Dengan Berbesar Hati..


Mencari Kemanisan -Episod 3-

Hari yang kian kelam telah lama melabuhkan tirainya. Sang matahari yang tidak lagi megah menunjukkan sinarnya kini diganti pula dengan kehadiran si bulan yang dirindui. Malam itu aku bersendirian lagi. Tiada jasad temanku yang selalu ada di sisi semasa hangatnya cinta yang membara di dalam kamar ini. Seperti kehadiran si bulan purnama yang hanya akan muncul setelah dinanti sebegitu lama dan pastinya ia sangat dirindui. Sambil berbaring, aku menatap ruang katil di sebelah ku. Kosong. Aku usap halus bantal yang sentiasa berkhidmat menampung kepala suamiku. Tiba-tiba aku dihurung rasa menyesal. Bodoh! Mengapa aku sanggup melakukan semua ini? Mengapa aku bersetuju dengan permintaan gila ibu mertuaku dahulu? Dan mengapa... mengapa aku begitu beriya menyuruh suamiku untuk menemani maduku hampir setiap malam?
Aku memalingkan tubuhku menghadap ke ruang atas kamar kami. Aku pejamkan mataku serapat yang mungkin. Malam ini akan menjadi malam yang sungguh panjang tanpa kau di sisi sayang. Baru sahaja beberapa bulan aku hidup berkongsikan suami yang dikasihi, aku sudah hampir berputus asa. Namun, masakan aku harus berkorban dan meninggalkan suami yang selama ini aku idamkan? Jika bukan kerana cinta yang telah lama bersemi antara kami, aku sudah lama mengikut nasihat mamaku yang meminta aku untuk bercerai dengannya gara-gara perjodohan yang diaturkan oleh ibu mertuaku. Benar kata mama, bukan senang untuk hidup bermadu. Banyak cabaran yang akan dihadapi dalam menggapai kurniaan payung emas di akhirat nanti. Tidak! Bukan ini yang aku kejarkan. Aku setabah ini kerana demi cinta yang teragung kepada suamiku setelah meletakkan Dia yang satu sebagai yang teratas dalam senarai kecintaanku.
Aku mendengar suara itu lagi. Terngiang-ngiang dalam benak  fikiranku. Waktu itu aku bersama suamiku melawat ibu mertuaku. Kali ini maduku ikut sekali. Maka adalah lebih berat penderitaanku ekoran ibu mertuaku memberikan layanan yang ‘super’ mesra kepada si madu. Dia ternyata merasa sangat bahagia lantaran kemahuannya dipenuhi. Segala apapun yang dilakukannya, pasti dia mengajak maduku untuk bersamanya sekali. Lalu aku? Dipinggirkan di suatu ruang yang suasananya dingin. Dingin dari segi layanan mahupun hanya bicara kata. Aku hanya mampu memberikan segaris senyuman apabila suamiku terlihat aku duduk diam membisu di situ. Itu sahaja lah kekuatanku yakni suami yang sangat ku cintai.
“Apa?! Hamil 8 minggu? Ai, boleh pula isteri kau ni hamil ya? Mentang-mentang lah sudah ada madu, cepat pula dia hamil. Mengapa tidak dari awal? Kau ini betul kah? Entah-entah cuma penipuannya sahaja itu. kerana inginkan perhatian daripada kau”, kata ibu mertuaku kepada puteranya. Aku yang sekadar mendengar dari jauh memeluk erat kain pakaian yang sedang ku lipat lalu tanpa ku sedari aku airmata sudahpun mengalir deras hingga ke bibir. Memang pelukan hangat yang aku perlukan saat ini dan kain-kain itu lah yang cuma bisa ku peluk.
 Sesungguhnya, halwa telinga pada pagi yang mendung itu menusuk ke jantungku bagai sembilu yang teramat tajam sakitnya. Awan gelap yang telah lama melapisi langit sudahpun memerahkan isinya dan hujan pun mulai turun menciptakan irama bercelaru. Angin yang menderu semakin galak bersuara seakan-akan menyeru lagi kehadiran sang hujan. Begitulah perasaanku pada detik itu. Sayu. Bukannnya ibu mertuaku gembira dengan berita yang disampaikan oleh suamiku malah dia menyindir dan memerli aku setelah puas aku dan suami berusaha demi melaksanakan impiannya. Perasaanku mulai bercampur-aduk. Aku menjadi keliru. Keimananku kian nipis dan terhakis dek nilai kesabaran yang sudah pudar di dasar jiwaku. Ingin sahaja aku memberontak. Adapun jua, sayang seribu kali sayang. Aku tidak seberani itu. Kenyataannya, aku cuma seorang insan yang lemah lagi tidak berdaya.
Aku bukakan mataku. Tiada lagi kedengaran suara ngeri itu. Keadaan kembali sepi menyerap pergi semua anganku tadi. Ku lihat jam loceng di atas meja sisiku. Sudah jam 12 pagi dan aku masih belum berjaya melelapkan mataku ini. Aku memalingkan lagi tubuhku kerana terasa beban kandunganku menyesakkan nafas. Aku lalu menghadap ke sebelah kiri kerana posisi itulah yang paling sesuai untuk ibu-ibu mengandung. Selimutku telah tercampak entah ke mana kerana aku buas bergerak. Ah, biarlah. Aku hanya ingin dibuai mimpi indah saat ini. Tiba-tiba aku terasa seperti ada jari-jemari yang menyelimutkanku. Aku segera berpaling.
“Sayang?”. Suamiku hanya berdiri menatapku sayu. Belum sempat aku menutur kata-kata seterusnya, dia pantas meletakkan jari telunjuknya ke bibir pucatku memberi isyarat agar aku tidak melanjutkan perbicaraanku.
“Kenapa sayang masih belum tidur ni?” tanyanya lembut sambil mengusap halus ubun-ubunku. “Tak dapat tidurlah sayang..”, jawabku manja.
“Abang temankan ya sayang?”, pujuknya ringkas lalu terus berbaring di sebelahku. Aku hanya membiarkan sahaja. Siapa tahu hanya malam ini sahaja peluangku untuk bermanja dengannya? Ku renung matanya dalam-dalam. Ya Allah, sungguh ku kasihi suamiku ini. Maka bahagiakan kami dan janganlah Kau pisahkan kami hingga hari Kau panggil salah seorang daripada kami. Lalu aku terlena dalam pelukkan eratnya.
Pagi itu semestinya pagi yang terindah buatku dan juga dia. Segar rasanya apabila saat aku membuka mata, suamiku masih ada sebelahku. Tetapi, atas faktor apa yang membuatkan dia datang menemaniku semalam? Sedetik kemudian terdengar sayup-sayup laungan azan berkumandang di sebelah barat dan kemudiannya bersahutan pula dengan yang di sebelah barat daya. Alhamdulillah, aku masih bernafas bersama insan yang sangat ku cintai, dia masih ada di sisi. Aku bingkas bangun apabila melihat suamiku yang sudahpun mengatur langkah untuk menyucikan diri demi menghadapNya sebentar lagi.

Bagaikan terbitnya tujuh warna pelangi dalam hidupku, tiada sepatah kata yang dapat ku ucapkan tentang betapa bahagianya aku ketika ini sejak peristiwa malam itu. Maduku? Tiada dalam lakaran indahku. Aku telah lupa akan kehadirannya di dalam istana kami. Seakan terus lenyap kerana sang suami senantiasa ada menemaniku.
“Sayang, tak pergi ke pejabat kah hari ini?”, aku bertanya kehairanan apabila melihat dia hanya berpakaian santai hari ini.
“Abang ambil cuti hari ini. Hendak bawa sayang makan, jalan-jalan, selepas itu kita beli barang-barang untuk persiapan anak kita nanti”, jawabnya sambil tersenyum. MasyaAllah! Benarkah apa yang aku dengari sebentar tadi? Sambil meloncat kegembiraan, aku dengan kadar segera mendandan diri. Teruja yang amat mendalam apabila suamiku menunjukkan perhatian yang luar biasa. Baru aku teringat, kandunganku rupanya sudah menginjak hampir enam bulan. Perutku juga semakin membulat. Aku menyarungkan gaun labuh yang direka khas untuk ibu mengandung berona ceria. Seceria hati dan fikiranku. Semasa aku terkial-kial hendak menyimpul tali gaun itu ke belakang pinggangku, suamiku tiba-tiba muncul entah dari mana lalu terus menyimpul tali riben itu di belakangku. Sempat lagi dia mengusap perutku lalu menciumnya lembut. Berlipat kali ganda kebahagiaanku.
Belum cukup dengan itu, dia memimpinku untuk menuruni anak tangga dengan penuh berhati-hati. Tidak sesaat pun dia melepaskan genggaman erat tanganku dan pandangannya tidak pernah lari daripada  anak tangga yang bertingkat-tingkat itu. Setibanya kami di ruang tamu, aku melihat maduku hanya duduk di sofa sambil membaca majalah. Satu soalan muncul dalam fikiranku. Tidak ikutkah dia?
“Jaga rumah ya? Kami hendak keluar sebentar”,ujar suamiku. Terjawab sudah soalan yang bermain di fikiranku seakan suamiku dapat membaca persoalan tadi. Puas hatiku apabila kini kian merasai kemenangan. Aku yakin suamiku sangat mencintaiku lebih daripada mencintai dia. Dia sekadar mengangguk tanda mengerti. Kita seri sekarang madu. Aku berbisik di dalam hati.
Memang ini lah hari-hari yang aku impikan semenjak aku sah menjadi isterinya. Sebuah keluarga yang bahagia dan bukannya seperti apa yang aku lalui sebelum ini. Suamiku kini hadir dalam setiap saat dan ruang dalam hidupku. Aku pernah berpesan kepadanya, “Sayang, nanti kan, kalau saya hendak bersalin, saya hendak sayang ada di sebelah saya tahu? Sayang bawa kamera sekali sebab itulah saat-saat yang paling berharga sepanjang saya mengandung”. Dia mengangguk perlahan lalu mengucup dahiku bertalu-talu. Terasa kasih dan sayang dalam kucupan itu. Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu kerana telah memberikan aku setitis keindahan daripada selautan gelora. Janganlah Engkau tarik dariku keindahan ini Ya Allah. Berilah aku peluang untuk merasainya walau sesaat.
 * * *

No comments:

Post a Comment

Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.