Tangisan seorang bayi memecahkan suasana yang tadinya penuh dengan keriuhan para jururawat yang telah bertungkus-lumus membantuku bersalin di dalam salah sebuah bilik di unit rawatan rapi. Setelah bayiku itu dipotong tali pusatnya, dia dibersihkan dan ditimbang beratnya. Aku yang sedang longlai terbaring layu tidak berganjak dari katil tadi sempat mendengar berat badan bayiku. “3.3 kilogram doktor”, beritahu salah seorang jururawat di situ dan di bawanya bayi itu ke pelukanku. “Tahniah puan, puan sudah berjaya melahirkan anak lelaki yang cukup sifat dan sihat”, ucap doktor wanita tersebut sambil tersenyum. Aku yang sudah terlalu letih dan lemah segera mengumpulkan saki-baki kekuatan yang ada bagi menyambut bayi yang dihulurkan kepadaku. Terasa hilang semua kesakitan dan kepayahan yang aku rasakan semasa bersalin tadi dan ingatan kepada betapa susah-payahnya aku selama sembilan bulan yang lalu serta-merta luput dari memoriku.
Tiada perkataan yang dapat ku gambarkan apabila menatap wajah bayi lelakiku buat yang pertama kalinya. Matanya yang sepet dan masih belum terbuka itu, hidungnya yang kecil, bibirnya yang munggil, pipinya yang gebu serta kulitnya yang halus... Subhanallah! Maha Suci Allah. Sungguh besar kekuasaanMu dan sungguh tidak ternilai kurniaanMu kepadaku. Aku mencium kedua-dua belah pipinya yang kemerahan itu berkali-kali sehinggakan tidak terasa langsung doktor dan para jururawat yang sedang menjahit kulit bekas guntingan di luar rahimku lantaran saiz tubuh bayiku yang agak besar. Airmata kesakitan yang tadinya membasahi pipiku kini berganti pula dengan airmata kegembiraan. Berulang kali aku memuji tuhan Yang Maha Kuasa tanda kesyukuran. Kelekaanku dikejutkan oleh suara nyaring doktor wanita tadi.
“Baik puan, semuanya sudah selesai. Puan akan dihantar ke wad rawatan selepas bersalin dan anak puan akan dihantar ke nurseri di dalam wad yang sama”, tuturnya lembut. Sempat juga dia menghadiahiku senyuman manis kerana telah berjaya dalam satu lagi proses bersalin. Aku hanya menggangguk lemah dan membiarkan sahaja para jururawat mengambil bayiku kembali dan menolak troli katilku ke wad yang lain.
Sejurus kemudian aku terlihat kelibat maduku sedang berlari anak mencuba mengekori sehingga lah aku dipindahkan ke atas sebuah katil yang cadarnya daripada kain kapas putih di dalam sebuah bilik. Melihatkan cadar yang seputih salju itu, aku teringat kepada suamiku yang berpakaian rona yang sama pada pagi tadi. Ya! Suamiku. Di manakah dia sekarang ini? Adakah dia sudah sampai? Pasti dia sedang tercari-cari keberadaanku ketika ini. Tentu maduku tahu mengenai perihalnya. “Mana abang?”, tanyaku ringkas.
Aku masih teringat akan kejadian di rumah tadi. Jika bukan kerana kepantasannya menghantar aku ke hospital, entah apa yang akan berlaku kepadaku.
Dia masih berdiri di hadapanku. Mulutnya terkunci seakan terlalu berat kata-kata yang ingin diucapkannya. Ku lihat matanya juga sudah kemerahan. Lalu dia sentuh bahuku dengan tangannya yang sejuk seraya berkata, “Akak, abang accident teruk tadi”.
“APA?! Tak mungkin! Abang ada di mana sekarang?”, sungguhku terkesima dengan kata-katanya tadi. Aku yang sedang berbaring bingkas bangun dan duduk sambil menggoncangkan bahunya.
“Abang sedang di rawat di unit kecemasan tadi. Di hospital ini juga”, jawabnya berpura-pura untuk kelihatan tenang. Dadaku kian sesak. Ternyata suamiku berada di unit yang sama semasa aku sedang melahirkan anakku sebentar tadi. Astaghfirullahalazim. Apa yang sedang berlaku ini? Aku membulatkan mataku apabila membayangkan sesuatu yang buruk boleh menimpa suamiku.
“Aku harus pergi kepadanya. Dia memerlukan aku. Aku harus pergi”, ucapku lalu segera berdiri mencuba untuk menapak langkah. Sakit yang semakin mencengkam kuat aku tidak ku hiraukan lagi. Itu semua tidak penting. Yang mustahak sekarang ini adalah suamiku. Aku tidak mahu terlambat walau sedetik pun.
“Akak, mahu ke mana ni? Akak kan baru sahaja lepas bersalin. Jahitan tadi boleh terbuka akak”, halangnya. Benar, aku sedang dalam kesakitan namun tidak seberat kesakitan suamiku. Keluar sahaja aku dari bilik ku itu, pergerakkan ku ditahan oleh maduku. “Jangan pergi akak. Saya tak mahu apa-apa terjadi kepada akak. Abang sudah berpesan kepada saya untuk jaga akak”, rayunya lagi. Aku berkeras jua. Ku lepaskan pegangan tangannya. Hatiku ini semakin sebak apabila mendengarkan pesannya daripada maduku tadi. Lalu aku gagahkan diri untuk menapak beberapa langkah berat lagi. Kali ini, maduku sudah tidak dapat menghentikan aku. Airmata menahan kesakitan sudahpun mengalir perlahan. Sayang, saya datang...
Aku dipimpin oleh maduku yang bertanya kepada seorang jururawat di kaunter tentang lokasi tepat suamiku. Dialah juga yang membawaku ke bilik bertempatnya suamiku. Setibanya kami di hadapan bilik yang bernombor 138 di unit rawatan rapi itu, aku berdebar. Suasana di sekelilingku bertukar menjadi gelap dan malap. Dengan pantas aku memulas tombol pintu dan menolak perlahan pintunya. Jelas kelihatan kehadiran ibu mertuaku di situ dan beberapa pegawai polis turut bersamanya. Tanpa mengendahkan mereka yang memandangku kehairanan, aku terus menerpa suamiku yang terbujur kaku di atas sebuah katil di tengah-tengah bilik itu. Ada wayar yang menyambungkan tubuhnya dengan sebuah mesin yang berdetik nyaring. Aku usap perlahan kepalanya yang berbalut itu. Tangisanku kini tidak dapat ku sembunyikan lagi.
“Sayang... mengapa sampai jadi macam ni?”, ucapku pilu sambil menatap matanya yang tertutup rapat dan wajahnya yang dipakaikan topeng rawatan oksigen.
“Puan, suami puan terlibat dalam kemalangan jalan raya kerana membawa kenderaan dengan kelajuan yang tinggi. Mangsa dikatakan melanggar penghadang jalan kerana mengelak daripada melanggar salah seorang pemandu yang lain. Kami difahamkan bahawa mangsa ingin menuju ke hospital ini dari rumah”, terang panjang lebar salah seorang pegawai polis. Dari rumah? Aku berfikir sejenak. Bukankah dia dari pejabat? Ku lihat ibu mertuaku sudahpun menangis teresak-esak di sisi katil. Sejenak kemudian, suamiku yang sedari tadinya bernafas tenang tiba-tiba menjadi laju pernafasannya. Matanya yang membiru lebam itu masih lagi terpejam rapat. Mesin yang berbunyi perlahan dari tadi kini menjerit semakin kuat dan laju. “Sayang!”, panggilku cemas. Beberapa orang jururawat sudahpun merempuh masuk bilik itu. Kesemua orang di dalamnya diarah keluar namun aku tetap berdiri di situ menggenggam erat jari jemari kakunya. Seperti yang selalu dia lakukan dulu.
Setelah bertungkus-lumus melakukan itu dan ini, mesin yang tadinya galak berbunyi kini bertukar kepada bunyi mendatar dan rata. Aku mengangkat wajahku memerhati para jururawat yang berpandangan sesama sendiri dan menggelengkan kepala lalu tertunduk pilu di hadapanku. Aku mengerti makna di sebalik air muka itu.
“Sayang.....!!! jangan tinggalkan saya seorang diri sayang. Anak kita dah lahir. Sayang tak mahu melihat dia kah?. Sayang bangunlah. Jangan buat saya macam ni. Bagaimana saya hendak jaga dia seorangan..?”, tangisku sambil menggoncangkan tubuhnya yang kaku kian membeku. Mereka yang lain meluru masuk dan segera mendapatiku. Tiada sepatah kata yang dapat ku sebutkan tatkala harus menerima berita kehilangan suami yang selama ini aku cintai untuk selama-lamanya. Bukan ini yang aku nantikan saat aku melahirkan seorang waris darinya. Kebahagiaan yang aku ciptakan kini hancur berderai bak segelas kaca yang berisi air pecah menumpahkan isinya. Setelah puas aku menggoncangkan tubuhnya dengan harapan dia akan bangun, aku akhirnya mengalah jua. Aku hanya mampu bersandar ke dadanya dan peluk erat tubuhnya buat yang terakhir kalinya. Sayang, saya pasti akan merindui pelukan ini. Tangisanku kian hebat kedengaran di seluruh pelusuk bilik itu. “Sayang......jangan pergi.....”. *
Suasana tengahari itu sungguh suram kerana awan mulai berubah menjadi mendung kelabu. Bila-bila masa sahaja dari sekarang arwah suamiku akan dikebumikan ke dalam liang lahad dan aku, terpaksa terbaring kaku di hospital ini. Aku yang sedari tadi termenung dan belum langsung melelapkan mata untuk berehat walau sedetik pun menjadi semakin lemah. Berkali-kali sudah aku mendengar tangisan bayiku meminta agar aku menyusukannya, namun aku tidak endahkan sahaja.
Fikiranku terbatas kepada saat-saat terakhir dalam hidup suamiku pada pagi tadi. Aku tidak sempat mendengar suaranya untuk yang terakhir kali.
Benar kata orang, jika kita menginginkan sesuatu kita harus mengorbankan sesuatu yang lain. Demi menyambut kelahiran anak kami, suamiku terkorban. Dengan cara yang sangat menyayat hati.
Lamunanku terhenti tatkala maduku yang tertidur di sisi dek keletihan sepanjang menemani aku terjaga dari lenanya kerana terdengar tangisan putera sulungku.
“Ya Allah, akak. Kenapa biarkan saja dia menangis. Mari saya letakkan dia di sebelah akak. Akak susukan dia ya?”, tuturnya lembut. Aku tahu dia juga sudah tidak punyai kekuatan lantaran telah banyak mengalirkan airmata. Aku hanya berdiam umpama orang yang bisu dan tidak mengerti apa-apa di saat dia memposisikan si bayi di sisiku. Sejurus kemudian aku menatap bayiku sayu.
Ada iras-iras suamiku pada raut wajahnya. Ya Allah, aku amat merindui teman hidupku itu. Gemersik hatiku kian berbicara pantas mengalirkan airmata lalu menitik hingga ke pipi bayiku. Aku mulai menangis lagi dan maduku segera duduk di atas katilku.
“Arwah tak sempat tinggalkan apa-apa pesan sebelum dia pergi...”, kataku tersedu-sedu. Maduku terus memeluk erat ke bahuku sehingga terasa tubuhnya yang terhenjut-henjut turut menangisi pemergian duhai suami.
“Tidak akak, akak silap. Arwah ada berpesan kepada saya”, jawabnya membuatkan aku segera meleraikan pelukkannya dan memandang tepat ke anak matanya mencari penjelasan. Aku mengerutkan keningku menunggu jawapan.
“Sebulan yang lepas, arwah ada beritahu saya yang arwah sudahpun memilih nama untuk anak akak dan arwah. Namanya, Anas Rauf, yang bermaksud, cinta dan yang pengasih”, terangnya kepadaku. Namun aku masih berasa tidak jelas lalu bertanya, “Tapi, macam mana arwah tahu yang anak kami ni lelaki?”.
“Pada hari kami dapat tahu bahawa saya mengandung adalah hari akak pergi buat pemeriksaan kandungan akak. Arwah tahu akak ingin memberitahunya sesuatu tapi kerana akak sedang marah ketika itu, arwah tidak jadi untuk bertanya lalu arwah segera menelefon doktor yang akak jumpa dan doktor itulah yang memberitahunya”, terang maduku bersungguh-sungguh. Aku terkenang wajah suamiku yang membisu ketika peristiwa itu. Jelas tergambar perasaan kecewa dan rasa bersalahnya. “Anas Rauf”, sebutku perlahan sambil menatap bayiku yang sudahpun meredakan tangisannya apabila telah diberikan susu. Pengertian kepada nama itu membawa imbasan kepada ayat yang diucapkan suamiku sebelum keberangkatannya ke tempat kerja pagi tadi, “Sayang, walau apapun yang terjadi, sayang harus yakin pada cinta abang. Dari dulu hingga sekarang, cinta abang pada sayang tidak pernah berubah.
Dan bayi dalam kandungan ini adalah bukti cinta dan kasih sayang abang. Ingat ni sampai bila-bila sayang”. Suaranya yang halus berkata-kata itu terngiang-ngiang di fikiranku lalu menggetarkan jiwaku. Ini rupanya maksud kepada kata-katanya itu. Anas Rauf.
Aku yang tenang kembali menangis teresak-esak. Maduku yang tadinya hanya memerhati bingkas berdiri mencapai sebuah beg pakaian lalu diserahkan kepadaku sambil berkata, “arwah bergegas balik dari pejabat menuju ke rumah untuk ambil ini”. Aku mengangkat tangan pucatku menyambutnya dan aku bukakan beg pakaian yang sarat dengan bajuku itu. Pandanganku terpana kepada sepasang sarung tangan bayi yang berwarna kuning muda dengan coretan “Daddy Love Me”. Airmataku bertambah deras. Aku teringat pada ayatnya yang mengatakan bahawa dia menyayangi bayi kami semasa memilih sarung tangan itu. Ya, sudah terbukti bahawa dia amat mencintai Anas Rauf walaupun sebelum kelahirannya lagi di muka bumi ini. Sayang, saya akan menceritakan tentang kasih sayang dan cinta sayang kepada anak kita setiap hari sebelum tidurnya dan saya akan pastikan, ayat yang tersulam di sarung tangan ini akan diucapinya apabila dia sudah pandai berkata-kata, janjiku dalam hati.
Aku menatap maduku yang sedang duduk sendirian mengusap perutnya perlahan. Dia menyedari perlakuanku lantas berkata lagi, “akak jangan marahkan arwah kerana saya sudah mengandung. Arwah lakukan semua ini demi akak. Kerana..”, ada getar pada suaranya itu. Dia kelihatan mencuba sedaya upaya untuk meneruskan kata-katanya lalu bersuara, “kerana arwah takut hidupnya tidak lama. Oleh itu arwah berpesan agar saya sentiasa akan menemani akak dan anak dalam kandungan saya ini lah akan menjadi teman bermain kepada Anas Rauf. Sebab itulah arwah tidak pernah marahkan saya dan tidak mahu saya lari dari rumah bahkan arwah tempatkan saya serumah dengan akak. Arwah sudah mencuba sehabis baik untuk berlaku adil akak. Arwah lakukan semua ini demi akak”, katanya lalu menangis menekup mukanya.
MasyaAllah! Aku sudah bersangka buruk terhadap suamiku dan maduku. Ternyata selama ini maduku sudah banyak berkorban demi aku dan wasiat suamiku. Namun aku? Sentiasa memperlakukannya seperti seorang musuh malah rasa kebencian terhadapnya tidak pernah surut. Aku ini dikira bertuah lagi kerana diberikan seorang suami yang sangat mencintaiku dan sempat bersamaku sepanjang sembilan bulan proses kehamilan serta menyiapkan segala kelengkapan yang diperlukan. Maduku? Dia kematian suami pada usia kandungannya yang sangat muda. Dia hamil pun bukan atas dasar kasih sayang daripada suami namun sekadar suatu permintaan untuk menyenangkanku di hari muka. Sungguhku berasa sangat kasihankan dia.
Aku yang kini sedar akan betapa mulianya maduku itu pantas merangkul tubuhnya yang kian lemah. Berkali-kali aku menuturkan ucapan maaf. Airmata kami sama-sama bercucuran meratap betapa sayunya kedaan ketika itu. Ya Allah, ya rabbi, sungguh tidak terhingga dugaanMu ini dan dipenghujungnya Engkau berikan aku kurniaan yang tidak terbatas nilainya. Engkau tempatkanlah suamiku di tempat yang mulia di sisimu dan Kau cucurilah rahmat kepada rohnya. Sudah jauh aku melangkah dan telah banyak yang aku lalui dalam mencari Redhamu dan kini, aku sudah temui jalanku dalam mencari kemanisan hidup bermadu melaluiMu. Alhamdulillah ya Allah, Alhamdullillah.
*TAMAT*
No comments:
Post a Comment