Senja semakin mengesot dalam kepayahan. Sebentar lagi azan maghrib akan berkumandang menyeru umatnya bersujud meraih kesyukuran lantaran masih bernafas di bumi yang kaya. Aku yang sedari tadi sibuk menyiapkan hidangan makan malam sendirian menanti isi rumah yang berdua itu muncul namun masih tidak kelihatan. Mungkin ada hal yang mereka bicarakan, hal yang sangat mustahak. Persetankan, aku masih kuat untuk melakukan semuanya berseorangan.
Mangkuk bulat yang berisi kuah hangat hasil air tanganku itu aku bawa dengan berhati-hati. Pastinya kehangatan tersebut meresap ke tapak tanganku dan tekanannya kian terasa hingga ke perutku. Aku meletakkan mangkuk tadi di atas meja makan di ruang untuk bersantap. Hampir sahaja mangkuk itu memuntahkan isinya yang sedang mengeluarkan haba panas. Aku terduduk di salah satu kerusi sambil mengusap lembut perutku yang semakin hari semakin memboyot. Mengikut perhitunganku, sudah empat bulan perutku ini berisi dan aku sudah dapat merasakan ada nadi yang lain berdegup merdu.
“Argh!”, jeritku menahan sakit. Mungkin ini respon normal janin yang merasakan tekanan di luar rahim. Pedihnya sungguh menikam hinggakan aku tertunduk menahan keperitan. Tangan yang mengusap lembut tadi berubah menjadi suatu cengkaman di bawah pusat. Di situ lah kesakitannya terasa hebat. “Sayang…..!”,aku cuba memanggil suamiku. Namun tiada jawapan. Ingin sahaja aku melantangkan suaraku agar dia bisa mendengar panggilanku namun aku tidak berdaya. Aku gagahkan diri untuk berdiri dan mengatur langkah menuju ke sofa. Setiap tapak yang aku ambil umpama satu jarum panjang yang mencucuk hingga menegangkan seluruh urat-uratku. Sambil merebahkan diri ke sofa empuk di situ, sempat lagi aku mengerang dek kesakitan yang berombak kencang. Setelah itu, tiada apa lagi yang aku ingati. Kedua-dua belah mataku terpejam rapi. *
Aku membuka mataku yang terasa berat. Cahaya lampu kalimantang yang putih dan bersilau memanah pandanganku yang asalnya gelap gelita. Terdengar suara-suara yang bergurau mesra di ruang santapan. Aku mengalihkan pandangan. Ternyata mereka ada di situ.
“Akak dah bangun?”, maduku bersuara. Bangun?! Aku tertidurkah tadi?
Suamiku datang mendekati. Dia mengusap dahiku lembut sambil berkata dengan nada suara yang separuh berbisik, “sayang, jom makan.. mesti sayang lapar kan?”. Aku spontan menggeleng. Lemas rasanya apabila si madu berkata sedemikian. Aku yang sedang bertarung antara dua nyawa di sini dan dia katakan aku tidur?
“Sayang, mana boleh tak makan. Sayang tak kasihankan anak kita?”, katanya lagi berusaha untuk memujuk lalu mengucup pipiku. Baru terasa puas hati yang terbakar ini. Aku menurut kata suamiku yang memimpin setiap langkahku menuju ke meja makan. Maduku hanya memerhati tanpa sepatah kata. Terubat rasanya apabila suamiku menawarkan diri untuk menyuapku. Padan dengan muka kau madu! Lihatlah, aku juga disayangi oleh dia.
Entah apa sebabnya, rasa iri dan hasad yang semakin menjalar dalam hati ini tidak pernah pudar malah menjadi lebih kritikal seperti barah yang tidak mungkin dapat dihapuskan. Sehingga kini, aku masih gagal dalam mengikhlaskan penerimaan seorang madu dalam rumahtanggaku. Apatah lagi maduku itu kebetulan mantan kekasih kepada suamiku. Insan yang suatu ketika dulu sangat dicintainya dan maduku itu pula, terlalu obsesi dengan suamiku walaupun setelah hubungan mereka kecundang di tengah jalan. Namun telah tertulis dalam suratan Qadar dan Qada serta firman Allah yang bermaksud, ‘Maka terjadilah!’. Oleh itu, apakah aku punyai kudrat yang sebesar itu untuk melawan kehendak Ilahi?
Masih segar dalam ingatanku pada awal perkahwinan mereka dahulu. Setiap hari yang aku lalui sungguh berduri dan penuh dengan derita kerana memaksa diri untuk menerima kenyataan dalam hidup bermadu. Ada sahaja yang tidak kena pada maduku itu. Semua tingkah lakunya baik yang betul atau salah aku persoalkan malah perasaan benci selalu menguasai diriku tatkala hanya melihat wajahnya. Aku imbas kembali pada peristiwa hari itu. Aku baru sahaja menjejakkan kaki ke kediaman kami setelah bertungkus-lumus berkerja. Semestinya pada trimester pertama kehamilanku aku kerap berasa loya dan letih. Satu-satunya penyelamat bagiku adalah pil vitamin tambahan yang wajib ku ambil setiap hari.
Saat aku melangkah masuk ke ruang dapur, aku melihat kabinet terletaknya pil-pil milikku terbuka dan maduku sedang memegang botol vitamin tambahanku. Aku terus meluru masuk dan menyergahnya.
“Kau nak buat apa dengan ubat tu?!”. Dia langsung tersentak dan botol yang sudah dibuka penutupnya itu terlepas daripada genggamannya lantas terburailah kesemua kapsul-kapsul bergolekkan di atas lantai marmar dapur. Aku terkilan dengan tindakan spontannya dan tanpa menghiraukan pil-pil tersebut, aku memandangnya tajam. Darah yang mengalir di dalam urat-uratku terasa semakin laju dan perasaan amarahku tidak dapat di tahan lagi.
“Kau ni kenapa?! Kau sengaja nak bunuh aku bukan? Tak cukup-cukup lagi kah kau dah musnahkan rumahtangga aku?!”, tengkingku bagai kerasukkan syaitan sehingga kelihatan merah anak matanya mengundang tangisan. Suamiku yang sedang menonton televisyen segera mendapati kami dengan wajah yang penuh dengan tanda tanya.
“Akak, saya minta maaf. Saya tidak sengaja. Saya cuma mahu periksa sama ada botol itu masih ada isi ataupun tidak”, dia cuba meraih simpati. Suamiku cuba menenangkan aku namun gagal. Tiada siapa pun yang bisa menghalangku lagi. Malah, kalimah istighfar juga sudah tiada dalam kotak fikiranku.
“Sudahlah sayang.. kan dia sudah kata tadi, dia tidak sengaja. Nanti abang belikan yang baru ya?”, masih belum berputus asa.
Aku membentak jua. “Apa? Tak sengaja? Yang dia tak pasal-pasal kacau barang-barang peribadi saya ni kenapa? Dia mesti hendak letakkan racun dalam ubat tu. Cakap sekarang, betul bukan?!”, aku pantas menarik lengannya. Hampir sahaja dia terjatuh kerana tidak terlawan tenagaku yang sedang membuak. Mujur suamiku sempat menahan ketidakseimbangannya. Ku lihat dia sudah mengalirkan airmatanya. Aku sekadar menjeling. Lakonan! Gerutu hatiku.
“Baiklah akak, kalau itulah akak katakan, biarlah saya keluar saja dari rumah ini. Saya sedar diri saya ini siapa. Maafkan saya”, katanya teresak-esak lalu mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas. Tanpa kuduga, langkahnya turut diekori suamiku yang berkali-kali memanggil namanya meninggalkan aku bersendirian di situ. Sesaat kemudian terasa berlinangan airmataku.
Kecewa rasanya hati ini apabila akhirnya kemenangan berpihak kepada si pesalah dan aku pula, dibiarkan seorang diri tidak bermaya. Keperitan itu menyerang kembali. Aku tiada pilihan lain selain daripada menelan juga pil itu. Dengan perlahan aku kutip satu persatu kapsul-kapsul yang bergolek mencari arah masing-masing, diiringi butiran airmata. Terhenjut-henjut bahuku menahan esakkan semasa menelan dua biji kapsul penyelamatku itu. Barulah terasa sedikit lega keperitan tadi. Sungguhpun begitu, timbul pula sakit yang lain. Sakit di hati. * * *
No comments:
Post a Comment