahkan airmata di hadapannya yang sedang duduk menghadapku. Hendak ku peluk, rasa benci sudahpun tumbuh di dalam hati, hendak ku marah, aku pula yang tidak sampai hati. Lalu ku biarkan sahaja dia melihat tangisanku yang selama ini aku sembunyikan. Semasa dia bernikah satu lagi kerana permintaan ibunya, aku masih lagi dapat menerimanya meskipun aku harus menangis bersembunyi di balik senyuman. Ibu mertuaku tidak gembira mendengar berita kehamilanku malah menuduh aku bermacam-macam, aku masih kuat untuk bersabar walaupun terpaksa menangis sendirian. Namun kali ini, aku luahkan jua apa yang terkubur dalam jiwaku selama ini. Kekecewaan, kepedihan dan kesengsaraan seorang isteri yang selama ini bersabar dengan keadaan yang sungguh menyakitkan, tetapi dia? Tidak langsung memikirkan pengorbananku malah berbahagia bersama orang yang telah menghancurkan rumahtangga yang telah terbina.
Dia menyapu butiran permata dari pipiku. Kepalaku yang berbalut selendang itu dia usap lembut. Seperti aku, tiada sepatah kata pun yang keluar dari bibirnya. Dia hanya diam membisu tanpa sebarang penjelasan membuatkan aku tenggelam ke dasar perasaan hampa yang terlalu dalam. Berita gembira yang ingin ku sampaikan tadi sudah tidak ku fikirkan lagi. Mungkin hal itu sudah tiada nilai kegembiraan kepadanya kerana kian ditutupi kebahagian bakal memperoleh seorang lagi anak dari isteri keduanya. Tangisanku reda begitu sahaja. Dia berlalu dari kamar kami tanpa sebarang suara.*
Tanpa disedari, dua bulan sudah berlalu. Hari demi hari yang aku lalui bersama-sama suami tercinta dan madu yang tidak begitu kugemari terasa sungguh pantas umpama hanya sekelip mata. Seharusnya di penghujung trimester ku ini aku rasa sungguh berdebar menunggu kelahiran cahayamata yang sudah sembilan bulan tinggal di dalam rahimku. Beberapa hari sahaja lagi baginya untuk membuka mata melihat dunia yang penuh dengan pancaroba ini. Hanya tinggal satu langkah sahaja lagi, bersalin. Sesuatu yang mesti dilalui oleh semua ibu yang mengandung dan peringkat inilah yang selalu menjadi igauan ngeri oleh para ibu yang bakal melahirkan bayi termasuklah diriku.
Aku yang sudah lama bercuti untuk bersalin cuma dapat melangkah perlahan mengusung perutku yang sudah terlalu berat bagiku.
Aku menuju ke dapur untuk menyediakan sarapan buat suamiku yang sebentar lagi akan bertolak ke pejabat. Setibanya aku di dapur, aku terlihat kelibat maduku di situ sedang menyiapkan sesuatu. “Awal bangun?”, sapaku dingin. Dia tersenyum tawar. Aku yang sedang mencuba sedaya-upayaku untuk menurunkan egoku melanjutkan pertanyaanku.
“Masak apa ni?”. Lalu dia menjawab, “Sarapan untuk abang sebelum pergi ke kerja”. Aku terkedu. Memang sejak kebelakangan ini dia rajin ke dapur. Malahan, kerja-kerja rumah juga dia yang bereskan. Aku yang selama ini sudah terbiasa melakukan kerja-kerja tersebut berasa janggal dan tidak kurang juga, kebosanan yang teramat. Terlintas persoalan dalam fikiranku, mengapa dia melakukan semua ini? Keinginanku semakin membuak untuk bertanya mengenainya namun kehadiran suamiku yang sudah segak berpakaian kemeja membantutkan pertanyaanku.
Aku terpegun sebentar melihat kekacakkannya yang luar biasa pada pagi itu. kemeja rona putih salju itu amat sesuai dengan tubuhnya yang sasa. Tali leher yang dikenakan juga cocok. Wajahnya tampak berseri-seri dan ia umpama suatu kejutan buatku. Pantaslah dia tidak membenarkan aku untuk membantunya bersiap sebentar tadi tidak seperti hari-hari sebelumnya. Jika sebelum ini, aku lah yang menggosok rata kemeja dan seluarnya. Aku lah juga yang menyimpulkan tali leher yang tergantung di lehernya meskipun aku sudah tidak berdaya untuk berdiri dalam tempoh masa yang panjang sekarang ini, dialah yang menyuruhku agar duduk di sisi katil setiap kali ingin mengikat tali lehernya. Namun begitu, pagi tadi apabila aku ingin melakukan hal yang sama, dia cuma berkata, “Biarlah kali ini abang yang buat sendiri”.
Aku terjaga daripada anganku apabila suamiku bersuara, “Wah, sedapnya bau. Pandai awak masak”. Maduku tersenyum mesra mendengar pujian itu. Aku terus memandangnya tajam. Api kemarahan mulai merebak dari dalam anak mataku. Oh, kerana ini lah dia menunjukkan kerajinannya selama ini. Ingin dipuji dan disayangi oleh suami rupanya. Aku sepatutnya menghidu muslihatnya ini lebih awal.
Setelah selesai bersarapan, suamiku menghulurkan tangan kepada maduku terlebih dahulu dan dia menyambut lalu menciumnya. Kemudian barulah tangan itu sampai kepadaku dan aku menciumnya penuh kasih. Berlainan daripada tadi, aku diberi satu kucupan di ubun-ubunku membuatkan hati yang lara ini terubat. Maduku yang memerhati segera menapak langkah ke ruang dapur dan berpura-pura sedang mengemaskan pinggan-pinggan. Cemburu barangkali kerana aku mendapat layanan yang lebih daripadanya.
Aku mengangkat wajahku memandang tepat pada mukanya yang bersih itu. Aku harus melepaskan genggaman tangannya kerana dia harus berangkat sekarang. Namun dia semakin menggenggam erat tangan halusku.
“Sayang, terlewat nanti”, ujarku kerisauan. “Biarlah, sekejap sahaja pun. Abang hendak lihat muka sayang puas-puas”, katanya melihat terus ke dalam mataku. Dia menyambung dengan nada yang lembut, “Sayang, walau apapun yang terjadi, sayang harus yakin pada cinta abang. Dari dulu hingga sekarang, cinta abang pada sayang tidak pernah berubah. Dan bayi dalam kandungan ini adalah bukti cinta dan kasih sayang abang. Ingat ni sampai bila-bila sayang”, ujarnya sambil mengusap perutku. Satu ciuman hangat juga diberikan untuk si bayi dan dia terus memacu keretanya lalu hilang dari pandangan.
Aku segera berpaling mencari keberadaan maduku. Berkali-kali aku memanggil namanya barulah dia muncul. “Kau ke mana tadi? Sudah letih aku panggil kau, tidak juga kau menyahut. Mari sini, aku hendak bercakap sikit dengan kau”, aku mulai meninggikan suara kerana bagiku sikapnya itu sengaja dilakukan untuk menguji kesabaranku.
“Kau jujur sekarang pada aku. Kenapa kau begitu beriya buat semua kerja rumah hah? Kau sengaja bukan inginkan perhatian daripada abang? Sudahlah ibu mertua pun sebelahkan kau. Tidak cukup-cukup lagi? Sampai awal-awal pagi lagi sudah dipuji. Dah lah kau ini pun sudah menyusahkan, ditambah lagi dengan anak dalam perut kau”, bentakku meluru bertubi-tubi kepadanya. Aku sudah tidak kisah lagi. Apa hendak jadi, jadilah. Aku sudah tidak berupaya menahan sabar lagi.
“Akak, abang sudah berpesan pada saya supaya jangan bagi akak buat apa-apa kerja. Nanti akan beri kesan pada bayi dalam kandungan akak”, jawabnya lembut. Aku keraskan hati. Aku tidak boleh mengalah, getus hatiku.
“Ah! Kau jangan nak tunjuk baik. Aku tahu lah niat kau. Kau ingat kau boleh cairkan hati aku? Kalau ibu mertua dengan abang bolehlah. Kau tengok perut aku ni, dari kempis sampai lah bulat macam ni aku sudah bersabar dengan sikap kau tahu?”, belum sempat aku habiskan kata-kataku, dia terus merangkul kemas tanganku.
“Akak, jangan cakap macam ni. Saya ikhlas dalam hidup bermadu kak. Saya redha”, ujarnya mencuba untuk meredakan kemarahanku. Aku yang tinggi ego ketika itu dengan kasarnya melepaskan rangkulannya itu membuatkan dia terdampar di bucu sofa. Aku yang juga kehilangan keseimbangan tersembam ke lantai yang beralaskan permaidani. “Ahh!”, aku mengerang kesakitan. Otot perutku terasa berombak kencang dan terasa peha serta betisku sudah basah. Rupanya air ketubanku sudah mengalir deras diikuti dengan cecair berupa darah.
Maduku yang mendengar jeritanku tadi bingkas bangun dan pantas mencapai kunci kereta milikku. Dia kemudian memimpinku masuk ke dalam kereta dan memecut laju menuju ke hospital.
Semasa dalam unit kecemasan, maduku masih lagi menemaniku. Dia menggenggam erat tanganku yang juga memberi refleks yang sama dek menahan kesakitan. “Call abang..”, pesanku kepadanya. Aku ingin suami yang aku sayangi sama-sama menikmati saat paling indah ini.
Dia sekadar menggangguk lalu melepaskan pegangan tangannya. Doktor dan para jururawat sudah bersedia untuk prosedur bersalin secara normal. Namun aku menghentikan langkah mereka. “Doktor, tunggu suami saya. Dia kena ada sekarang”. “Tidak puan. Kita harus lakukan sekarang. Tidak boleh tunggu lagi”, arah doktor tersebut. “Tapi doktor, dia akan datang. Sekejap sahaja lagi...”, aku tidak dapat melanjutkan pertuturanku kerana kesakitan dibahagian perutku semakin hebat. Aku mengerang kesakitan sehingga badanku terbangun ke hadapan. Mendengarkan jeritan itu, salah seorang daripada jururawat di situ melakukan pemeriksaan kepadaku dan berkata sesuatu yang tidak ku fahami kepada doktor. “Baik puan, puan teran sekarang”, doktor memberikan arahan. Aku tiada pilihan lain selain menurutinya. Maduku turut berada di situ menemaniku. Airmatanya mengalir melihat kepayahanku meneran keluar seorang bayi.
No comments:
Post a Comment