“Krriinnggg…!”, bunyi deringan loceng yang bercawang enam itu mengejutkan seluruh isi bangunan lama sebuah sekolah menengah di pinggir kota. Walau di mana pun pelajar-pelajar berada, pasti tidak terlepas daripada gemaan loceng tersebut yang terletak di penjuru setiap bangunan. Fajar yang menyinsing begitu berat sekali melebarkan cahayanya seakan memberikan waktu bagi penduduk bumi yang masih leka. Pelajar-pelajar yang tadinya sedang berborak kosong di setiap ruang menjadi kelam kabut dan keadaan bertukar huru-hara sebentar dek kepantasan mereka mencapai beg masing-masing, berlarian menuju ke tapak perhimpunan bagi menghadiri perhimpunan rasmi. Mereka kelihatan bersemangat sekali. Uniform sekolah yang disarungkan juga kemas dan rapi. Ya, pastilah. Hari itu adalah hari pertama sesi persekolahan.
“Perhatian kepada semua pelajar. Sila beratur di tapak perhimpunan mengikut tempat yang telah disediakan”, kedengaran suara ketua pengawas, Farish Adzim bergema dari bilik PA sistem dengan informasi bernasnya. Mikrofon yang digenggamnya diletakkan kembali ke tempat asal dan dia segera menuruni anak tangga menuju ke tapak perhimpunan bagi memulakan tugas yang pertama dalam tahun itu. Sempat lagi dia membetulkan belahan rambutnya dan menghadiahkan senyuman kepada guru-guru yang berjalan bertentangan arah. Ketua pengawas yang penuh beribawa ini sentiasa menjalankan tugasnya dengan baik. Malah, dia juga sentiasa ‘dicop’ sebagai pelajar cemerlang sekolah dan tahun tersebut adalah tahun pertama dia bertugas sebagai Ketua Pengawas. Maklumlah, baru sahaja dinaikkan pangkat.
Di celah-celah keriuhan pagi tersebut, kelihatan dua orang pelajar perempuan sedang berlarian mencuba sedaya upaya untuk berada di tapak perhimpunan tepat pada waktunya. Gadis yang berada di hadapan seorang lagi mempercepatkan langkahnya tanpa menoleh ke belakang. Kain seragam sekolah yang berwarna biru muda itu menyekat kelajuan kakinya. Hampir sahaja dia tersalah langkah. Kalau tidak, malu besarlah dia di hadapan ratusan pelajar sekolah pada pagi yang suasananya hening. Ya, dahulu sekolahnya itu hanya menempatkan pelajar-pelajar tingkatan empat, lima dan enam sahaja untuk sesi pagi. Namun, pada hujung tahun yang sudah, mereka telah dikhabarkan berita bahawa sekolah kesayangan mereka akan menerima seorang pengetua sekolah yang baharu sekaligus membawa perubahan besar kepada undang-undang dan peraturan sekolah. Tahun ini, ke semua pelajar tingkatan daripada tingkatan satu sehinggalah tingkatan enam diarah untuk menghadiri persekolahan pada sesi pagi berikutan kemasukkan pelajar yang telah diketatkan. Sedang pelajar perempuan tadi terkocoh-kocoh menuju ke destinasi yang hanya beberapa langkah lagi, dia terlihat pada tali kasut hitamnya yang sudah terlerai. Alamak! Waktu macam inilah tali kasut terbuka, gumamnya sambil memandang ke kasutnya. Dia sudah tidak hiraukan lagi pemandangan di hadapannya kini.
Dush ! Buku-bukunya semua jatuh berselerak namun gadis yang bertubuh kecil itu berjaya mengawal imbangan badan lalu segera mengangkat wajahnya menatap pelajar lelaki yang telah melanggarnya tadi.
“Woi! Buta ke? Lain kali jalan pandang depan lah”, bentak pelajar lelaki tadi. Gadis itu mengerutkan keningnya. Bukannya mohon maaf atas kesilapannya tadi, malah kita pula yang dimarahnya, berbisik dalam hati. Dijelingnya pelajar tadi sekilas dengan hujung matanya yang sepet itu dan segera mengutip satu-persatu buku-bukunya yang tadi menyembah lantai bersimen licin.
“Hm! Dah lah tak reti nak minta maaf, tolong pun tidak? Sombong betul mamat ni”, ngomelnya sambil terbongkok-bongkok.
“Nah, buku-buku kau. Cepat, nanti kau kena denda sebab sampai lewat”, ujar seorang pelajar lelaki. Gadis tadi menyambut buku-bukunya yang diberikan pelajar tadi dan menghadiahkan segaris senyuman manis. Senyuman yang paling manis. Dia mengangguk seraya bangun dari bongkoknya dan terus mengambil langkah ke barisan yang mewakili kelasnya. Dia tidak sempat mengucapkan kata kasih- berterima kasih, kerana pelajar tadi terus lenyap daripada pandangan matanya. Sibuk lah tu, tekanya dalam hati. Terpaksalah dia berdiri di barisan yang paling belakang kerana kelewatannya namun sempat lagi dia melayarkan menungnya pada pelajar lelaki yang membantunya sebentar tadi. “Aduhai… Farish Adzim..”, dia tersenyum panjang.
Selesai sahaja Tuan Pengetua baharu mengutarakan ucapannya, majlis perhimpunan rasmi pagi Isnin pun melabuhkan tirai. Bukan main gemuruh lagi tepukan yang diberikan oleh para pelajar.Bukan kerana keikhlasan mendengar satu-persatu perubahan sekolah yang dibentangkan beliau, tapi kerana lelah menanti bilakan ucapan lelaki yang sudah lebih daripada separuh abad itu akan habis. Begitulah betapa impaknya sindiran yang bertopeng daripada pihak pelajar. Jika ingin tahu panjang sesuatu ucapan guru-guru, dengar pada kekuatan tepukan mereka. Biasalah, remaja. Manakan tahan mendengar bebelan.
Masing-masing diarahkan untuk masuk ke kelas yang telah ditempatkan mengikut tingkatan mereka dan itupun, harus berjalan dalam barisan yang mereka sedia berada. Satu demi satu meninggalkan tapak perhimpuna sehingga tidak kelihatan lagi pelajar-pelajar yang tadinya memenuhi segenap ruang tapak yang telah dipasangkan mozek kasar itu. Demi keselesaan pelajar, bak kata mantan pengetua mereka, Puan Fatimah. Baru sahaja sebelah kaki dijejakkan masuk ke dalam kelas, suasana yang serba tertib tadi mulai kembali kepada kebisingan suara-suara pelajar yang seperti kebaruan. Keriuhan yang galak itu tersebar dengan pantas ke kelas-kelas yang berdekatan seperti terkena jangkitan H1N1.
“Ish, menyampah betul dengan pengetua baru kita tu kan? Apa nama dia? Haji Hussien?”, Tania memulakan bicara becoknya pada pagi itu. Memang gadis ini terkenal dengan mulutnya yang banyak berbicara namun lantang bersuara. Dia juga dikenali sebagai internet zaman baru. Tak perlu di klik ataupun memasukkan kata kekunci carian, pasti dia sendiri yang akan memberikan info terkini perihal sekolah mereka. Dalam akalnya itu, memang sarat dengan gosip-gosip, cerita-cerita terkini dan khabar angin. Memang padanlah dia terkenal dengan jolokan google, yahoo!,buletin semasa dan macam-macam lagilah.
“Dah lah dia tukar kasut sekolah daripada putih ke warna hitam. Mak aku dah bising dah. Form 5 pun terpaksa beli kasut baru padahal kasut aku yang lama tu baru lagi. Sekarang ni, tak pasal-pasal budak-budak junior join pagi. Sesak tahu tak”, tambahnya lagi. Ragam senior, memang allergic dengan junior bawahan. “Yang kau ni, dari tadi diam je kenapa? Bad mood? Tengah period ke?”, Tania bersuara lagi tatkala dia menyedari bahawa ternyata dia bercakap sendirian dari tadi lantaran sahabatnya itu yang hanya mendiamkan diri.
“Eh, tak lah. Memandai je kau ni. Aku gaduh lagi dengan adik aku. Boleh pula baru nak gosok baju pagi tadi. Tak pasal-pasal dengan aku sekali datang lambat. Nasib baik Farish tolong aku. Kalau tak, kena demerit lah aku pagi ni”, terangnya panjang lebar. Tania tertawa kecil. Sahabatnya ini sejak azali lagi memang tidak serasi dengan adik sendiri. Walhal, mereka itu hanya berdua sahaja dalam salasilah adik-beradik.
“Nasib baik lah aku tak ada adik. Ha, aku nak bagitahu kau gosip baru ni”, Tania memulakan ‘tugasnya’.
“Hm, apa dia?”, tanya sahabatnya ingin tahu.
“Hari ni aku nampak ada budak baru dalam barisan kelas kita. Budak lelaki. Aku nampak dia pakai kasut putih. Handsome juga lah aku tengok. Tapi tak tahu lah kalau dari jauh je kan?”, katanya sambil tertawa lagi.
“Kasut putih? Aku rasa macam dia lah yang aku terserempak pagi tadi”, ujarnya memaksa sel-sel memorinya untuk berfungsi.
“Kau ada jumpa?”, Tania pula semakin teruja.
“Dia lah yang langgar aku pagi tadi. Habis semua buku-buku teks aku bertabur. Dah lah tak minta maaf langsung, tolong aku pun tidak. At least tanya lah aku, “are you okay?” ke..”, ujarnya meluahkan ketidakpuashatian. Tania meledakkan tawanya. “Perasan lah kau ni”.
Kelincahan borak kosong teman rapat yang berdua itu termati tatkala seorang guru melangkah masuk ke dalam kelas mereka diikuti seorang pelajar lelaki. Pelajar-pelajar lain yang turut hangat bercerita secara automatik mengunci mulut dan kembali ke tempat duduk masing-masing. Menghormati lah katakan.
“Selamat sejahtera pelajar-pelajar cikgu”, ucap guru tersebut dan disambut oleh 28 pelajar yang lain.
“Baik, duduk semua”, katanya lagi sambil menebarkan pandangannya ke seluruh pelusuk kelas.
“Aih, kelas, kamu tak ada kerusi meja lebih ke? Habis kawan baru kamu ni nak duduk di mana?”, wanita yang berusia sekitar 30-an seperti tidak puas hati. Mereka berpandangan sama sendiri. Pada hujung tahun yang lepas memang mereka yang menyusun atur kerusi dan meja di dalam kelas tersebut. Masing-masing membawa sebuah kerusi dan sebuah meja untuk keselesaan diri sendiri. Jelas terserlah sikap mereka yang masing-masing menjual ikan. Selfish. Pada saat inilah pelajar-pelajar memakai topeng muka untuk menyerlahkan kerajinan mereka yang tidak seberapa itu. Antaranya ialah dua orang pelajar lelaki, Nazrullah dan Jimmy segera menawarkan diri untuk mengambil kerusi dan meja dari stor sekolah. Setelah pelajar baru tersebut selesa duduk di tempatnya, guru tadi memulakan sepatah dua kata.
“Cikgu ucapan selamat kembali ke sekolah. Tahniah, kerana kamu semua berjaya datang ke sekolah hari ni tanpa sebarang kecacatan, tangan kaki masih ada, masih waras lagi, tahniah”, katanya sambil berseloroh. Para pelajar juga turut tertawa dengan penuh ikhlas. Ada pula cikgu berkata sedemikian. Sudah parah sangat tu, bisik Tania dalam hati.
“Untuk pengetahuan kamu semua, cikgu akan jadi guru kelas kamu tahun ni dan cikgu mengajar kamu matapelajaran Additional Mathematic. Tapi sebelum tu, kamu semua tahu nama cikgu?”, tanya beliau.
“Puan Nur Fatien.. !”, sahut seisi kelas kecuali yang satu itu.
“Bagus… macam inilah cikgu sayang dan seperti yang kamu lihat, kita ada pelajar baru hari ni. Sila lah, kenalkan diri kamu”, pintanya kepada pelajar lelaki yang sepi duduk sendirian di belakang. Kesemua 28 pandangan muka melekat ke wajah bak suci pelajar baru tadi. Lalu pelajar itu berdiri dan mula bersuara. “Saya Muhammad Haikal. Panggil saya Hike je”, jawabnya ringkas.
“Kenapa awak pindah?”, selidik Puan Nur Fatien.
“Sebab ayah saya dipindahkan ke sini dari Kuala Lumpur”, jawabnya sekadar yang mampu.
“Oh.. dari KL rupanya. Patutlah sombong”, bisik pelajar perempuan tadi kepada rakan yang duduk disebelahnya, Tania. Puan Nur Fatien yang bagaikan ada enam mata itu menangkap perbualan dua orang pelajarnya yang duduk di barisan paling hadapan lalu segera bersuara.
“Ha, ni dayang dua orang ni, dah tak sabar nak bercakap ke? Kalau macam tu, silalah, perkenalkan diri”, pinta guru mereka dengan nada yang sederhana sinis.
“Err.. hai kawan-kawan. Hai Hike. Nama saya Tania”, terdengar bunyi orang sedang menahan gelak. Tania memandang ke belakang. Dilihatnya Haikal sudahpun menekup mulutnya dan wajahnya bertukar kemerahan dek menahan tawa apabila terdengar nama Tania sebentar tadi. Tidak pernah seumur hidupnya mendengar nama yang sebegitu sastera. Tania menarik muka tanda merajuk. Dari dia kecil sehinggalah umurnya sekarang, setiap kali orang yang baru mengenalinya mendengar akan namanya itu, pasti mereka akan ketawa besar. Puan Nur Fatien hanya membiarkan sahaja dan meneruskan sesi suai kenal yang sedang berjalan.
“Yang di sebelah itu pula?”. Pelajar tersebut mula menegakkan kedua-dua belah kakinya dan membuka mulut untuk menyebutkan nama. Namun belum sempat dia melontarkan suara merdunya itu, ada suara lain yang mencelah.
“Nama dia Mimi cikgu!”, semua pelajar sekali lagi memandang ke bahagian belakang kelas. Haikal cuma tersengih-sengih seperti kambing tidak mandi pagi.
“Amboi, Haikal, tadi bila cikgu suruh kamu perkenalkan diri macam berat sangat. Nak perkenalkan orang lain ringan pula kamu. Sudah-sudah lah, sesi kamu dah habis tadi. Sekarang masa untuk orang lain pula”, bebel guru kelas mereka. Pelajar perempuan itu menjeling Haikal tajam. Lebih tajam daripada jelingan maut pagi tadi. Tanpa mengendahkan kerenah Haikal yang semakin mengada-ada itu, dia segera menyebutkan namanya.
“Nama saya Zaliamimi. Korang semua boleh panggil saya Mimi”, jawabnya kembali duduk ke kerusi kayu sekolah. Rasa benci terhadap Haikal semakin bercambah. Budak ni terlalu banyak bercakap untuk seseorang yang bergelar budak baru, gumamnya. “Tapi mana pula dia tahu nama aku?”, tanyanya kepada Tania. “Ssshhh… nanti cikgu marah kita lagi”, marah Tania yang sudah serik tanpa mendengar pertanyaan yang diutarakan oleh Zaliamimi. Satu persatu pelajar-pelajar memperkenalkan diri mereka kepada guru kelas dan pelajar baru tadi. Setelah selesai semuanya, Puan Nur Fatien memulakan headcount.Eh, tak cukup seorang ni, bisiknya keliru. Perhatiannya dicuri oleh pelajar lelaki yang segak menyarungkan uniform pengawas sekolah berona hijau mengetuk pintu, meminta izin untuk masuk ke kelas.
“Maaf cikgu, saya baru habis mesyuarat dengan lembaga pengawas”, katanya dengan tenang dan dalam masa yang sama, penuh rendah diri. Zaliamimi menjadi hilang kawalan. “Farish…”, sebutnya perlahan sambil menyandarkan kepalanya ke bahu Tania.*
3 comments:
woowwwww..bestnya!!! tak sabar nak baca episode yg seterus!! =)
nape xmsuk gmbr kowla kte? fames skit :P -muna
=)
Post a Comment