Dengan Berbesar Hati..


Gadis Sejuta -EP 2-

“Kamu boleh duduk Farish. Sekarang, kita kena pilih ketua kelas, penolong dan ahli jawatan kuasa yang lain. Ada sesiapa yang secara sukarela nak jadi ketua kelas?”, tanya beliau sambil membuka penutup pen penanda papan putih bersedia untuk menulis nama mana-mana pelajar yang sanggup menawarkan diri.
“Alah, cikgu. Kita undi lah..”, kedengaran suara-suara sumbang memberikan cadangan.
“Lah, kamu semua kan sudah tingkatan lima. Sepatutnya, kamu dengan sukarelanya calonkan diri sendiri. Kamu bukan macam masa sekolah rendah lagi. Ini kan tanggungjawab besar”, bebelnya. Secara spontan, ada seorang pelajar yang mengangkat tangan untuk menarik perhatian.
“Bagus… kamu patut contohi kawan kamu ni”, puji Puan Nur Fatien yang ditujukan khas kepada pelajar tadi.
“Kamu nak pegang jawatan apa ni Nazrullah?”, tanya beliau dengan penuh kebanggaan melihat sikap pelajar yang berdedikasi pada penglihatannya. Nazrullah yang tadinya tersengih-sengih bagai kerang busuk lantaran termakan pujiaan guru kelas mereka yang sememangnya bersikap mesra pelajar itu terkejut mendengar soalan yang dilontarkan kepadanya. Laju sahaja dia menjawab, “eh bukan cikgu, saya nak calonkan orang je”, katanya sambil menyambung kembali sengihannya. Puan Nur Fatein mendengus kecewa. Buang tenaga sahaja beliau memuji menggunung kepada pelajarnya yang seorang ini.
“Kamu ni… hm, ye lah, kamu nak calonkan siapa ni?”, tanya beliau hampa.
“Err…”, jawabnya teragak-agak. “Syarena cikgu!”, terpacul jua nama yang sedari tadi dia simpan. Hendak ditelan, dia sudah separuh jalan menyebutnya. Ah, lantaklah, yang penting niatnya yang ingin mengenakan rakan perempuannya yang dia kenali sejak tingkatan satu lagi.
“Wei, apa hal aku pula?!”, tengking Syarena kasar. Dia sememangnya tidak menyangka bahawa nama yang dicalonkan olah Nazrullah itu adalah nama comelnya. Seluruh isi kelas sudahpun trtawa terbahak-bahak melihat telatah mereka berdua. Puan Nur Fatien hanya mampu menggelengkan kepala mencuba untuk bertahan dengan sikap keanak-anakkan yang umpama bersinar terang dari dalam diri para pelajar yang berusia sekitar 17 tahun di hadapannya.
“Sudah. Syarena, kamu saya berikan tugas sebagai ketua kelas ye?”, Syarena tiada pilihan lain selain akur manakala Nazrullah pula bersorak girang di belakang.
“Kamu Nazrullah, tak payah nak gumbira sangat. Kamu jadi penolong ketua kelas”, tegas beliau. Anak mata Nazrullah membulat. “Apa cikgu? Tapi kenapa pula saya kena jadi penolong dia cikgu. Dah lah dia tu macam singa. Karang kalau dia lapar, tak ke ditelannya saya cikgu? Tak sempat saya ambil SPM nanti”, terangnya memberi alasan sambil mulutnya dijuihkan ke arah Syarena. Sekali lagi pelajar-pelajar yang lain meledakkan tawa masing-masing. Kali ini terpaksa diredakan oleh Puan Nur Fatien.
“Sudah, sudah. Siapa suruh kamu calonkan Syarena? Cikgu suruh sukarela bukan? Lain kali, dengar arahan cikgu jelas-jelas ye?”, sindir Puan Nur Fatien sambil tersenyum. Sebenarnya dia ingin melepaskan geramnya terhadap Nazrullah yang telah membuatnya memuji sembarangan tadi. Adil bukan?
“Padan muka!”, kata Syarena berpuas hati sambil menjelirkan lidahnya kepada Nazrullah. Lelaki itu hanya membalasnya dengan jelingan tajam.
“Habislah kawan kita ni kena queen control”, akhirnya Haikal yang hanya senyap sejak awal tadi berkata-kata pedas. Berdesing telinga Nazrullah mendengarkan ayat itu. Namun dia hanya berdiam seribu bahasa kerana sudah serik banyak bercakap. Padanlah orang-orang tua selalu berpesan, berdiam itu lebih baik. Tapi itu bak kata orang tua. Jika mengikut peribahasa moden pula, sekiranya terlalu berdiam akan merugikan. Bagaimana jika kita berhadapan dengan sesuatu hal yang kita tidak pasti? Bukankah kita harus membuka mulut untuk bertanya dan bukannya berdiam sahaja? Oleh itu, Nazrullah membuat kesimpulan sendiri, jika hendak berkata-kata, harus sentiasa melihat kepada kesesuaian dan ketepatan keadaan.
“Baik, seterusnya cikgu perlu ketua kebersihan, ketua keceriaan dan bendahari”, ujar guru tersebut sambil memerhati segenap ruang kelas. Wajah pelajar-pelajarnya itu dilihat satu-persatu menanti sebarang sahutan.
“Cikgu, saya nak jadi bendahari”, lantang sahaja Jimmy bersuara lalu tersenyum menampakkan lesung pipitnya. Pelajar yang satu ini pula selalu menjadi perhatian para pelajar perempuan yang lazimnya datang dari kelompok junior kerana kulitnya yang cerah dan rambutnya yang terpacak itu. Kacukan cina-melayu lah katakan. Dia juga cerdik dalam pelajaran, namun sekadar matapelajaran kira-kira sahaja lah. Matapelajaran yang lain, seringkali merosot. Baru sahaja guru mereka itu menulis nama Jimmy pada papan putih, ada suara yang menghentikan jemarinya.
“Cikgu, Jimmy tak boleh jadi bendahari”, bantah Haikal. Puan Nur Fatien memandangnya tajam meminta penjelasan. Begitu juga rakan-rakan sekelas yang lain terutamanya Zaliamimi.  “Apa pasal pula”, panahan bebola matanya yang memakai kanta lekap itu menjadi semakin menusuk. Namun ternyata tidak memberi kesan kepada Haikal.
“Sebab Jimmy tak boleh pegang duit cikgu. Nanti dia pergi Pavilion untuk shopping. Kalau dia seorang je tak apa, ini tak, dia ajak kitaorang pergi sekali. Kitaorang tak nak bersubahat cikgu”, gurau Haikal menambahkan lagi amarah guru yang berdiri di hadapannya itu. Sungguhpun begitu, beliau berlagak tenang. Baginya, beliau harus menggunakan cara yang halus sekali untuk menghadapi kerenah pelajar-pelajar yang nakal ini. Jika tidak, hilang kawalan lah jawabnya.
“Habis tu, kamu nak jadi bendahari?”, sindirnya lagi.
Haikal terdiam. Dia menelan air liurnya yang terasa kelat. Apayang hendak aku jawab ni? Gumamnya kegusaran. Belumpun sempat dia menjana sebarang idea, Puan Nur Fatien terlebih dahulu ‘menembak’nya dengan butiran peluru berisikan arahan.
“Baik Haikal, kamu jadi bendahari kelas. Jimmy pula jadi penolong bendahari. Selalunya kita tak ada penolong untuk kerja kutip duit ni tapi sebab kali ni yang mengutip duit pelajar lelaki jadi saya perlu dua orang. Boleh?”, beliau membeliakkan matanya sekaligus memaksa mereka berdua untuk bersetuju. Dengan lemah mereka menundukkan kepala tanda pasrah. Sempat lagi mereka bersikuan sesama sendiri.
Setelah itu  Aen Shaufi dan Izian masing-masing berkerjasama untuk memegang jawatan ketua kebersihan dan ketua keceriaan. Mereka berdua ini umpama belangkas. Ke mana-mana pun pasti berduaan sehingga ada yang menganggap mereka sebagai adik beradik. Akrabnya persahabatan mereka bercambah sedari mereka mulai mengenal ABC dan 123 lagi. Maka tidak hairanlah mengapa mereka begitu rapat. Akhirnya sesi pelantikan jawatan telahpun selesai. Puan Nur Fatien mengeluh berat. Tamat satu waktu mengajarnya hanya kerana melayan ragam para pelajarnya yang pelbagai itu.
Sebelum beliau menamatkan sesi pengajarannya, beliau menitipkan jadual waktu kelas kepada Syarena dan berpesan agar membawa buku teks dan buku-buku latihan untuk waktu pelajaran matematik tambahan pada esok hari yang memakan masa selama satu jam 20 minit.
“Ketua, nak aku tolong apa-apa tak?”, tanya Nazrullah sengaja ingin menimbulkan kemarahan Syarena. Gadis montel itu hanya mendengus seperti naga yang baru terjaga daripada lenanya. “Eh,eh engkau. Aku nak tolong kan. Yang kau marah tak tentu pasal ni kenapa?”, bentaknya pula meluahkan rasa separuh kecewa, separuh lagi, entahlah. Mungkin terkejut dengan sikap bad mood Syarena. Besar sangatkah salah aku pada dia? Desisnya.
“Kau orang ni asyik nak bergaduh aje. Kau orang berdua kan kena saling bekerjasama, bukan fighting macam ini. Haiya, kasi kahwin baru tahu”, bebel Xian Lie, satu-satunya pelajar berbangsa Cina di dalam kelas mereka. Dia juga adalah salah satu daripada pelajar cemerlang sekolah dan terkenal dengan aktiviti berkawad kaki bagi badan beruniform yang dikendalikannya, Saint John Ambulans. Dia seringkali bersaing dengan Farish Adzim yang mengepalai unit uniform Kadet Remaja Sekolah dan juga berlumba bagi mendapatkan tempat pertama di dalam kelas tidak kira lah setiap kali peperiksaan mahupun ujian bulanan. Malah, markah untuk kuiz berkala juga menjadi pertaruhan mereka berdua. Bezanya, Xian Lie bersifat pasif dan sangat low profile manakala Farish Adzim pula sentiasa menjadi kesayangan hampir setiap guru di sekolah mereka. Tambahan pula dengan jawatan yang disandangnya menjadikan dia dikenali oleh setiap insan yang bergelar pelajar sekolah tersebut. Namun, marketnya tidak setinggi Jimmy yang umpama saham yang sedang melambung harganya. Ia adalah lantaran imej luaran Farish Adzim yang kelihatan terlalu lurus dan ‘skema’ sepertimana pelajar lain menggelarnya. Mematuhi undang-undang sekolah lah katakan…
Di sebuah sudut lain pula, kelihatan Zaliamimi bersama teman baiknya Tania sedang rancak berbual sementara menanti kehadiran guru bagi matapelajaran seterusnya, Bahasa Melayu. Mereka masing-masing tekun menelaah salinan jadual waktu kelas yang telah diberikan oleh Syarena kepada setiap rakan kelas.
“Nia, hari rabu ni banyak sangat subjek lah. Berat lah beg nak bawa semua buku teks ni”, Zaliamimi mulai mengomel.
“Betul lah Mi.. aku pun tak larat nak bawa semua ni. Dengan buku latihan lagi, buku nota lagi. Mahu tercabut bahu aku ni”, Tania bersetuju dengan kata-kata temannya itu.
So, macam mana?”, tanya Zaliamimi. Lalu dijawab ringkas oleh Tania, “macam biasa..”
Okay, kau bawa buku teks English, matematik dengan biologi. Aku pula bawa buku teks chemistry, fizik dan add math”, Zaliamimi membuat saranan.
“Eh, tak boleh. Kan cikgu Fatien nak kita semua bawa buku teks”, ujar Tania yang teringat akan pesan guru kelas mereka itu. Zaliamimi menepuk dahinya. Dia terlupa akan hal yang penting itu padahal baru sahaja guru mereka menyampaikan pesan tersebut.
“Jadi, kau bawa lebih buku lah ni?”, soalnya seperti bersimpati.
“Tak apa lah, hari khamis kan banyak subjek juga. Nanti kau pula lah yang bawa lebih”, pujuk Tania menyedapkan hati temannya itu. mereka berdua tersenyum sesama sendiri apabila berjaya merancang dengan sempurna jadual peribadi untuk membawa buku-buku teks yang telah diberikan kepercayaan oleh pihak Skim Pinjaman Buku Teks sekolah kepada mereka.
Sikap mereka yang berat bahu untuk membawa buku teks ini sudah lama dipraktikkan sejak mereka tingkatan satu lagi. Perbualan mereka reda seketika apabila Aen Shaufi memasuki ‘perkarangan’ tempat duduk mereka membawa sebatang penyapu jerami yang kosnya lebih rendah.

“Tepi sikit, Majlis Perbandaran nak lalu”, seloroh Haikal yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Aen Shaufi hanya menatapnya dengan pandangan kosong. Sedikit pun tidak tersentap dengan kata-kata Haikal tadi. Lain pula dengan Zaliamimi yang menjadi panas mendengarkan ucapan pelajar lelaki tersebut yang telah menengkingnya pagi tadi. Perasaan tidak puas hatinya terhadap Haikal telah meninggalkan luka yang kian mendalam. Dia terus memarahi Haikal, “hoi! kalau Aen Majlis Perbandaran, kau tu apa? Alam Flora?”.
“Aku ceti kelas. Ataupun kalau kau orang nak tahu nama famous aku, panggil je Ah Long Hike”, ujarnya dengan penuh bangga. Zaliamimi hanya mencebik menahan geram. Haikal memang mencabar kesabarannya. Aen Shaufi langsung tidak mempedulikan telatah rakan-rakannya yang bagai anjing dengan kucing itu lalu diteruskan sahaja penyapuannya dan dibantu oleh Izian. Rakan-rakan kelas yang lain pula aktif bercerita sesama sendiri. Ada yang duduk di tempat sendiri, ada yang duduk di atas meja dan ada pula yang sedang mengelilingi kelas bagi mengganggu mereka yang sedang mengulangkaji mungkin. Tidak kurang juga, beberapa orang pelajar yang berdiri di sisi pintu belakang kelas. Test market kata mereka.
Seketika kemudian mereka yang sedang ‘menjual’ muka di luar kelas terlihat kelibat Puan Hazlina yang sedang berjalan di hujung koridor aras bertempatnya kelas mereka. Salah seorang daripada mereka meluru masuk ke kelas dan melaungkan, “cikgu Hazel on the way…!!!”. Terdengar sahaja maklumat penting tersebut, mereka semua menyusun langkah menuju ke tempat masing-masing. Farish Adzim membetulkan tali lehernya yang sudah longgar sedikit. Kelas yang berisi 28 orang pelajar itu menjadi sepi sementara menunggu kehadiran Puan Hazlina yang dipanggil sebagai cikgu hazel dek nama beliau yang payah disebut. Mereka sememangnya kecut benar apabila diajar oleh Puan Hazlina kerana beliau adalah seorang guru yang tegas dalam mendidik para pelajar dan perkara yang paling beliau pantangkan adalah, suasana hingar-bingar bagaikan berada di dalam pasar tani. Bunyi derapan kasut tumit separa tinggi beliau sudah semakin kedengaran. Ke semua mereka menanti dengan penuh debaran. Di atas setiap meja mereka sudah terbentang buku-buku yang berbagai-bagai jenis. Namun tiada satu pun buku matapelajaran yang diajar oleh Puan Hazlina. Semakin lama, semakin kuat bunyi tapak kasut beliau kedengaran. Mereka berjaya mengekalkan suasana kondusif namun dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gemuruhnya mereka. Haikal yang tidak mengerti apa-apa berasa pelik dengan tingkah laku rakan-rakannya.
“Apa pasal kau orang semua macam kena sampuk ni hah?”, Haikal bersuara memecahkan kesunyian. Semua rakan-rakan sekelas memandangnya tajam sambil meletakkan jari telunjuk ke bibir masing-masing. Namun Haikal masih tidak berpuas hati, dia tetap ingin mencari tahu mengapa rakan-rakannya berlaku sebegitu aneh secara tiba-tiba. “Apa pula pandang-pandang aku?”, suaranya semakin kuat kedengaran manakala Puan Hazlina pula sudah semakin hampir. Pantas Nazrullah menekup mulut becok Haikal sekaligus bersama kepalanya di bawa ke atas riba Nazrullah. “Diam lah murai! Cikgu Hazel kejap lagi nak masuk kelas” katanya separuh berbisik. Haikal melepaskan tangan Nazrullah yang kemas menutup mulutnya. Dia menarik nafas dalam-dalam umpama baru keluar daripada kolam renang kerana tangan Nazrullah yang lebar itu bukan sahaja menekup mulutnya malah hidungnya jua. Haikal mengangkat kepalanya dan segera membetulkan posisinya kembali sambil bertanya, “cikgu Hazel?”.

2 comments:

Post a Comment

Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.