Dengan Berbesar Hati..


Cinta Putih Cinta Hitam


“Laurette? Oh Laurette, akhirnya aku jumpa juga dengan kau. Lama aku cari kau. Terima kasih tuhan, Kau temukan aku dengan dia setelah sekian lama”, ujar seorang lelaki yang umurnya kira-kira lewat dua puluhan sedang merangkul erat tangan seorang gadis yang daripada penampilannya, semua yang tidak mengenalinya pun pasti akan mengagak bahawa dia gadis kelahiran kota metropolitan, atau mungkin berasal daripada golongan bangsawan. Anak matanya yang berona coklat muda itu merenung lelaki tersebut yang pakaiannya sudah koyak-rabak dan sangat comot.

“Hei! Kau siapa? Aku tak kenal kau. Eii.. kotor lah. Pergi sana!”, tengkingnya segera menarik kasar tangannya. Lelaki tadi tersentak. “Laurette, kau tak kenal aku ke? Ni aku, Carl, kau dah tak kenal? Mungkin aku dah lain dari yang dulu, kau tak kenal aku. Tengok betul-betul. Ini Carl, Laurette” lelaki tersebut masih mencuba untuk meyakinkan gadis tadi bahawa mereka saling kenal.

“Aku tak kenal kau. Pergi, pergi! Dah lah kotor, selekeh, nak pegang-pegang orang”, marahnya lagi sambil menepis-nepis kotoran yang mungkin hinggap pada tangannya yang dipegang lelaki tadi. Lagatnya tidak ubah seperti seorang manusia yang menghalau seekor anjing jalanan.

“Ada apa ni darling?”, seorang lelaki segak muncul di sebelah gadis tadi. “Zent, tengok pengemis ni kacau I. Siap pegang-pegang I lagi. Eii.. geli lah”, adunya sambil menggenggam erat tangan lelaki segak tadi. “Apa?! Kurang ajar!”, suatu tumbukan padu menyinggah ke pipi lalu lelaki pengemis tadi terjatuh menyembah bumi yang tua. Gadis tersebut terkedu seketika. Tidak menyangka hal itu akan terjadi.  “Dah, jom kita pergi”, ujar Zent Schavi`ere lantas menarik perlahan tangan buah hatinya yang masih lagi merenung pengemis yang terjatuh tadi tidak dibantu sesiapa. Enjin pacuan empat roda Ferrari berwarna merah menyala mengaum kuat lalu hanya meninggalkan debu dan asap. Gadis tersebut tidak berhenti memikirkan lelaki yang menemuinya tadi. 
“Carl Zevsky… Bagaimana aku boleh lupa?”, ingatan kuatnya dilayangkan pada kenangan yang tinggal sewaktu dia mengenali keluarga Zevsky.

***************************************************************************
           
            “Bridgette, tinggal lah bersama aku di sini. Lagipun hanya aku dan anak aku Carl saja yang tinggal di rumah ini. Aku akan penuhi segala keperluan bayi kau sehingga lah dia dewasa. Ini janji aku pada Anthonny”, pinta Arthur Zevsky kepada Bridgette Rexton, isteri kepada Anthonny Rexton yang sedang menggendong bayinya yang baru sahaja dilahirkan semalam, pada hari kematian Anthonny Rexton. Arthur  masih ingat lagi pemandunya itu yang dahulunya seorang pendatang asing. Oleh kerana dia juga memerlukan tenaga kerja disebabkan pemandunya yang terdahulu sudah berhenti kerja, dia pun mengupah Anthonny  dan membenarkannya bersama isterinya untuk tinggal di kediaman banglo yang terletak di pinggir kota. Bridgette bekerja sebagai pembantu rumah bersama tiga yang lain. Isteri kepada Arthur,  Caroline juga tidak membantah apa-apa. Kehidupan mereka tidak pernah dilanda sebarang masalah sehingga lah Anthonny terkorban dalam kemalangan jalan raya sewaktu menjemput Arthur dan isterinya balik dari majlis keramaian para bangsawan. Caroline juga turut terkorban akibat tercampak keluar daripada kereta mereka yang berlanggaran dengan kereta dari bertentangan arah. Namun Arthur hanya mendapat kecederaan. Pada malam yang sama, Bridgette yang seperti mendapat telepati bahawa suaminya berada dalam kesusahan terleka semasa sedang membancuh susu buat Carl lalu botol susu yang belum bertutup pada waktu itu terlepas daripada genggaman tangannya. Bridgette yang sedang sarat mengandung mencuba untuk mengutip semula botol yang terjatuh tadi malangnya dia tergelincir pada tumpahan susu lalu jatuh tersembam. Mujur pembantu rumah yang lain datang membantu dan memanggil bidan dalam kampung tersebut dan akhirnya Bridgette berjaya melahirkan seorang anak perempuan.

            “Aku bagi nama Laurette untuk anak perempuan kau Bridgette. Huruf ‘L’ pada awalan namanya adalah penyambung kepada huruf akhir nama anak aku, Carl. Bermakna, anak kau akan sentiasa jadi teman anak aku”, ujar Arthur sambil mencium dahi anak Bridgette.

Lima belas tahun kemudian, Bridgette diserang sakit yang parah. Dia sudah tidak kuat untuk bekerja oleh itu anaknya Laurette lah yang menggantikan tempatnya sebagai pembantu rumah kerana dua orang pembantu rumah yang lain sudah berhenti kerja dek usia mereka yang sudah lanjut . Walaupun setelah berkali-kali dilarang oleh Arthur yang sudah menganggap Laurette sebagai anaknya sendiri, Laurette tetap berdegil. Kerana dia malu ditanggung keluarga Zevsky sebegitu manakala mereka pula, tinggal dan makan secara percuma di dalam rumah itu. Semua yang dia lakukan adalah untuk membalas jasa baik keluarga Zevsky kepadanya dan ibunya. Carl pula sentiasa ada membantunya membereskan kerja rumah dan mereka juga pergi ke sekolah bersama-sama. Dia tidak punya teman yang lain selain daripada Carl.

Bridgette menjadi semakin tenat sehingga lah pada usia Laurette 17 tahun, dia melalui saat-saat terakhir dalam hidupnya. Arthur lah antara orang yang terakhir bercakap dengannya.

 “Aku akan terus menunaikan janjiku pada Anthonny, Bridgette. Aku akan menjaga Laurette seperti aku menjaga Carl dan apabila mereka besar nanti, aku akan satukan mereka. Ini sahaja yang dapat aku lakukan untuk kau dan anak kau Bridgette. Aku pasti, Caroline juga setuju dengan keputusan aku”, bisiknya ke telinga Bridgette sambil menggenggam erat tangan Bridgette yang sedang kehausan udara. Air matanya mengalir deras sudah kerana selama berbelas tahun dia hidup bersama Bridgette, dia sudah menyayangi Bridgette. Namun oleh kerana dia memikirkan masa depan Carl bersama Laurette, dia lupakan sahaja niat sucinya untuk menjadikan Bridgette sebagai isterinya.

            Masa berlalu dengan sangat pantas. Tahu-tahu saja, Arthur yang dahulunya gagah bekerja bagi membesarkan Carl dan Laurette kini sudah lemah dimamah usia. Carl berjaya meneruskan pelajaran di University of Slovakia selama empat tahun dan mengambil alih jawatan ayahnya. Sepanjang pemergian Carl, Laurette lah yang menjaga segala makan minum dan pakai Arthur yang sudah seperti bapanya sendiri kerana dia tidak ada sesiapa lagi selain Arthur. Namun semenjak Carl hidup di negara orang, sikapnya berubah mendadak. Dia sudah tidak punya banyak masa untuk berborak dengan Laurette, bergurau mesra seperti dahulu dan mendengar luahan hati Laurette saat dia punyai masalah. Malah Carl juga jarang berada di rumah.
“Papa sudah sakit-sakit begini, dia tetap juga tidak balik untuk makan bersama?”, tanya Arthur sewaktu Laurette menghidangkan hidangan makan malam kepada Arthur. Hanya mereka berdua sahaja pada malam itu ditemani oleh Margeritta  pembantu rumah Arthur yang lain.

“Carl sibuk bekerja mungkin papa. Papa jangan risau, Laurette tengok, Carl bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk meneruskan legasi papa”, pujuk Laurette sambil meletakkan tangannya di atas belakang telapak tangan Arthur yang sudah berkedut. Tongkatnya diletakkan ke sisi kerusi oleh Laurette. Begitulah hari-hari yang dilalui oleh mereka berdua.

“Carl, kau baru balik? Mari duduk dengan papa”, sapa Arthur apabila terlihat satu-satunya anak lelakinya itu lalu di hadapan bilik bacaannya.

“Carl penat la papa. Esok saja lah”, jawabnya acuh tak acuh.

“Hari esok bukan satu jaminan nak… Mari lah sebentar. Sementara papa masih boleh melihat kau”, pujuknya lagi. Akhirnya Carl mengalah. “Duduk”, pelawa ayahnya.

“Papa sedang tulis apa ni?”, soalnya sewaktu melihat ada sehelai kertas dan sehelai pelepah helang digenggam oleh ayahnya. Leka benar dia menulis. Sehingga penulisannya itu menemui titik noktah, barulah dia berkata-kata. “Ini nota buat kau Carl. Apabila papa mati kelak, barulah peguam papa akan bacakan nota ini”.

“Apa isinya papa?”, soalnya lagi ingin tahu. Tumpuannya hanya kepada nota itu dan bukannya pada status kesihatan ayahnya yang semakin membimbangkan.

“Carl, ia akan dibacakan juga nanti. Hadiah buat kau”, jawabnya tenang.

“Adakah ia sebuah wasiat papa?”.

“Tidak anakku, wasiat sudah papa tuliskan lama. Apabila papa sudah tiada, barulah kau boleh memiliki semua yang papa tinggalkan termasuklah rumah ini, syarikat yang kau ambil alih sekarang, ladang-ladang anggur dan ternakan lembu kita yang beratus-ratus ekor itu. Jangan risau nak, ia sudah tertulis dan tidak akan berubah lagi”,

Carl menganggukkan kepalanya tanda mengerti namun di dalam kepala, dia sudah mengira-ngira jumlah besar yang telah dikatakan oleh ayahnya tadi.

“Terima kasih papa”, ucapnya sambil memeluk mesra tubuh tua Arthur. Arthur melepaskan pelukan anaknya. “Tapi kau harus berjanji dengan papa, Carl”. “Katakan apa saja papa”, tuturnya dengan yakin.
“Anakku, kau juga tahu apa yang kita lalui bersama uncle Anthonny dan aunt Bridgette. Kasihan pada Laurette. Papa mahu kau jadikan Laurette sebagai isterimu Carl”, berdesing telinga Carl mendengarkan permintaan ayahnya yang satu itu.

“Apa? Tidak papa! Tidak mungkin. Carl sudah ada kekasih yang jauh lebih kaya dan berkedudukan. Bukan seperti Laurette”, bentaknya kepada Arthur. Laurette yang kebetulan ingin masuk ke dalam bilik bacaan Arthur untuk memberikan susu  Arthur terdengar kata-kata umpama sembilu Carl. Berderai air matanya lalu dia segera meninggalkan dua beranak itu. Dia tidak menyangka bahawa cinta suci yang selama ini dipendam rupanya hanya bertepuk sebelah tangan. Dia tidak menyangka yang ternyata Carl hanya mementingkan kedudukan dan bukannya persahabatan yang mereka bina hampir 25 tahun lamanya.

“Kau…!”, marah Arthur tidak kesampaian apabila dadanya terasa sesak dan jantungnya yang terasa seperti dicucuk-cucuk. Dia menekan kuat dadanya yang di bahagian kiri.

“Papa! Mari Carl bantu, kita masuk ke bilik. Sudah lah, papa berehat ya?”, pujuknya. Dia risau akan ayahnya yang terkena serangan jantung disebabkannya. Dia mengeluarkan sebotol ubat dari kocek ayahnya dan memberikan dua biji untuk diletakkan di bawah lidah Arthur. Setelah ayahnya itu tenang sedikit, baru lah dia membantu ayahnya menuju ke kamar utama dan ditidurkan. Sempat lagi dia mengeluh berat. *

            “Darling… Gelapnya rumah you ni. I  pasang lampu ya?”, kedengaran suara manja seorang gadis. Laurette yang sedang memeriksa lampu-lampu rumah untuk memastikan sudah ditutup semuanya pantas membuka semula lampu utama di ruang tamu. Setelah suasana menjadi terang benderang, kelihatan dua tubuh di hadapan pintu besar rumah. Carl sedang berpaut pada bahu seorang gadis yang memakai gaun pendek dan ketat tanpa lengan.

“Carl?”, panggilnya. Pada pemerhatiannya, Carl pasti sedang mabuk. “Darling! Siapa ni? Eiiuw, pembantu rumah you ya?”, ujarnya sambil menudingkan jarinya yang runcing kepada Laurette. Membara juga hati Laurette diperlakukan sebegitu. “Hah? Apa?”, Carl yang separa sedar memandang gadis tadi. “Dia ni? Entah, tak kenal”.

Sekali lagi mengalir air mata kesedihan Laurette. Sehingga demikian rupa kau memperkenalkan aku Carl? Mengapa mudah kau lupa?

“Carl! Apa semua ini?”, tengking Arthur yang tiba-tiba muncul di beranda tingkat dua. Perlahan-lahan dia menuruni anak tangga sebelah kiri yang terletak secara melengkung berhadapan dengan pintu besar banglonya.

“Berani kau balik ke rumah dengan mabuk-mabuk begini?!”, Carl hanya membisu.

“Anak ini siapa?”, pandangannya beralih kepada gadis yang berpakaian mencolok mata tadi.

“Saya Loraine uncle. Loraine Glovoskovich”, dia bermanis muka. “Sudah, pergi balik!”, arahnya kepada Loraine. Dengan serta merta air muka gadis itu berubah. Pantas sahaja dia keluar dari banglo Arthur dan menutup keras pintu besar tersebut.

“Gadis yang sebegitu kau kata kekasih? Papa tidak suka kau bergaul dengannya lagi. Kau tahu siapa dia? Dia itu pewaris keluarga Glovoskovich. Dia akan kikis semua kekayaan kau sehingga tiada sedikit pun yang tinggal. Dengarlah kata papa ini anakku. Jangan sampai kau menyesal”,  marahnya lagi. Laurette hanya tunduk membisu.

“Ahh..! Itu semua tidak benar. Papa sengaja berkata begitu kerana papa mahu Carl berkahwin dengan Laurette bukan? Carl tidak suka papa menentukan hidup Carl seperti ini!”, balas Carl pula. Badannya terhuyung-hayang kekurangan imbangan dek kesan daripada bergelas-gelas wain yang diteguknya.

“Ya, ingat Carl, selagi papa masih hidup, papa tidak akan membenarkan kau berkahwin dengan gadis itu”, suara Arthur semakin meninggi. Laurette sudahpun mendapatkannya dan mengurut lembut belakangnya agar dia tenang sedikit.

“Kalau begitu, biarlah papa mati saja!”. Tanpa menghiraukan lagi ayahnya, Carl segera berjalan menuju ke biliknya. Habis perhiasan yang diletakkan di sepanjang jalan terjatuh dilanggar akannya.

“Sampai hati dia berkata seperti itu kepada papa, Laurette”, rintihnya pilu. Air mata jernih sudah bergenang di hujung mata.

“Sudahlah papa, dia sedang mabuk tu. Pasti dia juga tidak menyedari apa yang diucapkan olehnya”, Laurette berusaha untuk memujuk hati tua yang sensitif itu lalu membantu Arthur untuk masuk ke dalam kamarnya.*

            Sudah seminggu berlalu setelah peristiwa itu berlalu dan selama itulah Carl tidak pernah balik lagi ke rumahnya. Arthur sering kali termenungkan anak lelaki kesayangannya itu. Laurette hanya memerhatikan Arthur daripada jauh. Lama orang tua itu menatap foto berbingkai isterinya, Caroline.

“Aku telah gagal mendidik anak kita Carol. Aku sudah tidak tahu bagaimana lagi hendak mengajarnya untuk menjadi insan yang lebih baik. Kalau lah kau ada di sini Carol. Aku sudah terlalu rindukan kau. Tidak lama lagi, tidak lama lagi aku akan bertemu mu sayangku. Tapi aku tidak akan tenang selagi Carl tidak bersetuju untuk bersatu dengan Laurette”, mengalir air matanya tatkala mengenangkan isterinya yang sudah tiada. Jauh dalam benaknya, hendak sahaja dia menuruti langkah isterinya di sana namun urusannya belum selesai. “Carl anakku, mengapa kau berubah?”.

“Laurette, kau tengah buat apa tu?”, tiba-tiba ada suara yang menegurnya dari belakang. Laurette segera berpaling. “Carl? Kau sudah balik? Ke mana kau menghilang? Papa rindukan kau”. Carl memberikan Laurette senyuman yang manis seperti waktu dulu-dulu. Ya, Laurette sangat rindukan itu. “Kau belum jawab soalan aku, Laurette”, ujarnya memberikan pandangan yang menggoda.

“Oh, ini.. Susu suam untuk papa. Ia sangat membantu papa untuk tidur lena”, terangnya sambil membalas kembali senyuman Carl. Laurette sangat berharap agar mereka dapat berbual lama pada malam itu. Walaupun setelah apa yang dilakukan Carl terhadapnya, ia tidak sekuat cintanya terhadap Carl.

“Oh… Biar aku yang hantar ya?”, pintanya ingin mengangkat dulang yang berisi segelas susu hangat itu. Kekusutan riak muka Laurette pantas dibacanya. “Aku menyesal dengan kelakuanku Laurette. Aku ingin memohon maaf kepada papa. Biar aku yang hantar ya?”. Laurette mulai memahami lalu dibiarkan sahaja Carl menatang dulang bulat tadi dan Carl pun berlalu pergi. Laurette kegirangan di dalam hati. “Semoga ini menjadi suatu permulaan yang baik untuk kita semua”. Setelah beberapa ketika dia duduk termenungkan zaman kanak-kanaknya bersama Carl, hatinya bagai dijentik untuk melihat bahawa sama ada dua beranak itu masih berbual ataupun insan yang dipanggilnya ‘papa’ sudah tidur. Siapa tahu dia boleh berbual-bual mesra dengan Carl lagi.

            Pintu kamar utama yang tidak tertutup rapat ditolak sedikit agar membolehkan pandangannya lebih meluas ke dalam ruang kamar Arthur. Dilihatnya Arthur sedang meneguk titisan terakhir susu hasil tangannya. Laurette tersenyum. Namun senyumannya hanya sementara tatkala mendengar perbualan antara Carl dan Arthur.

“Minum lah papa, habiskan semuanya. Ia akan membantu papa untuk tidur. Selamanya…”.

“Apa yang kau lakukan nak? Mengapa? Apa lagi yang kurang papa berikan Carl? Papa berikan segalanya”, lemah Arthur bertanya anaknya.

“Tiada yang kurang papa. Tapi masih tidak cukup untuk Carl. Papa halang cita-cita Carl. Dan sekarang, Carl akan kuasai semuanya. Papa tak akan dapat halang Carl lagi. Lagipun, sudah tiba masanya untuk papa bertemu mama kan?”. Arthur menjadi semakin tenat. Susah payah dia mengambil nafas. Namun dia tetap ingin bersuara. “Jaga Laurette… Jaga Laurette”.

Carl tidak lagi mahu mendengar apa-apa. Mulut Arthur sudah memuntahkan buih-buih putih. Seluruh tubuhnya menggeletar menahan kesakitan. Dadanya menjadi semakin sesak. Nafasnya turun naik dengan drastik. Dan akhirnya Arthur terkapai longlai. Gelas kaca yang berada dalam genggaman tangannya terlepas lalu menghempaskan diri ke lantai sejuk. Pecah berderai. “Selamat malam papa”, ujarnya menghadiahkan senyuman ke dahi sang ayah.

Laurette menekup mulutnya. Air mata mengalir dengan deras. Hatinya menjerit-jerit. Papa!!! Tubuhnya yang terpaku dipaksa jua untuk melangkah ke belakang namun lututnya yang menggeletar membuatkannya jatuh. Carl yang terdengarkan suatu bunyi dari luar kamar segera keluar. Alangkah terkejutnya dia apabila terlihat Laurette di situ sedang menangis. Laurette menjadi pucat. Cepat-cepat dia berdiri dan segera berlari. Pantas Carl mengejarnya yang menuju ke biliknya di tingkat bawah. Masuk sahaja dia di dalam biliknya, pintu segera ditutup kuat namun ditahan oleh Carl. Tenaga yang berbaki itu tidak terlawan dengan kekuatan Carl lalu dia tertolak ke dinding. Carl berjaya menerobos masuk ke dalam biliknya.

“Margeritta..! tolong Laurette!”, jeritnya berharap agar Margeritta akan mendengarkan panggilannya. “Haha! Panggil lah sesiapa pun, tiada satu pun yang akan mendengar. Margeritta sudah aku pecat. Baru sahaja sebentar tadi”.

“Kenapa… kenapa?!”, tengking Laurette sambil menangis.

“Sebab aku mahu kuasa, harta… Aku tak mahu libatkan kau Laurette tapi, disebabkan kau sudah menyaksikan segalanya, aku terpaksa bunuh kau juga. Pasti papa akan perlukan kau di sana kan?”, ujarnya duduk mencangkung di hadapan Laurette yang sedang ketakutan di birai katil.

“Jangan… Aku tidak akan memberitahu siapa-siapa, aku janji. Aku akan lakukan apa sahaja, jangan bunuh aku…”, rayu Laurette. Carl berfikir sejenak.

“Baik, kau akan lakukan apa sahaja?”, Laurette mengangguk. Wajahnya sudah basah dengan rembesan air mata.

“Kalau macam tu, kau harus penuhi segala kemahuan aku termasuklah menjadi hamba kepuasan aku. Kau juga tahu Laurette, sudah lama aku menginginkan diri kau”.

“Apa?! Tidak! Mengapa aku? Bukan kah kau sudah mempunyai Loraine Glovoskovich? Aku bukan pilihan hatimu” marahnya masih terguris dengan perlakuan Carl. Tidak adil jika begini. Dia yang akan terseksa nanti sedangkan gadis itu senang lenang menjadi isteri kepada Carl kelak.

“Loraine? Aku tidak sayangkan dia. Aku hanya mahukan hartanya. Tapi kau Laurette, aku sayangkan kau”, katanya lembut sambil mencuba untuk mencium pipi Laurette. Satu tamparan hinggap ke pipinya. Laurette menolak tubuh Carl sedaya yang mungkin.

“Binatang! Di mana maruah kau Carl?! Aku ini seorang gadis. Bukan dengan cara ini jika kau perlakukan aku sebagai orang yang kau sayang!”, tengkingnya lalu keluar daripada bilik tersebut. Carl memegang pipinya yang masih terasa bisa tamparan seorang gadis. “Berani kau!”, marahnya semakin membuak. Keluar sahaja dia dari bilik tersebut, matanya meliar ke sekeliling ruang rumah.
Laurette tercari-cari kunci pintu rumah. Terkial-kial dia mencari di dalam gelap. Dia harus cepat, bila-bila masa sahaja Carl akan datang mencarinya.

“Oo Laurette….!”, laung Carl. Setiap pintu bilik-bilik yang dilaluinya dibuka kasar. Namun ke semuanya kosong tanpa kehadiran Laurette. Laurette tersentak dengan suara Carl yang menandakan Carl sudah tidak jauh daripadanya. Kunci rumah sudahpun berada di dalam genggaman tangannya namun untuk tiba ke pintu besar utama sungguh jauh lagi. Carl sudah semakin menghampiri. Dia tidak punyai pilihan lain selain memanjat jua anak tangga untuk menuju ke tingkat atas. Carl mencekak pinggangnya. Dari bahagian dapur sehingga lah ke ruang tamu sudah dia cari namun tetap juga tidak menemui Laurette. Dia memeriksa tombol pintu besar, masih berkunci. Bermakna Laurette masih ada di dalam rumah itu.

“Mungkin dia sudah berada di atas”, bisiknya.

“Oo Laurette… Aku tahu kau ada di sini. Kau tak mahu keluar ya.. Tidak mengapa, biar aku yang cari kau sampai aku jumpa. Sudah lama kita tidak bermain sorok-sorok seperti ini bukan?”, laungnya lagi dengan nada yang menyeramkan. Laurette masuk ke dalam bilik Arthur. Mayat kaku Arthur ditatapnya sayu. Kedengaran bunyi derapan tapak kaki Carl semakin menghampiri pada binaan lantai yang diperbuat daripada kayu oak. Laurette tahu dia harus pantas bertindak lalu dia segera menyembunyikan dirinya.
“Aku tahu kau ada di sini Laurette…”, Carl sudahpun memasuki bilik tersebut.

“Aku kenal kau Laurette. Kau memang suka bersorok di dalam bilik papa. Kau lupa? Setiap kali kita bermain sorok-sorok, aku mesti menang”, Carl memerhati di setiap sudut bilik dengan penuh teliti. Kemudian pandangannya berlabuh kepada sekujur tubuh ayahnya. “Ha.. papa.. Papa ada nampak Laurette?”, dia bertanya kepada ayahnya persis sewaktu yang dia selalu lakukan dulu.

“Apa? Oh… dalam almari!”, ujarnya sambil membuka pintu almari ayahnya. Satu persatu dia periksa namun Laurette tiada jua di situ. “Papa… Laurette tiada dalam almari… Papa bagitahu lah Carl, di mana Laurette. Papa selalu hendak menyembunyikan Laurette daripada Carl…”, dia berhenti sebentar lalu tersenyum. Kali ni pasti dia akan menemui Laurette.

“Jumpa!”, jeritnya apabila menundukkan wajah melihat ke bawah katil ayahnya. Ternyata kali ini dia silap. Laurette telah mengubah tempat persembunyiannya ke belakang pintu bilik. Laurette mengambil kesempatan tersebut untuk segera berlari keluar. “Cis!”, berangnya lalu mempercepatkan lariannya bagi mengejar Laurette yang sedang menuruni anak tangga. Menyedari Laurette semakin jauh, Carl mengambil keputusan untuk melompat dan menerkam Laurette dari belakang. Keduanya jatuh berguling di ruang tamu. Laurette meronta-ronta minta dilepaskan namun malang baginya apabila ditampar keras oleh Carl. Rambutnya ditarik dan kemudian kepalanya dihentak-hentakkan ke lantai beralaskan hamparan permaidani bercorak kulit  jaguar. Laurette mengerang kesakitan dan akhirnya dia menjadi semakin lemah dan kepalanya menjadi terlalu berat. Dalam keadaan Laurette yang separuh sedar itu, Carl menarik tubuh longlainya menuju ke dapur. Hendak tercabut rasanya kulit Laurette diheret sebegitu. Namun dia tidak berdaya untuk melawan.

“Maafkan aku Laurette. Tapi aku tiada pilihan selain dari bunuh kau macam papa. Tapi sayangnya, aku sudah kehabisan racun, jadi terpaksa lah aku menggunakan cara yang menyakitkan. Kau jangan takut Laurette, sakit sikit saja. Ia akan berlalu dengan cepat, aku janji”, Carl mencapai sebilah pisau dan garfu besar bermata dua yang selalu digunakan oleh Laurette untuk memotong daging turkey. Carl mengasah pisau tersebut pada garfu besar tadi. Kemudian dia duduk melutut di sisi Laurette. “Kau nak tahu macam mana sakitnya hati aku kau buat? Macam ni!”, katanya sambil menusukkan garfu besar ke kaki kanan Laurette. Begitu kuat sekali Laurette menjerit kesakitan. Darah pekat deras mengalir keluar daripada kesan tikaman tadi. Laurette menangis menahan keperitan.

“Sakit bukan? Kau tak patut tolak kemahuan aku tadi Laurette”, pisau tadi dia rapatkan ke pipi Laurette. “Ke mana dahulu kau mahu aku tikam? Ke pipi kau yang mulus ni?”, soalnya. Laurette dengan pantas menepis pisau tersebut lalu terlepas daripada genggaman Carl. Satu penampar singgah lagi ke pipinya. Carl mencari-cari keberadaan pisau tadi kerana suasana yang gelap menyukarkannya untuk melihat. Kesempatan itu digunakan untuk mencapai penguli adunan yang diperbuat daripada kayu lalu memukul belakang kepala Carl. Oleh kerana pukulannya yang tepat, Carl rebah pengsan. Laurette mengumpulkan segala kekuatan yang tinggal untuk berdiri. Namun kakinya yang ditikam tadi sungguh terasa pedihnya. Garfu tadi masih lagi tercacak jauh ke dalam daging kakinya. Mahu atau tidak, terpaksa lah dia menahan sakit dan menarik garfu itu perlahan-lahan. Lebih banyak darah yang keluar membasahi kakinya. Dengan segera dia mencapai kain tuala dapur yang tersidai pada penyangkut di dinding dan membalut kakinya. Carl mulai bergerak-gerak. Tanpa membuang masa, Laurette keluar melalui pintu dapur rumah dan mengambil jalan dalam semak samun belukar yang tumbuh meliar agar menyukarkan Carl untuk mengejarnya. Hanya dia dan ibunya sahaja yang arif tentang selok belok jalan-jalan di belakang banglo yang tersergam indah milik keluarga Zevsky. Ribuan langkah terpaksa diatur olehnya yang melangkah dengan penuh kepayahan dan kesakitan yang menggunung. Pada lewat malam sebegitu, memang sukar untuk mendapatkan bantuan apatah lagi banglo Arthur yang terletak jauh daripada bandar. Mujurlah ada seorang lelaki yang bermurah hati untuk membantunya, Zent Schavi`ere.

            Tidak sampai sebulan selepas itu, Carl diisytiharkan muflis. Semuanya gara-gara belumpun Loraine sah menjadi isterinya, dia terlebih dahulu membenarkan gadis itu untuk tinggal bersamanya di banglo yang sudah menjadi miliknya secara keseluruhan. Oleh kerana dia terlalu taksub hendak merampas harta kekayaan yang dimiliki keluarga Glovoskovich melalui Loraine, dia alpa akan kekayaan warisan ayahnya yang dalam diam Loraine sudahpun menjalankan rampasan terhadap ke semua yang dia miliki tanpa pengetahuannya. Carl diusir keluar dari rumahnya sendiri dan dia terpaksa hidup merempat. Dia menyesal tidak mendengar nasihat ayahnya, dia malu dengan perbuatannya terhadap ayahnya. Kerana gilakan harta, dia korbankan satu-satunya harta yang paling berharga. Papanya. Namun dia mengerti, biar menangiskan air mata darah pun, ayahnya tidak akan kembali. Laurette. Nama itu terus menerjah masuk ke ruang fikirannya. Dia masih ada Laurette. Dia nekad ingin mencari Laurette agar dia boleh meminta pengampunan daripada gadis yang sangat dicintainya. Ya, baru dia sedar semua itu. Dia sangat mencintai Laurette. Di mana kau Laurette?

***************************************************************************

            Laurette terbayangkan perbualannya bersama Carl semasa dia berusia 17 tahun manakala Carl pula ketika itu berusia sekitar 20 tahun. Ia perbualan yang sangat diingati Laurette kerana itulah saat terakhir Carl bermesra dengannya. Dan saat itulah dia merasakan cintanya yang semakin kuat terhadap Carl…

“Carl, kau sayang pada aku tak?”
“Mesti lah aku sayang kau. Aku hanya ada kau sebagai teman aku”.
“Kalau begitu, nah, aku bagi kau kertas putih ni sebagai simbol hati aku. Aku mahu kau tuliskan menggunakan tinta hitam betapa kau sayang pada aku di ‘hati’ aku ni. Untuk aku simpan sewaktu kau jauh di Slovakia nanti”.
“Baiklah.. Jangan tengok tahu!”.
“Ya…”.
“Nah. Dah siap”.
“Apa ni Carl? Tiada  sebarang tinta pun yang kau calitkan? Kau tidak sayang pada aku?”.
“Tidak, bukan begitu Laurette”,
“Jadi mengapa kau tidak menulis apa-apa pada kertas ini?”.
“Kerana ‘hati’ yang kau berikan kepada aku ini terlalu putih dan suci.Aku tidak mahu mengotorkannya dengan tinta hitam ini, kerana aku sayangkan hati kau…”. Laurette kembali pada alam nyata. Menitik air matanya. Cinta sucinya sudah terkubur tanpa penghujung sebuah kebahagiaan.

“Laurette? Betulkah apa yang aku lihat di hadapanku ini?”, Carl yang sedang duduk di sebuah sudut kaki lima berasa sungguh gembira melihatkan gadis yang dipanggil Laurette pagi tadi kini muncul dihadapannya. Air mata kesedihan dan kekesalan yang membasahi pipi dikesat dengan kain bajunya yang compang camping.

“Nah, ambil ini”, katanya menghulurkan beberapa keping dokumen kepada Carl. Carl tidak memahami maksud semua ini.

“Ini surat penyerahan kuasa ke atas nama kau Carl. Kalau saja kau ingat, sebelum papa meninggal, dia ada menulis nota buat kau. Aku teka, pasti kau tidak mengambil berat tentang nota itu bukan? Di dalamnya tertulis pesanan daripadanya, papa berpesan agar kau berkahwin denganku dan kemudian barulah semua syarikat cawangan papa yang berada di Canada, Greenland, France, England dan Austria akan menjadi milik kau sepenuhnya. Jika kau tidak memenuhi pesan tersebut, kelima-lima cawangan ini akan menjadi hak aku semuanya. Sekarang, aku serahkan kepada kau kerana bukan ini yang aku mahu untuk aku bahagia”, terang Laurette panjang lebar.

“Tapi Laurette, bukan kerana semua ini aku mencari kau kembali. Aku mahu memohon maaf darimu. Aku mahu merasa kasih sayang darimu lagi. Tolonglah Laurette, aku ingin kau kembali. Aku tiada teman lagi selain daripada kau…”,

“Sudah lah Carl. Aku kembali ini pun kerana aku ingin memulangkan semula apa yang sepatutnya menjadi milik kau dan aku ingin mengambil kembali apa yang menjadi milikku. Kerana hati aku yang kau kata putih telah kau nodai dengan kehitaman kelakuan kau seperti tercoretnya dakwat hitam pada kertas-kertas dokumen ini. Boleh kau putihkannya semula? tidak akan pernah boleh. Mulakan lah hidup baru. Aku akan berdoa untuk kau”, ujarnya sambil menahan tangis. Dadanya menjadi sebak lalu dia beredar meninggalkan Carl terkaku di situ. Jutaan sesalan sudah tidak bermakna lagi buat Carl Zevsky. Laurette Rexton, kau akan tetap menjadi satu-satunya teman aku.

TAMAT

Hak Cipta Terpelihara

Creative Commons License
Suster Fyza is licensed
Based on a work at secebis-kertas.blogspot.com.