aku terduduk kaku di suatu sudut kediamanku. Belumpun setahun istana yang aku dan suamiku bina kini sudah dilanda ribut taufan lalu memusnahkan segalanya umpama sang ombak menghempas istana pasir di tepian pantai. Ya, istana kami serapuh itu walaupun terbina daripada asas binaan yang sangat kukuh. Sungguh ku diduga lagi oleh yang Maha Besar. Kali ini lebih berat sehingga menyesakkan hela nafasku. Aku dihina dan dicerca daripada pelbagai pihak termasuk orang tuaku sendiri. Airmata sudah tiada nilai bagi diriku. Sentiasa mengalir deras semahuku, menemani aku dalam menempuh hari-hari dalam hidup yang berliku ini. Benar, aku sedang diuji.
“Akak…”, terasa bahuku lembut disentuh. Dengan segera aku menyapu pipiku yang basah lalu mengukir senyuman. Hambar.
“Kenapa akak termenung? Akak menangis kah?”, dia bertanya, mencuba menjalin kemesraan sedari lebih tiga bulan yang lalu lagi. Aku hanya menggeleng seraya berkata, “Cuma terkenang cerita lama”. Dia mengangguk tanda mengerti.
Dia lah gadis itu. Namanya lah yang disebut di dalam Qabul pada majlis waktu itu dan suara yang penuh dengan kasih sayang itulah suamiku. Peristiwa semalam tiba-tiba menerjah masuk ke dalam ruang fikiranku. Sekali lagi airmataku berderai. Kali ini diiringi dengan esakan halus. Dengan kadar segera aku menuju ke ruang dapur, menyediakan apa yang patut. Jam dinding yang tidak pernah lelah untuk berdetak terasa sungguh pantas . Suamiku akan pulang dari tempat kerjanya bila-bila masa sahaja sekarang. Sambil menggaul mesra adunan lauk untuk santapan malam itu, aku termenung lagi. Suara itu datang kembali menghantui. Mengimbau pada detik bermulanya kesengsaraan ini.
“Cukuplah mama ikut rentak kamu berdua. Mama ini sudah tua. Berapa lama lagi mama harus tunggu? Ataupun isteri kau ini mandul? Sekarang, jangan ada sesiapa pun yang boleh membantah. Mama sudah bertolak ansur tapi tidak kali ini. Kalau kau anak mama, mama mahu kau kahwin juga dengan pilihan mama hari itu. Sekurang-kurangnya mama boleh dapat cucu”.
Mataku kian berkaca menunjukkan sinarnya. Sungguh pedih dan tajam sekali kata-kata ibu mertuaku kepada suamiku waktu itu sekaligus terkena tempiasnya kepada aku. Aku yang dipersalahkan dan aku dihina. Suamiku bingkas bangun dari tempat duduknya lalu menjawab, “Apa ini mama? Bukan kah dari awal lagi sudah dijelaskan? Saya tidak akan pernah kahwin dengan dia !”, dan terus masuk ke kamar tempat kami menginap. Pada saat itu kami datang melawat ibu dan ayah suamiku dan menginap untuk beberapa hari. Tanpa ku duga, pertanyaan mengenai kehamilanku terpacul keluar dari mulut ibu mertuaku.
Usia perkahwinan kami baru menginjak 10 bulan ketika itu. Bagi kami, masih terlalu awal untuk menimang cahayamata. Tapi tidak buat dia yang sedang menghitung hari-hari terakhir dalam hidupnya. Ternyata dalam pada umur keemasannya itu, ibu mertuaku cepat berasa kecil hati lebih-lebih lagi apabila putera kesayangannya meninggikan suara tanda membantah. Aku melihat dia mula mengalirkan airmata kesedihan dan memalingkan mukanya daripada pandanganku. Bagaimanakah aku bisa membiarkan begitu sahaja tertumpahnya airmata seorang ibu gara-gara diriku? Aku nekad, demi kebahagiaan ibu mertua yang sangat aku kasihi walaupun aku bukanlah menantu yang dia sayangi.
Dengan langkah perlahan, aku menguak pintu kamar dan melihat suamiku sedang duduk menahan amarahnya. “Sayang…”, aku cuba memujuk. Dia menatapku sayu. Ada rasa simpati di dalam renungannya. Dengan berat aku bersuara, “Kita ikut permintaan mama. Saya akan tandatangan surat kebenaran untuk sayang bernikah lagi satu”. Bergetar suaraku ketika menyampaikan ayat yang terakhir itu. Biarlah, aku redha. Suamiku mengerutkan dahinya. Seakan tidak percaya dengan pertuturanku. Berkali-kali dia membantah dan berkata tidak sehingga bercucuran airmata lelakinya. Aku merasa sakit yang teramat di saat itu. Gelora perasaanku yang kian hebat tidak dapat ku tahan lagi. Namun ku pendam dalam-dalam. Aku tidak mahu dikatakan terpaksa walaupun hakikatnya begitu. Lalu ku genggam erat kedua-dua belah tangannya sambil berbisik, “Saya yakin pada cinta sayang”. Dia hanya membisu dan mengucup dahiku lembut.
Sorotan cahaya lampu neon kereta milik suamiku menerjah masuk hingga ke dapur. Deruan enjinnya memanggil aku kembali ke alam nyata. Sudah jauh rupanya aku layarkan menungku. Terkocoh-kocoh aku membasuh tangan dan mengelapnya kering agar aku bisa menyambut kepulangan suami tersayang. Namun belum sempat aku aku melangkah ke muka pintu, gadis tadi sudah terlebih dahulu memulas tombol pintu dan menyambut briefcase kepunyaan suamiku. Aku telah lupa, aku kini hidup bermadu. Lelaki yang aku panggil suamiku kini juga adalah suami gadis itu. Aku hanya mampu memerhati dari jauh dan mengekori langkah mereka menuju ke tingkat atas dengan lirik mata, lalu mengeluh perlahan.
No comments:
Post a Comment