Sang suria mulai menampakkan wajahnya menyinari seluruh lapisan luar bumi. Embun yang sudah lama bertapak di dedaunan hijau semakin terhapus kerana akur kepada sifat semulajadi alam melalui proses penyejatan. Cengkerit-cengkerit yang menceriakan sepanjang malam sudah penat bernyanyi girang lalu diganti pula dengan burung-burung berkicauan mesra menandakan tibanya satu lagi hari yang indah. Tidak ketinggalan juga bunga-bunga yang menunjukkan warna-warna kebanggaannya berkembang mekar. Semekar hatiku kala itu. Hari itu adalah hari hujung minggu, hari untuk rata-rata pekerja bercuti merehatkan diri. Aku yang sudah lama membuka kelopak mataku hanya membiarkan sahaja suamiku lena di sisi.
Sudah hampir sebulan suamiku menemaniku setiap malam. Dalam tempoh itu juga segala kelengkapan bagi menyambut kelahiran cahayamata sulung kami telah disediakan suamiku. Daripada pakaian bayi, kelengkapan bilik yang kami khaskan untuk si bayi hinggalah ke perawatan selepas aku bersalin nanti. Tiada satu hal pun yang tertinggal. Aku dapat meneka perasaan suamiku yang pastinya teruja mengalahkan diriku pula yang akan melahirkan seorang waris untuknya. Aku tersenyum simpul. Inilah yang dinamakan hikmah setelah jalan yang penuh duri dan ranjau aku tempuhi. Aku tidak akan persoalkan mengapa dia begitu bersungguh-sungguh mencurahkan sepenuh perhatiannya kepadaku. Pastilah, aku ini kan isterinya. Isteri yang pertama. Aku bingkas bangun apabila terlihat sepasang sarung tangan bayi yang kami beli sebulan yang lepas. Sarung tangan yang berona kuning cerah itu ku sentuh. Tertera perkataan ‘Daddy Love Me’ bersulam di permukaan kedua-dua belah membuatkan aku tersenyum sendiri kerana teringatkan peristiwa sewaktu kami memilih sarung tangan itu.
“Sayang, tengok ni, comel kan?”, ujarku keriangan apabila terlihat beberapa pasang sarung tangan yang disusun rapi dalam sebuah rak di butik pakaian bayi. Sudah menjadi kegilaanku meminati sarung tangan bayi sedari aku belum berumahtangga lagi kerana saiznya yang kecil menjadikan bayi kelihatan sangat comel apabila menyarungnya. Suamiku yang sedang leka membelek baby box, tempat tidur untuk bayi kami nanti datang mendekatiku. Sambil menunjukkan beberapa pilihan sarung tangan kepadanya, aku bersuara lagi, “Mana satu yang comel? Sayang tolong pilihkan. Kalau saya, saya beli semua”. Berderai ketawaku namun dia hanya tersenyum sambil mengambil salah satu daripada sarung tangan yang dipamerkan di dalam rak tersebut dan ditunjukkan kepadaku. “Yang ini paling comel, ‘Daddy Love Me’”, ujarnya sambil tersenyum lagi.
Aku berasa tidak puas hati lalu menentang pilihannya. “Laa, kenapa pula ‘daddy love me’? sepatutnya kan ‘mommy love me’”, ujarku sambil menunjukkan sarung tangan berwarna merah jambu yang bersulam tulisan ayat tadi kepadanya. Dia hanya berkata, “Sebab daddynya lagi sayang pada baby daripada mommynya sayangkan baby”. Dia tertawa kecil.
“Suka hati sayang lah”,kataku dengan nada merajuk mengundang lagi tawa mesra daripadanya.Aku mengatur langkah dengan laju setelah kami membayar segala alat yang ingin dibeli. Perasaan ketidak-puashatian ku masih menyala kerana suamiku membantah kesemua sarung tangan yang menjadi pilihanku. Kelima-lima pasang sarung tangan yang dibeli semuanya tersulam ayat ‘Daddy Love Me’ dan terdiri daripada pelbagai warna termasuk yang dipilihnya, warna kuning cerah. Aku memanjangkan muncungku daripada semasa kami menaiki kereta sehinggalah memasuki perkarangan rumah kami.
“Wah, banyaknya beli barang”, tegur maduku. Aku sekadar mengerlingnya tajam dan melabuhkan punggung ke atas sofa di ruang tamu. Kepalaku terasa pusing dan tulang belakangku terasa hendak patah dek kepenatan berjalan seharian. “Ada orang tu merajuk sebab tak dapat barang yang dia mahu”, sindir suamiku sambil menghulurkan sarung tangan pilihannya kepada si madu. Tiba-tiba berderai gelak ketawa keduanya setelah kedengaran suara berbisik sesama mereka. Aku yang baru sahaja menutup kelopak mataku membukanya semula. Hati yang sediakala terbakar ini semakin terasa bahangnya bagaikan disimbah pula dengan minyak petrol. Lantas aku segera mendaki tangga meninggalkan mereka berdua di situ. Sekiranya aku lebih lama di sini, aku bisa mengamuk memuntahkan api kemarahan, getus gatiku.
Aku duduk mententeramkan diri di atas tilam milik kamar kami. Berkali-kali aku berisighfar memohon keampunan dan ketenangan. Sejurus kemudian, suamiku memasuki kamar kami dan turut duduk di sebelahku. Tanpa berkata apa-apa, dia mengeluarkan sepasang sarung tangan bayi dari genggamannya yang berona merah hati. Aku membaca kata-kata yang tertulis di atasnya, ‘Daddy Love Mummy’.
“Sayang..”, aku segera memeluk tubuhnya yang sasa itu dan menghadiahkan sebuah kucupan di pipinya. Sungguh terharu rasa jiwa ini apabila melihat tingkahnya yang cuba untuk memujukku. Kebahagiaan kini kekal di sebelah pihakku. Aku kembali mengeratkan pelukkanku. Tiba-tiba kedengaran dari jauh suara maduku memanggil suamiku. “Abang..!”, begitu lantang suaranya yang berpusat dari tingkat bawah. Suamiku bingkas bangun seraya berkata, “ Sekejap ya sayang”, lalu meninggalkan aku di situ. Apa lagi yang dia mahukan sekarang ini? Menganggu kami sahaja! Dengusku geram.
Aku tersedar. Ingatan kebencian terhadap suara panggilan maduku membantutkan lamunanku pagi itu. ku lihat jam yang berdetik sayup-sayup sudahpun menunjukkan jam 7 pagi. Sudah lewat, gerutu hatiku. Aku harus membangkitkan suamiku daripada tidur lenanya. *
Kesibukkan warga kota berjalan bertentangan arah mengundang kesakitan pada tubuhku yang kerap dilanggar mereka yang bergerak pantas seakan kesuntukkan masa untuk meninggalkan ruang menunggu hospital swasta yang aku kunjungi lewat petang itu.
Sungguhpun sakit diperlakukan begitu, aku tetap tersenyum dan sebenarnya senyuman itu tidak pernah lari daripada wajah ceriaku sejak keluar dari klinik pesakit luar seorang doktor yang menjadi pilihanku lagi. Kunjunganku pada hari itu adalah untuk memeriksa perkembangan kandunganku yang kini berusia genap tujuh bulan. Perasaanku ketika melihat pergerakkan janin di dalam rahimku melalui sinaran ultrasound 4D tidak dapat kugambarkan bagaikan wujudnya sejuta rasa dalam jiwaku. Naluri keibuan yang sudah lama mengalir dalam tubuhku semakin utuh apabila menatap rupa bentuk dan perlakuan bayi yang bakal dilahirkan sembilan minggu sahaja lagi mengikut perkiraan doktor tadi. Aku yang selama ini menolak cadangan doktor untuk mengetahui jantina janinku tiba-tiba bertanyakan hal itu berikutan rasa ingin tahu yang terlalu kuat mengangguku.
Sambil menatap semula foto janinku yang diberi oleh doktor hasil imbasan tadi, aku menghidupkan enjin kereta yang menjadi pemberian suamiku di awal pernikahan kami dahulu. Tidak sabar rasanya ingin memberitahu jantina anak yang aku kandungi ini sekaligus melihat riak wajahnya yang pasti akan terkejut dan gembira. Namun begitu, aku ada sekelumit rasa kecewa di ruang hatiku kerana dia tidak dapat bersama aku untuk melihat perkembangan bayi kami. Ini semua gara-gara maduku. Dia mengadu tidak sihat kebelakangan ini dan sering sahaja meminta suamiku untuk menemaninya. Mengada-ngada! Dia sengaja ingin menarik perhatian suamiku daripada aku. Pasti kerana perasaan hasad dengki kerana tidak lama lagi tangisan bayi yang bakal ku lahirkan akan bergema diruang istana kami.
Tanpa berlengah-lengah lagi, aku melepaskan handbreak kereta dan menekan pedal minyak menjadikan enjinnya menderu laju. Baru sahaja kilometer pertama di jalanan yang aku rentasi, telefon bimbitku berbunyi dan nama suamiku tertera di skrinnya. Kelam-kabut aku memasang alat bebas tangan dan menekan punat hijau. Mujur waktu itu lampu isyarat sedang menyalakan warna merah tanda berhenti.
“Assalamualaikum sayang”, tuturku lembut. Aku tidak mahu suaraku kedengaran terlalu teruja kerana dia pasti akan bertanya mengapa.
“Waalaikumussalam warahmatullah”, jawab suamiku lalu bertanya, “ Sayang ada di mana tu?”. “Dalam perjalanan balik sayang. Kejap lagi sampai lah. Sayang, saya ada berita hendak bagitahu sayang”, jawabku memberikan mukadimah kepadanya.“Tapi sebelum itu, dia macam mana? Ada baik sedikit?”, sempat juga aku bertanya tentang maduku itu. “Dia tak apa-apa. Abang pun ada berita yang hendak disampaikan pada sayang. Dia mengandung empat minggu”, katanya bernada gembira.
Aku tergumam. Alat bebas tangan yang tergantung di telinga aku tarik. Kereta yang tadinya memecut laju selepas lampu isyarat bertukar hijau menjadi semakin perlahan lalu terhenti di bahu jalan. Mengandung empat minggu? Mengapa?! Mengapa semua ini berlaku sekarang? Aku menghentak-hentakkan stereng kereta sampai tertekan honk di tengahnya lalu mencetuskan bunyi yang kuat.
Aku menangis meraung-raung di situ membiarkan sahaja pemandu-pemandu yang melalui jalan itu memperlahankan kenderaan masing-masing demi memerhatikanku. Seksa di dadaku terlalu hebat dan aku tewas padanya. Ya Allah, mengapa sampai jadi begini...? * * *
No comments:
Post a Comment