“Suara siapa yang terlalu bingit tu?”, marah Puan Hazlina tatkala beliau sudahpun berada di dalam bilik darjah tersebut. Syarena segera menjalankan tugasnya apabila guru yang begitu disegani itu berdiri betul-betul di hadapannya lantaran meja guru yang terletak bertentangan dengan mejanya.
“Bangun semua..”, arah Syarena dengan suara lantangnya. Rakan-rakan yang lain patuh tanpa sebarang kata.
“Selamat sejahtera Puan Hazlina”, ucapnya dan diikuti dengan paduan suara 28 pelajar yang lain. Puan Hazlina menjawab ucapan sejahtera tersebut lalu mengarahkan mereka untuk duduk. Ragamnya guru yang mengajar bahasa kebangsaan ini berlainan sedikit daripada guru yang lain. Menurut beliau, setiap kali ucapan yang harus diucapkan kepada beliau adalah ‘selamat sejahtera’ dan bukannya ‘assalamualaikum dan selamat sejahtera’. Ini kerana kedua-dua makna ucapan ini adalah sama. Tambahan pula, beliau tidak mahu dibahasakan sebagai cikgu dalam ucapan pelajar-pelajar melainkan mereka harus menyebut namanya agar tidak ada seorang pun yang boleh lupa akan namanya.
“Awak!”, beliau mengarahkan telunjuknya kepada Haikal. Pelajar tersebut terperanjat dengan sikap guru yang secara tidak semena-mena itu.
“Siapa nama awak?”, tanyanya. Namun laju sahaja Haikal menjawab, “Haikal, cikgu”.
“Ya,Haikal, siapa yang kamu panggil cikgu Hazel tadi?”, soalannya tepat tersasar ke muka selamba Haikal. Rakan-rakan yang lain semuanya menjadi pucat dan ada yang menepuk dahi kerana kod nama rahsia mereka sudah diketahui olah tuan punya nama sendiri. “Habislah kita…”, bisik Zaliamimi kepada Tania.
“Tak tahu lah cikgu. Saya cuma ikut je apa yang dia orang panggil”, jawabnya acuh tak acuh. Pelajar yang lain memandangnya tajam.
“Amboi.. suka-suka hati awak je nak panggil cikgu-cikgu macam tu. Kami ni pun ada nama tahu? Cuba kalau saya panggil awak dengan nama badam ke, gajus ke, kacang tanah ke… awak nak?”, ujarnya menjadi semakin meradang tanpa menyedari bahawa nama ‘cikgu Hazel’ itu adalah gelaran untuknya. Nazrullah dan Jimmy ketawa terkekeh-kekeh mendengarkan nama-nama yang disebut Puan Hazlina tadi. Pasti lucu apabila Haikal dipanggil dengan nama yang sedemikian.
“Kalau kacang pistachios saya nak lah cikgu. Kacang kegemaran saya tu”, jawabnya sambil tersengih. Guru yang sedang berdiri bagai menyeringai itu tidak dihiraukannya. Beliau mencekak pinggang dan menggelengkan kepala. Berani sungguh pelajar ini menjawab balik kata-katanya. Pasti dia ini seorang yang pelajar baru kerana dia tidak mengenali gerangan guru yang terkenal dengan ketegasan di sekolah ini, beliau meneka dalam hati.
“Sekarang ni, saya nak awak semua buka buku Antologi Kerusi”, arahnya tanpa mengambil pusing perdebatannya dengan Haikal sebentar tadi. Namun dilihatnya mereka masing-masing seperti tidak mahu bergerak.
“Alah, tak bawa..”, kedengaran salah seorang daripada mereka mengeluh dan disetujui oleh yang lain. Puan Hazlina bertambah berang. “Apa? Macam mana pula kamu boleh tak bawa? Siapa yang bawa, angkat tangan”, pinta beliau sambil meluaskan pandangannya bagi melihat siapakah gerangan pelajar yang tidak lupa untuk membawa buku teks komsas tingkatan lima tersebut. Ternyata hanya seorang sahaja yang mengangkat tinggi tangannya iaitu Junaidah. Dia ini memang pencinta kesusasteraan dan cita-citanya adalah untuk menjadi seseorang yang persis dengan Puan Hazlina.
Pantaslah dia menjadi pelajar kesayangan Puan Hazlina. Segala tugasan apa pun yang diberikan, pasti dia lah satu-satunya pelajar yang menyiapkannya dahulu dan dia juga pelajar yang berjaya mengekalkan gelaran ‘pelajar paling cemerlang’ dalam matapelajaran Bahasa Melayu. Setakat ini, belum ada lagi pelajar lain yang bisa merebut ‘takhta’nya itu. Puan Hazlina mengeluh berat. Beliau sebenarnya tidak hairan langsung dengan jawapan daripada soalannya sebentar tadi kerana beliau kenal benar dengan sikap ‘kerajinan’ pelajar-pelajar yang duduk di hadapannya kini lantaran beliau pernah menjadi guru kelas mereka pada tahun yang sudah dan mengajar matapelajaran yang sama.
“Apalah nak jadi dengan awak semua ni. Dah nak ambil SPM pun perangai tak ubah-ubah lagi”, bebelnya. “Saya ada waktu satu jam 20 minit dengan awak. Kalau awak tak bawa buku, awak nak belajar apa?”, beliau berhenti sekejap. Matanya mengimbas satu-persatu wajah pelajar-pelajar yang ketakutan bagaikan kucing sedang merenung tajam tikus-tikus kecil. Kemudian beliau menyambung kembali, “sebagai denda, saya nak awak buat sajak sekurang-kurangnya empat rangkap dan setiap rangkap tidak boleh kurang daripada empat ayat. Tulis sajak tersebut mengenai apa-apa yang memberi inspirasi kepada awak, tak kira lah benda hidup mahupun tidak. Paling penting, sajak awak itu perlu ada unsur-unsur komsas yang telah awak pelajari contohnya, gaya bahasa”, beliau mengemukakan arahan kepada tugasan yang diberikan. “Apa salah satu daripada unsur gaya bahasa Junaidah?”, sempat lagi beliau menguji kepantasan berfikir pelajar kesayangannya itu.
“Personafikasi, cikgu”, Junaidah berjaya menjawabnya dengan cepat dan tepat. Puan Hazlina mengangguk tanda berbangga. Serta merta pelajar-pelajar tersebut mengeluh berat. Tugas yang diberikan oleh guru mereka ini dirasakan terlalu berat dan payah.
“Bila nak hantar ni cikgu?”, Farish Adzim pula bersuara.
“Hari ni lah. Bila lagi? Kan awak ada banyak masa ni. Saya nak 29 buah sajak di atas meja saya sebelum saya kelas saya tamat. Faham?”, beliau menjungkitkan keningnya. Mereka tiada pilihan lain selain untuk akur jua. Sepanjang waktu berjalan, Puan Hazlina duduk di kerusinya tanpa beranjak ke mana-mana. Beliau sedang leka menanda buku-buku latihan pelajar yang lain. Sesekali beliau memerhati anak-anak muda yang sedang giat mereka sajak masing-masing dan ada juga beliau menegur kebisingan yang juga turut tercipta. Di antara mereka, Haikal lah yang paling kerap membuat bising. Tidak kira berapa kali pun Puan Hazlina memberi amaran kepadanya, dia tetap sahaja begitu. Masih membuat kecoh dengan gelak tawanya dan aktiviti rampas-merampas helaian kertas yang tertulis bait-bait sajak nukilan Nazrullah, Jimmy dan juga Haikal.
“Haih! tiga serangkai yang duduk di belakang tu”, sergah beliau secara tiba-tiba. Kesabarannya yang tinggal terlalu minimal sudah.
“Awak bertiga sudah siap atau belum?”, seluruh isi bilik darjah berhenti menulis. Mereka ingin tahu kepada siapakah guru mereka ini bertanya? Nazrullah dan Jimmy menggelengkan kepala bertopengkan wajah tidak bersalah. Haikal pula, tidak terjawab soalan tadi. Terkebil-kebil matanya membalas pandangan Puan Hazlina.
“Hm, dah siap lah tu maknanya kan? Sebab suara awak satu kelas boleh dengar, mari datang ke depan. Bacakan sajak awak tu”, sekali lagi, Puan Hazlina bertindak agresif seperti sengaja hendak meluahkan marahnya kepada Haikal tetapi dengan cara yang beribawa. Disangkanya Haikal akan memberi alasan atau paling kurang pun, wajahnya menjadi pucat lesi. Namun sangkaan sekadar sangkaan. Pelajar nakal tersebut bingkas bangun dan berjalan dengan penuh bergaya merentasi meja-meja yang tersusun di kiri dan kanannya sambil membetulkan tali leher yang masih kemas bersimpul di lehernya. Puan Hazlina kagum dengan sikap yang ditonjolkan oleh Haikal. Berbeda sekali dengan pelajar yang pada tanggapannya tiada minat dan sifar inisiatif untuk belajar.
“Baik, bacakan dengan penuh emosi ye Haikal”, sempat lagi beliau menyampaikan pesan. Pelajar-pelajar yang lain melabuhkan sepenuh perhatian kepada plajar baru tersebut. Tidak berganjak, tidak berkelip.
“Hek erm..”, dia melaraskan suara lelakinya lalu menyambung lagi, “tajuk sajak saya pada hari ini ialah..”, dia melirikkan anak matanya kepada pelajar perempuan yang duduk di sebelah kanannya. Sesaat kemudian setelah dia berjaya menelan air liur membasahkan tekaknya yang tidak kering itu, dia kembali menyambung, “ialah, Cintaku Zalia”. Zaliamimi membulatkan matanya. Rakan-rakan kelas mulai bersorak mengusik kedua-dua mereka.
2 comments:
tak boley bla tjuk sajak nya..hahahaha
next episode~
Post a Comment